Liahona
Yesus Kristus ialah Sumber “Hidup”, “Baik”, dan “Harapan yang Lebih Baik”
Disember 2024


“Yesus Kristus ialah Sumber ‘Hidup,’ ‘Baik,’ dan ‘Harapan yang Lebih Baik,’” Liahona, Dis. 2024.

Pesanan Bulanan Liahona, Disember 2024

Yesus Kristus ialah Sumber “Hidup,” “Baik,” dan “Harapan yang Lebih Baik”

Dalam musim istimewa meraikan kelahiran bayi di Betlehem ini, semoga kita sentiasa ingat bahawa Yesus Kristus datang ke dunia untuk menjadi Juruselamat dan Penebus kita.

Maria dan Yusuf bersama bayi Yesus

The Nativity [Kelahiran Yesus], oleh Sharlotte Andrus

Rasul Petrus dan nabi Kitab Mormon Yakub dan Moroni menekankan kurnia rohani harapan dalam Kristus dengan cara yang serupa.

Contohnya, Petrus mengatakan, “Marilah kita bersyukur kepada Tuhan, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus! Kerana Dia sangat mengasihani kita, Dia mengurniai kita hidup yang baru , dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian” (1 Petrus 1:3; penekanan ditambahkan). Perkataan “hidup yang baru” menggambarkan harapan.

Yakub mengisytiharkan, “Oleh kerana itu, saudara-saudara yang dikasihi, diperdamaikanlah dengan Dia melalui korban tebusan Kristus, Putera Tunggal-Nya, dan kamu boleh mendapatkan kebangkitan, menurut kuasa kebangkitan yang ada di dalam Kristus, dan dipersembahkan sebagai buah-buah hasil pertama Kristus kepada Tuhan, memiliki iman, dan mendapatkan harapan yang baik untuk kemuliaan di dalam Dia sebelum Dia menyatakan diri-Nya dalam daging” (Yakub 4:11; penekanan ditambahkan). Sila perhatikan penggunaan perkataan “baik” untuk menggambarkan “harapan.”

Dan Moroni berkata, “Dan aku juga teringat bahawa Engkau telah berfirman bahawa Engkau telah menyediakan sebuah rumah bagi manusia, ya, bahkan di antara tempat-tempat tinggal Bapa-Mu, yang mana di dalamnya manusia boleh memperoleh harapan yang lebih baik; oleh itu manusia mesti berharap, atau dia tidak dapat menerima warisan di tempat yang telah Engkau sediakan” (Eter 12:32; penekanan ditambahkan) Sila perhatikan penggunaan perkataan “lebih baik” untuk menggambarkan “harapan.”

Apakah Itu Harapan dalam Kristus?

Kurnia rohani harapan dalam Kristus ialah jangkaan yang penuh sukacita akan kehidupan abadi melalui “jasa, dan belas kasihan, dan rahmat Mesias yang Kudus” (2 Nefi 2:8) dan hasrat yang kuat untuk berkat-berkat kesolehan yang dijanjikan. Kata adjektif “hidup,” “baik,” dan “lebih baik” dalam ayat-ayat ini mencadangkan jaminan yang sentiasa berkembang dan bersemangat tentang Kebangkitan dan kehidupan abadi melalui iman kepada Yesus Kristus.

Nabi Mormon menjelaskan:

“Dan lagi, saudara-saudaraku yang dikasihi, aku akan berbicara kepadamu tentang harapan. Bagaimanakah mungkin bahawa kamu dapat memperoleh iman, kecuali kamu berharapan?

“Dan apakah yang harus kamu harapkan? Lihatlah aku berkata kepadamu bahawa kamu akan berharapan melalui korban tebusan Kristus dan kuasa kebangkitan-Nya, untuk dibangkitkan kepada kehidupan yang abadi, dan ini disebabkan imanmu kepada-Nya menurut perjanjian tersebut.

“Oleh itu, jika seseorang beriman dia mestilah perlu berharapan; kerana tanpa iman tidak akan ada apa-apa harapan pun” (Moroni 7:40–42).

Rancangan Kebahagiaan Bapa Syurgawi

Harapan dalam Kristus yang hidup, baik, dan lebih baik bermula dengan pengetahuan bahawa Tuhan Bapa Yang Abadi hidup. Dia Bapa kita, dan kita anak-anak roh-Nya. Kita benar-benar adalah anak lelaki dan anak perempuan Tuhan secara roh dan telah mewarisi sifat-sifat ilahi daripada-Nya.

Bapa ialah pengarang rancangan kebahagiaan (lihat Abraham 3:22–28). Sebagai anak lelaki dan perempuan Tuhan secara roh, kita “menerima rancangan-Nya di mana melaluinya [anak-anak-Nya] dapat memperolehi suatu tubuh fizikal serta mendapat pengalaman duniawi untuk maju menuju kesempurnaan dan pada akhirnya mencapai takdir mereka sebagai waris kepada kehidupan abadi.” Dalam tulisan suci, kita belajar: “Bapa memiliki tubuh daging dan tulang senyata manusia; Putera juga” (Ajaran dan Perjanjian 130:22). Oleh itu, mendapatkan tubuh fizikal adalah penting dalam proses maju ke arah takdir ilahi kita.

Kita adalah makhluk dua sisi. Roh kita, bahagian abadi kita, dilindungi tubuh fizikal yang tertakluk kepada hasrat dan nafsu kefanaan. Rancangan kebahagiaan Bapa dirancang untuk menyediakan hala tuju kepada anak-anak-Nya, untuk membantu mereka selamat pulang kepada-Nya dengan tubuh yang dibangkitkan dan dimuliakan, dan untuk menerima berkat sukacita dan kebahagiaan abadi.

