“20–26 Mei: ‘Kita Telah Masuk ke dalam sebuah Perjanjian dengan-Nya.’ Mosia 18–24,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2024)
“20–26 Mei. Mosia 18–24,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2024)
20–26 Mei: Kita Telah Masuk ke dalam sebuah Perjanjian dengan-Nya
Mosia 18–24
Laporan tentang Alma dan orangnya dalam Mosia 18; 23–24 menunjukkan maksud untuk “datang ke dalam kawanan Tuhan” (Mosia 18:8). Apabila orang Alma dibaptiskan, mereka buat perjanjian dengan Tuhan untuk “melayani-Nya dan mentaati perintah-perintah-Nya“ (Mosia 18:10). Walaupun ini adalah komitmen peribadi dengan Tuhan, ia juga berkaitan dengan cara mereka memperlakukan satu sama lain. Ya, perjalanan kembali kepada Bapa Syurgawi adalah individu, tidak ada seorang pun boleh mentaati perjanjian kita untuk kita, tetapi ini tidak bermakna kita bersendirian. Kita memerlukan satu sama lain. Sebagai ahli Gereja Kristus, kita berjanji untuk melayani Tuhan dengan membantu dan melayani satu sama lain di sepanjang jalan, “menanggung beban satu sama lain” (Mosia 18:8–10). Orang Alma tentunya ada beban, seperti kita semua. Satu cara Tuhan membantu kita “menanggung beban [kita] dengan mudah” (Mosia 24:15) adalah dengan memberikan kita satu komuniti Orang Suci yang berjanji untuk berdukacita bersama kita dan menghiburkan kita, seperti yang kita telah janji untuk lakukan bagi mereka.
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Apabila saya dibaptiskan, saya membuat perjanjian dengan Tuhan.
Pertimbangkan betapa dalamnya perasaan orang-orang percaya dalam Mosia 18 terhadap Yesus Kristus. Mereka perlu bertemu secara rahsia, dalam risiko besar, untuk belajar tentang Dia (lihat ayat 3). Dan apabila diberikan peluang untuk menunjukkan komitmen mereka melalui perjanjian pembaptisan, “mereka bertepuk tangan kerana sukacita, dan berseru: Inilah hasrat hati kami” (Mosia 18:11).
Membaca ayat-ayat ini boleh menjadi peluang yang baik untuk merenungkan betapa pentingnya perjanjian anda kepada anda. Semasa anda mengkaji Mosia 18:8–14 secara khusus, pertimbangkan soalan-soalan seperti ini:
-
Apakah yang anda boleh pelajari dari ayat-ayat ini tentang perjanjian yang anda buat semasa pembaptisan? Apakah yang Tuhan janjikan kepada anda? (lihat ayat 10, 13).
-
Bagaimanakah perjanjian untuk melayani Tuhan berkaitan dengan usaha kita untuk melayani satu sama lain? (lihat ayat 8–9).
-
Apakah maksud untuk “berdiri sebagai saksi bagi Tuhan”? (ayat 9).
-
Bagaimanakah menjaga perjanjian pembaptisan membantu anda “dipenuhi dengan Roh”? (Mosia 18:14). Bagaimanakah Roh membantu anda menjaga perjanjian anda?
Menjawab soalan-soalan ini boleh membawa anda untuk merenungkan mengapa perjanjian dan tatacara adalah penting bagi Tuhan. Anda boleh dapatkan pandangan dalam pesanan Elder Gerrit W. Gong “Pemilikan Perjanjian” (Liahona, Nov. 2019, 80–83) atau pesanan Presiden Jean B. Bingham “Perjanjian dengan Tuhan Menguatkan, Melindungi, dan Menyediakan Kita untuk Kemuliaan Abadi” (Liahona, Mei 2022, 66–69). Mengapakah anda bersyukur untuk perjanjian anda? Apakah yang anda lakukan untuk mentaati janji anda?
Tuhan memerintahkan umat-Nya untuk berkumpul, mengatur, dan bersatu.
Sesetengah orang tertanya, mengapakah kita memerlukan gereja? Selidiki Mosia 18:17–31, carilah nilai yang orang-orang Alma temui dalam pengumpulan di “gereja Kristus” (Mosia 18:17). Apakah persamaan yang anda lihat dalam Gereja Yesus Kristus di zaman Alma dan zaman kita?
Bagaimanakah anda akan menjawab seorang kawan atau ahli keluarga yang tidak percaya bahawa gereja teratur diperlukan? Mengapakah anda bersyukur menjadi ahli Gereja Yesus Kristus?
Fikirkan tentang apa yang anda boleh lakukan untuk membantu ahli bahagian atau cabang anda “terkait bersama dalam perpaduan dan dalam kasih” (Mosia 18:21).
