Bab 43
Alma dan para puteranya mengkhutbahkan firman—Orang Zoram dan para pembelot bangsa Nefi yang lain menjadi bangsa Laman—Bangsa Laman datang melawan bangsa Nefi dalam perang—Moroni mempersenjatai bangsa Nefi dengan baju zirah pertahanan—Tuhan mengungkapkan kepada Alma rancangan peperangan bangsa Laman—Bangsa Nefi mempertahan rumah, kemerdekaan, keluarga, dan agama mereka—Tentera Moroni dan Lehi mengepung bangsa Laman. Kira-kira 74 tahun S.M.
1 Dan sekarang, terjadilah bahawa para anak lelaki Alma pergi ke kalangan bangsa itu, untuk memaklumkan firman kepada mereka. Dan Alma, juga, dia sendiri, tidak dapat beristirahat, dan dia juga pergi.
2 Sekarang, kami tidak akan berkata lagi berkenaan pengkhutbahan mereka, kecuali bahawa mereka mengkhutbahkan firman, dan kebenaran, menurut roh nubuat dan wahyu; dan mereka berkhutbah menurut tarekat kudus Tuhan yang melaluinya mereka dipanggil.
3 Dan sekarang, aku kembali pada sebuah laporan tentang perperangan antara bangsa Nefi dan bangsa Laman, pada tahun kelapan belas zaman pemerintahan hakim-hakim.
4 Kerana lihatlah, terjadilah bahawa orang Zoram menjadi bangsa Laman; oleh itu, pada permulaan tahun kelapan belas, bangsa Nefi melihat bahawa bangsa Laman menyerang mereka; oleh itu mereka membuat persiapan untuk perang; ya, mereka mengumpulkan bersama tentera-tentera mereka di negeri Yerson.
5 Dan terjadilah bahawa bangsa Laman datang dengan ribuan orang mereka; dan mereka datang ke negeri Antionum, yang merupakan negeri bangsa Zoram; dan seorang lelaki dengan nama Zerahemna ialah pemimpin mereka.
6 Dan sekarang, kerana bangsa Amaleki memiliki pembawaan yang lebih jahat dan gemar membunuh daripada yang dimiliki bangsa Laman, dalam dan dari diri mereka sendiri, oleh itu, Zerahemna melantik para panglima utama atas bangsa Laman, dan mereka semuanya bangsa Amaleki dan orang Zoram.
7 Sekarang, ini dia lakukan agar dia boleh mengekalkan kebencian mereka terhadap bangsa Nefi, agar dia boleh membawa mereka ke dalam penaklukan untuk penyempurnaan rancangannya.
8 Kerana lihatlah, rancangannya adalah untuk menghasut bangsa Laman menjadi marah terhadap bangsa Nefi; ini dia lakukan agar dia boleh merebut kekuasaan yang hebat atas diri mereka, dan juga agar dia boleh memperoleh kekuasaan atas bangsa Nefi dengan membawa mereka ke dalam perhambaan.
9 Dan sekarang, rancangan bangsa Nefi adalah untuk menjaga tanah-tanah mereka, dan rumah-rumah mereka, dan isteri-isteri mereka, dan anak-anak mereka, agar mereka boleh melindungi mereka daripada tangan musuh mereka; dan juga agar mereka boleh melindungi hak mereka dan hak istimewa mereka, ya, dan juga kemerdekaan mereka, agar mereka boleh menyembah Tuhan menurut hasrat mereka.
10 Kerana mereka tahu bahawa jika mereka jatuh ke dalam tangan bangsa Laman, bahawa barang siapa menyembah Tuhan dalam roh dan dalam kebenaran, Tuhan yang sejati dan yang hidup, akan bangsa Laman hancurkan.
11 Ya, dan mereka juga tahu kebencian bangsa Laman yang berketerlaluan terhadap saudara-saudara mereka, yang merupakan orang Anti-Nefi-Lehi, yang dipanggil orang Amon—dan mereka tidak mahu mengangkat senjata, ya, mereka telah masuk ke dalam sebuah perjanjian dan mereka tidak mahu melanggarnya—oleh itu, jika mereka jatuh ke dalam tangan bangsa Laman mereka akan dihancurkan.
12 Dan bangsa Nefi tidak akan membiarkan bahawa mereka akan dihancurkan; oleh itu mereka memberi mereka wilayah-wilayah sebagai warisan mereka.
