“22–28 April: ‘Dipenuhi dengan Kasih terhadap Tuhan dan Semua Manusia.’ Mosia 1–3,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2024)
“22–28 April. Mosia 1–3,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2024)
22–28 April: “Dipenuhi dengan Kasih terhadap Tuhan dan Semua Manusia”
Mosia 1–3
Apabila anda mendengar perkataan raja, anda mungkin terfikir mahkota, hamba dan takhta. Dalam Mosia 1–3, anda akan membaca tentang raja yang berbeza. Daripada hidup bergantung kepada hasil usaha rakyatnya, Raja Benyamin “telah bekerja dengan tangan [dia] sendiri” (Mosia 2:14). Daripada membiarkan orang melayani dia, dia telah melayani rakyatnya “dengan segala daya, fikiran dan kekuatan yang [telah] diberikan kepada [dia]” (Mosia 2:11). Raja ini tidak mahu rakyatnya menyembahnya; sebaliknya, dia mengajar mereka untuk menyembah Raja Syurgawi mereka, Yesus Kristus. Raja Benyamin faham “Tuhan Yang Maha Kuasa yang memerintah” (Mosia 3:5), yang datang “turun dari syurga” dan pergi ke “kalangan manusia, … agar keselamatan boleh datang kepada anak-anak manusia bahkan melalui iman pada nama-Nya” (Mosia 3:5, 9).
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
“Menyelidiki [tulisan suci] dengan tekun.”
Dalam ayat-ayat ini, perhatikan bagaimana catatan kudus itu memberkati rakyat Raja Benyamin. Bagaimanakah kehidupan anda lebih baik kerana adanya tulisan suci?
Ketika saya melayani orang lain, saya juga melayani Tuhan.
Apakah yang anda fikir Raja Benyamin akan katakan jika anda tanya mengapa dia melayani dengan segala “daya, fikiran dan kekuatan”? (Mosia 2:11). Renungkan ini semasa anda membaca Mosia 2:10–26. Apakah ajaran Raja Benyamin yang mengilhami anda untuk melayani orang lain dengan cara yang lebih bermakna? Contohnya, apakah maksud apabila anda melayani orang lain, anda juga melayani Tuhan? (lihat Mosia 2:17). Cari ilham tentang bagaimana anda boleh melayani seseorang minggu ini.
Walaupun kita tahu kita harus melayani orang lain, kita kadangkala menghadapi cabaran. Satu lagi cara untuk mengkaji Mosia 2:10–26 adalah untuk senaraikan kebenaran yang Raja Benyamin ajarkan yang dapat membantu anda mengatasi cabaran yang menghalang anda dari melayani. Apakah pengalaman yang menunjukkan apa yang Raja Benyamin ajarkan adalah benar?
Presiden Joy D. Jones berkongsi pengalaman berkuasa yang mengubah cara dia rasa tentang melayani orang lain. Baca tentang ini dalam “Untuk-Nya” (Ensign atau Liahona, Nov. 2018, 50–52), dan fikirkan peluang yang anda ada untuk melayani orang lain. Anda boleh senaraikan beberapa dan merenungkan bagaimana pesanan Presiden Jones, dan Mosia 2:17, boleh mempengaruhi cara anda mendekati peluang ini. Lagu rohani seperti “Pengembara yang Sengsara” (Nyanyian Rohani, no. 17) boleh membantu anda fikirkan pandangan tambahan.
Lihat juga Matius 25:40.
Kebahagiaan datang dari mematuhi perintah-perintah Tuhan.
Bagaimanakah anda menggambarkan kebahagiaan yang datang daripada kepatuhan kepada Tuhan? Adakah sebarang frasa dalam Mosia 2:38–41 yang akan membantu anda menjelaskan mengapa anda mematuhi perintah-Nya?
Saya boleh menjadi orang suci melalui Korban Tebusan Yesus Kristus.
Raja Benyamin, seperti semua nabi, bersaksi tentang Yesus Kristus agar rakyatnya “boleh menerima pengampunan dosa-dosa mereka, dan bersukacita dengan kebahagiaan yang amat besar” (Mosia 3:13). Berikut adalah beberapa soalan untuk direnungkan semasa anda membaca kesaksian Raja Benyamin tentang Juruselamat dalam Mosia 3:1–20:
-
Apakah yang saya pelajari dari ayat-ayat tersebut tentang Juruselamat dan misi-Nya?
-
Apakah yang saya pelajari dari Mosia 3:18–19 tentang maksud menjadi orang suci?
-
Bagaimanakah Yesus Kristus telah membantu saya mengatasi dosa, mengubah sifat saya, dan menjadi lebih seperti orang suci?
