Buku Panduan dan Panggilan
34. Kewangan dan Audit


“34. Kewangan dan Audit,” Pilihan dari Buku Panduan Umum (2023).

“34. Kewangan dan Audit,” Pilihan dari Buku Panduan Umum

anak pegang sampul surat

34.

Kewangan dan Audit

34.0

Pengenalan

Persepuluhan dan sumbangan membolehkan Gereja membuat kerja penyelamatan dan permuliaan Tuhan (lihat 1.2). Dana ini kudus. Ia mewakili pengorbanan dan iman para ahli Gereja (lihat Markus 12:41–44).

34.2

Kepimpinan Kewangan Bahagian

34.2.1

Lembaga Uskup

Uskup ada tanggungjawab berikut atas kewangan bahagian. Dia mengagihkan beberapa kerja ini kepada para penasihat dan keraninya.

Uskup:

  • Mengajar dan mengilhami ahli untuk bayar persepuluhan penuh dan menyumbang dengan murah hati (lihat 34.3).

  • Memastikan dana bahagian diurus dengan betul dan dicatat (lihat 34.5).

  • Menyemak penyata kewangan setiap bulan dan memastikan sebarang isu segera diselesaikan.

  • Memastikan para pemimpin organisasi dan kerani belajar tanggungjawab mereka tentang dana kudus Gereja.

  • Menyediakan dan mengurus belanjawan tahunan bahagian (lihat 34.6).

  • Bertemu dengan ahli bahagian setiap tahun untuk menerima pengakuan persepuluhan mereka.

34.2.2

Kerani Bahagian

Uskup tugaskan kerani bahagian atau penolong kerani bahagian untuk penyimpanan rekod kewangan bahagian. Kerani mengikut polisi semasa dengan teliti untuk melindungi dana Gereja dan memastikan rekod Gereja adalah tepat.

Kerani ada tanggungjawab berikut:

  • Mencatatkan dan deposit apa-apa dana yang diterima bersama seorang ahli lembaga uskup.

  • Menyemak penyata kewangan setiap bulan dan memastikan sebarang isu segera diselesaikan.

  • Membantu lembaga uskup menyediakan belanjawan tahunan bahagian (lihat 34.6.1 dan 34.6.2).

  • Memastikan ahli ada akses kepada pernyataan sumbangan mereka dan membantu jika perlu.

Kerani harus memegang Imamat Melkisedek dan ada kad rekomen bait suci terkini.

34.3

Sumbangan

34.3.1

Persepuluhan

Persepuluhan adalah sumbangan satu persepuluh dari pendapatan seseorang kepada Gereja Tuhan (lihat Ajaran dan Perjanjian 119:3–4; pendapatan bermaksud gaji). Semua ahli yang ada gaji harus membayar persepuluhan.

34.3.1.2

Pengakuan Persepuluhan

Uskup bertemu dengan setiap ahli dalam beberapa bulan terakhir setiap tahun untuk menerima pengakuan persepuluhan.

Semua ahli dijemput untuk bertemu dengan uskup untuk:

  • Mengakui kepada uskup status mereka sebagai pembayar persepuluhan.

  • Memastikan rekod sumbangan mereka adalah tepat.

Jika boleh, semua ahli keluarga, termasuk kanak-kanak, harus hadir bersama.

34.3.2

Sumbangan Puasa

Para pemimpin Gereja menggalakkan ahli untuk mematuhi hukum puasa. Ini termasuk memberi sumbangan puasa yang murah hati (lihat 22.2.2).

Garis panduan untuk menggunakan dana sumbangan puasa ada dalam 22.5.2.

34.3.3

Dana Misionari

Sumbangan dana misionari bahagian digunakan terutamanya untuk memenuhi komitmen sumbangan para misionari sepenuh masa dari bahagian.

Sumbangan Dana Misionari Umum digunakan oleh Gereja dalam usaha misionari.

34.3.7

Sumbangan Tidak Boleh Dikembalikan

Apabila persepuluhan dan sumbangan lain diberikan kepada Gereja, ia milik Tuhan. Ia dibaktikan kepada-Nya.

