“Persidangan Umum: Pertemuan Gereja Sedunia,” Liahona, September 2021
Pesanan Bulanan Liahona, September 2021
Persidangan Umum: Pertemuan Gereja Sedunia
Kita mendengar para nabi dan pemimpin Gereja lain semasa persidangan umum. Mereka mengajar kita apa yang Tuhan mahu kita dengar.
Setiap bulan April dan Oktober, Gereja mengadakan satu siri pertemuan yang dipanggil persidangan umum. Para pemimpin mengajar dan bersaksi tentang Yesus Kristus dan injil-Nya. Persidangan umum diadakan di Salt Lake City, Utah, A.S, dan disiarkan di seluruh dunia dalam lebih daripada 80 bahasa. Semua ahli dan orang lain yang berminat dijemput untuk mendengar persidangan tersebut.
Persidangan Gereja yang Pertama
Gereja secara rasmi ditubuhkan pada pertemuan 6 April 1830 (lihat Ajaran dan Perjanjian 20). Persidangan umum yang pertama diadakan pada 9 Jun 1830. Semenjak itu, persidangan umum diadakan di bawah arahan Presiden Gereja di mana saja para ahli boleh berkumpul. Pada tahun 1840, para pemimpin mula mengadakan persidangan dua kali setahun.
Bagaimana Persidangan Diatur Hari Ini
Presidensi Utama, Kuorum Dua Belas Rasul, dan para pemimpin Gereja lain berucap semasa persidangan umum. Koir Tabernacle di Temple Square dan koir Gereja lain menyediakan muzik. Setiap persidangan mempunyai lima sesi: tiga pada hari Sabtu dan dua pada hari Ahad. Pada bulan April, sesi ketiga pada hari Sabtu adalah untuk para ahli kuorum Imamat Harun dan Imamat Melkisedek. Pada bulan Oktober, ia adalah untuk para ahli Lembaga Pertolongan dan Remaja Puteri.
Ajaran-ajaran Para Pemimpin
Beberapa bulan sebelum persidangan, para pemimpin Gereja berdoa tentang apa yang harus diajar. Tuhan mengilhami mereka untuk tahu apa yang mereka harus katakan. Mereka mengajar kebenaran injil dan menjemput kita untuk mematuhi perintah-perintah Tuhan. Mereka juga bersaksi tentang Yesus Kristus dan menggalakkan kita untuk mengikuti-Nya.
Belajar Dari Persidangan
Sebelum persidangan umum, kita boleh berdoa untuk mendengar apa yang Tuhan mahu kita belajar. Semasa mendengar ucapan-ucapan itu, Roh akan mengajar kita apa yang kita perlu tahu. Selepas persidangan, ucapan-ucapan ini tersedia di ChurchofJesusChrist.org, dalam aplikasi Gospel Library dan majalah Liahona. Kita boleh mengkaji dengan penuh doa ucapan itu untuk belajar lebih tentang Yesus Kristus dan injil-Nya.
Dari Tulisan Suci
Yesus Kristus mengajar bahawa kita harus selalu berhimpun bersama (lihat 3 Nefi 18:22).
Apabila para ahli Gereja menyembah bersama, Tuhan akan bersama mereka (lihat Matius 18:20).
Tuhan memerintahkan para ahli Gereja untuk “mengajar dan meneguhkan satu sama lain” (Ajaran dan Perjanjian 43:8).
Ketika para ahli Gereja beriman kepada Kristus, Roh-Nya akan bersama mereka semasa mereka berhimpun bersama (lihat Ajaran dan Perjanjian 44:2).
© 2021 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, September 2021. Malay. 17473 348