“Pakaian Suci Imamat Kudus,” Liahona, Sep. 2024.
Pesanan Bulanan Liahona, September 2024
Pakaian Suci Imamat Kudus
Sebagai sebahagian daripada anugerahan bait suci, kita telah diberi peringatan fizikal kudus tentang perjanjian kita—lambang Juruselamat Sendiri.
Tidak kira persediaan yang mereka telah terima dan jaminan yang mereka cuba ingati, sememangnya mengejutkan kepada Adam dan Hawa untuk meninggalkan Taman Eden yang indah dan melangkah ke dunia yang jatuh.
Dengan penuh kesedaran, mereka sedari maksud untuk menukar kehidupan mereka yang tenang dan riang dengan dunia bertentangan dan penuh peluh, duri dan kesedihan—akhirnya diikuti oleh kematian. Mereka mulanya tidak mengetahui semua ini, tetapi mereka segera pelajari bahawa setiap hari boleh membawa kesakitan baharu. Sesungguhnya, yang paling menyakitkan adalah mereka akan menghadapi semua ini jauh daripada Bapa di Syurga mereka—“dipisahkan daripada hadirat-Nya,” catat Musa.
Kerana perpisahan dan kesunyian di dunia yang sejuk dan suram ini, betapa Adam dan Hawa terhibur mengingati satu perkara: bahawa janji-janji telah dibuat—sesuatu yang kudus dan abadi iaitu perjanjian. Mereka berjanji akan mematuhi Bapa sepanjang hidup mereka, dan Dia berjanji untuk menyediakan Juruselamat, yang akan melegakan kesakitan dan kesedihan mereka, menebus kesalahan mereka, dan membawa mereka kembali ke hadirat-Nya dengan selamat.
Tetapi bagaimana manusia fana ini dapat mengingati janji mereka? Bagaimana mereka kekal peka akan keadaan berbahaya mereka—peka sepanjang masa, siang dan malam?!
Peringatan tentang Perjanjian Mereka
Sebagai peringatan, Dia memberi mereka “pakaian kulit binatang.” Ini kurnia yang baik dan tepat pada masanya. Setelah makan buah terlarang, Adam dan Hawa segera menyedari bahawa mereka telanjang. Pertama, mereka cuba menutupi tubuh mereka dengan daun ara. Kemudian, takut ia tidak mencukupi, mereka cuba bersembunyi daripada Tuhan. (Usaha bodoh seperti itu adalah bukti kefanaan mula berkesan!) Dari saat itu hingga sekarang, Bapa yang penuh kasih telah menjemput anak-anak-Nya untuk datang, keluar dari persembunyian, kepada-Nya. Dan seperti pakaian kulit binatang ketika itu dan pelbagai barangan pakaian sejak itu, Dia dalam belas kasihan-Nya tidak membiarkan kita telanjang tetapi telah memakaikan orang-orang yang patuh dengan “jubah kesolehan,” peringatan tentang janji dan perjanjian kita. “Pakaian suci keselamatan” ini melambangkan kurnia terbesar dari semua, Korban Tebusan Yesus Kristus.
Pakaian Suci Adalah Lambang Juruselamat
Pemikiran tentang Adam dan Hawa serta perjanjian dan pakaian, tentu saja, lebih daripada latihan mental. Tidak sukar untuk membayangkan bagaimana perasaan Adam dan Hawa, kerana kita juga menghadapi masalah di dunia yang jatuh ini. Kita juga telah dipisahkan daripada hadirat Tuhan, dan kita menjauhkan diri setiap kali kita melanggar perintah. Seperti Adam dan Hawa, kita diberikan Juruselamat yang sama, Yesus Kristus dari Nazaret, Alfa dan Omega, Putera Tuhan yang hidup. Seperti Adam dan Hawa, kita telah membuat perjanjian dengan Tuhan. Dan, sebagai sebahagian daripada anugerahan bait suci, kita telah diberi peringatan fizikal kudus tentang perjanjian itu—lambang Juruselamat Sendiri. Dalam zaman keagamaan kita ia dipanggil pakaian suci imamat kudus.
Kita memakai pakaian suci ini di bawah pakaian luar kita. Apa sahaja tanggungjawab yang saya ada, apa sahaja peranan saya dalam hidup, apa sahaja tugas harian yang diminta, di bawahnya adalah perjanjian saya—sentiasa dan selama-lamanya. Di bawahnya adalah janji-janji kudus yang saya pegang erat. Pakaian suci itu tidak dipamerkan atau ditunjukkan kepada dunia, dan perjanjian saya juga sama. Tetapi saya menjaga ketat kedua-duanya—seketat yang saya boleh. Ia sangat peribadi dan sangat kudus.
Dalam mengingati perjanjian itu, janji dua hala itu, kita memakai pakaian suci sepanjang hidup kita. Amalan ini menunjukkan hasrat kita untuk Juruselamat menjadi pengaruh yang berterusan dalam hidup kita. Lambang terkasih yang lain adalah berkala. Kita dibaptiskan sekali dalam hidup kita. Kita mengambil sakramen sekali seminggu. Kita menghadiri bait suci mengikut keadaan yang mengizinkan. Tetapi pakaian suci imamat kudus berbeza: kita menghormati lambang ini siang dan malam.
