Bab 17
Yesus mengarahkan orang ramai untuk merenungkan firman-firman-Nya dan berdoa untuk pemahaman—Dia menyembuhkan orang mereka yang sakit—Dia berdoa bagi bangsa itu, menggunakan bahasa yang tidak dapat dituliskan—Para malaikat melayani dan api mengelilingi anak-anak kecil mereka. Kira-kira 34 tahun M.
1 Lihatlah, sekarang terjadilah bahawa apabila Yesus telah memfirmankan firman ini Dia memandang lagi ke sekeliling kepada orang ramai itu, dan Dia berfirman kepada mereka: Lihatlah, waktu-Ku di depan mata.
2 Aku merasakan bahawa kamu lemah, bahawa kamu tidak dapat memahami semua firman-Ku yang Aku telah diperintahkan oleh Bapa untuk memfirmankan kepadamu pada waktu ini.
3 Oleh itu, kembalilah kamu ke rumah-rumahmu, dan renungkanlah hal-hal yang telah Aku firmankan, dan mintalah kepada Bapa, dalam nama-Ku, agar kamu boleh memahami, dan sediakanlah minda-mindamu untuk keesokan hari, dan Aku datang kepadamu lagi.
4 Tetapi sekarang Aku pergi kepada Bapa, dan juga untuk memperlihatkan diri-Ku kepada suku-suku Israel yang hilang, kerana mereka tidak hilang bagi Bapa, kerana Dia tahu ke mana Dia telah membawa mereka.
5 Dan terjadilah bahawa ketika Yesus telah berfirman sedemikian, Dia mengarahkan mata-Nya ke sekelilingnya lagi kepada orang ramai, dan melihat mereka sedang berlinangan air mata, dan memandang dengan tabah kepada-Nya seolah-olah mereka hendak meminta-Nya untuk tinggal lebih lama sedikit bersama mereka.
6 Dan Dia berfirman kepada mereka: Lihatlah, hati-Ku dipenuhi dengan rasa kasihan terhadapmu.
7 Adakah sesiapa yang sakit di kalanganmu? Bawalah mereka ke mari. Adakah kamu mempunyai sesiapa pun yang lumpuh, atau buta, atau tempang, atau kudung, atau berpenyakit kusta, atau yang mati rasa, atau yang tuli, atau yang sengsara dalam apa cara sekali pun? Bawalah mereka ke mari dan Aku akan menyembuhkan mereka, kerana Aku memiliki rasa kasihan kepadamu; hati-Ku dipenuhi dengan belas kasihan.
8 Kerana aku merasakan bahawa kamu berhasrat agar Aku harus memperlihatkan kepadamu apa yang telah Aku lakukan terhadap saudara-saudaramu di Yerusalem, kerana Aku melihat bahawa imanmu cukup sehingga Aku harus menyembuhkanmu.
9 Dan terjadilah bahawa apabila Dia telah berfirman sedemikian, seluruh orang ramai, dengan serentak, maju bersama orang mereka yang sakit dan yang sengsara, dan yang lumpuh, dan dengan orang buta mereka, dan dengan orang bisu mereka, dan dengan mereka semua yang sengsara dalam apa cara sekali pun; dan Dia telah menyembuhkan setiap orang daripada mereka apabila mereka dibawa kepada-Nya.
10 Dan mereka semua, baik mereka yang telah disembuhkan mahupun mereka yang sihat, membongkokkan diri pada kaki-Nya, dan menyembah-Nya; dan seberapa banyak yang dapat datang, walaupun orang banyak, dapat mencium kaki-Nya, sedemikian rupa sehingga mereka memandikan kaki-Nya dengan air mata mereka.
11 Dan terjadilah bahawa Dia memerintahkan agar anak-anak kecil mereka harus dibawa.
12 Demikianlah mereka membawa anak-anak kecil mereka dan menempatkan mereka di atas tanah di sekeliling-Nya, dan Yesus berdiri di tengah-tengah; dan orang ramai memberi jalan sehinggalah mereka semua telah dibawa kepada-Nya.
13 Dan terjadilah bahawa apabila mereka semua telah dibawa, dan Yesus berdiri di tengah-tengah, Dia memerintahkan orang ramai agar mereka harus berlutut di atas tanah.
14 Dan terjadilah bahawa apabila mereka telah berlutut di atas tanah, Yesus merintih di dalam diri-Nya, dan berfirman: Bapa, Aku bersusah hati kerana kejahatan orang bani Israel.
15 Dan apabila Dia telah memfirmankan kata-kata ini, Dia sendiri juga berlutut di atas tanah; dan lihatlah Dia berdoa kepada Bapa, dan apa yang Dia doakan tidak dapat dituliskan, dan orang ramai memberikan kesaksian yang mendengar-Nya.
16 Dan dengan cara inilah mereka memberikan kesaksian: Mata tidak pernah melihat, tidak juga telinga pernah mendengar, sebelum ini, hal-hal yang begitu besar dan menakjubkan seperti yang kami telah melihat dan mendengar Yesus bercakap kepada Bapa;
17 Dan tidak ada lidah yang dapat berkata, tidak juga ada yang dapat dituliskan oleh sesiapa pun, tidak juga hati manusia dapat memahami hal-hal yang begitu besar dan menakjubkan seperti yang kami lihat mahupun dengar Yesus ucapkan; dan tidak seorang pun dapat memahami kebahagiaan yang memenuhi jiwa kami pada waktu kami mendengar Dia berdoa bagi kami kepada Bapa.
18 Dan terjadilah bahawa ketika Yesus telah selesai berdoa kepada Bapa, Dia bangun; tetapi begitu besarnya kebahagiaan orang ramai itu sehingga mereka dikuasai.
19 Dan terjadilah bahawa Yesus berfirman kepada mereka, dan meminta mereka bangun.
20 Dan mereka bangun dari tanah, dan Dia berfirman kepada mereka: Diberkatilah kamu kerana imanmu. Dan sekarang, lihatlah, kebahagiaan-Ku penuh.
21 Dan ketika Dia telah memfirmankan firman ini, Dia menangis, dan orang ramai memberikan kesaksian tentangnya, dan Dia mengambil anak-anak kecil mereka, satu demi satu, dan memberkati mereka, dan berdoa kepada Bapa untuk mereka.
22 Dan apabila Dia telah melakukan ini Dia menangis lagi;
23 Dan Dia berfirman kepada orang ramai, dan inilah firman-Nya kepada mereka: Lihatlah anak-anak kecilmu.
24 Dan sewaktu mereka memandang untuk melihat mereka mengarahkan mata mereka ke arah langit, dan mereka melihat langit terbuka, dan mereka melihat para malaikat turun dari syurga seakan-akan di tengah-tengah api; dan mereka turun dan mengelilingi anak-anak kecil itu, dan mereka dikelilingi oleh api; dan para malaikat melayani mereka.
25 Dan orang ramai itu melihat dan mendengar dan memberikan kesaksian; dan mereka tahu bahawa kesaksian mereka benar kerana mereka semua melihat dan mendengar, setiap orang bagi dirinya sendiri; dan mereka berjumlah kira-kira dua ribu lima ratus jiwa; dan mereka terdiri daripada para lelaki, wanita, dan anak-anak kecil.