“1. Rancangan Tuhan dan Peranan Anda dalam Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan,” Pilihan dari Buku Panduan Umum (2023).
“1. Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan,” Pilihan dari Buku Panduan Umum
1.
Rancangan Tuhan dan Peranan Anda dalam Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan
1.0
Pengenalan
Anda telah dipanggil untuk melayan dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Terima kasih atas pelayanan anda. Anda akan memberkati kehidupan orang lain dan mengalami sukacita semasa anda melayani dengan setia.
Buku panduan ini akan membantu anda belajar prinsip-prinsip pelayanan seperti Kristus dan memahami tanggungjawab anda. Anda akan menjadi lebih berkesan ketika anda melaraskan pelayanan Gereja anda dengan pekerjaan Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus.
1.1
Rancangan Kebahagiaan Tuhan
Bapa Syurgawi menyediakan rancangan kebahagiaan untuk membolehkan kita menikmati segala berkat-Nya. Pekerjaan dan kemuliaan-Nya adalah untuk “mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia” (Musa 1:39).
Yesus Kristus adalah pusat rancangan Tuhan. Kerana kasih Bapa Syurgawi yang tidak terbatas untuk kita, Dia mengutus Putera-Nya untuk menebus kita daripada dosa dan kematian melalui korban tebusan-Nya (lihat Yohanes 3:16). Melalui korban tebusan-Nya, Yesus Kristus memastikan setiap kita yang dilahirkan ke bumi akan dibangkitkan dan memperoleh kebaqaan. Korban tebusan-Nya juga membolehkan kita dibersihkan daripada dosa dan mengubah hati kita agar boleh menerima kehidupan abadi dan kegenapan kebahagiaan.
Untuk menerima kehidupan abadi, kita harus “datang kepada Kristus, dan disempurnakanlah di dalam Dia” (Moroni 10:32).
1.2
Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan
Semasa kita datang kepada Kristus dan membantu orang lain melakukan yang sama, kita terlibat dalam pekerjaan penyelamatan dan permuliaan Tuhan. Pekerjaan ini dibimbing oleh dua perintah yang penting iaitu untuk mengasihi Tuhan dan mengasihi sesama manusia (lihat Matius 22:37–39).
Pekerjaan penyelamatan dan permuliaan tertumpu pada empat tanggungjawab yang dilantik secara ilahi.
Buku panduan ini akan membantu anda memahami empat aspek pekerjaan Tuhan ini. Roh Kudus akan membimbing anda semasa anda melakukan bahagian anda dalam memenuhinya (lihat 2 Nefi 32:5).
1.2.1
Menjalankan Injil Yesus Kristus
Menjalankan injil Yesus Kristus termasuk:
-
Beriman kepada Kristus, bertaubat setiap hari, membuat perjanjian dengan Tuhan semasa kita menerima tatacara penyelamatan dan permuliaan, dan bertahan sampai akhir dengan mentaati perjanjian tersebut (lihat 3.5.1).
-
Pembelajaran dan pengajaran injil Yesus Kristus di rumah dan di Gereja.
-
Menjadi berdikari dalam menafkahi diri kita dan keluarga kita, secara rohani dan duniawi.
1.2.2
Mengambil Berat Akan Orang yang Memerlukan
Menjaga orang yang memerlukan termasuk:
-
Melayani individu, keluarga, dan komuniti.
-
Berkongsi sumber, termasuk bantuan Gereja, dengan mereka yang memerlukan.
-
Membantu orang lain menjadi berdikari.
1.2.3
Menjemput Semua untuk Menerima Injil
Menjemput semua untuk menerima injil termasuk:
-
Terlibat dalam kerja misionari dan melayani sebagai misionari.
-
Membantu ahli Gereja baru dan ahli yang kembali semula berkembang di sepanjang jalan perjanjian.
1.2.4
Menyatukan Keluarga untuk Keabadian
Menyatukan keluarga untuk keabadian termasuk:
-
Membuat perjanjian semasa kita menerima tatacara bait suci untuk diri sendiri.
-
Mencari nenek moyang kita yang telah meninggal dan melaksanakan tatacara bagi mereka di bait suci agar mereka boleh membuat perjanjian dengan Tuhan.
-
Hadiri bait suci dengan kerap, jika mungkin, untuk menyembah Tuhan dan melaksanakan tatacara bagi anak-anak-Nya.
1.3
Tujuan Gereja
Yesus Kristus mendirikan Gereja-Nya untuk membolehkan individu dan keluarga melakukan pekerjaan penyelamatan dan permuliaan (lihat Efesus 4:11–13; lihat juga 2.2 dalam buku panduan ini). Untuk membantu mencapai tujuan ilahi ini, Gereja dan para pemimpinnya menyediakan:
-
Wewenang dan kunci-kunci imamat.
