“8 Januari. Bagaimanakah Saya Boleh Memberkati Orang Lain dengan Kesaksian Saya tentang Yesus Kristus? Matius 1; Lukas 1,” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri: Topik Ajaran 2023 (2022)
“8 Januari. Bagaimanakah Saya Boleh Memberkati Orang Lain dengan Kesaksian Saya tentang Yesus Kristus?,” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri : Topik Ajaran 2023
8 Januari
Bagaimanakah Saya Boleh Memberkati Orang Lain dengan Kesaksian Saya tentang Yesus Kristus?
Berunding Bersama
Dipimpin oleh seorang ahli presidensi kuorum atau kelas; lebih kurang 10–20 minit
Pada permulaan pertemuan, ulangi Tema Remaja Puteri atau Tema Kuorum Imamat Harun bersama. Kemudian pimpin perbincangan tentang pekerjaan penyelamatan dan permuliaan menggunakan satu atau beberapa soalan berikut atau soalan anda sendiri (lihat General Handbook: Serving in The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints,, 10.2, 11.2, ChurchofJesusChrist.org). Rancang cara untuk bertindak berdasarkan perbincangan.
-
Mengamalkan injil. Apakah yang kita bincangkan di pertemuan lepas dan apakah jemputan atau tugasan yang telah dibuat? Apakah yang telah kita lakukan untuk memenuhi jemputan atau tugasan tersebut?
-
Menjaga mereka yang memerlukan bantuan. Apakah yang boleh kita lakukan atau katakan untuk membantu mereka yang mungkin berasa kesunyian atau jauh dari Bapa Syurgawi?
-
Jemput semua untuk menerima injil. Apakah beberapa cara yang boleh membantu orang lain merasakan kasih Yesus Kristus?
-
Satukan keluarga untuk keabadian. Apakah idea yang boleh kita kongsi dengan satu sama lain untuk membantu mengukuhkan keluarga kita?
Pada penghujung pelajaran, jika sesuai, lakukan perkara berikut:
-
Bersaksi tentang asas-asas yang diajar.
-
Ingatkan ahli kelas atau kuorum tentang rancangan dan jemputan yang telah dibuat dalam pertemuan.
Mengajar Ajaran
Dipimpin oleh seorang pemimpin dewasa atau remaja; lebih kurang 25–35 minit
Mempersiapkan Diri Secara Rohani
Seperti ramai orang Yahudi yang beriman pada zamannya, Maria pasti menunggu kedatangan Mesias. Setelah mendapat tahu daripada seorang malaikat bahawa penantiannya hampir tamat—dan dia akan menjadi ibu kepada Penebus yang dijanjikan—Maria memberi kesaksian yang indah tentang “Tuhan Penyelamatku.” Kesaksian ini dicatatkan dalam Lukas 1:46–55, dan ia dikasihi oleh orang Kristian di seluruh dunia. Semasa anda membaca ayat-ayat ini, fikirkan tentang orang-orang dalam kelas atau kuorum anda. Mereka, seperti Maria, sedang bersedia untuk kedatangan Yesus Kristus—kali ini, untuk Kedatangan Kedua-Nya yang mulia. Dan juga seperti Maria, kesaksian mereka boleh memberi pengaruh yang kuat terhadap iman orang di sekeliling mereka.
Apakah perasaan orang-orang yang anda ajar tentang Yesus Kristus? Bagaimanakah kesaksian mereka tentang-Nya memberkati orang lain? Ketika anda bersedia untuk mengajar, anda juga boleh mengkaji 2 Nefi 25:23–26 dan pesanan Elder Neil L. Andersen “Kita Berbicara Berkenaan Kristus” (Liahona, Nov. 2020, 88–91).
