“2–8 Disember: ‘Memelihara Mereka di dalam Jalan yang Benar.’ Moroni 1–6,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2023)
“2–8 Disember. Moroni 1–6,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2023)
2–8 Disember: “Memelihara Mereka di dalam Jalan yang Benar”
Moroni 1–6
Setelah menamatkan catatan ayahnya tentang bangsa Nefi dan meringkas catatan bangsa Yared, Moroni berfikir kerjanya untuk mencatat telah selesai (lihat Moroni 1:1). Apa lagi yang boleh dikatakan tentang dua bangsa yang telah musnah sepenuhnya? Tetapi Moroni telah melihat zaman kita (lihat Mormon 8:35), dan dia terilham untuk “menulis sedikit hal lagi, agar ianya mungkin bermanfaat … pada suatu hari di masa hadapan” (Moroni 1:4). Dia tahu bahawa kemurtadan meluas akan datang, membawa kekeliruan tentang tatacara imamat dan agama secara umum. Ini mungkin sebabnya dia menjelaskan secara terperinci mengenai sakramen, pembaptisan, pemberian kurnia Roh Kudus, dan berkat pengumpulan orang percaya untuk “memelihara [satu sama lain] dalam jalan yang benar, … bergantung hanya pada jasa Kristus, yang merupakan pengarang dan penyempurna iman [kita]” (Moroni 6:4). Pandangan yang berharga seperti ini memberi kita sebab untuk bersyukur bahawa Tuhan memelihara kehidupan Moroni agar dia dapat “menulis sedikit hal lagi” (Moroni 1:4).
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Saya boleh mengikuti Yesus Kristus walaupun terdapat pertentangan.
Semasa anda membaca Moroni 1, apakah yang mengilhami anda tentang iman Moroni terhadap Tuhan dan panggilannya? Apakah beberapa cara seseorang mungkin “menyangkal Kristus”? (Moroni 1:2–3). Renungkan bagaimana anda boleh beriman kepada Yesus Kristus, walaupun ketika anda menghadapi percubaan dan pertentangan.
Tatacara imamat mesti dilaksanakan seperti yang Tuhan perintahkan.
Moroni melarikan diri demi nyawanya ketika dia menulis bab-bab ini. Mengapakah dia bersusah payah menulis tentang butiran pentadbiran seperti bagaimana untuk melaksanakan tatacara? Renungkan ini semasa anda membaca Moroni 2–6. Mengapakah anda rasa butiran ini penting kepada Tuhan? Di sini ada beberapa soalan yang boleh membimbing pengkajian anda:
-
Penetapan (Moroni 2; 6:4).Apakah yang arahan Juruselamat dalam Moroni 2:2 ajarkan anda tentang tatacara penetapan? Bagaimanakah anda akan jelaskan maksud “dipengaruhi dan dibersihkan oleh kuasa Roh Kudus”? (Moroni 6:4).
-
Pentahbisan imamat (Moroni 3).Apakah yang anda temui dalam bab ini yang boleh membantu seseorang bersedia untuk ditahbiskan pada imamat? Apakah yang anda temui yang akan membantu seseorang bersedia untuk melaksanakan pentahbisan?
-
Sakramen (Moroni 4–5; 6:6).Apakah yang anda boleh lakukan untuk membuat sakramen kemuncak rohani untuk minggu anda?
-
Pembaptisan (Moroni 6:1–3).Apakah yang anda sedang lakukan untuk terus memenuhi kelayakan pembaptisan?
Berdasarkan apa yang anda telah pelajari, bagaimana anda akan mengubah cara anda berfikir, mengambil bahagian, atau menyediakan orang lain untuk tatacara-tatacara ini?
Lihat juga Ajaran dan Perjanjian 84:20.
Mengambil sakramen membantu saya mendekati Yesus Kristus.
Anda mungkin pernah dengar doa sakramen banyak kali, tetapi berapa kerap anda fikir dengan cermat tentang maksud kata-kata itu? Mungkin anda boleh cuba menulis dua doa sakramen itu dari ingatan. Kemudian bandingkan apa yang anda tulis dengan Moroni 4:3 dan 5:2. Adakah anda sedar apa-apa mengenai doa-doa ini yang anda tidak sedari sebelum ini?
Pertimbangkan untuk memasukkan lagu rohani sakramen dalam pembelajaran anda, seperti “Kenang Sang Kristus di Salib” (Nyanyian Rohani, no. 79).
Para pengikut Yesus Kristus menjaga jiwa satu sama lain.
