“Orang yang saya kasihi adalah gay. Apakah yang harus saya lakukan?” Tarikan Sesama Jenis: Keluarga dan Rakan (2020)
“Orang yang saya kasihi adalah gay. Apakah yang harus saya lakukan?” Tarikan Sesama Jenis: Keluarga dan Rakan
Orang yang saya kasihi adalah gay. Apakah yang harus saya lakukan?
Mulakan dengan Kasih
Berbincang tentang tarikan sesama jenis seseorang boleh menjadi menakutkan dan mengelirukan. Anak, pasangan atau ahli keluarga anda mungkin tidak tahu cara untuk berbincang tentang hal ini dengan anda. Kadangkala anda mungkin berasa serba kekurangan. Walaupun anda tidak selalunya tahu cara untuk memberikan respons terhadap kesukaran yang dialami oleh ahli keluarga, anda tidak akan menyesal menunjukkan rasa kasih dan cuba memahami mereka.
Anda tidak akan menyesal kerana mengatakan “Saya sayang kamu”.
Anda tidak akan menyesal kerana merangkul orang yang anda kasihi dan memeluknya. Anda tidak akan menyesal kerana mendengar. Anda tidak akan menyesal kerana cuba memahami.
Jika anda bertindak berlebihan, marah atau mengatakan sesuatu yang anda kesali, janganlah putus asa. Ini cuma satu ketika dalam perbualan sepanjang hayat. Ia tidak pernah terlambat untuk meminta maaf.
Jika anda mengetahui tentang tarikan sesama jenis orang yang anda kasihi daripada orang lain, jangan mengambil hati terhadap hal ini. Berbincang tentang tarikan sesama jenis boleh menjadi menakutkan dan mengelirukan. Orang yang anda kasihi mungkin tidak tahu cara untuk berbincang tentang hal ini dengan anda.
Berasa sedih adalah biasa. Adakah anda berasa impian anda untuk memiliki keluarga “sempurna” hilang? Adakah anda takut kehilangan hubungan rapat? Adakah anda takut orang yang anda kasihi tidak dilayan dengan baik? Perasaan ini adalah biasa. Jangan berasa malu kerana bersedih.
Jangan salahkan diri anda untuk tarikan sesama jenis orang yang anda kasihi. Ini bukan salah sesiapa. Perbuatan menyalahkan adalah tidak perlu dan tidak membantu.
Carilah Bimbingan Rohani
Sebagai ahli keluarga, doa yang paling tidak produktif ialah “mengapa?” Kedua ialah “tolong, hilangkan ini sekarang juga.” Soalan paling berguna yang boleh anda ajukan ialah “bagaimana?” Bagaimanakah saya boleh membantu? Bagaimanakah saya boleh menjadi sokongan yang diperlukan oleh orang yang saya kasihi? Bagaimanakah kita boleh belajar daripada hal ini?
Cari ilmu dan belajar sebanyak mungkin. Bercakap dengan uskup atau presiden cabang anda dan dapatkan nasihat daripada hamba-hamba Tuhan yang mempunyai wewenang. Jika anda berasa didorong, mintalah berkat imamat daripadanya untuk menolong anda memenuhi keperluan orang yang anda kasihi. Sesetengah orang mencari perspektif dalam kumpulan sokongan atau melalui kehadiran bait suci. Sebenarnya, tidak ada tempat yang lebih baik untuk mencari kedamaian dan perspektif selain daripada di dalam bait suci.
Bina Kefahaman
Kelilingi diri anda dengan orang-orang yang membina anda. Sesetengah orang mengambil berat. Sesetengah orang ingin tahu. Menjawab soalan dapat membantu membina kefahaman tetapi juga meletihkan. Pastikan anda mengecas bateri rohani anda dengan meluangkan masa yang berkualiti di tempat-tempat kudus. Tidak ada sesiapa yang lebih peduli daripada Bapa Syurgawi.
Belajar untuk menjadi ibu bapa dalam perjalanan ini akan menambah baik anda. Semasa anda mencari penemanan Roh, anda akan mendekati Tuhan, anak anda dan, jika ada, pasangan anda. Ingatlah untuk menghormati hak pilihan. Jika pasangan anda tidak bersetuju dengan cara anda mahu menangani sesuatu, atasi dengan hormat. Jika anak anda membuat pilihan yang anda tidak setujui, beritahu mereka perasaan anda dengan baik. Jangan sekali-kali cuba mengawal atau memanipulasi mereka. Beri mereka masa anda, dan yakinkan mereka dengan kasih anda.
Menyeimbangkan Kasih dan Hukum
“Sebagai Orang Suci Zaman Akhir, ramai daripada kita—bukan kita semua, tetapi ramai daripada kita—cenderung menegaskan hukum dan mengamalkan hukum dengan cara yang tidak mengasihi.
