“Seorang Lelaki Menyelamatkan Sebuah Kampung”, For the Strength of Youth, Apr. 2021, 10–11.
Pesanan For the Strength of Youth Bulanan, April 2021
Seorang Budak Lelaki Menyelamatkan Sebuah Kampung
Tom Fanene hanya berusia 12 tahun, tetapi ketika penyakit dahsyat menimpa kampungnya di Samoa, dia mendapat seru untuk melakukan kerja Tuhan.
Sama seperti tema remaja tahun ini iaitu anda sedang “meletakkan landasan bagi sebuah pekerjaan yang besar” (Ajaran dan Perjanjian 64:33). Sepanjang sejarah Gereja, golongan muda sering memainkan peranan penting pada masa genting dalam pembangunan kerajaan Tuhan. Inilah salah satu contohnya.
Epidemik di Pulau
Di Kepulauan Samoa di Lautan Pasifik, lebih 100 tahun yang lalu, seorang pemuda yang bernama Tom Fanene memberikan pertolongan yang penting kepada anggota Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, yang berada di ambang maut.
Tom tinggal di sebuah kampung yang bernama Sauniatu yang telah didirikan oleh anggota Orang Suci Zaman Akhir di kawasan tersebut sebagai tempat mereka berkumpul dan membentuk komuniti. Sama seperti Orang Suci Tuhan pada masa dan di tempat lain, mereka menghadapi ujian dan juga mukjizat ketika mereka berusaha untuk membangunkan kerajaan Tuhan bersama-sama. Satu ujian berlaku pada tahun 1918 ketika pandemik influenza melanda kampung tersebut.
Apabila penyakit tersebut melanda, keadaannya sangat dahsyat dan merebak dengan cepat. Hampir kesemua 400 orang penduduk kampung terlantar sakit di atas katil disebabkan oleh penyakit itu. Hanya beberapa orang penduduk yang cukup sihat untuk melakukan kegiatan harian, antaranya seorang lelaki yang lebih tua dan juga Tom yang berusia 12 tahun.
Iman dan Usaha
Keluarga Tom telah mengamalkan iman semasa menghadapi penyakit sebelum wabak tersebut dan telah menyaksikan mukjizat pada masa itu. Adik lelaki Tom, Ailama telah jatuh sakit beberapa tahun sebelum itu. Ayah mereka, Elisala mendapat mimpi bahawa dia diberikan petunjuk khusus tentang perkara yang harus dilakukan untuk menjaga Ailama, iaitu mencari pokok wili-wili, mengupas kulit pokok tersebut dan memerah jus daripada kulit pokok. Elisala mengikut petunjuk dalam mimpinya dan membawa jus tersebut kepada Ailama yang sembuh dengan segera selepas meminum jus itu. Pada masa itu, Tom telah menyaksikan cara perbuatan beriman dapat membantu mengatasi penyakit.
Semasa epidemik influenza pada tahun 1918, Tom mengamalkan iman ketika dia bekerja keras untuk menjaga penduduk kampung. “Setiap pagi, saya pergi dari rumah ke rumah untuk menyuapi dan membersihkan penduduk kampung serta mengetahui jumlah orang yang telah meninggal dunia”, katanya.
Dia mengambil baldi air dari mata air dan membawa air ke setiap rumah. Dia memanjat pokok kelapa, memetik buah kelapa, mengopeknya dan membukanya untuk mengumpulkan jus lalu dibawa kepada orang yang sakit. Dia juga menyembelih semua ayam di kampung untuk memasak sup untuk setiap keluarga.
Membuat Perubahan
Semasa pandemik ini berlaku, kira-kira satu perempat daripada semua orang di Samoa meninggal dunia akibat influenza. Sebilangan orang di kampung Tom juga meninggal dunia. Tom membantu menggali kubur dan menguburkan lebih 20 mayat, termasuk ayahnya sendiri, Elisala.
Namun begitu, dengan usaha dan penjagaan penuh kasih sayang oleh Tom, ramai orang di kampungnya terselamat. Dia membuat perubahan yang besar untuk penduduk kampung tersebut dan kepada usaha pembangunan kerajaan Tuhan di Samoa. Dia telah “meletakkan landasan bagi sebuah pekerjaan yang besar”.
Dengan cara anda sendiri, anda juga boleh berbuat demikian.
Anda mungkin tidak mendapat seru untuk melakukan perkara seperti yang telah dilakukan oleh Tom, tetapi anda sebenarnya sedang mengamalkan iman dalam pelbagai cara yang akan membuat perubahan besar kepada diri anda, orang lain dan kepada usaha pembangunan kerajaan Tuhan.
Anda sedang menjadikan teladan kepada keluarga, rakan anda dan orang lain dengan menunjukkan sifat hemah, kesabaran, kebaikan dan cinta. Anda sedang berkhidmat untuk orang lain. Anda terlibat dalam pembelajaran kitab suci dan doa. Anda berkongsi kebenaran Injil Yesus Kristus yang dipulihkan.
Sepanjang setahun yang lalu ini, ramai antara anda pernah melakukan perkara-perkara ini sambil mengharungi kesan pandemik. Anda mungkin tidak pernah mengambil air dan kelapa serta menjaga 400 orang agar kembali sihat, tetapi anda telah membawa keselesaan, harapan, kegembiraan dan kedamaian kepada orang lain dengan banyak cara lain.
Usia anda kurang penting berbanding dengan iman anda dan kerelaan anda untuk berusaha dan berkhidmat untuk orang lain. Contoh pada masa lalu seperti Tom Fanene dapat membantu anda melihat bahawa anda diperlukan dalam usaha meletakkan landasan bagi pekerjaan Tuhan yang besar.
© 2021 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly For the Strength of Youth Message, April 2021. Malay. 17467 348