“Yesus Kristus Menyelamatkan Kita daripada Dosa dan Kematian”, Liahona, April 2021
Pesanan Liahona Bulanan, April 2021
Yesus Kristus Menyelamatkan Kita daripada Dosa dan Kematian
Oleh sebab pengorbanan-Nya, kita semua memiliki peluang untuk mencari kedamaian dan kegembiraan abadi.
Kita melihat Yesus Kristus sebagai Juruselamat kita. Hal itu kerana Dia menebus dosa kita dan mengatasi kuasa kematian. Dia menyelamatkan kita! Pengorbanan-Nya untuk kita yang dikenali sebagai Korban Tebusan ialah peristiwa terpenting yang pernah berlaku. Oleh sebab Dia, kematian bukanlah penghujung. Oleh sebab Dia, dosa kita dapat diampunkan, kita menjadi suci semula dan bertambah baik setiap hari.
Yesus Kristus Merupakan Putera Sulung
Sebelum datang ke bumi, kita tinggal bersama ibu bapa di syurga kita. Sebagai Putera Sulung, Yesus Kristus membantu mencipta dunia yang indah ini. Dia dipilih untuk menjadi Juruselamat kita dan bersetuju untuk dilahirkan di bumi supaya Dia dapat menjadikan teladan yang sempurna, mengajarkan Injil-Nya dan menyempurnakan Korban Tebusan untuk kita.
Yesus Kristus Membayar untuk Dosa Kita
Ketika Yesus tahu bahawa Dia akan meninggal dunia, Dia pergi ke sebuah taman yang bernama Getsemani untuk berdoa. Semasa berdoa, Dia mula menebus dosa kita. Dia sanggup menderita supaya kita tidak perlu menderita—jika kita bertaubat. Apabila kita menjauhi diri daripada dosa kita dan mengikuti Juruselamat, kita dapat menemukan keampunan dan penyembuhan. Disebabkan oleh perkara yang dialami-Nya di Getsemani, Yesus benar-benar memahami perasaan kita semua. Dia merasai semua kesedihan, penyakit dan kesakitan kita. Ini ialah bahagian pertama Korban Tebusan.
Yesus Kristus Mengatasi Kematian
Setelah Dia berdoa di Getsemani, Yesus dikhianati, ditangkap dan dihukum mati dengan penyaliban. Walaupun Dia maha kuasa, Yesus membenarkan Dia sendiri meninggal dunia di atas kayu salib. Pengikut-Nya meletakkan tubuh-Nya di dalam sebuah kubur dengan penuh kasih. Mereka tidak menyedari bahawa roh-Nya masih hidup di dunia roh walaupun tubuh-Nya telah meninggal dunia. Tiga hari kemudian, Yesus hidup kembali dan menziarahi mereka untuk membuktikan bahawa Dia dapat menaklukkan kematian. Ini menyempurnakan Korban Tebusan. Oleh sebab kebangkitan Yesus, kita semua akan hidup kembali setelah kita meninggal dunia.
Makna Hari Natal dan Hari Easter
Banyak tempat di seluruh dunia meraikan dua hari perayaan yang membantu kita mengingati Korban Tebusan Yesus Kristus. Semasa Hari Natal, kita ingat dengan rasa syukur bahawa Yesus bersedia menerima misi untuk turun ke bumi walaupun misi itu termasuk penderitaan dan kematian demi kita. Hari Easter meraikan kemenangan Juruselamat mengatasi dosa dan kematian yang memberi kita harapan untuk masa depan kegembiraan yang abadi.
Apakah yang Dikatakan dalam Kitab Suci tentang Korban Tebusan Juruselamat?
Oleh sebab Yesus benar-benar mengenali kita, Dia boleh “menyokong” atau menolong kita (lihat Alma 7:11–12).
Juruselamat memahami kesedihan dan kedukaan kita (lihat Yesaya 53:2–5).
Tuhan menghantar Yesus untuk menyelamatkan kita kerana Tuhan mengasihi kita semua (lihat Yohanes 3:16–17).
Yesus berdoa untuk pengikut-Nya, termasuklah kita, agar dilindungi daripada kejahatan serta bersatu dengan-Nya dan Bapa di Syurga (lihat Yohanes 17).
Juruselamat kita mempelawa kita untuk mengikuti-Nya dan kembali ke hadirat-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 19:16–19, 23–24; 132:23).
© 2021 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Penterjemahan Monthly Liahona Message, April 2021. Malay. 17467 348