Ikutlah Aku 2024
4–10 November: “Aku Berbicara kepadamu Seolah-olah Kamu Sudah Ada.” Mormon 7–9


“4–10 November: ‘Aku Berbicara kepadamu Seolah-olah Kamu Sudah Ada.’ Mormon 7–9,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2023)

“4–10 November. Mormon 7–9,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2023)

Moroni menulis di atas kepingan-kepingan emas

Moroni Writing on Gold Plates [Moroni Menulis di atas Kepingan-kepingan Emas], oleh Dale Kilborn

4–10 November: “Aku Berbicara kepadamu Seolah-olah Kamu Sudah Ada”

Mormon 7–9

Moroni tahu perasaan bersendirian di dunia yang jahat—terutama selepas ayahnya mati dalam pertempuran dan bangsa Nefi dihancurkan. “Aku bahkan ditinggalkan seorang diri,” dia menulis. “Aku tidak mempunyai teman ataupun tempat untuk ditujui” (Mormon 8:3, 5). Ini mungkin kelihatan seperti tiada harapan, tetapi Moroni menemui harapan dalam Yesus Kristus dan kesaksiannya bahawa “tujuan-tujuan abadi Tuhan akan berterusan” (Mormon 8:22). Dan Moroni tahu peranan utama dalam tujuan abadi itu adalah Kitab Mormon—catatan yang dia kini tekun untuk selesaikan, catatan yang suatu hari akan membawa banyak orang pada “pengetahuan tentang Kristus” (Mormon 8:16; 9:36). Iman Moroni dalam janji-janji ini memungkinkannya untuk mengumumkan kepada pembaca masa depan kitab ini, “Aku berbicara kepadamu seolah-olah kamu sudah ada,” dan “aku tahu bahawa kamu akan memiliki perkataanku” (Mormon 8:35; 9:30). Sekarang kita memiliki perkataannya, dan pekerjaan Tuhan sedang berterusan, sebahagiannya kerana Mormon dan Moroni tetap setia pada misi mereka, walaupun ketika mereka sendirian.

Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja

Mormon 7

“Percaya kepada Yesus Kristus” dan “berpeganglah kepada injil [-Nya]”.

Selepas meringkaskan catatan tentang bangsanya, Mormon mengakhiri pesanannya dalam Mormon 7. Mengapakah dia memilih pesanan ini? Apakah maksud untuk “berpegang kepada injil Kristus”? (Mormon 7:8).

Lihat juga: “Aku Percaya Kristus,” Nyanyian Rohani, no. 51.

Mormon 7:8–10; 8:12–16; 9:31–37

Kitab Mormon sangat berharga.

Presiden Russell M. Nelson bertanya: “Jika anda diberikan berlian atau batu delima atau Kitab Mormon, apakah yang anda akan pilih? Yang manakah lebih berharga kepada anda?” (“Kitab Mormon: Apa Akan Terjadi Kepada Hidup Anda Tanpa Ia?,” Liahona, Nov. 2017, 61.

Apakah yang anda temui dalam Mormon 7:8–10; 8:12–22; dan 9:31–37 yang membantu anda faham mengapa Kitab Mormon berharga di zaman kita? Mengapakah pesanan ini berharga bagi anda? Anda boleh mencari pandangan lebih dalam 1 Nefi 13:38–41; 2 Nefi 3:11–12; dan Ajaran dan Perjanjian 33:16; 42:12–13.

salinan Kitab Mormon dalam bahasa yang berbeza

Tulisan nabi-nabi Kitab Mormon berguna kepada kita

Mormon 8:1–11

Saya boleh mematuhi perintah walaupun orang lain tidak.

Kadangkala anda mungkin rasa bersendirian dalam usaha anda untuk mematuhi perintah. Apakah yang anda dapat pelajari dari teladan Moroni yang dapat membantu? (lihat Mormon 8:1–11). Jika anda boleh tanyakan Moroni bagaimana dia tetap beriman, anda rasa apakah jawapan dia?

Mormon 8:26–41; 9:1–30

Kitab Mormon ditulis untuk zaman kita.

Yesus Kristus menunjukkan Moroni apa yang akan terjadi ketika Kitab Mormon muncul (lihat Mormon 8:34–35), yang menyebabkan dia dengan berani memperingatkan zaman kita. Semasa anda membaca Mormon 8:26–41 dan 9:1–30, renungkan bagaimana kata-katanya mungkin berkaitan dengan anda. Contohnya, dalam ayat-ayat ini Moroni bertanya 24 soalan. Apakah bukti yang anda lihat dalam soalan-soalan ini bahawa Moroni nampak zaman kita? Bagaimanakah Kitab Mormon dapat membantu dengan cabaran-cabaran yang Moroni lihat?

Mendengar Roh. Perhatikan tanggapan dan perasaan anda, walaupun ia tidak berkaitan dengan pembacaan anda. Tanggapan ini mungkin adalah apa yang Bapa Syurgawi mahu anda pelajari. Contohnya, apakah tanggapan yang anda miliki selepas merenungkan soalan-soalan Moroni tanya dalam Mormon 9:1–30?

Mormon 9:1–25

ikon seminari
Yesus Kristus ialah Tuhan mukjizat.