Presiden pancang dan uskup memberitahu pembayar persepuluhan dan sumbangan bahawa ia tidak boleh dikembalikan.

34.4

Kerahsiaan Persepuluhan dan Sumbangan Lain

Jumlah persepuluhan dan sumbangan lain yang dibayar adalah rahsia. Hanya uskup dan mereka yang diberi wewenang untuk mengawasi atau melihat sumbangan ini ada akses kepada maklumat ini.

34.5

Mengurus Dana Gereja

Presiden pancang dan uskup memastikan semua dana Gereja diurus dengan betul. Lembaga uskup dan kerani digalakkan untuk semak video “Sacred Funds, Sacred Responsibilities [Dana Kudus, Tanggungjawab Kerani]” sekurang-kurangnya sekali setahun.

22:58

34.5.1

Asas Penemanan

Asas penemanan memerlukan dua orang—seorang ahli lembaga uskup dan kerani, atau dua orang ahli lembaga uskup—untuk terlibat secara aktif apabila mencatat dan melangsaikan dana Gereja.

Para pemimpin harus melindungi dan tidak berkongsi kata laluan mereka (lihat 33.9.1.1).

34.5.2

Menerima Persepuluhan dan Sumbangan Lain

Tuhan memberi uskup kepercayaan kudus untuk menerima dan mencatat persepuluhan dan sumbangan lain dari Orang Suci (lihat Ajaran dan Perjanjian 42:30–33; 119). Hanya uskup dan penasihatnya boleh menerima persepuluhan dan sumbangan lain. Isteri mereka, ahli keluarga, kerani, atau ahli bahagian lain tidak boleh menerima sumbangan ini.

34.5.3

Sahkan dan Rekod Persepuluhan dan Sumbangan Lain

Sumbangan harus disahkan dan direkodkan pada hari Ahad ia diterima. Seorang ahli lembaga uskup dan kerani, atau dua orang ahli lembaga uskup, buka setiap sampul bersama. Mereka sahkan dana yang dilampirkan adalah sama seperti jumlah yang tertulis pada borang Persepuluhan dan Sumbangan Lain. Mereka catat setiap sumbangan dengan tepat. Jika dana dan jumlah bertulis adalah berbeza, mereka segera hubungi pembayar untuk selesaikannya.

34.5.4

Mendepositkan Persepuluhan dan Sumbangan Lain

Deposit harus disediakan selepas memastikan jumlah yang direkod padan dengan dana yang diterima.

Jika deposit bank 24 jam tersedia, ahli lembaga uskup dan seorang lagi pemegang Imamat Melkisedek depositkan dana di bank pada hari sama dana itu dibuka dan disahkan.

Jika tiada deposit bank 24 jam tersedia dan bank ditutup pada hari Ahad, uskup menugaskan seorang pemegang Imamat Melkisedek untuk membuat deposit pada hari bekerja seterusnya. Dia harus:

  • Memastikan dana disimpan dengan selamat sehingga ia didepositkan.

  • Mendapatkan resit deposit yang menunjukkan tarikh dan jumlah deposit.

34.5.5

Melindungi Dana Gereja

Ahli yang bertanggungjawab untuk dana Gereja tidak boleh meninggalkan dana di gereja ataupun tanpa pengawasan, seperti semasa pertemuan dan aktiviti.

34.5.7

Mengurus Bayaran Pancang dan Bahagian

Perbelanjaan pancang atau bahagian tidak boleh ditanggung atau dibayar tanpa kebenaran pemimpin utama.

Dua pemimpin yang dibenarkan mesti meluluskan setiap bayaran. Salah seorang daripada mereka mestilah ahli presidensi pancang atau lembaga uskup. Walaupun penasihat boleh diberi wewenang untuk meluluskan pembayaran, presiden pancang atau uskup mesti menyemak setiap bayaran. Pemimpin tidak seharusnya meluluskan bayaran bagi diri sendiri.

