“4. Kepimpinan dan Majlis dalam Gereja Yesus Kristus,” Pilihan Buku Panduan Umum (2023).
“4. Kepimpinan dan Majlis dalam Gereja Yesus Kristus,” Pilihan Buku Panduan Umum
4.
Kepimpinan dan Majlis dalam Gereja Yesus Kristus
4.0
Pengenalan
Sebagai seorang pemimpin gereja, anda telah dipanggil secara ilham melalui hamba-hamba Tuhan yang diberi kuasa. Anda berpeluang untuk membantu dalam pekerjaan Bapa Syurgawi untuk “mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia” (Musa 1:39).
4.2
Prinsip-prinsip Kepimpinan dalam Gereja
Semasa pelayanan fana-Nya, Juruselamat menetapkan teladan kepimpinan bagi Gereja-Nya. Tujuan utama-Nya adalah melakukan kehendak Bapa Syurgawi-Nya dan membantu orang lain memahami dan mematuhi injil-Nya (lihat Yohanes 5:30; Mosia 15:7).
Carilah bimbingan Tuhan untuk membantu anda belajar dan memenuhi tugas panggilan anda.
4.2.1
Bersedia secara Rohani
Yesus menyediakan diri-Nya secara rohani untuk misi duniawi-Nya (lihat Lukas 4:1–2). Anda juga boleh mempersiapkan diri secara rohani dengan mendekati Bapa Syurgawi melalui doa, kajian tulisan suci, dan kepatuhan kepada perintah-perintah-Nya.
Carilah wahyu untuk memahami keperluan orang yang anda pimpin dan bagaimana untuk memenuhi pekerjaan yang Tuhan berikan anda.
Tuhan juga berjanji untuk menganugerahkan kurnia-kurnia rohani kepada mereka yang mencarinya (lihat Ajaran dan Perjanjian 46:8).
4.2.2
Pelayanan kepada Semua Anak Tuhan
Kasihi orang yang anda layani sepertimana Yesus lakukan. Berdoa “dengan sekuat tenaga hati” untuk dipenuhi dengan kasih-Nya (Moroni 7:48).
Bantu individu-individu memperdalamkan penukaran hati mereka dan memperkuatkan iman mereka kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Bantu mereka bersedia untuk membuat perjanjian semasa mereka menerima tatacara seterusnya. Galakkan mereka untuk mentaati perjanjian yang mereka telah buat dan mengambil bahagian dalam berkat-berkat pertaubatan.
4.2.3
Mengajarkan Injil Yesus Kristus
Semua pemimpin adalah pengajar. Berusaha mengikuti teladan Juruselamat sebagai seorang pengajar (lihat bab 17; Teaching in the Savior’s Way). Melalui perkataan dan tindakan anda, ajarkan ajaran Yesus Kristus dan asas-asas injil-Nya (lihat 3 Nefi 11:32–33; Ajaran dan Perjanjian 42:12–14).
Mengajar dari tulisan suci dan kata-kata para nabi zaman akhir (lihat Ajaran dan Perjanjian 52:9).
Jika anda dipanggil atau ditugaskan untuk memimpin dalam pertemuan atau aktiviti Gereja, pastikan bahawa pengajaran itu meneguhkan dan benar (lihat Ajaran dan Perjanjian 50:21–23).
4.2.4
Memimpin dalam Kesolehan
Setiap pemimpin utama melayani di bawah arahan seseorang yang memegang kunci-kunci imamat (lihat 3.4.1). Struktur ini menyediakan arahan dan panduan jelas tentang tanggungjawab dan kebertanggunjawaban dalam melakukan pekerjaan Tuhan.
Seorang pemimpin utama boleh menugaskan tugasan sementara untuk memimpin kepada orang lain.
Seorang pemimpin yang memimpin dalam sesuatu organisasi, pertemuan, atau aktiviti Gereja memastikan tujuan Tuhan dicapai. Dalam melakukan ini, pemimpin itu mengikuti asas-asas injil, polisi Gereja, dan arahan Roh Kudus.
Panggilan atau tugas untuk memimpin tidak menjadikan seseorang yang menerimanya menjadi lebih penting atau lebih bernilai daripada orang lain (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:109–10).
Ia tidaklah sesuai untuk bercita-cita untuk memimpin dalam mana-mana organisasi Gereja Tuhan (lihat Ajaran dan Perjanjian 121:34–37).
4.2.5
Penugasan Tanggungjawab dan Memastikan Kebertanggungjawaban
Juruselamat memberi para pengikut-Nya tugasan dan tanggungjawab yang bermakna (lihat Lukas 10:1). Dia juga memberi mereka peluang untuk pertanggungjawaban atas pekerjaan yang diberikan kepada mereka (lihat Lukas 9:10).
Sebagai seorang pemimpin, anda boleh membantu orang lain berkembang dengan memberi tugasan kepada mereka. Berusaha untuk melibatkan semua ahli dalam melakukan pekerjaan Tuhan.
Menugaskan tugasan turut menjadikan pelayanan anda lebih berkesan. Carilah bimbingan Roh tentang apa yang harus ditugaskan supaya anda dapat memberi tumpuan kepada keutamaan tertinggi anda.