Moroni mengakhiri penulisan ayahnya dengan pesanan yang berkuasa untuk orang-orang di zaman kita yang tidak percaya kepada mukjizat (lihat Mormon 8:26; 9:1, 10–11). Mengapakah anda rasa kepercayaan pada mukjizat diperlukan hari ini? Selidiki Mormon 9:9–11, 15–27 dan Moroni 7:27–29 dan renungkan soalan-soalan seperti:

  • Apakah yang saya pelajari tentang Juruselamat dari ayat-ayat ini?

  • Apakah yang saya pelajari tentang mukjizat, dahulu dan sekarang?

  • Apakah manfaat mempercayai Yesus Kristus ialah Tuhan mukjizat? Apakah akibat-akibat tidak mempercayai ini?

  • Apakah mukjizat—besar dan kecil—yang Juruselamat telah lakukan dalam hidup saya? Apakah yang mukjizat ini ajarkan saya tentang Dia?

Presiden Russell M. Nelson mengajar: “Juruselamat dan Penebus kita, Yesus Kristus, akan melaksanakan pekerjaan-pekerjaan agung-Nya di antara masa sekarang dan ketika Dia akan datang lagi. Kita akan melihat tanda-tanda menakjubkan bahawa Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus, memimpin Gereja ini dalam kebesaran dan keagungan” (“Wahyu untuk Gereja, Wahyu untuk Kehidupan Kita,” Liahona, Mei 2018, 96). Apakah beberapa mukjizat-mukjizat ini? Apakah yang anda boleh lakukan untuk membantu Juruselamat memenuhinya?

Apakah yang anda pelajari tentang iman dan mukjizat dari pengalaman Orang Suci di Samoa, Tonga, Fiji, dan Tahiti ketika Presiden dan Sister Nelson mengunjungi mereka? (lihat Russell M. Nelson, “Kristus Sudah Bangkit; Iman kepada-Nya Akan Mengalihkan Bukit,” Liahona, Mei 2021, 101–4).

Lihat juga Ronald A. Rasband, “Lihat! Aku adalah seorang Tuhan Mukjizat,” Liahona, Mei 2021, 109–12.

Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak

Mormon 7:8–10

Kitab Mormon dan Alkitab bersaksi tentang Yesus Kristus.

  • Untuk tekankan hubungan antara Alkitab dan Kitab Mormon, seperti Moroni lakukan, anda dan anak-anak boleh bermain permainan seperti ini: Minta mereka untuk kata “Perjanjian Lama, Perjanjian Baru” apabila anda pegang salinan Alkitab dan “Satu Lagi Kesaksian” apabila anda pegang salinan Kitab Mormon. Anda juga boleh pilih beberapa peristiwa yang Alkitab dan Kitab Mormon sama-sama bersaksikan—seperti kelahiran, kematian, dan Kebangkitan Yesus—dan jemput anak-anak anda untuk mencari gambar-gambar peristiwa ini (contohnya, dalam Buku Seni Injil).

  • Untuk membantu anak-anak anda mempelajari fasal-fasal kepercayaan kelapan, anda boleh menulis setiap perkataan pada kepingan kertas yang berasingan. Jemput anak-anak anda bekerjasama untuk menyusun perkataan dalam susunan yang betul dan ulanginya beberapa kali.

Mormon 8:1–7

Saya boleh mematuhi perintah walaupun saya rasa bersendirian.

  • Teladan Moroni dapat mengilhami anak-anak anda untuk mematuhi perintah Tuhan walaupun mereka rasa bersendirian. Selepas anda membaca Mormon 8:1–7 bersama mereka, mereka boleh kongsi bagaimana perasaan mereka jika mereka ialah Moroni. Dalam ayat 1, 3, dan 4, apakah yang Moroni diperintahkan untuk lakukan, dan bagaimana dia patuhi? Bagaimanakah kita boleh menjadi lebih seperti Moroni?

  • Mungkin anda dan anak-anak anda boleh bercakap tentang situasi di mana mereka mesti memilih antara yang benar dan yang salah ketika tiada siapa yang melihat. Bagaimanakah beriman kepada Yesus Kristus membantu kita dalam situasi ini? Lagu seperti “Jadi Contoh Kebenaran” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 81) boleh menambah kepada perbincangan ini.

Mormon 8:24–26; 9:7–26

Yesus Kristus ialah “seorang Tuhan mukjizat.”

  • Anda mungkin ingin menjelaskan kepada anak-anak anda bahawa mukjizat adalah sesuatu yang Tuhan lakukan untuk menunjukkan kuasa-Nya dan memberkati kehidupan kita. Kemudian anda boleh membaca frasa dari Mormon 9:11–13, 17 yang menggambarkan beberapa mukjizat Tuhan, dan anak-anak anda boleh fikirkan mukjizat lain (gambar dari Buku Seni Injil, seperti no. 26, 40, 41, dan 83, boleh membantu). Bincangkan mukjizat-mukjizat yang Tuhan telah lakukan dalam hidup anda.

  • Tunjukkan anak-anak anda satu resipi, dan bincangkan apa yang akan berlaku jika anda terlupa bahan yang penting. Baca bersama Mormon 8:24 dan 9:20–21 untuk mencari “bahan-bahan” yang boleh membawa kepada mukjizat Tuhan.

Moroni melihat kehancuran bangsa Nefi

Moroni Overlooking the Destruction of the Nefi [Moroni Melihat Kehancuran Bangsa Nefi], oleh Joseph Brickey