-
Perjanjian dan tatacara.
-
Arahan nabi.
-
Kitab suci.
-
Pembelajaran injil dan sokongan pengajaran.
-
Peluang pelayanan dan kepimpinan.
-
Sebuah komuniti Orang suci.
1.3.1
Wewenang dan Kunci-kunci Imamat
Melalui imamat, Tuhan mencapai pekerjaan penyelamatan dan permuliaan. Wewenang dan kunci-kunci imamat untuk mengarah pekerjaan Tuhan di bumi dipulihkan kepada Nabi Joseph Smith (lihat Ajaran dan Perjanjian 110:11–16; 112:30). Kunci-kunci ini dipegang oleh para pemimpin Gereja hari ini. Mereka memanggil dan memberi wewenang kepada orang lain untuk membantu dalam pekerjaan Tuhan (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:8, 65–67).
1.3.2
Perjanjian dan Tatacara
Dalam rancangan Bapa Syurgawi, kita membuat perjanjian semasa kita menerima tatacara penyelamatan dan permuliaan, seperti pembaptisan (lihat Yohanes 3:5; lihat juga bab 18 dalam buku panduan ini). Perjanjian dan tatacara ini penting untuk kita menjadi lebih seperti Tuhan dan untuk kembali hidup di hadirat-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:19–22).
1.3.3
Arahan Nabi
Melalui nabi-Nya yang terpilih, Tuhan mengungkapkan kebenaran dan menyediakan bimbingan dan amaran (lihat Amos 3:7; Ajaran dan Perjanjian 1:4). Bimbingan ini membantu kita memasuki dan kekal di jalan yang menuju kehidupan abadi.
1.3.4
Kitab suci
Di bawah arahan para nabi dan rasul Tuhan, Gereja menyediakan dan memelihara firman Tuhan seperti yang terdapat dalam tulisan suci kudus. Tulisan suci bersaksi tentang Kristus, mengajar injil-Nya, dan membantu kita beriman kepada-Nya (lihat Yakub 7:10–11; Helaman 15:7).
1.3.5
Pembelajaran Injil dan Sokongan Pengajaran
Gereja menyokong individu dan keluarga dalam tanggungjawab mereka untuk belajar kebenaran injil dan mengajarkan kebenaran tersebut kepada ahli keluarga dan orang lain (lihat Ajaran dan Perjanjian 88:77–78, 118; lihat juga 2.2.3 dalam buku panduan ini).
1.3.6
Peluang Pelayanan dan Kepimpinan
Melalui panggilan dan tugasan dalam Gereja, Tuhan memberi ahli-ahli peluang untuk melayani dan membimbing. Gereja menyediakan struktur untuk membantu menjaga ahli-ahli yang memerlukannya dan memberi bantuan kelegaan untuk orang lain (lihat Mosia 18:27–29).
1.3.7
Sebuah Komuniti Orang Suci
Sebagai sebuah komuniti Orang Suci, ahli Gereja berkumpul dengan kerap untuk menyembah Tuhan dan mengingati Juruselamat dengan mengambil sakramen (lihat Moroni 6:4–6; Ajaran dan Perjanjian 20:77). Ahli-ahli juga saling mengambil berat dan melayani sesama (lihat Efesus 2:19).
1.4
Peranan Anda dalam Pekerjaan Tuhan
Sebagai seorang pemimpin dalam Gereja, anda telah dipanggil untuk mengajar dan menyokong orang-orang yang anda layani semasa mereka terlibat dalam pekerjaan penyelamatan dan permuliaan (lihat 1.2). Anda bertanggungjawab untuk memenuhi panggilan anda dan “mengajar … firman Tuhan … dengan sepenuh ketekunan” (Yakub 1:19). Bekerja dengan Tuhan di ladang-Nya akan membawakan anda kebahagiaan yang besar (lihat Yakub 5:70–72).
Memiliki pemahaman jelas tentang pekerjaan Tuhan, tentang apa yang Dia jemput anda untuk lakukan, dan tentang tujuan Gereja-Nya akan membantu anda menumpukan usaha anda dalam membawa jiwa kepada Kristus.
Sering rujuk kepada prinsip-prinsip dalam bab ini. Dengan penuh doa cari cara untuk tahu bagaimana anda dapat membantu membawa tujuan Tuhan ke dalam kehidupan mereka yang anda layani. Tuhan akan mengarah anda melalui bisikan Roh Kudus.