4.2.6
Menyediakan Orang Lain untuk Menjadi Pemimpin dan Pengajar
Berdoalah apabila mempertimbangkan siapa yang boleh melayani dalam panggilan atau tugasan Gereja. Ingatlah bahawa Tuhan akan melayakkan mereka yang Dia panggil. Yang paling penting adalah mereka bersedia melayani, dengan rendah hati meminta bantuan Tuhan, dan berusaha untuk menjadi layak.
4.2.7
Merancang Pertemuan, Pengajaran, dan Aktiviti dengan Tujuan yang Jelas
Cari bimbingan Roh dalam perancangan pertemuan, pengajaran, dan aktiviti yang mempunyai tujuan jelas. Tujuan-tujuan ini harus menguatkan individu dan keluarga, mendekatkan mereka kepada Kristus, dan membantu melaksanakan pekerjaan penyelamatan dan permuliaan Tuhan (lihat bab 1 dan 2).
4.2.8
Menilai Usaha Anda
Kerap menyemak semula tanggungjawab dan perkembangan rohani anda sebagai seorang pemimpin. Pertimbangkan juga perkembangan mereka yang anda pimpin.
Kejayaan anda sebagai seorang pemimpin diukur melalui komitmen anda untuk membantu anak-anak Tuhan menjadi pengikut Yesus Kristus yang setia. Anda boleh tahu bahawa Tuhan gembira dengan usaha anda apabila anda merasai Roh bekerja melalui anda.
4.3
Majlis-majlis Dalam Gereja
Tuhan mengarahkan pemimpin-pemimpin Gereja-Nya untuk berunding bersama dalam melaksanakan pekerjaan-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 41:2-3). Majlis-majlis menyediakan peluang kepada ahli majlis untuk menerima wahyu semasa mereka berusaha memahami keperluan anak-anak Tuhan dan merancang bagaimana untuk membantu mencapainya.
4.4
Prinsip-prinsip Majlis Yang Berkesan
4.4.1
Tujuan Majlis
Majlis memberi penekanan khusus untuk membantu ahli-ahli menerima tatacara-tatacara dan mentaati perjanjian yang berkaitan.
4.4.2
Persediaan untuk Pertemuan Majlis
Presidensi dan majlis diharap untuk bertemu dengan kerap. Pemimpin-pemimpin ini mencari bimbingan Tuhan dalam perancangan mesyuarat majlis. Mereka juga mendapatkan pendapat ahli-ahli majlis dalam memutuskan apa yang harus dibincangkan.
Pemimpin memberitahu ahli majlis tentang hal-hal untuk perbincangan terlebih dahulu. Ahli-ahli majlis bersedia untuk berkongsi pandangan tentang hal-hal ini.
4.4.3
Perbincangan dan Keputusan
Semasa mesyuarat majlis, pemimpin (atau seseorang yang ditugaskan oleh pemimpin) menjelaskan perkara yang dipertimbangkan. Pemimpin itu kemudian menggalakkan perbincangan di kalangan semua ahli majlis, menanya soalan dan mencari idea.
Ahli-ahli berkongsi cadangan dan mendengar satu sama lain dengan hormat. Apabila mereka berusaha untuk mengetahui kehendak Tuhan, roh ilham dan kesatuan dapat wujud.
Dalam satu majlis yang termasuk wanita dan lelaki, pemimpin mencari pandangan dan idea dari kedua-dua pihak. Wanita dan lelaki sering mempunyai perspektif berbeza yang memberi keseimbangan yang diperlukan.
Seorang pemimpin membimbing perbincangan majlis. Walau bagaimanapun, dia harus lebih mendengar daripada bercakap.
Selepas perbincangan, pemimpin boleh memutuskan satu jalan tindakan atau menangguhkan keputusan sambil mencari maklumat dan bimbingan tambahan.
4.4.4
Kesatuan
Ahli majlis berusaha untuk menjadi satu dalam hasrat dan matlamat dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Mereka berusaha untuk bersatu dalam perbincangan dan keputusan mereka.
4.4.5
Tindakan dan Pertanggungjawaban
Ahli-ahli majlis melakukan kebanyakan pekerjaan mereka sebelum dan selepas mesyuarat majlis. Semasa pertemuan, mereka mencari ilham dalam membangunkan rancangan untuk melaksanakan keputusan. Pemimpin majlis menjemput ahli-ahli untuk memenuhi tugasan berkaitan dengan rancangan-rancangan ini.
Ahli-ahli majlis melaporkan tugasan mereka. Kemajuan biasanya memerlukan perhatian dan tugas susulan yang berterusan.
4.4.6
Kerahsiaan
Para pemimpin menggunakan budi bicara apabila berkongsi maklumat peribadi dengan satu majlis. Mereka biasanya mendapatkan keizinan seorang ahli sebelum berkongsi maklumat ini.
Ahli-ahli majlis tidak seharusnya berkongsi maklumat peribadi di luar majlis kecuali diperlukan untuk memenuhi tugasan daripada pemimpin majlis.
Terdapat hal-hal yang terlalu sensitif untuk dikemukakan kepada seluruh majlis.