Ikutlah Aku 2024
15–21 April: “Dia Bekerja dalam Diriku untuk Melakukan menurut Kehendak-Nya.” Enos–Kata-Kata Mormon


“15–2 April: ‘Dia Bekerja dalam Diriku untuk Melakukan menurut Kehendak-Nya.’ Enos–Kata-Kata Mormon,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2024)

“15–21 April. Enos–Kata-kata Mormon,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2024)

Pemuda Enos bersama ayahnya, Yakub, dan ibunya

Jacob and Enos [Yakub dan Enos], oleh Scott Snow

15–21 April: “Dia Bekerja dalam Diriku untuk Melakukan menurut Kehendak-Nya”

Enos–Kata-Kata Mormon

Walaupun Enos pergi ke hutan untuk memburu binatang untuk memuaskan kelaparan jasmani, dia akhirnya tinggal di sana sepanjang siang dan malam kerana “jiwa [nya] lapar.” Kelaparan ini membawa Enos untuk “menaikkan suara [nya] sehingga ia mencapai syurga.” Dia menggambarkan pengalaman ini sebagai satu pergelutan di hadapan Tuhan (lihat Enos 1:2–4). Dari Enos kita pelajari bahawa doa adalah usaha ikhlas untuk mendekati Tuhan dan mencari kehendak-Nya. Apabila anda berdoa dengan niat ini, anda akan temui, seperti yang Enos temui, bahawa Tuhan mendengar anda dan benar-benar prihatin tentang anda, orang yang anda kasihi, dan bahkan musuh anda (lihat Enos 1:4–17). Apabila anda tahu kehendak-Nya, anda dapat melakukan kehendak-Nya dengan lebih baik. Seperti Mormon, anda mungkin “tidak mengetahui segalanya; tetapi Tuhan mengetahui segalanya … oleh kerana itu, Dia bekerja dalam [dirimu] untuk melakukan menurut kehendak-Nya” (Kata-kata Mormon 1:7).

Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja

Enos 1:1–17

Tuhan akan mendengar dan menjawab doa saya.

Pengalaman doa anda mungkin kurang dramatik berbanding pengalaman Enos, tetapi ia tidak seharusnya kurang bermakna. Berikut adalah beberapa soalan untuk difikirkan semasa anda mengkaji Enos 1:1–17:

  • Apakah perkataan yang menggambarkan usaha Enos semasa dia berdoa?

  • Bagaimana doa Enos berubah dari ayat 4 ke 11?

  • Apakah yang saya pelajari dari Enos yang boleh membantu memperbaiki doa saya?

Lihat juga “Indahlah Saat Berdoa,” Nyanyian Rohani, no. 57.

Berkongsi soalan perbincangan. Jika anda mengajar orang lain, pertimbangkan untuk letak soalan yang anda ingin bincangkan di tempat yang menonjol supaya semua orang dapat melihatnya. Ini membantu orang merenungkan soalan dan memberi jawapan yang lebih berilham.

Enos 1:1–4

ikon seminari
Tuhan boleh membantu saya mempengaruhi keluarga saya untuk kebaikan.

Mungkin ada seseorang dalam keluarga anda yang berharap anda boleh bantunya datang kepada Kristus, tetapi anda tertanya jika usaha anda mendatangkan perbezaan. Apakah yang anda pelajari boleh dari Enos 1:1–4 tentang pengaruh Yakub terhadap anak lelakinya Enos? Contohnya, apakah maksud “dalam asuhan dan nasihat Tuhan” kepada anda? Bagaimanakah anda boleh menjemput pengaruh-Nya ke dalam rumah anda?

Semasa anda berfikir tentang keluarga anda sendiri, pertimbangkan soalan dan sumber-sumber ini:

Elder Dieter F. Uchtdorf berkongsi nasihat berguna untuk keluarga dalam “Pujian Kepada Orang Yang Menyelamatkan” (Ensign atau Liahona, Mei 2016, 77–80). Apakah yang pesanannya mengilhami anda untuk lakukan untuk memperkuatkan keluarga anda? (lihat terutamanya bahagian yang bertajuk “Menyelamatkan Keluarga Kita”).

Enos 1:1–18

Saya boleh menerima pengampunan apabila saya beriman kepada Kristus.

Kadangkala anda mungkin tertanya jika dosa-dosa anda telah diampuni, bahkan setelah anda telah bertaubat akan dosa-dosa itu. Apakah pandangan yang anda peroleh dari pengalaman dalam Enos 1:1–8? Bagaimanakah Enos tunjukkan imannya kepada Yesus Kristus sebelum dan selepas dia menerima pengampunan?

Yarom–Omni

Semasa saya berusaha untuk mematuhi perintah-Nya, Tuhan akan memberkati saya.

Kitab Yarom dan Omni menggambarkan hubungan antara kesolehan dan kemakmuran. Apakah yang anda pelajari dari Yarom 1:7–12; Omni 1:5–7, 12–18? Bagaimanakah definisi duniawi tentang kemakmuran berbeza daripada definisi Tuhan? Bagaimanakah Tuhan membantu umat-Nya makmur? (lihat Alma 37:13; 48:15–16).

