Ikutlah Aku 2024
23–29 Disember: “Dia akan Datang ke Dunia untuk Menebus Umat-Nya.” Krismas


“23–29 Disember: ‘Dia akan Datang ke Dunia untuk Menebus Umat-Nya.’ Krismas,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2023)

“23–29 Disember. Krismas,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2023)

Yusuf, Maria, dan bayi Yesus dalam kandang

Behold the Lamb of God [Lihatlah Anak Domba Tuhan], oleh Walter Rane

23–29 Disember: “Dia akan Datang ke Dunia untuk Menebus Umat-Nya”

Krismas

Dari Nefi kepada Moroni, setiap nabi Kitab Mormon telah komited kepada tujuan kudus yang diringkaskan pada halaman judul buku: “Untuk meyakinkan [semua orang] bahawa Yesus Kristus ialah Kristus.” Seorang nabi melihat Dia sebagai roh pra-fana, dan yang lain melihat pelayanan fana-Nya dalam penglihatan. Seorang berdiri di atas tembok untuk mengisytiharkan tanda-tanda kelahiran dan kematian-Nya, dan yang lain berlutut di hadapan tubuh-Nya yang bangkit, menyentuh luka-luka di tangan, kaki, dan sisi-Nya. Semua mereka tahu kebenaran penting ini: “Tidak ada jalan atau cara lain yang dengannya manusia dapat diselamatkan, hanya melalui darah penebusan Yesus Kristus, yang … datang untuk menebus dunia” (Helaman 5:9).

Oleh itu, pada musim Krismas ini, sebagai orang yang percaya di seluruh dunia yang meraikan kebaikan dan kasih Tuhan kerana menghantar Putera-Nya, renungkan bagaimana Kitab Mormon telah memperkuatkan iman anda kepada Kristus. Semasa anda berfikir tentang kelahiran-Nya, renungkan mengapa Dia datang dan bagaimana kedatangan-Nya telah mengubah hidup anda. Dengan itu, anda boleh mengalami kegembiraan sebenar Krismas—kurnia yang Yesus Kristus berikan kepada anda.

Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja

Yesus Kristus dilahirkan untuk menjadi Juruselamat saya.

Membaca kisah kelahiran Juruselamat dalam Perjanjian Baru pada masa Krismas adalah tradisional, tetapi anda juga dapat mencari nubuat yang menyentuh hati tentang peristiwa kudus ini dalam Kitab Mormon. Contohnya, nubuat kelahiran dan pelayanan Juruselamat boleh didapati di 1 Nefi 11:13–36; Mosia 3:5–10; dan Helaman 14:1–13. Apakah tanggapan tentang Yesus Kristus yang anda dapat semasa anda membaca ayat-ayat ini dan merenungkan makna dari tanda-tanda kelahiran-Nya? Bagaimanakah kesaksian para nabi ini menguatkan kesaksian anda tentang Kristus dan misi-Nya?

Berikut adalah beberapa cadangan lain untuk membantu anda fokus kepada Yesus Kristus pada musim Krismas:

  • Tahukah anda bahawa anda boleh menonton pesanan-pesanan dari pertemuan rohani Krismas Presidensi Utama sebelumnya dalam Gospel Library? Cari dalam koleksi “Video Hari Perayaan”. Pertimbangkan untuk berkongsi pesanan dan muzik ini untuk menyebarkan keceriaan Krismas.

  • Pertimbangkan untuk merancang aktiviti yang keluarga anda boleh lakukan pada hari-hari menjelang Krismas untuk merasakan Roh Kristus, seperti melayani seseorang atau menyanyi bersama lagu rohani Krismas. Lihat LighttheWorld.org untuk idea-idea.

Lihat juga Matius 1:18–25; 2; Lukas 2; 3 Nefi 1:4–22; “Nun Jauh di Palungan,” Nyanyian Rohani, no. 89.

Yesus Kristus ialah Penebus dunia.

Sebab utama kita meraikan kelahiran Yesus Kristus adalah kerana korban tebusan-Nya. Kerana pengorbanan itu, Dia dapat menyelamatkan kita dari dosa dan kematian, menghiburkan kita dalam kesengsaraan, dan membantu kita “disempurnakan di dalam Dia” (Moroni 10:32). Apakah yang anda telah pelajari dari Kitab Mormon tahun ini mengenai kuasa Juruselamat untuk menebus anda? Adakah sesuatu laporan atau ajaran yang menonjol kepada anda? Pertimbangkan ayat-ayat berikut yang mengajar anda tentang misi penebusan Juruselamat: 2 Nefi 2:6; Alma 7:7–13; 11:40; dan Helaman 5:9; 14:16–17. Apakah yang anda terilham untuk lakukan supaya menunjukkan kesyukuran anda kepada Dia?

ikon seminari
Kitab Mormon bersaksi tentang Yesus Kristus.

“Satu Lagi Kesaksian tentang Yesus Kristus” adalah lebih dari sekadar tajuk kecil untuk Kitab Mormon; ia adalah pernyataan tujuan ilahi. Renungkan apa yang anda pelajari dari tulisan suci berikut mengenai misi Kitab Mormon untuk bersaksi tentang Kristus: 1 Nefi 6:4; 19:18; dan 2 Nefi 25:23, 26; 33:4, 10.

