Bab 3
Mereka yang murni hati menerima firman Tuhan yang menyenangkan—Kesolehan bangsa Laman melampaui yang daripada bangsa Nefi—Yakub memperingatkan terhadap permukahan, kegasangan, dan setiap dosa. Kira-kira 544–421 tahun S.M.
1 Tetapi lihatlah, aku, Yakub, hendak berbicara kepadamu yang murni hatinya. Pandanglah kepada Tuhan dengan keteguhan fikiran, dan berdoalah kepada-Nya dengan iman yang amat besar, dan Dia akan melipurmu dalam kesengsaraanmu, dan Dia akan membela hal kamu, dan menurunkan keadilan ke atas diri mereka yang mengupayakan kehancuranmu.
2 Wahai kamu semua yang murni hatinya, angkatlah kepalamu dan terimalah firman Tuhan yang menyenangkan, dan jamuilah diri dengan kasih-Nya; kerana kamu boleh, jika fikiranmu teguh, selama-lamanya.
3 Tetapi, celakalah, celakalah, bagimu yang tidak murni hatinya, yang kotor hari ini di hadapan Tuhan; kerana kecuali kamu bertaubat negeri ini terkutuk akibat tindakanmu; dan bangsa Laman, yang tidak kotor sepertimu, walaupun demikian mereka dikutuk dengan kutukan yang parah, akan mencambukmu bahkan sampai kehancuran.
4 Dan waktunya cepat tiba, bahawa kecuali kamu bertaubat mereka akan memiliki negeri warisanmu, dan Tuhan Raja akan menuntun pergi yang soleh keluar dari antara kamu.
5 Lihatlah, bangsa Laman saudara-saudaramu, yang kamu benci kerana kekotoran mereka dan kutukan yang telah datang ke atas kulit mereka, adalah lebih soleh daripada kamu; kerana mereka tidak melupakan perintah Tuhan, yang diberikan kepada bapa kita—bahawa mereka hendaknya memiliki hanya seorang isteri, dan gundik hendaknya tidak mereka miliki seorang pun, dan hendaknya tidak ada pelacuran yang dilakukan di kalangan mereka.
6 Dan sekarang, perintah ini mereka berusaha mentaati; oleh kerana itu, kerana ketaatan ini, dalam mentaati perintah ini, Tuhan Raja tidak akan menghancurkan mereka, tetapi akan berbelas kasihan kepada mereka; dan suatu hari mereka akan menjadi bangsa yang diberkati.
7 Lihatlah, para suami mereka mengasihi isteri mereka, dan para isteri mereka mengasihi suami mereka; dan para suami mereka dan para isteri mereka mengasihi anak-anak mereka; dan ketidakpercayaan mereka dan kebencian mereka terhadapmu adalah kerana kederhakaan nenek moyang mereka; oleh kerana itu, seberapa lebih baiknya kamu daripada mereka, dalam pandangan Penciptamu yang agung?
8 Wahai saudara-saudaraku, aku takut bahawa kecuali kamu akan bertaubat daripada dosa-dosamu maka kulit mereka akan menjadi lebih putih daripada yang dimilikimu, ketika kamu akan dibawa bersama mereka ke hadapan takhta Tuhan.
9 Oleh kerana itu, sebuah perintah aku berikan kepadamu, yang adalah firman Tuhan, bahawa kamu tidak lagi mencaci maki mereka kerana kegelapan kulit mereka; tidak juga akan kamu mencaci maki mereka kerana kekotoran mereka; tetapi kamu akan mengingati kekotoranmu sendiri, dan ingatlah bahawa kekotoran mereka datang kerana nenek moyang mereka.
10 Oleh kerana itu, kamu akan mengingati anak-anakmu, bagaimana kamu telah memilukan hati mereka kerana teladan yang telah kamu tunjukkan di hadapan mereka; dan juga, ingatlah bahawa kamu boleh, kerana kekotoranmu, membawa anak-anakmu pada kehancuran, dan dosa-dosa mereka akan ditimpakan ke atas kepalamu pada hari terakhir.
11 Wahai saudara-saudaraku, dengarlah kata-kataku; bangkitkanlah kecakapan jiwamu; goncangkanlah dirimu agar kamu boleh terbangun daripada kelelapan kematian; dan lepaskanlah dirimu daripada rasa sakit neraka agar kamu boleh tidak menjadi malaikat bagi iblis, untuk dilemparkan ke dalam tasik api dan belerang itu yang adalah kematian kedua.
12 Dan sekarang, aku, Yakub, berbicara lebih banyak hal lagi kepada bangsa Nefi, memperingatkan mereka terhadap permukahan dan kegasangan nafsu, dan setiap jenis dosa, memberitahu mereka akibat yang menyeramkan daripadanya.
13 Dan seperseratus bahagian daripada tindakan bangsa ini, yang sekarang mulai menjadi banyak, tidak dapat dituliskan di atas kepingan-kepingan ini; tetapi banyak di antara tindakan mereka dituliskan di atas kepingan-kepingan yang lebih besar, dan peperangan-peperangan mereka, dan perselisihan-perselisihan mereka, dan pemerintahan-pemerintahan para raja mereka.
14 Kepingan-kepingan ini dipanggil kepingan-kepingan Yakub, dan ianya dibuat oleh tangan Nefi. Dan aku mengakhiri membicarakan kata-kata ini.