13 Dan orang Amon memberi kepada bangsa Nefi bahagian yang besar daripada harta kekayaan mereka untuk menunjang tentera-tentera mereka; dan demikianlah bangsa Nefi terpaksa, sendirian, bertahan melawan bangsa Laman, yang merupakan gabungan keturunan Laman dan Lemuel, dan para anak lelaki Ismael, dan mereka semua yang telah membelot daripada bangsa Nefi, iaitu bangsa Amaleki dan orang Zoram, dan keturunan para imam Nuh.
14 Sekarang, keturunan itu ada sebanyak, hampir, seperti bangsa Nefi; dan demikianlah bangsa Nefi diwajibkan untuk berjuang melawan saudara-saudara mereka, bahkan sampai pertumpahan darah.
15 Dan terjadilah kerana tentera-tentera bangsa Laman telah berkumpul bersama di negeri Antionum, lihatlah, tentera-tentera bangsa Nefi siap untuk menghadapi mereka di negeri Yerson.
16 Sekarang, pemimpin bangsa Nefi, atau lelaki yang telah dilantik untuk menjadi panglima utama atas bangsa Nefi—sekarang, panglima utama menguasai semua tentera bangsa Nefi—dan namanya Moroni;
17 Dan Moroni menguasai segalanya, dan mengatur peperangan-peperangan mereka. Dan dia baru berumur dua puluh dan lima tahun ketika dia dilantik sebagai panglima utama atas tentera-tentera bangsa Nefi.
18 Dan terjadilah bahawa dia menghadapi bangsa Laman di sempadan-sempadan Yerson, dan orangnya dipersenjatai dengan pedang, dan dengan golok, dan segala macam senjata perang.
19 Dan ketika tentera-tentera bangsa Laman melihat bahawa bangsa Nefi, atau bahawa Moroni, telah mempersiapkan orangnya dengan perisai dada dan dengan perisai lengan, ya, dan juga perisai untuk melindungi kepala mereka, dan juga mereka berpakaian dengan pakaian tebal—
20 Sekarang, tentera-tentera Zerahemna tidak dipersiapkan dengan benda apa pun seperti itu; mereka hanya memiliki pedang mereka dan golok mereka, busur mereka dan anak panah mereka, batu mereka dan umban mereka; dan mereka telanjang, kecuali sepotong kulit yang diikatkan sekitar aurat mereka; ya, semuanya telanjang, kecuali orang Zoram dan bangsa Amaleki;
21 Tetapi mereka tidak dipersenjatai dengan perisai dada, tidak juga perisai—oleh itu, mereka amat takut terhadap tentera-tentera bangsa Nefi kerana baju zirah mereka, sekalipun jumlah mereka demikian jauh lebih besar daripada bangsa Nefi.
22 Lihatlah, sekarang, terjadilah bahawa mereka tidak berani datang melawan bangsa Nefi di sempadan-sempadan Yerson; oleh itu mereka pergi dari negeri Antionum ke padang belantara, dan mengadakan perjalanan di sekeliling padang belantara, jauh dekat hulu Sungai Sidon, agar mereka dapat masuk ke negeri Manti dan mengambil penguasaan atas negeri itu; kerana mereka tidak mengira bahawa tentera-tentera Moroni akan mengetahui ke mana mereka telah pergi.
23 Tetapi terjadilah, sebaik sahaja mereka telah berangkat ke padang belantara, Moroni mengutus mata-mata ke padang belantara untuk mengawasi perkhemahan mereka; dan Moroni, juga, mengetahui tentang nubuat-nubuat Alma, mengutus orang tertentu kepadanya, menghasratkan agar dia hendaknya bertanya kepada Tuhan ke mana tentera-tentera bangsa Nefi hendaknya pergi untuk mempertahan diri mereka daripada bangsa Laman.
24 Dan terjadilah bahawa firman Tuhan datang kepada Alma, dan Alma memberitahu para utusan Moroni, bahawa tentera-tentera bangsa Laman sedang berkawat di sekeliling padang belantara, agar mereka boleh datang ke negeri Manti, agar mereka boleh memulakan serangan atas bahagian yang lebih lemah bangsa itu. Dan para utusan itu pergi dan menyampaikan pesan itu kepada Moroni.