Belajar Bersama
Cara yang baik untuk membantu para remaja berfikir tentang kesaksian mereka tentang Yesus Kristus adalah untuk mengkaji bersama kesaksian Maria dalam Lukas 1:46–55. Mereka boleh berkongsi dengan satu sama lain frasa yang menggambarkan apa yang Maria percaya dan rasakan tentang Juruselamat. Frasa manakah yang juga menggambarkan perasaan kita tentang-Nya? Contohnya, apakah yang menyebabkan roh kita “bersukacita kerana Tuhan”? (ayat 47). Apakah “perkara yang besar” yang Dia telah lakukan untuk kita? (ayat 49). Bagaimanakah Dia telah menunjukkan kekuatan-Nya dalam hidup kita? (lihat ayat 51). Idea aktiviti di bawah boleh membawa kepada perbualan tentang bagaimana kesaksian kita tentang Kristus boleh memberkati orang lain.
-
Pesanan Elder Neil L. Andersen “Kita Berbicara Berkenaan Kristus” membantu menjelaskan mengapa kita harus bercakap dengan lebih terbuka tentang Juruselamat—dan bagaimana kita boleh melakukannya. Anda boleh membaca bahagian-bahagian pesanan Elder Andersen bersama. Ahli-ahli kelas atau kuorum boleh membincangkan sebab-sebab yang dia berikan untuk berkongsi kesaksian kita tentang Yesus Kristus dan nasihatnya tentang cara untuk berbuat demikian. Apakah perkara-perkara tertentu yang kita boleh lakukan untuk bercakap tentang Kristus dengan lebih terbuka?
-
Sebagai ahli-ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, kita tahu kebenaran penting tentang Yesus Kristus yang kita boleh kongsikan. Bagaimanakah anda boleh membantu para remaja berfikir tentang kebenaran ini? Anda boleh meminta mereka untuk mengkaji “Kristus Yang Hidup: Kesaksian Para Rasul” secara individu atau berkumpulan, mencari jawapan kepada soalan “Apakah kebenaran tentang Juruselamat yang mempunyai makna istimewa kepada anda?” Jemput mereka untuk berkongsi penemuan mereka dan jelaskan mengapa mereka bersyukur untuknya. Mereka boleh berkongsi tulisan suci dan pengalaman peribadi semasa mereka melakukannya. Kemudian mereka boleh membincangkan kebenaran tentang Juruselamat yang mereka boleh kongsi di media sosial, dengan seorang kawan yang bergelut dengan kesaksian, atau dengan seseorang yang bukan ahli Gereja kita.
-
Sebagai tambahan kepada Lukas 1:46–55, tulisan suci mempunyai banyak ayat lain yang dapat mengilhami kita untuk berkongsi apa yang kita tahu tentang Yesus Kristus. Beberapa contoh telah disenaraikan dalam “Sumber-sumber Berkaitan.” Pertimbangkan untuk membaca tulisan suci ini bersama-sama. Apakah yang mereka ajarkan kita tentang bagaimana untuk berkongsi kesaksian tentang Yesus Kristus dengan orang lain? Apakah yang kita pelajari dari ayat-ayat ini? Ahli-ahli kelas atau kuorum juga boleh berkongsi hal-hal yang mereka telah pelajari dari orang dikenali yang telah berkongsi iman mereka kepada Yesus Kristus dengan bebas.
Bertindak dengan Iman
Galakkan ahli kelas atau kuorum untuk merenung dan mencatatkan perkara yang mereka akan lakukan untuk bertindak menurut tanggapan yang mereka terima hari ini. Jika sudi, mereka boleh berkongsi idea mereka. Jemput mereka untuk fikirkan bagaimana hubungan mereka dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus boleh diperkukuhkan semasa mereka bertindak mengikut tanggapan.
Sumber-sumber Berkaitan
-
Matius 5:14–16; 1 Petrus 3:15; 2 Nefi 25:26; Alma 5:43–50; Ajaran dan Perjanjian 100:5–8
-
Russell M. Nelson, “Let Your Faith Show” (Liahona, Mei 2014, 29–31)
-
Cristina B. Franco, “Mencari Kebahagiaan dalam Perkongsian Injil” (Liahona, Nov. 2019, 83–86)