“6–12 Mei: ‘Dalam Kekuatan Tuhan.’ Mosia 7–10,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2024)
“6–12 Mei. Mosia 7–10,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2024)
6–12 Mei: “Dalam Kekuatan Tuhan”
Mosia 7–10
Sementara orang Raja Mosia hidup dalam keadaan “kedamaian berterusan” (Mosia 7:1), fikiran mereka berpaling kepada sekumpulan bangsa Nefi, yang bertahun dulu telah pergi ke tanah Lehi-Nefi. Beberapa generasi telah berlalu, dan orang Mosia masih tidak dengar apa-apa daripada mereka. Jadi Mosia meminta Amon untuk mengetuai kumpulan carian untuk mencari bangsa Nefi itu. Kumpulan carian mendapati bangsa Nefi ini, “kerana kederhakaan” (Mosia 7:24), berada dalam tawanan bangsa Laman. Tetapi dengan ketibaan Amon dan saudaranya, kini adanya harapan untuk pembebasan.
Ada masanya kita seperti bangsa Nefi yang tertawan ini, menderita kerana dosa kita, dan tertanya bagaimana kita boleh mencari kedamaian semula. Ada masanya kita seperti Amon, kita didorong untuk menjangkau kepada orang lain dan akhirnya usaha kita telah mengilhami mereka untuk “angkat kepala [mereka], dan bersukacita, dan taruh kepercayaan [mereka] kepada Tuhan” (Mosia 7:19). Tidak kira keadaan, kita semua perlu bertaubat dan “berpaling kepada Tuhan dengan maksud hati yang sepenuhnya”, dengan iman yang “Dia akan … membebaskan [kita]” (Mosia 7:33).
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Yesus Kristus berkuasa untuk membebaskan saya.
Bertemu dengan Amon memberi Raja Limhi harapan, dan dia ingin sampaikan harapan itu kepada rakyatnya. Mungkin kata-katanya juga dapat memberi anda harapan. Untuk konteks, pertimbangkan untuk menyemak keadaan rakyat Limhi dalam Mosia 7:20–25. Kemudian renungkan soalan-soalan ini semasa anda membaca Mosia 7:14–33:
-
Apakah yang Limhi katakan untuk menguatkan iman dan harapan rakyatnya kepada Kristus?
-
Apakah frasa-frasa yang membantu anda merasa harapan? (lihat ayat 19, 33).
-
Apakah pengalaman yang telah membantu anda percaya bahawa Tuhan boleh dan akan membebaskan anda?
Lihat juga “Penebus Israel,” Nyanyian Rohani, no. 5.
Saya diciptakan “menurut rupa Tuhan.”
Dalam Mosia 7:26–27, Limhi menjelaskan beberapa kebenaran yang Abinadi ajarkan. Apakah kebenaran yang anda boleh kenal pasti dalam ayat-ayat ini? Bagaimanakah kebenaran ini mempengaruhi cara anda melihat Tuhan dan diri sendiri?
Tuhan menyediakan para nabi, pelihat, dan pewahyu untuk manfaat manusia.
Apabila Limhi mendengar kesaksian Amon bahawa Tuhan telah menghantar seorang pelihat, Limhi “amat bersukacita, dan bersyukur kepada Tuhan” (Mosia 8:19). Mengapakah dia berasa begitu? Apakah yang anda pelajari tentang pelihat dari kata-kata Amon dalam Mosia 8:13–19?
Hari ini, kita sokong Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul sebagai nabi, pelihat, dan pewahyu. Bagaimanakah mereka telah menjadi “manfaat yang besar” kepada anda? (Mosia 8:18). Apakah yang mereka telah ajarkan anda tentang Yesus Kristus?
Bagaimanakah anda, seperti Amon, bercakap dengan berani tentang keperluan untuk nabi, pelihat, dan pewahyu? (lihat Mosia 8:13–18). Contohnya, apa yang anda boleh kongsi dengan keluarga anda atau di media sosial tentang:
-
Kebenaran-kebenaran yang telah dipulihkan pada zaman kita oleh Joseph Smith dan nabi-nabi lain Tuhan (seperti sifat Tuhan, identiti ilahi kita atau sifat abadi keluarga). Mengkaji “Pemulihan Kegenapan Injil Yesus Kristus” atau “Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia” (Gospel Library) boleh membantu anda fikirkan beberapa kebenaran ini.
-
Berkat-berkat perintah atau tatacara (seperti Kata-kata Bijaksana, hukum kemurnian akhlak, atau pemeteraian keluarga).
Bulan lepas, kita dengar daripada nabi, pelihat, dan pewahyu dalam persidangan umum. Apakah pesanan yang mengilhami anda? Apakah yang akan anda lakukan secara berbeza berdasarkan apa yang anda pelajari? Apakah yang para pelihat Tuhan katakan tentang “hal yang akan datang”? (Mosia 8:17).