“Tuhan Yang Maha Kuasa … akan turun dari syurga.”
Apakah yang anda boleh lakukan dengan kuasa elektrik? Bagaimanakah kehidupan anda akan berbeza tanpanya? Soalan-soalan ini boleh membantu anda merenungkan kuasa yang lebih besar yang Juruselamat boleh bawa ke dalam hidup anda.
Malaikat yang muncul kepada Raja Benyamin merujuk Yesus Kristus sebagai “Tuhan Yang Maha Kuasa,” sebuah gelaran yang bermaksud Dia mempunyai segala kuasa. Apakah yang anda pelajari dari Mosia 3:5–21 tentang bagaimana Juruselamat menggunakan kuasa itu? Bagaimanakah anda telah melihat kuasa Juruselamat dalam kehidupan anda dan dalam kehidupan orang di sekeliling anda? Apakah yang anda boleh buat dan menjadi dengan kuasa-Nya? Bagaimanakah kehidupan anda akan berbeza tanpanya?
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Ketika saya melayani orang lain, saya sedang melayani Tuhan.
-
Halaman aktiviti minggu ini mempunyai mahkota mudah yang anak-anak anda boleh buat. Mereka boleh bergilir berdiri di atas kerusi atau bangku dan berpura-pura menjadi Raja Benyamin semasa anda berkongsi beberapa hal yang Raja Benyamin ajarkan kepada rakyatnya, dalam Mosia 2–3. Anda juga boleh berkongsi dengan mereka “Bab 12: Raja Benyamin” (Cerita-Cerita Kitab Mormon, 32–35) untuk memberi mereka gambaran tentang ajaran Raja Benyamin.
-
Mosia 2:17 boleh menjadi ayat yang baik untuk anak-anak anda belajar. Anda boleh bantu mereka mengulangi beberapa perkataan pada satu masa. Atau anda boleh menulis ayat itu, dengan beberapa kata kunci yang hilang, dan minta anak-anak anda mencari perkataan yang hilang. Kemudian anda boleh bercakap dengan anak-anak anda tentang mengapa Tuhan mahu kita melayani satu sama lain.
-
Anda boleh membantu anak-anak anda selidiki Mosia 2:11–18 untuk tahu apa yang Raja Benyamin lakukan untuk melayani orang lain. Kemudian anak-anak anda boleh menulis pada jalur kertas beberapa cara mereka boleh melayani ahli keluarga. Letakkan kertas dalam bekas, seperti beg atau balang, supaya anak-anak anda boleh pilih satu setiap hari dan melakukan pelayanan itu untuk seseorang.
Semua berkat saya datang daripada Bapa Syurgawi.
-
Pelayanan Raja Benyamin kepada rakyatnya diilhami oleh kesyukurannya yang mendalam kepada Tuhan. Bagaimanakah anda akan mengilhami perasaan serupa dalam anak-anak anda? Anda boleh membaca Mosia 2:21 bersama dan senaraikan berkat yang Bapa Syurgawi telah berikan kepada kita. Kemudian anda boleh menambah berkat lain yang anak-anak fikirkan.
-
Ini adalah permainan yang anda boleh main untuk membantu anak-anak anda mengenali berkat Bapa Syurgawi. Anak-anak boleh mengedarkan gambar Juruselamat semasa mereka menyanyi atau mendengar lagu tentang kesyukuran (lihat “Kesyukuran” dalam indeks topik Buku Nyanyian Anak-Anak). Berhenti menyanyi atau hentikan muzik secara berkala, dan jemput sesiapa yang memegang gambar itu untuk bercakap tentang berkat yang mereka syukuri. Menurut Mosia 2:22–24, bagaimanakah kita dapat tunjukkan kesyukuran atas berkat kita?
Yesus Kristus akan membantu saya menjadi lebih seperti Dia.
-
Seorang malaikat memberitahu Raja Benyamin kebenaran penting mengenai kehidupan dan pelayanan Yesus Kristus. Mungkin anda dan anak-anak anda boleh mencari gambar beberapa peristiwa yang disebut dalam Mosia 3:5–10 (lihat, contohnya, Buku Seni Injil, no. 30, 41, 42, 57, 59). Semasa anda membaca Mosia 3:5–10, anak-anak anda boleh mengangkat tangan apabila mereka mendengar sesuatu dalam ayat itu yang muncul dalam salah satu gambar.
-
Pernahkah anak-anak anda membantu menyediakan makanan dengan menggunakan resipi? Mungkin anda boleh bercakap tentang pengalaman itu dan guna Mosia 3:19 untuk menghasilkan “resipi” bagaimana kita boleh menjadi seperti Yesus Kristus. Bagaimanakah Yesus Kristus membantu kita menjadi seperti Dia?