“24–30 Jun: ‘Masuk ke dalam Peristirahatan Tuhan.’ Alma 13–16,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2024)
“24–30 Jun. Alma 13–16,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2024)
24–30 Jun: “Masuk ke dalam Peristirahatan Tuhan”
Alma 13–16
Dalam banyak cara, kehidupan di Amoniha baik untuk Amulek dan Zezrom. Amulek adalah seorang “lelaki yang tidak kurang kedudukannya,” dengan “banyak kerabat dan teman” dan “banyak kekayaan” (Alma 10:4). Zezrom adalah seorang peguam pakar yang suka “banyak perniagaan” (Alma 10:31). Kemudian Alma tiba dengan jemputan untuk bertaubat dan “masuk ke dalam peristirahatan Tuhan” (Alma 13:16). Untuk Amulek, Zezrom , dan yang lain, menerima jemputan ini memerlukan pengorbanan dan hampir membawa kepada kesengsaraan yang tidak tertanggung.
Tetapi cerita itu tidak berakhir di situ. Dalam Alma 13–16, kita pelajari apa yang akhirnya berlaku kepada orang yang percaya “pada kuasa Kristus yang membawa keselamatan” (Alma 15:6). Kadangkala ada pembebasan, kadangkala penyembuhan—dan kadangkala perkara tidak menjadi lebih mudah dalam hidup. Tetapi selalunya, “Tuhan menerima [umat-Nya] kepada diri-Nya, dalam kemuliaan” (Alma 14:11). Sentiasa, Tuhan memberi “mereka kuasa, menurut iman [kita] … pada Kristus” (Alma 14:28). Dan sentiasa, iman itu memberi kita “harapan bahawa [kita] akan menerima kehidupan abadi” (Alma 13:29). Semasa anda membaca bab-bab ini, anda boleh dihiburkan dengan janji-janji ini, dan anda mungkin akan lebih memahami maksud Alma apabila dia bercakap tentang masuk ke dalam “peristirahatan Tuhan” (Alma 13:16).
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Tatacara imamat mengarahkan saya kepada Yesus Kristus untuk penebusan.
Kata-kata Alma dalam Alma 13 mengungkapkan kebenaran yang berkuasa tentang kuasa imamat Tuhan dan tujuannya—untuk menyediakan kita untuk masuk ke dalam peristirahatan Tuhan,” atau kehidupan abadi (Alma 13:16). Mungkin anda boleh menulis sekurang-kurangnya satu kebenaran untuk setiap ayat di dalam Alma 13:1–19. Berikut adalah beberapa idea untuk bantu anda bermula:
-
Ayat 1.Imamat juga dipanggil “tarekat Putera [Tuhan]” (lihat juga Ajaran dan Perjanjian 107:1–4).
-
Ayat 2.Tuhan mentahbiskan para imam untuk membantu umat berpaling kepada Putera-Nya untuk penebusan.
Apakah lagi yang anda temui? Apakah perasaan anda tentang imamat apabila anda merenung kebenaran-kebenaran ini?
Pernahkah anda fikirkan tatacara imamat sebagai kurnia daripada Tuhan untuk membantu anda “menanti-nantikan Putera-Nya untuk penebusan”? (ayat 2; lihat juga ayat 16). Mungkin anda boleh membuat senarai tatacara yang anda telah terima, seperti pembaptisan, penetapan, sakramen, penetapan panggilan, berkat penghiburan atau kesembuhan, berkat bapa bangsa dan tatacara bait suci. Renungkan pengalaman anda dengan tatacara seperti ini. Pertimbangkan lambang yang terlibat dan Roh yang anda rasa. Bagaimana setiap tatacara ini mengarahkan anda kepada Yesus Kristus untuk penebusan?
Sesetengah orang menyangka bahawa tatacara—dan wewenang imamat untuk melaksanakannya—tidak diperlukan. Bagaimanakah anda akan bertindak terhadap idea itu? Berikut adalah pesanan persidangan umum yang boleh sampaikan fikiran anda; tulis jawapan yang datang kepada anda: Russell M. Nelson, “Harta Karun Rohani,” Liahona, Nov. 2019, 76–79.
Lihat juga Ajaran dan Perjanjian 84:19–22
Tuhan menjemput saya untuk masuk ke dalam istirahat-Nya
Jemputan untuk “masuk ke dalam peristirahatan Tuhan” (Alma 13:16) sering diulangi dalam Alma 13. Mungkin anda boleh mencari setiap ayat di mana perkataan “peristirahatan” muncul dan merenungkan apa yang setiap ayat ajarkan anda tentang maksud “peristirahatan Tuhan”. Bagaimanakah ia berbeza daripada rehat fizikal? Bagaimanakah kita mencarinya?