Dan seperti itulah perjanjian—tidak diketepikan demi kemudahan atau kecuaian dan tidak diubah suai agar sesuai dengan gaya dan fesyen masyarakat. Dalam hidup pengikut Yesus Kristus, cara-cara dunia mesti diubah suai untuk sejajar dengan perjanjian kita, bukan sebaliknya.
Apabila kita memakai pakaian suci, kita, seperti yang Presidensi Utama ajarkan, memakai lambang kudus Yesus Kristus. Oleh itu, mengapa kita mencari alasan untuk menanggalkan lambang itu? Mengapa kita menafikan diri daripada janji kuasa, perlindungan, dan belas kasihan yang pakaian suci itu wakili? Sebaliknya, setiap kali kita perlu menanggalkan pakaian suci buat sementara waktu, kita harus bersemangat untuk memakainya semula, secepat mungkin, kerana kita ingat kedua-dua janji dan bahaya yang memberi tujuan kepada perjanjian kita. Di atas segalanya, kita ingat salib dan makam kosong Kristus.
Ada yang mungkin berkata, “Saya mempunyai cara lain untuk mengingati Yesus.” Dan saya akan membalas, itu indah. Semakin banyak cara semakin baik. Mari kita fikirkan seberapa banyak cara yang boleh untuk mengekalkan komitmen kita untuk “selalu mengingati-Nya.” Tetapi dengan berbuat demikian, adalah tidak jujur untuk sengaja mengabaikan peringatan yang Tuhan Sendiri berikan kepada ahli yang dianugerahi, iaitu pakaian suci imamat kudus.
Yesus Kristus dan injil-Nya adalah segala-galanya kepada saya. Semua harapan dan hasrat abadi saya, segala yang saya kasihi, bergantung pada-Nya. Dia adalah “batu keselamatan [saya],” cara saya mengakses Bapa Syurgawi saya, satu-satunya cara saya kembali kepada apa yang saya pernah miliki dan kini ingin miliki lagi, serta banyak lagi. Kurnia-Nya kepada kita adalah yang paling murah hati yang pernah saya terima, yang paling murah hati yang pernah diberikan—dibeli dengan penderitaan yang tidak terhingga, dihulurkan kepada jumlah yang tidak terhingga, dikurniakan dengan kasih yang tidak terhingga. Duri dan lalang, kesakitan dan keperitan, kesedihan dan dosa dunia yang jatuh ini semuanya “ditelan di dalam Kristus.”
Oleh itu, saya telah memakai pakaian suci imamat kudus—siang dan malam sejak saya dianugerahi 64 tahun yang lalu, pada umur 19 tahun—kerana saya mengasihi Dia dan saya memerlukan janji-janji yang ia wakili.
Soalan Tentang Memakai Pakaian Suci?
Sesetengah anda mungkin membaca artikel ini dengan harapan saya akan menjawab soalan tertentu mengenai pakaian suci. Anda mungkin berharap untuk “Demikianlah firman Tuhan”—atau bahkan “Demikianlah kata-kata hamba-Nya”—tentang sesuatu perkara yang dekat dengan hati anda. Soalan anda mungkin berpunca daripada keadaan peribadi yang berkaitan dengan pekerjaan, senaman, kebersihan, iklim, kesopanan, kemudahan kebersihan, atau bahkan keadaan perubatan.
Beberapa jawapan kepada soalan-soalan ini terdapat di temples.ChurchofJesusChrist.org dan di bahagian 38.5 dalam Buku Panduan Umum. Ahli keluarga dan pemimpin yang dipercayai boleh dirujuk mengenai perkara peribadi. Bagaimanapun, terdapat arahan yang sangat jelas yang diberikan dalam tatacara permulaan, dan adanya Bapa di Syurga anda, yang mengenali anda dan mengasihi anda dan memahami segala-galanya tentang keadaan anda. Dia akan teruja jika anda bertanya soalan-soalan ini secara peribadi.
Sila jangan salah faham. Semasa anda mencari bimbingan ilahi, Roh tidak akan mengilhami anda untuk melakukan kurang daripada mengikuti arahan yang diterima di bait suci dan nasihat kenabian yang Presidensi Utama kongsi dalam penyataan mereka baru-baru ini. Bapa yang penuh kasih tidak akan membantu anda merasionalkan melakukan kurang daripada yang anda boleh untuk sejajar dengan standard kebaktian dan kesopanan-Nya yang akan memberkati anda sekarang dan selama-lamanya. Tetapi adakah Dia memahami soalan anda, dan adakah Dia akan membantu anda menerima berkat dari menghormati pakaian suci dan mematuhi perjanjian anda? Ya! Adakah anda perlu juga berunding dengan profesional perubatan dan kesihatan yang kompeten apabila diperlukan? Sudah tentu! Adakah anda perlu mengabaikan akal atau memandang melebihi sasaran? Saya berdoa agar anda tidak akan berbuat demikian.
Saya tidak dapat menjawab setiap soalan yang anda ada. Bahkan saya tidak dapat menjawab setiap soalan yang saya ada. Tetapi saya boleh, sebagai Rasul Tuhan Yesus Kristus, menjanjikan anda bantuan Tuhan yang penuh kasih, yang inginkan kejayaan dan berkat anda, dengan cara yang anda tidak fahami atau ramal sekarang, semasa anda mematuhi perjanjian yang telah anda buat dengan-Nya.
© 2024 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, September 2024. Malay. 19295 348