Perjanjian Baru 2023
Menggunakan “Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri”


“Menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri,” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri: Topik Ajaran 2023 (2022)

“Menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri,” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri: Topik Ajaran 2023

remaja putera sedang membaca kitab suci

Menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri

Apakah Tujuan Kelas dan Pertemuan Kuorum Kita?

Tuhan telah memberi anda amanah kudus: Dia telah memanggil anda untuk melayan dalam presidensi kelas Remaja Puteri atau presidensi kuorum Imamat Harun. Sebahagian daripada tanggungjawab anda adalah untuk memimpin dan melaksanakan pertemuan kelas atau kuorum anda pada hari Ahad. Untuk berbuat demikian, pemahaman tentang tujuan kita mengadakan pertemuan ini sangat membantu.

Kelas Remaja Puteri dan pertemuan kuorum Imamat Harun berbeza daripada kelas Gereja lain seperti Sekolah Minggu atau seminari. Dalam pertemuan kelas atau kuorum, kita belajar tentang pekerjaan Tuhan untuk kita, dan kita mengaturkan ahli kelas atau kuorum untuk melakukan pekerjaan itu di rumah, di Gereja dan dalam komuniti kita. Dalam pertemuan ini, kita tidak setakat sahaja membincangkan pekerjaan itu—kita membuat rancangan untuk melaksanakan peranan kita sebagai batalion remaja Tuhan, termasuk membantu mengumpulkan orang Israel.

remaja puteri di dalam kelas

Dalam pertemuan kelas atau kuorum, kita membuat rancangan untuk melaksanakan peranan kita sebagai batalion remaja Tuhan.

Tetapi pengutamaan pekerjaan ini tidak bererti kita meninggalkan perbincangan ajaran untuk Sekolah Minggu sahaja. Sebenarnya, pembelajaran ajaran dalam kelas Remaja Puteri dan pertemuan kuorum Imamat Harun sangat penting—ia membantu kita memperkuatkan hubungan kita dengan Yesus Kristus, memahami rancangan Bapa Syurgawi serta mengambil bahagian dalam pekerjaan Mereka. Apabila kita mempelajari injil bersama, kebenaran yang dipelajari boleh mengubah hati kita dan membantu kita mengetahui cara untuk bertindak lebih seperti Kristus. Kita boleh menerima dorongan tentang cara untuk “bertambah besar dan bijaksana, dan menyenangkan hati Tuhan mahupun manusia” (Lukas 2:52). Apabila kita menjadi lebih bertukar hati kepada Yesus Kristus dan injil-Nya, kita akan menemui kegembiraan dan berhasrat untuk membantu orang lain di sepanjang jalan perjanjian.

Siapakah yang Memimpin Pertemuan Ini?

Tuhan telah memanggil anda sebagai presidensi kelas dan kuorum serta memberi anda wewenang untuk memimpin. Itulah sebabnya setiap pertemuan kelas atau kuorum harus dipimpin oleh seorang ahli presidensi kelas atau kuorum anda. Pemimpin dewasa akan memberi bimbingan dan sokongan, tetapi mereka tidak harus mengambil alih tugas anda. Lihat bahagian bertajuk “Berunding Bersama” pada permulaan setiap panduan dalam sumber ini untuk mendapatkan idea yang membantu anda tahu cara memimpin pertemuan dan mencapai tujuannya yang sebenar. Gunakan pertemuan presidensi untuk merancang pelaksanaan pertemuan hari Ahad.

Siapakah yang Harus Mengajar?

Pemimpin dewasa, ahli presidensi kelas atau kuorum atau mana-mana ahli kelas atau kuorum lain boleh mengajar pelajaran. Sebagai presidensi kelas atau kuorum, berundinglah dengan pemimpin dewasa anda tentang ahli yang harus ditugaskan untuk mengajar pelajaran. Ingat bahawa pemimpin dewasa anda boleh memberikan banyak bantuan. Belajar daripada pengalaman dan kesaksian mereka. Terdapat kelebihan dalam meminta para remaja untuk mengajar—pengajaran boleh membantu memperdalamkan penukaran hati mereka dan membantu mereka memupuk hubungan yang lebih erat dengan kalangan ahli kelas atau kuorum yang lain. Jadi, berikanlah mereka peluang untuk mengajar keseluruhan atau sebahagian daripada pelajaran, di samping mengingati tentang keperluan dan keupayaan ahli kelas atau kuorum anda. Sebagai contoh, pemimpin dewasa boleh mengajar lebih kerap dalam kelas atau kuorum remaja muda atau bersama remaja yang tidak berpengalaman dalam pengajaran injil. Apabila remaja dijemput untuk mengajar, seorang ibu atau bapa atau penasihat dewasa harus membantu mereka membuat persediaan jika perlu.

Mereka yang ditugaskan untuk mengajar boleh menggunakan bahagian “Mengajar Ajaran” pada setiap panduan dalam sumber ini untuk membantu mereka bersedia. Bahagian ini mengandungi cadangan untuk mengajar dan perbincangan tentang ajaran bagi minggu itu, tetapi para pengajar tidak dihadkan kepada cadangan-cadangan ini sahaja. Dengan dorongan Roh, para pengajar boleh menyesuaikan idea-idea ini atau menggunakan idea sendiri untuk mengajar bagi memenuhi keperluan ahli kelas atau kuorum dan membantu mereka memahami serta menerapkan ajaran tersebut.

Apakah Topik-topik Ajaran yang Akan Kita Bincangkan dalam Pertemuan Kita?

Panduan topik setiap minggu merupakan asas ajaran yang telah dipilih untuk diselaraskan dengan pembacaan Perjanjian Baru yang dicadangkan untuk minggu itu, yang terdapat dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga. Melalui cara ini, perbincangan ajaran dalam pertemuan kelas atau kuorum akan menyokong pembelajaran remaja di rumah.

Walaupun panduan topik diajar pada hari Ahad tertentu, anda masih mempunyai pilihan untuk membincangkan topik-topik ajaran lain berdasarkan keperluan kelas atau kuorum anda.

Sumber ini merangkumi panduan bagi setiap minggu apabila kelas Remaja Puteri dan pertemuan kuorum Imamat Harun diadakan. Kadangkala, anda mungkin perlu melangkau satu pelajaran untuk memberi laluan kepada persidangan pancang atau sebab-sebab lain.

Apakah Peranan Pemimpin Dewasa Kita?

Pemimpin dewasa anda memainkan peranan penting dalam kelas Remaja Puteri dan kuorum Imamat Harun. Mereka akan membimbing dan menasihati anda dalam panggilan kepimpinan anda. Mereka akan menyokong dan menggalakkan anda semasa anda melakukan tugasan kelas atau kuorum anda. Mereka akan mengajar anda tentang ajaran dan mereka akan memberkati anda melalui teladan, pengalaman serta kesaksian mereka.