Saya boleh menghadapi cabaran saya “dalam kekuatan Tuhan.”
Zenif mengakui bahawa kesilapannya telah meletakkan rakyatnya dalam situasi sukar. Tetapi kemudiannya, semasa pertempuran melawan bangsa Laman, dia membantu rakyatnya menghadapi cabaran mereka dengan iman kepada Tuhan. Semasa anda membaca Mosia 9–10, lihat apa yang orang Zenif lakukan untuk menunjukkan iman mereka. Bagaimanakah Tuhan menguatkan mereka? Bagaimanakah Dia telah menguatkan anda? Apakah maksud ke hadapan “dengan kekuatan Tuhan”? (Mosia 9:17; 10:10–11).
Pilihan saya boleh mempengaruhi banyak generasi.
Semasa anda membaca Mosia 10:11–17, kenal pasti bagaimana tindakan dan sikap generasi terdahulu bangsa Laman mempengaruhi generasi seterusnya. Apakah yang ini cadangkan tentang bagaimana pilihan anda boleh mempengaruhi orang lain—untuk yang baik atau jahat—termasuk orang yang belum dilahirkan?
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Tuhan membantu orang dalam tulisan suci, dan Dia boleh membantu saya.
-
Ketika rakyatnya dalam kesusahan, Raja Limhi berkongsi tulisan suci untuk membina iman mereka. Tanyakan anak-anak anda tentang cerita atau watak tulisan suci yang membantu mereka beriman. Kemudian anda boleh bacakan mereka Mosia 7:19 dan semak semula kisah-kisah yang disebutkan dalam ayat ini (lihat “Paskah” dan “Orang Israel di Padang Belantara” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama, 70–76). Mungkin anak-anak anda boleh melakonkannya. Bagaimanakah Tuhan membantu orang-orang dalam cerita ini? Bagaimanakah Dia boleh membantu kita?
-
Untuk lebih banyak contoh bagaimana Tuhan membantu kita, pilih beberapa ayat dari “Kisah Kitab Mormon” atau “Keberanian Nefi” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 62, 64) untuk dinyanyikan bersama anak-anak anda. Bantu mereka mengenal pasti bagaimana Tuhan membantu orang dalam Kitab Mormon—dan bagaimana Dia boleh membantu kita.
Tuhan telah memberikan kita nabi, pelihat dan pewahyu.
-
Salah satu cara untuk mengajar tentang pelihat adalah untuk membandingkannya dengan hal-hal yang membantu kita melihat dengan lebih baik, seperti cermin mata, binokular, atau mikroskop. Kemudian semasa anda bacakan anak-anak Mosia 8:17, mereka boleh letak tangan mereka ke mata seperti mereka melihat melalui binokular setiap kali mereka mendengar perkataan “pelihat” (lihat juga Musa 6:35–36). Beritahu mereka tentang hal yang Tuhan bantu para nabi “lihat” yang kita tidak dapat. Apakah yang telah para nabi atau pelihat kita, seperti Joseph Smith, telah ungkapkan kepada kita?
-
Selepas membaca Mosia 8:16–18 dengan anak-anak anda, anda boleh membantu mereka fikirkan cara untuk melengkapkan ayat seperti Pelihat adalah seperti … yang membantu kita … . Contohnya, seorang pelihat adalah seperti isyarat lalu lintas yang mengarahkan kita kepada Yesus.
-
Anda juga boleh membuat tapak kaki kertas dan jemput anak-anak anda untuk melukis padanya tentang hal-hal yang nabi, pelihat, dan pewahyu telah menasihati kita untuk lakukan. Letakkan tapak kaki di jalan di sekeliling bilik, dan minta anak-anak anda berjalan di atas tapak kaki ini. Bagaimanakah seorang pelihat boleh menjadi “manfaat yang besar” kepada kita? (lihat Mosia 8:17–18).
Apabila saya lemah, Tuhan dapat menguatkan saya.
-
Apabila kanak-kanak menghadapi cabaran, mereka kadang-kadang berasa lemah dan tidak berdaya. Bagaimanakah anda akan membantu anak-anak anda bergantung pada kekuatan Tuhan? Anda boleh tanyakan mereka apa yang kita lakukan untuk menjadi kuat secara fizikal. Apakah maksud mempunyai “kekuatan manusia”? (Lihat Mosia 10:11). Apakah maksud mempunyai “kekuatan Tuhan”? (lihat Mosia 9:17–18; 10:10). Bagaimanakah kita menerima kekuatan Tuhan? Anak-anak anda boleh melukis hal-hal yang membantu mereka menerima kekuatan Tuhan.