Kelulusan bertulis presiden pancang diperlukan sebelum seorang uskup boleh menggunakan sumbangan puasa atau meluluskan arahan uskup bagi diri sendiri atau keluarganya. Kelulusan bertulis daripada seorang ahli Presidensi Kawasan diperlukan sebelum seorang uskup boleh menggunakan sumbangan puasa atau meluluskan arahan seorang uskup untuk presiden pancang atau keluarganya. Lihat 22.5.1.2 untuk garis panduan.

Seorang ahli yang memohon pembayaran balik menyediakan satu salinan fizikal atau elektronik dari sebarang resit atau invois. Dia juga sertakan tujuan, jumlah, dan tarikh pembelian.

Jika itu dana pendahuluan, ahli itu hantar satu borang permintaan bayaran, sertakan tujuan, jumlah, dan tarikh. Selepas perbelanjaan dibayar, ahli kemudian (1) berikan resit atau invois untuk dana yang dibelanjakan dan (2) kembalikan sebarang baki dana. Dana yang dipulangkan harus dideposit semula.

34.5.9

Menyimpan Rekod Kewangan

Setiap pancang dan bahagian harus simpan rekod kewangan semasa dan tepat.

Untuk maklumat tentang penggunaan dan pengekalan rekod dan laporan, kerani harus merujuk arahan dari ibu pejabat Gereja atau pejabat kawasan. Rekod kewangan harus dikekalkan sekurang-kurangnya tiga tahun tambah tahun semasa.

34.6

Belanjawan dan Perbelanjaan

Program elaun belanjawan menyediakan dana umum Gereja untuk membayar aktiviti dan program pancang dan bahagian.

Kebanyakan aktiviti sepatutnya sederhana dan kos rendah atau tanpa kos.

34.6.1

Belanjawan Pancang dan Bahagian

Setiap pancang dan bahagian menyediakan dan menjalankan belanjawan tahunan. Presiden pancang menguruskan belanjawan pancang, dan uskup menguruskan belanjawan bahagian.

Garis panduan disenaraikan di bawah:

  • Menyemak jumlah yang dibelanjakan pada tahun lepas untuk memastikan perbelanjaan berulang dipertimbangkan.

  • Meminta organisasi untuk menganggarkan keperluan belanjawan mereka secara terperinci.

  • Menyusun belanjawan dengan amalan belanjawan yang diluluskan.

34.6.2

Elaun Belanjawan

34.6.2.1

Peruntukkan Belanjawan

Dana belanjawan diperuntukkan setiap suku tahun berdasarkan kehadiran dalam kategori berikut:

  • Pertemuan sakramen

  • Remaja putera

  • Remaja puteri

  • Kanak-kanak Sekolah Primer umur 7–10

  • Belia bujang

Ia penting untuk melaporkan kehadiran sebenar dan tepat pada masa (lihat 33.5.1.1).

34.6.2.2

Penggunaan Belanjawan yang Sesuai

Presiden pancang dan uskup memastikan dana elaun belanjawan dibelanjakan dengan bijak.

Dana belanjawan pancang dan bahagian harus digunakan untuk membayar semua aktiviti, program, buku panduan dan bekalan.

34.6.2.3

Baki Belanjawan

Baki elaun belanjawan tidak harus dibelanjakan. Baki dana bahagian harus dikembalikan kepada pancang.

34.7

Audit

34.7.1

Jawatankuasa Audit Pancang

Presiden pancang melantik satu jawatankuasa audit pancang. Jawatankuasa ini memastikan kewangan pancang dan bahagian dikendalikan menurut polisi Gereja.

34.7.3

Audit Kewangan

Juruaudit pancang mengaudit rekod kewangan pancang, bahagian, dan pusat sejarah keluarga dua kali setiap tahun.

Pemimpin utama unit dan kerani yang ditugaskan kepada kewangan harus tersedia untuk menjawab soalan semasa audit.

34.7.5

Kehilangan, Kecurian, Penyelewengan atau Penyalahgunaan Dana Gereja

Presiden pancang atau pengerusi jawatankuasa audit pancang harus dimaklumkan segera jika:

  • Dana Gereja hilang atau dicuri.

  • Seorang pemimpin telah menyeleweng atau salah guna dana Gereja.