Maria dengan bayi Yesus

The Christ Child [Bayi Kristus], oleh Sharlotte Andrus

Peranan Penebusan Yesus Kristus dalam Rancangan Bapa

Yesus Kristus adalah Putera Tunggal Bapa yang Abadi. Dia datang ke dunia untuk melakukan kehendak Bapa-Nya (lihat 3 Nefi 27:13). Yesus Kristus ialah orang yang diurapi oleh Bapa untuk menjadi wakil peribadi-Nya dalam segala perkara yang berkaitan dengan keselamatan umat manusia. Dia adalah Juruselamat dan Penebus kita kerana Dia mengatasi kematian dan dosa.

Alma bernubuat kepada orang Gideon berkenaan kerja penyelamatan Mesias:

“Dan Dia akan pergi, menderita kesakitan dan kesengsaraan dan cubaan daripada setiap jenis; dan ini agar firman boleh digenapi yang mengatakan Dia akan mengambil ke atas diri-Nya kesakitan dan penyakit umat-Nya.

“Dan Dia akan mengambil ke atas diri-Nya kematian, agar Dia boleh melepaskan ikatan kematian yang mengikat umat-Nya; dan Dia akan mengambil ke atas diri-Nya kelemahan mereka, agar sanubari-Nya boleh dipenuhi dengan belas kasihan, menurut keadaan daging, agar Dia boleh mengetahui menurut keadaan daging bagaimana menyokong umat-Nya menurut kelemahan mereka.

“Sekarang, Roh mengetahui segala sesuatu; walaupun demikian Putera Tuhan menderita menurut keadaan daging agar Dia boleh mengambil ke atas diri-Nya dosa-dosa umat-Nya, agar Dia boleh memadamkan pelanggaran mereka menurut kuasa pembebasan-Nya” (Alma 7:11–13).

Asas injil pertama ialah iman kepada Tuhan Yesus Kristus. Iman sejati fokus pada Juruselamat dan membolehkan kita untuk mempercayai-Nya dan mempunyai keyakinan penuh dalam kuasa-Nya untuk menyelamatkan kita daripada kematian, menyucikan kita daripada dosa, dan memberkati kita dengan kekuatan yang melebihi kekuatan kita sendiri.

Moroni bersaksi, “Dan disebabkan penebusan manusia, yang datang melalui Yesus Kristus, mereka dibawa kembali ke hadirat Tuhan; ya, beginilah caranya semua orang ditebus, kerana kematian Kristus mendatangkan kebangkitan, yang mendatangkan penebusan dari tidur yang tiada akhirnya, dari tidur itu semua manusia akan dibangunkan melalui kuasa Tuhan apabila sangkakala akan berbunyi; dan mereka akan datang, baik kecil mahupun besar, dan semuanya akan berdiri di hadapan meja penghakiman-Nya, setelah ditebus dan dibebaskan dari ikatan kematian yang kekal ini, yang mana kematian itu adalah kematian duniawi” (Mormon 9:13).

Saya bersaksi bahawa Juruselamat telah memutuskan ikatan kematian. Dia telah bangkit, Dia hidup, dan Dia adalah satu-satunya sumber harapan yang hidup, baik, dan lebih baik.

Sauh kepada Jiwa

Nabi Eter telah bersaksi, “Oleh itu, sesiapa yang percaya kepada Tuhan boleh dengan suatu kepastian berharap untuk dunia yang lebih baik, ya, bahkan sebuah tempat di sebelah tangan kanan Tuhan, iaitu harapan yang dilahirkan oleh iman, menjadi sauh bagi jiwa manusia, yang akan menjadikan mereka yakin dan tabah, selalu berlimpah ruah dengan kerja-kerja baik, dituntun untuk memuliakan Tuhan” (Eter 12:4; penekanan ditambahkan).

Dalam musim istimewa meraikan kelahiran bayi di Betlehem ini, semoga kita sentiasa ingat bahawa Yesus Kristus datang ke dunia untuk menjadi Juruselamat dan Penebus kita. Dia menawarkan kepada kita kurnia rohani yang tidak ternilai iaitu kehidupan, cahaya, pembaharuan, kasih, kedamaian, perspektif, sukacita, dan harapan.

Saya menjemput anda untuk mencari dengan sewajarnya kurnia rohani harapan dalam Juruselamat dengan mengkaji ajaran dan kesaksian nabi-nabi zaman dahulu dan moden berkenaan pengorbanan penebusan-Nya dan Kebangkitan-Nya. Semasa anda berbuat demikian, saya berjanji bahawa kesaksian anda tentang keilahian Penebus akan diperkuatkan, penukaran hati anda kepada-Nya akan diperdalamkan, hasrat dan keazaman anda untuk berdiri sebagai saksi yang berani tentang Dia akan ditingkatkan, dan anda akan diberkati dengan sauh kepada jiwa anda—bahkan harapan yang hidup, baik, dan lebih baik.

Dengan para Rasul yang telah bersaksi tentang Dia sepanjang zaman, saya dengan sukacita mengisytiharkan kesaksian saya bahawa Yesus Kristus adalah Putera Tuhan yang hidup. Dia ialah Penebus kita yang telah bangkit dengan tubuh daging dan tulang yang dimuliakan dan nyata. Dan kerana penebusan dan perdamaian dengan Tuhan yang Yesus telah memungkinkan untuk semua umat manusia, kita boleh menerima jaminan rohani dan harapan yang hidup, baik, dan lebih baik bahawa “semua orang akan dihidupkan semula kerana Kristus” (1 Korintus 15:22).

Nota

  1. Keluarga: Suatu Perisytiharan Kepada Dunia,” Gospel Library.