“Saya menerima banyak surat daripada orang yang kecewa dengan pilihan yang dibuat oleh seseorang dalam keluarga mereka. Dan mereka berkata, ‘Apakah yang harus kita lakukan?’ Dan perkara pertama yang selalu saya cadangkan adalah terus mengasihi mereka. Pada akhirnya, tindakan itu ialah sesuatu yang anda sentiasa boleh lakukan. Kita harus ingat perintah-perintah Tuhan, yang akan saya sebut sebagai hukum dan juga perintah besar untuk saling mengasihi. Perkara itu akan menjadi tentangan apabila seseorang yang berkaitan dengan kita, tidak mematuhi perintah atau mematuhi hukum. Hal itu menyukarkan kita untuk bergaul dengan mereka dan mengasihi mereka. Tetapi jika kita mengasihi individu tersebut, dan pada masa yang sama terus memegang erat pada perkara yang kita tahu merupakan tanggungjawab kita terhadap hukum, ia boleh dilakukan. …
“Kita tidak seharusnya memulakan interaksi kita dengan orang yang membuat pilihan yang berbeza daripada yang kita mahukan, dengan berdebat tentang pilihan mereka. Lebih baik kita mulakan dengan bercakap tentang: Dari manakah anda datang? Apakah nilai asas anda? Apakah yang anda mahu capai? Kemudian dalam konteks tersebut, kita boleh menjelaskan bahawa kita prihatin terhadap perintah-perintah Tuhan kerana perkara yang penting bagi kita adalah terus berada di jalan menuju kehidupan abadi.
“Kita telah diberi perintah. Apabila kita mematuhi perintah-perintah itu, kita patuh. Hasil daripada pematuhan perintah ialah penempatan diri kita selaras dengan hukum abadi yang memungkinkan kita tumbuh dan maju menuju kehidupan abadi. Juruselamat memerintahkan para pengikut-Nya supaya ‘saling mengasihi; sebagaimana Aku sudah mengasihi kamu’ (Yohanes 13:34). Jadi kita melihat cara Dia mengasihi kita. Dia mengorbankan diri-Nya untuk kita. Dia selalu mementingkan individu. Dia mempunyai jangkauan yang menakjubkan terhadap orang ramai. Saya rasa itu merupakan semua petunjuk tentang cara kita boleh saling mengasihi seperti Dia mengasihi kita. Jika kita menjadikan Dia sebagai teladan, kita harus sentiasa cuba menjangkau semua orang” (Dallin H. Oaks, “Love and Law”, ChurchofJesusChrist.org).
Kasih ilahi tidak mengizinkan dosa—“Aku Tuhan tidak dapat memandang dosa dengan sedikit keizinan pun“—tetapi ingin mengampunkan: “Walaupun demikian, dia yang bertaubat dan melakukan perintah-perintah Tuhan akan diampunkan” (Ajaran dan Perjanjian 1:31–32). Dengan cara yang sama, kita tidak seharusnya menyerah dalam mengamalkan dan mempertahankan perintah Tuhan, tetapi untuk mencerminkan sepenuhnya kasih Tuhan, kita juga harus saling mengasihi secara terbuka dan sepenuhnya sehingga tiada sesiapa yang boleh terasa ditinggalkan atau bersendirian atau putus asa.
Berbincang tentang Kemurungan dan Bunuh Diri
Perasaan murung adalah nyata dan boleh membebankan serta melemahkan. Selalunya, kaunseling dan rawatan perubatan profesional dapat membantu orang mengatasi kemurungan. Apabila perasaan kemurungan beralih kepada fikiran membunuh diri, sangat penting untuk berbincang dengan seseorang. Orang yang hendak membunuh diri mengalami penderitaan jasmani, mental atau emosi yang ketara; sering terpencil; dan mungkin berasa mereka tidak mempunyai harapan untuk masa depan. Mereka mungkin berasa tidak ada cara lain untuk mengakhiri penderitaan yang melumpuhkan kecuali dengan meragut nyawa mereka sendiri. Fikiran kematian dengan membunuh diri sering difikirkan, dipertimbangkan dan dipertimbangkan semula sebelum apa-apa usaha dilakukan. Semasa tempoh renungan ini, campur tangan dapat menyelamatkan nyawa.
Mencegah bunuh diri bermula dengan mengenali tanda-tanda amaran.
Sekiranya seseorang kelihatan berisiko, perkara terbaik yang boleh dilakukan ialah berbincang tentangnya dengan mereka. Ia mungkin kelihatan janggal atau terlalu berani, tetapi orang yang mengalami kemurungan sering kali sangat memerlukan seseorang untuk bercakap, seseorang untuk menolong mereka memproses pemikiran dan perasaan. Perbualan ini mungkin sukar, tetapi sangat penting dalam mengurangkan perasaan terasing dan putus asa yang boleh menyebabkan bunuh diri.