“Penukaran Hati ialah Matlamat Kita,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“Penukaran Hati Ialah Matlamat Kita,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
Penukaran Hati ialah Matlamat Kita
Matlamat segala pembelajaran dan pengajaran injil adalah untuk memperdalamkan penukaran hati kita terhadap Bapa Syurgawi serta Yesus Kristus dan membantu kita menjadi lebih seperti Mereka. Atas sebab ini, apabila kita mengkaji injil, kita tidak hanya mencari maklumat baharu; kita mahu menjadi seorang “manusia baru” (2 Korintus 5:17). Ini bermaksud bergantung pada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus untuk membantu kita mengubah hati kita, pandangan kita, tindakan kita dan sifat semula jadi kita.
Tetapi pembelajaran injil yang memperkukuhkan iman kita dan membimbing kepada mukjizat penukaran hati tidak berlaku sekali gus. Pembelajaran ini melangkaui bilik kelas ke dalam hati dan rumah kita. Pemahaman dan pematuhan injil melibatkan usaha harian yang tetap. Pembelajaran injil yang mendorong kepada penukaran hati yang sejati memerlukan pengaruh Roh Kudus.
Roh Kudus membimbing kita kepada kebenaran dan bersaksi kebenaran itu (lihat Yohanes 16:13). Dia menerangi minda kita, mempercepatkan pemahaman kita dan menyentuh hati kita dengan wahyu daripada Tuhan, iaitu sumber kesemua kebenaran. Roh Kudus menyucikan hati kita. Dia mengilhami kita agar berkeinginan untuk mematuhi kebenaran ini dan Dia membisik kepada kita jalan untuk berbuat demikian. Memangnya, “Roh Tuhan … akan mengajar [kita] segala-galanya” (Yohanes 14:26).
Atas sebab-sebab ini, dalam usaha kita untuk menjalani, mempelajari dan mengajar injil, yang pertama dan paling penting, kita harus mencari teman Roh. Matlamat ini harus menentukan pilihan kita dan membimbing fikiran serta tindakan kita. Kita harus mencari apa pun yang menjemput pengaruh Roh dan menolak apa pun yang menolak pengaruh itu—kerana kita tahu bahawa jika kita boleh menjadi layak dalam hadirat Roh Kudus, kita juga boleh menjadi layak dalam hadirat Tuhan dan Putera-Nya, Yesus Kristus.