“23 Oktober. Adakah Injil Tertulis di Hati Saya? Yeremia 30–33; 36; Ratapan 1; 3,” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri: Topik Ajaran 2022 (2021)
“23 Oktober. Adakah Injil Tertulis di Hati Saya?” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri: Topik Ajaran 2022
23 Oktober
Adakah Injil Tertulis di Hati Saya?
Berunding Bersama
Dipimpin oleh seorang ahli presidensi kuorum atau kelas; 10–20 minit
Pada permulaan pertemuan, ulang bersama-sama Tema Remaja Puteri atau Tema Kuorum Imamat Harun. Kemudian, pimpin perbincangan tentang pekerjaan penyelamatan dan permuliaan menggunakan satu atau beberapa soalan berikut atau soalan anda sendiri (lihat General Handbook, 10.2, 11.2, ChurchofJesusChrist.org). Rancang cara untuk bertindak berdasarkan perbincangan.
-
Menjalankan injil. Apakah yang kita bincangkan pada kali terakhir dan apakah jemputan atau tugasan yang telah dibuat? Apakah yang telah kita lakukan untuk memenuhi jemputan atau tugasan tersebut?
-
Jaga mereka yang memerlukan bantuan. Apakah yang boleh kita lakukan atau katakan untuk membantu mereka yang rasa bersendirian atau jauh daripada Bapa Syurgawi?
-
Jemput semua untuk menerima injil. Apakah beberapa cara yang kita boleh bantu orang lain merasakan kasih Yesus Kristus?
-
Satukan keluarga untuk keabadian. Apakah idea yang boleh kita kongsi dengan satu sama lain untuk membantu mengukuhkan keluarga kita?
Pada penghujung pelajaran, jika sesuai, lakukan perkara berikut:
-
Bersaksi tentang asas-asas yang diajar.
-
Ingatkan ahli kelas atau kuorum tentang rancangan dan jemputan yang telah dibuat dalam pertemuan.
Mengajar Ajaran
Dipimpin oleh seorang pemimpin dewasa atau remaja; 25–35 minit
Mempersiapkan Diri Secara Rohani
Tuhan memberitahu nabi Yeremia bahawa pada hari-hari yang akan datang, Dia akan mengumpulkan orang Israel dan membuat “perjanjian baharu” dengan umat-Nya. Dia mengisytiharkan, “Aku akan menyimpan hukum-Ku dalam batin mereka, dan menulisnya pada hati mereka. Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku” (lihat Yeremia 31:31–34). Zaman inilah yang dimaksudkan dan kitalah umat Tuhan. Ajaran-ajaran ini boleh mendorong anda—dan ahli kelas—untuk bertanya, Apakah maksudnya injil tertulis di hati saya? Adakah injil tertulis di hati saya? Jika tidak, apakah yang boleh saya lakukan?
Pertimbangkan bagaimana anda akan membantu ahli kelas atau kuorum merenungkan soalan ini untuk mereka sendiri. Untuk bersedia mengajar, anda boleh mencari pesanan daripada Yeremia 30–33; 36 dan daripada pesanan Presiden Russell M. Nelson “Membiarkan Tuhan Menang” (Liahona, Nov. 2020, 92–95) untuk dikongsi.
Belajar Bersama
Galakkan para remaja untuk membincangkan Yeremia 31:31–34. Anda boleh memberi mereka kertas berbentuk hati dengan beberapa soalan tentang maksud untuk menyimpan injil di dalam hati kita, seperti yang terdapat di “Mempersiapkan Diri Secara Rohani.” Para remaja boleh membaca ayat-ayat dari Yeremia secara individu, berpasangan atau dalam kumpulan kecil dan merenungkan bagaimana menjawab soalan ini. Minta mereka berkongsi soalan dan jawapan mereka. Berikut ialah idea lain yang boleh membantu anda mengajar para remaja bagaimana injil boleh tertulis di hati mereka.
-
Apabila Musa memberikan beberapa ajaran terakhirnya kepada orang Israel, dia menggesa mereka menerima firman Tuhan dalam hati mereka. Dia juga mengajar mereka bagaimana mereka boleh berbuat demikian, seperti yang terdapat dalam Ulangan 6:3–9. Baca ayat ini bersama dan bincangkan cara kita boleh melakukan perkara yang Musa nasihatkan. Mereka boleh mempelajari Alma 5:14, 26–35 untuk mencari ajaran Alma tentang bagaimana kita boleh memastikan injil tertulis di hati kita.
-
Jemput para remaja untuk membaca “Penukaran Hati” dalam Panduan Tulisan Suci dan cari beberapa tulisan suci yang dirujuk di situ. Bantu mereka mencari petikan yang mengajar tentang bagaimana penukaran hati mempengaruhi hati kita. Apakah peranan yang Juruselamat dalam penukaran hati kita? Apakah peranan kita? Galakkan para remaja untuk berkongsi jawapan dan pandangan yang mereka temui. Apakah pengalaman yang telah membantu kita memastikan injil tertulis di hati kita? Apakah peranan mematuhi perjanjian kita dalam proses ini?
-
Presiden Russell M. Nelson menjelaskan istilah orang Israel “merujuk kepada seorang yang sudi membiarkan Tuhan menang dalam hidupnya” (“Membiarkan Tuhan Menang,” 92). Anda boleh menjemput para remaja untuk menyelidiki enam perenggan pertama dari pesanan Presiden Nelson dan bahagian terakhir pesanan tersebut, bermula dengan “Soalan untuk kita”. Minta mereka untuk mencari sesuatu yang membantu mereka memahami maksud “membiarkan Tuhan menang” dalam hidup mereka. Apakah perasaan dan tindakan kita apabila Tuhan menang dalam hidup kita? Apakah yang Presiden Nelson ajarkan tentang memastikan injil tertulis di hati kita mempengaruhi usaha kita untuk mengumpulkan orang Israel?
Bertindak dengan Iman
Galakkan ahli kelas atau kuorum untuk merenungkan dan mencatatkan perkara yang mereka akan lakukan untuk bertindak menurut tanggapan yang mereka terima. Jika sudi, mereka boleh berkongsi idea mereka. Jemput mereka untuk fikirkan bagaimana hubungan mereka dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus boleh diperkukuhkan semasa mereka bertindak mengikut tanggapan.
Sumber-sumber Berkaitan
-
Linda K. Burton, “Adakah Iman dalam Penebusan Yesus Kristus Tertulis dalam Hati Kita?” (Liahona, Nov. 2012, 111–15)