Pertimbangkan untuk mencatat dalam jurnal bagaimana mengkaji Kitab Mormon tahun ini telah mendekatkan anda kepada Kristus. Dorongan berikut mungkin boleh membantu:

  • “Sesuatu yang saya pelajari mengenai Juruselamat tahun ini adalah …”

  • “Belajar tentang Juruselamat dalam Kitab Mormon mengubah cara saya …”

  • “Orang [atau cerita] kegemaran saya dalam Kitab Mormon mengajar saya bahawa Juruselamat …”

Mungkin ada seseorang yang akan diberkati kerana tahu perasaan anda tentang Kitab Mormon. Bagaimanakah anda boleh berkongsi pengalaman dan kesaksian anda? Anda mungkin terilham untuk memberikan satu salinan sebagai hadiah Krismas. Aplikasi Kitab Mormon menjadikan perkongsian mudah.

Uskup Gérald Caussé menyenaraikan beberapa kebenaran dari Kitab Mormon tentang Yesus Kristus (lihat “Satu Kesaksian Hidup tentang Yesus yang Hidup,” Liahona, Mei 2020, 39–40). Anda boleh melihat senarainya dan merenungkan bagaimana setiap kebenaran ini telah mengubah—atau boleh mengubah—kehidupan anda.

Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak

Yesus Kristus ialah kurnia Bapa Syurgawi kepada saya.

  • Untuk membantu anak-anak anda fokus pada kurnia yang Bapa Syurgawi berikan kita dengan mengutus Putera-Nya, anda boleh membalut gambar Yesus Kristus seperti hadiah Krismas. Anda dan anak-anak anda boleh bercakap tentang hadiah Krismas kegemaran yang mereka terima atau berharap untuk terima. Kemudian mereka boleh membuka gambar Kristus itu dan bincangkan bagaimana Dia telah menjadi hadiah yang berharga bagi kita. Lagu seperti “Dia Mengutus Putera-Nya” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 20) boleh menambah kepada perbualan ini. Bantu anak-anak anda mencari frasa dalam lagu itu yang menggambarkan berkat-berkat yang kita peroleh kerana kelahiran Yesus.

Yesus Kristus dilahirkan untuk menjadi Juruselamat saya.

  • Anak-anak anda boleh berkongsi dengan anda apa yang mereka tahu tentang kelahiran Yesus. Buku Seni Injil mempunyai beberapa gambar yang boleh membantu mereka bercerita (lihat no. 28, 29, 30, 31). Anda juga boleh melihat gambar-gambar yang menggambarkan kehidupan Juruselamat dan korban tebusan. Mengapakah Bapa Syurgawi mengutus Yesus Kristus?

  • Anak-anak anda juga boleh melukis gambar kelahiran dan pelayanan Yesus. Mungkin mereka boleh melukis apa yang digambarkan dalam 1 Nefi 11:13–23; Mosia 3:5–10; Helaman 14:1–13; dan 3 Nefi 1:4–22. Kemudian mereka boleh berkongsi dengan anda apa yang lukisan mereka ajarkan tentang Yesus Kristus.

  • Untuk menekankan bahawa Alkitab dan Kitab Mormon kedua-duanya mengajar tentang kelahiran Yesus, anda boleh senaraikan peristiwa-peristiwa yang digambarkan dalam Lukas 2:4–14; Matius 2:1–2; dan 3 Nefi 1:15, 19–21. Kemudian anak-anak anda boleh menyelidiki tulisan suci ini untuk menentukan peristiwa mana yang berlaku di Betlehem, Benua Amerika, atau kedua-duanya. Mengapakah kita bersyukur adanya Kitab Mormon sebagai saksi kedua bagi kelahiran Yesus?

Kanak-kanak suka cerita. Cerita-cerita adalah salah satu cara terbaik untuk membantu kanak-kanak belajar dan mengingati kebenaran. Semasa anda ceritakan kelahiran Yesus, kongsi cerita hidup anda yang telah menguatkan iman anda dalam Juruselamat.

Kitab Mormon bersaksi tentang Yesus Kristus.

  • Apabila anda dan anak-anak anda mengakhiri pengkajian Kitab Mormon tahun ini, ini mungkin masa yang baik untuk saling berkongsi cerita atau ayat-ayat kegemaran anda dari kitab kudus ini. Melihat beberapa gambar dalam Ikutlah Aku atau Cerita-cerita Kitab Mormon dapat membantu anak-anak anda mengingati apa yang mereka telah pelajari tahun ini. Bantu mereka melihat apa yang cerita-cerita ini ajarkan kita tentang Yesus Kristus.

  • Anda juga boleh memberi anak-anak anda gambar Yesus, atau mereka melukis gambar mereka sendiri. Jemput mereka mengangkat gambar setiap kali mereka dengar nama Kristus semasa anda baca 2 Nefi 25:23, 26. Bersaksi bahawa Kitab Mormon ditulis untuk membantu kita “percaya kepada Kristus” (2 Nefi 25:23).

seorang malaikat menunjukkan Perawan Maria kepada Nefi dalam penglihatan

Nephi’s Vision of the Virgin Mary [Penglihatan Nefi tentang Perawan Maria], oleh Judith A. Mehr