Lihat juga Russell M. Nelson, “Mengatasi Dunia dan Mencari Kesejahteraan,” Liahona, Nov. 2022, 95–98; “Datang ke Yesus,” Nyanyian Rohani, no. 40.
Dalam masa penderitaan, kita mesti percaya kepada Tuhan.
Anda mungkin tertanya seperti kebanyakan orang, mengapa perkara buruk berlaku kepada orang yang cuba hidup dengan soleh. Anda mungkin tidak temui semua jawapan kepada soalan sukar ini dalam Alma 14, tetapi banyak yang boleh dipelajari daripada cara Alma dan Amulek bertindak terhadap tragedi. Apakah yang kata-kata dan tindakan mereka ajarkan anda tentang mengapa Tuhan kadangkala membenarkan orang soleh menderita? Apakah nasihat yang mungkin Alma dan Amulek berikan kepada kita apabila kita mengalami cubaan yang sukar?
Lihat juga Roma 8:35–39; 1 Petrus 4:12–14; Ajaran dan Perjanjian 122:5–9; Dale G. Renlund, “Ketidakadilan yang Menggeramkan,” Liahona, Mei 2021, 41–45.
Penganutan memerlukan pengorbanan.
Buat satu senarai hal-hal yang Amulek tinggalkan untuk memeluk Injil (lihat Alma 10:4–5; 15:16) dan bandingkannya dengan senarai apa yang dia peroleh (lihat Alma 15:18; 16:13–15; 34:8). Apakah yang anda sanggup untuk korbankan untuk menjadi pengikut Yesus Kristus yang lebih beriman?
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Kuasa imamat membantu saya lebih mendekati Kristus.
-
Satu cara untuk membantu anak-anak anda melihat bagaimana kuasa imamat mengarahkan kita kepada Kristus adalah dengan tunjukkan mereka gambar tentang cara kuasa imamat digunakan (lihat Buku Seni Injil, no. 103–110). Anak-anak anda boleh membantu anda fikirkan cara Yesus menggunakan kuasa-Nya (lihat, contohnya, Matius 26:26–28; Markus 5:22–24, 35–43; Buku Seni Injil, no. 38–41). Kemudian anda boleh membaca Alma 13:2 bersama dan bercakap tentang bagaimana kuasa imamat membantu kita “menanti-nantikan Putera [Tuhan]” dan menjadi lebih seperti Dia.
-
Mengapakah Tuhan memberikan kita tatacara imamat? Bantu anak-anak anda mencari jawapan dalam Alma 13:16. Jika mereka perlukan bantuan untuk tahu apa itu tatacara, terdapat senarai dalam Buku Panduan Umum, 18.1 dan 18.2. Mungkin anda dan anak-anak anda boleh bercakap tentang pengalaman anda menerima tatacara ini. Bagaimanakah ia membantu kita “menanti-nantikan [Yesus Kristus] untuk pengampunan dosa-dosa [kita]”? Lagu seperti “Waktu Aku Dibaptis” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 53) boleh membantu anak-anak anda fikirkan sebab lain untuk bersyukur atas tatacara imamat.
Yesus Kristus boleh membersihkan saya dari dosa.
-
Selepas membaca ayat-ayat ini bersama, pertimbangkan cara-cara untuk membantu anak-anak anda membayangkan apa yang ia ajarkan. Mungkin anda boleh mencuci sesuatu bersama. Apakah perasaan kita apabila kita kotor? Bagaimanakah perasaan kita apabila kita menjadi bersih semula? Bagaimanakah perasaan ini serupa dengan perasaan kita apabila kita berdosa dan kemudiannya bertaubat dan menjadi bersih melalui Korban Tebusan Juruselamat?
Bapa Syurgawi menguatkan saya semasa saya beriman kepada Yesus Kristus.
-
Halaman aktiviti minggu ini boleh membantu anda—atau anak-anak anda—menceritakan Alma 14:18–29 (lihat juga “Bab 22: Misi Alma ke Amoniha,” Cerita-Cerita Kitab Mormon, 58–63). Tekankan bahawa Alma dan Amulek diberi kekuatan kerana “iman [mereka] yang adalah pada Kristus” (Alma 14:26). Anda juga boleh bercakap tentang suatu masa ketika Tuhan memberi anda kekuatan “menurut iman [anda].” Bagaimanakah kita boleh beriman seperti Alma dan Amulek?
Yesus Kristus boleh mengubah hati.
-
Perubahan hati Zezrom melalui Yesus Kristus adalah mengilhamkan. Pertimbangkan untuk kaji semula bersama anak-anak anda apa yang mereka pelajari minggu lalu tentang Zezrom. Kemudian anda boleh membaca Alma 15:3–12 bersama untuk tahu bagaimana dia berubah. Apakah yang kita pelajari daripada pengalaman Zezrom tentang kuasa Tuhan?