25 Sekarang, Moroni, meninggalkan sebahagian tentera-tenteranya di negeri Yerson, agar jangan dengan cara apa pun sebahagian bangsa Laman masuk ke negeri itu dan mengambil penguasaan atas kota itu, membawa bahagian yang tertinggal daripada tentera-tenteranya dan berkawat ke negeri Manti.
26 Dan dia menyuruh agar semua orang di penjuru negeri itu hendaknya berkumpul bersama untuk bertempur melawan bangsa Laman, untuk mempertahankan tanah-tanah mereka dan negeri mereka, hak mereka dan kemerdekaan mereka; oleh itu mereka sedia menghadapi waktu kedatangan bangsa Laman.
27 Dan terjadilah bahawa Moroni menyuruh agar tentera-tenteranya hendaknya bersembunyi di lembah yang berada dekat tepi sungai Sidon, yang berada di barat sungai Sidon di padang belantara.
28 Dan Moroni menempatkan mata-mata di sekitarnya, agar dia boleh mengetahui ketika perkhemahan tentera bangsa Laman akan datang.
29 Dan sekarang, kerana Moroni mengetahui maksud bangsa Laman, bahawa memanglah maksud mereka untuk menghancurkan saudara-saudara mereka, atau untuk menundukkan mereka dan membawa mereka ke dalam perhambaan agar mereka boleh menegakkan sebuah kerajaan bagi diri mereka sendiri atas seluruh negeri;
30 Dan dia juga mengetahui bahawa memanglah satu-satunya hasrat bangsa Nefi untuk melindungi tanah-tanah mereka, dan kemerdekaan mereka, dan gereja mereka, oleh itu dia berfikir bukanlah dosa bahawa dia membela mereka dengan tipu muslihat; oleh itu, dia mendapat tahu melalui mata-matanya laluan mana yang akan bangsa Laman ikut.
31 Oleh itu, dia membahagikan tentera-tenteranya dan membawa sebahagian menyeberang ke lembah, dan menyembunyikan mereka di timur, dan di selatan bukit Ripla;
32 Dan bakinya dia sembunyikan di lembah barat, di barat Sungai Sidon, dan seterusnya hingga ke sempadan-sempadan negeri Manti.
33 Dan demikianlah setelah menempatkan tentera-tenteranya menurut hasratnya, dia sedia untuk menghadapi mereka.
34 Dan terjadilah bahawa bangsa Laman muncul di utara bukit itu, di mana sebahagian tentera-tentera Moroni bersembunyi.
35 Dan sewaktu bangsa Laman telah melewati bukit Ripla, dan tiba di lembah, dan mula menyeberangi sungai Sidon, tentera-tentera yang bersembunyi di selatan bukit, yang dipimpin oleh seorang lelaki yang namanya Lehi, dan dia memimpin tentera-tenteranya maju dan mengepung bangsa Laman di timur di belakang mereka.
36 Dan terjadilah bahawa bangsa Laman, ketika mereka melihat bangsa Nefi menyerang mereka di belakang mereka, berbaliklah mereka dan mula bertempur melawan tentera-tentera Lehi.
37 Dan kerja kematian bermula di kedua-dua pihak, tetapi lebih mengerikan di pihak bangsa Laman, kerana ketelanjangan mereka terbuka terhadap pukulan berat bangsa Nefi dengan pedang mereka dan golok mereka, yang membawa kematian hampir dengan setiap pukulan.
38 Sementara sebaliknya, adakalanya seseorang jatuh di kalangan bangsa Nefi, oleh pedang mereka dan kehilangan darah, kerana mereka terlindung di bahagian tubuh yang lebih penting, atau bahagian tubuh yang lebih penting terlindung daripada pukulan bangsa Laman, oleh perisai dada mereka, dan perisai lengan mereka, dan ketopong besi mereka; dan demikianlah bangsa Nefi meneruskan kerja kematian di kalangan bangsa Laman.
39 Dan terjadilah bahawa bangsa Laman menjadi takut, kerana penghancuran yang dahsyat di kalangan mereka, bahkan sampai mereka mula melarikan diri menuju sungai Sidon.
40 Dan mereka dikejar oleh Lehi dan orangnya; dan mereka dihalau oleh Lehi ke perairan Sidon, dan mereka menyeberangi perairan Sidon. Dan Lehi menahan tentera-tenteranya di tepi sungai Sidon agar mereka tidak menyeberang.