Pilihan untuk mengikut Kristus adalah individu, tetapi orang yang percaya boleh memelihara kita “di dalam jalan yang benar” (Moroni 6:4–5). Apakah yang ahli Gereja pada zaman Moroni lakukan untuk menguatkan sesama? Semasa anda membaca Moroni 6:4–9, renungkan berkat yang datang kerana “dihitung di kalangan umat gereja Kristus” (Moroni 6:4).
Anda juga boleh berfikir tentang orang yang menghadiri bahagian atau cabang anda. Adakah sesiapa yang mungkin memerlukan kasih anda—mungkin ahli baharu atau baru kembali? Bagaimanakah anda boleh membantu menjadikan pengalaman mereka di gereja lebih seperti apa yang Moroni menggambarkan? Anda boleh mencari beberapa ilham dalam bahagian I dalam pesanan Presiden Dallin H. Oaks “Keperluan Untuk Gereja” (Liahona, Nov. 2021, 24–25).
Semasa anda merenungkan maksud “dipelihara oleh firman Tuhan yang baik” (Moroni 6:4), anda boleh fikirkan tentang pemeliharaan benih atau keperluan bayi—dan apa yang berlaku jika ia diabaikan. Selidiki Moroni 6:4–9 untuk idea-idea tentang bagaimana anda dapat membantu “memelihara” orang lain secara rohani. Bagaimanakah para pengikut lain telah membantu memelihara anda?
Ia tidak jelas kepada semua orang mengapa ia penting untuk “dihitung di kalangan umat gereja Kristus” dan untuk “sering bertemu bersama” dalam pertemuan-pertemuan Gereja. Bagaimanakah anda akan menjelaskan mengapa anda bersyukur untuk menjadi ahli Gereja Yesus Kristus? (lihat bahagian lain pesanan Presiden Oaks “Keperluan Untuk Gereja”).
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Roh Kudus ialah kurnia kudus.
-
Roh Kudus atau Roh disebut beberapa kali dalam Moroni 2–6. Minta anak-anak anda untuk cari setiap ayat yang menyebut tentang-Nya, baca ayat-ayat tersebut, dan senaraikan apa yang mereka pelajari tentang Roh Kudus. Anda juga boleh saling berkongsi pengalaman ketika anda merasakan pengaruh Roh.
Saya mengambil sakramen untuk menunjukkan bahawa saya akan sentiasa mengingati Yesus Kristus.
-
Membaca doa sakramen dengan anak-anak anda boleh membawa kepada perbincangan tentang bagaimana untuk mempunyai pengalaman sakramen yang lebih bermakna. Mereka boleh bayangkan seorang kawan akan datang ke pertemuan sakramen buat kali pertama. Bagaimanakah kita akan jelaskan kepada kawan kita tentang apa itu sakramen dan mengapa ia kudus? Galakkan anak-anak anda untuk gunakan sesuatu dari Moroni 4 atau 5 dalam penjelasan mereka. Kanak-kanak yang lebih kecil boleh gunakan halaman aktiviti minggu ini atau Buku Seni Injil, no. 108.
-
Pertimbangkan untuk menyanyikan satu lagu bersama yang membantu anak-anak anda berfikir tentang Juruselamat (seperti “Hormatlah, Tenanglah” Buku Nyanyian Anak-Anak, 11). Anda juga boleh berlatih duduk dengan takzim semasa sakramen.
Saya boleh bersedia untuk dibaptiskan.
-
Siapakah yang boleh dibaptiskan? Bantu anak-anak anda mencari jawapan kepada soalan ini dalam Moroni 6:1–3. Apakah maksud memiliki “hati yang hancur dan roh yang menyesal”? (Moroni 6:2). Bagaimanakah ini membantu kita bersedia untuk pembaptisan? Pertimbangkan untuk memberitahu anak-anak anda bagaimana anda bersedia untuk dibaptiskan.
Kita pergi ke gereja untuk mengambil sakramen dan saling menyokong satu sama lain.
-
Adakah anak-anak anda tahu mengapa anda suka pergi ke gereja? Membaca Moroni 6:4–6, 9 boleh memberi anda peluang untuk berbincang bersama beberapa hal yang kita lakukan di gereja. Mungkin mereka boleh melukis gambar diri mereka melakukan hal-hal ini (seperti berdoa, mengajar, menyanyi, dan mengambil sakramen).
-
Selepas membaca Moroni 6:4 bersama, anda dan anak-anak anda boleh melihat gambar atau contoh makanan yang memberi khasiat dan bandingkan pemeliharaan tubuh kita dengan “dipelihara oleh firman Tuhan yang baik.”