Perjanjian Lama 2022
Mengajar Kanak-kanak Kecil


“Mengajar Kanak-kanak Kecil.” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“Mengajar Kanak-kanak Kecil,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022

Imej
ibu bapa dan anak kecil sedang melihat buku

Mengajar Kanak-kanak Kecil

Jika anda mempunyai kanak-kanak kecil dalam keluarga anda, berikut ialah beberapa aktiviti yang boleh membantu mereka belajar:

  • Bernyanyi. Lagu rohani dan nyanyian daripada Buku Nyanyian Anak-anak mengajar ajaran dengan berkuasa. Gunakan indeks topik di bahagian belakang Buku Nyanyian Anak-anak untuk mencari lagu yang berkaitan dengan asas-asas injil yang anda ajar. Bantu anak-anak anda mengaitkan pesanan lagu kepada kehidupan mereka. (Lihat juga “Menggunakan Muzik Kudus dalam Pembelajaran Injil Anda” dalam sumber ini.)

  • Dengar atau buat lakonan tentang cerita. Kanak-kanak kecil menggemari cerita—daripada tulisan suci, daripada kehidupan anda, daripada sejarah keluarga anda atau daripada majalah Gereja. Cari jalan untuk melibatkan mereka dalam aktiviti bercerita. Mereka boleh memegang gambar atau objek, melukis gambar tentang kisah yang diceritakan, melakonkan cerita atau membantu mengisahkan cerita. Bantu anak-anak anda mengenal pasti kebenaran injil dalam cerita-cerita yang anda kongsikan.

  • Baca tulisan suci. Kanak-kanak kecil mungkin tidak dapat membaca dengan banyak, namun anda masih boleh melibatkan mereka dalam pembelajaran tulisan suci. Anda mungkin perlu menumpukan pada satu ayat, frasa kunci atau perkataan. Kanak-kanak mungkin dapat menghafal frasa pendek daripada tulisan suci jika mereka membaca tulisan suci tersebut berulang kali. Apabila mereka mendengar firman Tuhan, mereka akan merasai Roh.

  • Lihat gambar atau tonton video. Apabila anda menunjukkan gambar atau video yang berkaitan dengan asas injil atau cerita tulisan suci kepada anak-anak anda, tanya mereka soalan yang boleh membantu mereka belajar daripada perkara yang dilihat oleh mereka. Contohnya, anda boleh menanya, “Apakah yang sedang berlaku dalam gambar atau video ini? Apakah perasaan anda?” Aplikasi Gospel Media, MediaLibrary.ChurchofJesusChrist.org dan children.ChurchofJesusChrist.org merupakan tempat yang baik untuk mencari gambar dan video.

  • Cipta. Kanak-kanak boleh membina, melukis atau mewarna sesuatu yang berkaitan dengan cerita atau asas yang dipelajari.

  • Ambil bahagian dalam pengajaran berobjek. Pengajaran berobjek yang mudah boleh membantu anak-anak anda memahami asas injil yang sukar difahami. Apabila menggunakan pengajaran berobjek, cari jalan untuk melibatkan anak-anak anda. Mereka akan belajar secara lebih mendalam melalui pengalaman interaktif, berbanding dengan hanya menyaksikan demonstrasi.

  • Lakon peranan. Apabila kanak-kanak bermain lakon peranan dalam situasi yang mungkin akan dihadapi oleh mereka dalam kehidupan sebenar, mereka akan dapat lebih memahami cara asas injil boleh digunakan dalam kehidupan mereka.

  • Ulangi aktiviti. Kanak-kanak kecil mungkin perlu mendengar konsep beberapa kali untuk memahami mereka. Jangan takut untuk selalu mengulang cerita atau aktiviti. Sebagai contoh, anda boleh berkongsi cerita tulisan suci berbilang kali melalui cara yang berlainan—membaca daripada tulisan suci, merumuskan cerita itu dengan perkataan anda sendiri, menunjukkan video, membiarkan anak-anak anda membantu anda mengisahkan cerita, menjemput mereka melakonkan cerita dan sebagainya.

Cetak