Pesanan Presidensi Utama, September 2015
Keluarga dan Doa
Suatu kali, ketika saya duduk di tepi katil bapa sepanjang malam, dia menceritakan tentang zaman kanak-kanaknya. Dia bercakap mengenai kasih sayang ibu bapanya dalam masa kesusahan dan kasih sayang Bapa Syurgawi dan Juruselamat. Saya tahu dia sedang menderita penyakit kanser, jadi saya tidak hairan apabila dia mengelirukan perasaannya terhadap Bapa Syurgawi dengan kasih sayang dan kebaikan hati bapa duniawinya. Bapa saya selalu berkata bahawa apabila dia berdoa, dia dapat melihat senyuman Bapa Syurgawi dalam mindanya.
Ibu bapanya telah mengajar melalui teladan untuk berdoa bagaikan dia berbicara dengan Tuhan dan Tuhan akan menjawabnya dengan kasih sayang. Dia memerlukan teladan itu sampai akhir. Apabila kesakitannya menjadi semakin hebat, kami mendapati dia melutut di tepi katil pada masa pagi. Dia telah menjadi terlalu lemah untuk kembali ke atas katilnya. Dia memberitahu kami bahawa dia telah berdoa untuk menanya Bapa Syurgawi mengapa dia harus menderita dengan teruk walaupun dia sentiasa cuba untuk melakukan kebaikan. Dia berkata satu jawapan yang lembut datang: “Tuhan memerlukan putera-putera yang berani.”
Jadi dia meneruskan perjuangannya sampai akhir, mempercayai bahawa Tuhan menyayangi, mendengar, dan akan mengangkatnya. Dia telah diberkati untuk mengetahui dari awal dan tidak melupakan bahawa Tuhan berhampiran sentiasa dan dia hanya perlu berdoa.
Itulah sebab Tuhan mengajar para ibu bapa, “Dan mereka hendaknya juga mengajari anak-anak mereka untuk berdoa, dan untuk berjalan dengan lurus di hadapan Tuhan” (A&P 68:28).
Injil Yesus Kristus telah dipulihkan—bersama Kitab Mormon dan semua kunci imamat yang boleh mengikat keluarga—kerana Joseph Smith berdoa ketika dia seorang budak. Dia memperolehi iman itu dari sebuah keluarga yang penuh kasih dan beriman.
Dua puluh tahun yang lalu Tuhan telah memberi keluarga nasihat ini dalam “Keluarga: Satu Perisytiharan Kepada Dunia” dari Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul: “Perkahwinan-perkahwinan dan keluarga-keluarga yang berjaya didirikan dan dikekalkan atas asas-asas iman, doa, pertaubatan, pengampunan, hormat, kasih sayang, belas kasihan, kerja, dan kegiatan rekreasi yang baik dan sihat.”1
Kita sangat terhutang budi kepada keluarga nabi Joseph Smith ke atas asuhannya. Keluarganya bukan sahaja memberi contoh keimanan dan doa tetapi juga pertaubatan, pengampunan, hormat, kasih sayang, belas kasihan, bekerja dan kegiatan rekreasi yang baik dan sihat.
Keturunan kamu mungkin akan berkata kamu diberkati kerana teladan doa dalam keluarga kamu. Kamu mungkin tidak akan membesarkan seorang hamba Tuhan yang hebat, tetapi doa dan teladan keimanan kamu akan menolong Tuhan Yesus Kristus untuk membesarkan para pengikut yang baik dan yang disayangi.
Dari segala yang kamu boleh pilih untuk menolong Tuhan, doalah pusatnya. Terdapatnya orang yang sederhana, tetapi apabila mereka berdoa, mereka mengilhamkan orang lain untuk membuka mata dan melihat siapa yang berada di situ. Kamu boleh menjadi orang sebegitu.
Tenungkanlah ertinya kepada mereka yang berlutut bersama kamu dalam doa keluarga. Apabila mereka merasai keimanan kamu ketika berdoa kepada Tuhan, iman mereka untuk berdoa kepada Tuhan juga akan bertambah. Apabila kamu mengucapkan doa kesyukuran kepada Tuhan untuk berkat yang telah diperoleh, keimanan mereka terhadap kasih sayang Tuhan akan bertambah, dan kerana Dia menjawab doa kamu dan Dia akan menjawab doa mereka juga. Ini hanya boleh berlaku dalam doa keluarga jika kamu telah mempunyai pengalaman tersebut dari masa ke masa dalam doa peribadi.
Saya masih diberkati oleh seorang bapa dan seorang ibu yang berdoa kepada Tuhan. Teladan mereka berkenaan dengan kuasa doa keluarga masih tetap memberkati generasi-generasi yang datang selepas mereka.
Anak-anak dan cucu-cucu saya diberkati setiap hari oleh teladan ibu bapa saya. Mereka telahpun mewarisi iman berkenaan seorang Tuhan penyayang yang mendengar dan menjawab doa. Kamu juga boleh mencipta pusaka sebegini dalam keluarga kamu. Saya doakan kamu akan berbuat demikian.
© 2015 oleh Intellectual Reserve, Inc. Semua hak terpelihara. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/14. Kelulusan penterjemahan: 6/14. Penterjemahan First Presidency Message, September 2015. Malay. 12589 348