Omni 1:25–26

“Datang kepada Tuhan, Yang Kudus dari Israel.”

Jemputan “Datang kepada Kristus” sering muncul dalam Kitab Mormon. Malah, salah satu tujuan utama kitab ini adalah untuk menghulurkan jemputan ini kepada semua orang. Semasa anda membaca Omni 1:25–26, apakah perkataan atau frasa yang anda temui yang menggambarkan bagaimana untuk datang kepada Kristus? Apakah yang anda akan lakukan untuk lebih sepenuhnya datang kepada-Nya?

Mormon menyusun kepingan-kepingan emas

Mormon Compiling the Plates [Mormon Menyusun Kepingan-kepingan], oleh Jorge Cocco

Kata-kata Mormon 1:1–8

Tuhan akan bekerja melalui saya semasa saya mengikuti bimbingan-Nya.

Satu sebab Tuhan mengilhami Mormon untuk memasukkan kepingan-kepingan kecil Nefi dalam Kitab Mormon adalah kerana Tuhan tahu bahawa 116 halaman pertama yang diterjemahkan akan hilang (lihat Ajaran dan Perjanjian 10). Mengapakah anda bersyukur kerana Mormon mengikuti arahan Tuhan untuk memasukkan tulisan-tulisan ini (yang terdiri daripada 1 Nefi hingga Omni)? Apakah sebab-sebab yang Mormon masukkannya? (lihat Kata-kata Mormon 1:3–7). Bilakah anda pernah melihat Tuhan bekerja melalui anda atau orang lain?

Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak

Enos 1:1–5

Saya boleh bercakap dengan Bapa Syurgawi melalui doa.

  • Bagaimanakah anda dapat membantu anak-anak anda menjadikan doa mereka lebih bermakna? Pertimbangkan untuk tunjukkan mereka gambar Enos sedang berdoa; minta mereka gambarkan apa yang mereka lihat. Mereka kemudian boleh tutup mata dan bayangkan mereka sedang bercakap dengan Bapa Syurgawi secara bersemuka. Apakah yang mereka ingin katakan? Apakah yang mungkin Dia ingin katakan kepada mereka?

  • Semasa anda membaca Enos 1:1–5 dengan kuat, kanak-kanak yang lebih kecil boleh berpura-pura menjadi Enos dengan berlakon berburu, berlutut untuk berdoa, dan sebagainya. Kanak-kanak yang lebih besar boleh mendengar perkataan atau frasa yang menggambarkan doa Enos. Apakah yang kata-kata ini ajarkan kita tentang doa Enos? Kongsi satu pengalaman ketika jiwa anda “lapar” dan anda “berseru kepada” Tuhan (Enos 1:4).

keluarga berdoa

Sebagai anak Tuhan, kita boleh berdoa kepada Bapa Syurgawi.

Enos 1:2–16

Bapa Syurgawi mendengar dan menjawab doa-doa saya.

  • Bagaimanakah anda dapat membantu anak-anak anda fahami Bapa Syurgawi akan mendengar dan menjawab doa-doa mereka? Jemput mereka untuk senaraikan beberapa perkara yang mereka sering doakan. Kemudian anda boleh membantu mereka mencari apa yang Enos doakan dalam Enos 1:2, 9, 13–14 dan 16 (lihat juga“Bab 11: Enos,” Cerita-Cerita Kitab Mormon, 30–31).

    Apakah hasil doa Enos? (lihat ayat 6, 9, 11).

    Apakah yang kita pelajari dari pengalaman Enos tentang bagaimana untuk memperbaiki doa kita?

  • Nyanyi bersama lagu tentang doa, seperti “Doa Seorang Anak” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 6). Mungkin anak-anak boleh mengangkat tangan mereka setiap kali mereka mendengar perkataan “berdoa” atau “doa” atau perkataan lain yang berulang. Beritahu anak-anak anda tentang beberapa cara Bapa Syurgawi telah menjawab doa-doa anda.

Kata-kata Mormon 1:3–8

Saya boleh memberkati orang lain apabila saya mendengar Roh Kudus.

  • Mormon mengikut bimbingan Roh Kudus untuk memasukkan kepingan-kepingan kecil Nefi dalam Kitab Mormon. Semua yang kita telah pelajari dalam Kitab Mormon setakat ini pada tahun ini telah datang kepada kita kerana Mormon membuat pilihan untuk mendengar Roh. Bagaimanakah anda dapat membantu anak-anak anda belajar tentang mendengar Roh? Jemput mereka bergilir membaca ayat-ayat daripada Kata-kata Mormon 1:3–8. Anda boleh bercakap tentang apa yang mereka pelajari dari setiap ayat. Anak-anak anda kemudian boleh:

    • Kongsi apa yang telah mereka pelajari daripada cerita-cerita dalam Kitab Mormon tahun ini (gambar dari Ikutlah Aku boleh membantu mereka ingat).

    • Nyanyi bersama satu lagu tentang Roh Kudus, seperti “Suara Yang Lembut” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 142).

    • Bincangkan pengalaman di mana mereka pernah dibimbing oleh Roh untuk melakukan sesuatu yang memberkati orang lain.

Enos berdoa

Enos Praying [Enos Sedang Berdoa], oleh Robert T. Barrett