41 Dan terjadilah bahawa Moroni dan tentera-tenteranya menghadap bangsa Laman di lembah, di tepi lain sungai Sidon, dan mula menyerang mereka dan membunuh mereka.
42 Dan bangsa Laman melarikan diri lagi dari hadapan mereka, menuju negeri Manti; dan mereka dihadapi kembali oleh tentera-tentera Moroni.
43 Sekarang, dalam keadaan ini bangsa Laman berperang dengan amat hebatnya; ya, tidak pernah bangsa Laman diketahui berperang dengan kekuatan dan keberanian yang sedemikian hebatnya, tidak, bahkan tidak sejak awal.
44 Dan mereka diransangkan oleh bangsa Zoram dan bangsa Amaleki, iaitu panglima utama dan pemimpin mereka, dan oleh Zerahemna, iaitu panglima utama mereka, atau pemimpin dan ketua mereka; ya, mereka berperang bagaikan naga, dan banyak bangsa Nefi terbunuh oleh tangan mereka, ya, kerana mereka membelahkan banyak ketopong besi mereka, dan mereka menusuk banyak perisai dada mereka, dan mereka memenggal banyak lengan mereka; dan demikianlah bangsa Laman menghentam dengan kemarahan dahsyat mereka.
45 Walaupun demikian, bangsa Nefi diilhami oleh suatu alasan perjuangan yang lebih baik, kerana mereka tidak berperang demi kerajaan tidak juga kekuasaan tetapi mereka sedang berperang demi rumah-rumah mereka dan kemerdekaan mereka, isteri-isteri mereka dan anak-anak mereka, dan semua milik mereka, ya, demi upacara-upacara ibadat mereka dan gereja mereka.
46 Dan mereka sedang melakukan apa yang mereka rasa memanglah tugas yang wajib mereka tunaikan kepada Tuhan mereka; kerana Tuhan telah berfirman kepada mereka, dan juga kepada nenek moyang mereka, bahawa: Sejauh mana kamu tidak bersalah akan kesalahan yang pertama, tidak juga yang kedua, janganlah kamu membiarkan dirimu dibunuh oleh tangan musuhmu.
47 Dan lagi, Tuhan telah berfirman bahawa: Kamu akan mempertahankan keluargamu bahkan sampai pertumpahan darah. Oleh itu, disebabkan alasan ini bangsa Nefi bertempur melawan bangsa Laman, untuk mempertahankan diri mereka, dan keluarga mereka, dan tanah mereka, negeri mereka, dan hak mereka, dan agama mereka.
48 Dan terjadilah bahawa ketika askar-askar Moroni melihat keganasan dan kemarahan bangsa Laman, mereka hampir berundur dan melarikan diri dari mereka. Dan Moroni, mengetahui maksud mereka, mewartakan dan mengilhami hati mereka dengan fikiran-fikiran ini—ya, fikiran tentang tanah-tanah mereka, kemerdekaan mereka, ya, kebebasan mereka daripada perhambaan.
49 Dan terjadilah bahawa mereka berbalik melawan bangsa Laman, dan mereka berseru dengan satu suara kepada Tuhan Raja mereka, demi kemerdekaan mereka dan kebebasan mereka daripada perhambaan.
50 Dan mereka mula berdiri melawan bangsa Laman dengan kekuatan; dan pada jam yang sama ketika mereka berseru kepada Tuhan demi kebebasan mereka, bangsa Laman mula melarikan diri dari hadapan mereka; dan mereka melarikan diri bahkan ke perairan Sidon.
51 Sekarang, bangsa Laman lebih banyak, ya, ada lebih daripada dua kali jumlahnya bangsa Nefi; walaupun demikian, mereka dihalau sedemikian rupa sehingga mereka terkumpul bersama dalam satu kelompok di lembah, atas tebing di tepi sungai Sidon.
52 Oleh itu tentera-tentera Moroni mengepung mereka, ya, bahkan di kedua tepi sungai, kerana lihatlah, di timur adanya askar-askar Lehi.
53 Oleh itu ketika Zerahemna melihat askar-askar Lehi di timur sungai Sidon, dan tentera-tentera Moroni di barat sungai Sidon, bahawa mereka dikepung oleh bangsa Nefi, mereka diserang kegentaran.
54 Sekarang, Moroni, ketika dia melihat kegentaran mereka, memerintahkan askar-askarnya agar mereka hendaknya berhenti menumpahkan darah mereka.