Lihat juga Dallin H. Oaks, “Keperluan Untuk Gereja,” Liahona, Nov. 2021, 24–26; “Saling Mengasihi,” Nyanyian Rohani, no. 150.
Tuhan membantu mengangkat beban saya.
Rakyat Limhi dan orang Alma jatuh ke dalam perhambaan, walaupun dalam keadaan yang berbeza. Apakah yang anda dapat pelajari dengan membandingkan laporan rakyat Limhi dalam Mosia 19–22 dan orang Alma dalam Mosia 18; 23–24? Semasa anda berbuat demikian, cari pesanan yang anda boleh gunakan dalam hidup anda. Contohnya, apakah maksudnya “makmur secara beransur-ansur”? (Mosia 21:16). Bagaimanakah anda boleh menggunakan asas ini?
Saya boleh percaya Tuhan.
Walaupun mereka telah bertaubat akan dosa-dosa mereka, Alma dan orangnya masih berada dalam perhambaan. Pengalaman mereka menunjukkan bahawa mempercayai Tuhan dan menjalankan perjanjian kita tidak selalu menghilangkan cabaran kita, tetapi ia membantu kita mengatasinya. Semasa anda membaca Mosia 23:21–24 dan 24:8–17, catat perkataan dan frasa yang boleh membantu anda belajar untuk percaya kepada Tuhan, tanpa mengira keadaan anda.
Lihat juga David A. Bednar, “Menanggung Beban Mereka dengan Mudah,” Liahona, Mei 2014, 87–90.
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Apabila saya dibaptiskan, saya membuat perjanjian dengan Tuhan.
-
Satu cara penting untuk bantu anak-anak anda bersedia untuk pembaptisan adalah dengan mengajar mereka tentang perjanjian pembaptisan yang mereka akan buat. Ini mungkin semudah menunjukkan gambar pada akhir panduan minggu ini dan membaca tentang perjanjian dengan mereka dalam Mosia 18:9–10. Pertimbangkan untuk menjemput seorang anak yang telah dibaptiskan untuk mengajar ini kepada anak-anak yang lebih kecil. Anak-anak anda mungkin suka dengar tentang pembaptisan anda. Bagaimanakah mentaati perjanjian anda dengan Tuhan telah memberkati hidup anda?
-
Kanak-kanak yang telah dibaptiskan memerlukan peringatan yang kerap tentang perjanjian yang mereka buat dan perbaharui setiap minggu dengan sakramen. Mungkin anak-anak anda boleh membandingkan perjanjian pembaptisan dalam Mosia 18:8–10 dengan doa sakramen (lihat Ajaran dan Perjanjian 20:77, 79). Bagaimanakah kita menjadikan sakramen sebagai masa yang istimewa dan takzim, sama seperti pembaptisan kita?
Apabila saya dibaptiskan, saya menjadi ahli Gereja Yesus Kristus.
-
Adakah anak-anak anda tahu apa maknanya untuk menjadi ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir? Pertimbangkan untuk membantu mereka mencari gambar yang mewakili hal yang ahli Gereja lakukan dalam Mosia 18:17–28. Contohnya, gambar Pentahbisan kepada Imamat dan Pembayaran Persepuluhan (Buku Seni Injil, no. 106, 113) mungkin mewakili ayat 18 dan 27–28. Beritahu mereka mengapa anda bersyukur untuk menjadi ahli Gereja Yesus Kristus.
-
Membantu anak-anak merasa “terkait bersama dalam perpaduan dan dalam kasih” (Mosia 18:21) membolehkan mereka kekal terkait dengan Gereja sepanjang hidup mereka. Pertimbangkan untuk menjemput anak-anak anda membaca Mosia 18:17–28. Apakah yang ahli Gereja Kristus pada zaman Alma lakukan untuk saling mengasihi dan melayani? Bagaimanakah kita boleh melakukan ini dalam bahagian, cabang, atau komuniti kita? Lagu tentang kasih, seperti “Aku Akan Menolongmu” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 78), boleh mengukuhkan pesanan ini.
Tuhan boleh meringankan beban saya.
-
Pelajaran berobjek yang mudah boleh menjadikan pembelajaran tidak dapat dilupakan. Pertimbangkan untuk mengisi beg dengan objek berat (untuk mewakili beban) dan menjemput seorang anak untuk memegang beg itu. Semasa anda membaca Mosia 24:8–17 dengan anak-anak anda, minta mereka keluarkan satu objek dari beg setiap kali mereka mendengar tentang sesuatu yang Alma dan orangnya lakukan untuk mencari bantuan Tuhan dengan beban mereka. Kemudian anda boleh bercakap tentang bagaimana Bapa Syurgawi dapat menjadikan beban kita lebih ringan apabila kita mencari bantuan-Nya.