Panggilan Misi
3. Tingkah Laku Penginjil


orang ramai menyembah Yesus

3

Tingkah Laku Penginjil

3.0

Pengenalan

Bahagian ini menerangkan standard kelakuan penginjil serta kualiti seperti Kristus yang anda diharapkan untuk praktikkan dan kembangkan sepanjang misi anda ketika anda menjadi pengikut Yesus Kristus yang lebih berdedikasi. Seperti yang dinasihati oleh nabi Moroni, “Ingat firman Tuhan yang berfirman melalui pekerjaan mereka kamu akan mengenali mereka; kerana jika pekerjaan mereka baik, maka mereka ialah baik juga” (Moroni 7:5).

3.1

Kelakuan Seperti Kristus

Berdoa dan bekerja untuk mengembangkan sifat-sifat seperti Kristus, seperti yang dijelaskan dalam tulisan suci dan dalam Preach My Gospel, termasuk rasa terima kasih, berbuat baik, penyayang, kerendahan hati, kesabaran, empati dan kepatuhan. Dengan bantuan Juruselamat dan usaha anda sendiri yang ikhlas dan tekun, anda boleh mengembangkan sifat-sifat seperti Kristus (lihat Mosia 3:19).

Bersikap baik, positif dan bersemangat. Bertimbang rasa terhadap situasi setiap orang, tanyakan pada diri anda soalan seperti berikut:

  • Adakah ia terlalu lewat atau awal untuk menghubungi orang ini? Adakah ini mengganggu masa keluarga atau peribadi?

  • Adakah cara saya boleh membantu dalam situasi ini?

  • Mungkinkah tindakan atau komen ini memalukan, menakutkan atau menyinggung perasaan seseorang?

  • Apakah yang sesuai untuk budaya ini?

Anda tetamu di kawasan yang anda melayani dan harus melayani orang ramai serta tempat dengan rasa hormat dan penghargaan. Hormati adat, kepercayaan dan amalan agama serta tempat suci di kawasan anda sepanjang masa. Berhati-hati agar tindakan anda tidak menyinggung perasaan sesiapa. Ingat bahawa, perkara yang anda katakan dan perkara yang anda lakukan mungkin didengar, diperhatikan dan dicatatkan.

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, lihat bahagian 7.3, “Hormati Orang Lain.”

3.2

Kelayakan Bait Suci

Tuhan Yesus Kristus mengajak anda untuk “menyediakan dirimu, dan menguduskan dirimu; ya, menyucikan hatimu, dan membersihkan tanganmu dan kakimu di hadapan-Ku, agar Aku boleh menjadikanmu bersih” (Ajaran dan Perjanjian 88:74). Sebahagian daripada persiapan ini termasuk menunaikan perjanjian bait suci anda.

3.2.1

Perjanjian-perjanjian Bait Suci

Mentaati perjanjian bait suci dari segi kepatuhan, pengorbanan dan penyucian akan memperkasakan anda dan membantu anda menjadi lebih seperti Juruselamat.

Walaupun tidak ada bait suci dalam misi anda, simpan kad rekomen bait suci terkini untuk membantu mengingatkan anda akan perjanjian-perjanjian anda. Minta presiden misi anda untuk temu duga kad rekomen bait suci sebelum rekomen anda tamat tempoh.

3.2.2

Penyembahan Bait Suci

Jika bait suci terletak berdekatan, presiden misi anda mungkin membenarkan anda dan penginjil lain hadir pada hari persiapan sekali-sekala.

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, lihat bahagian 7.4, “Kehadiran Bait Suci.”

3.3

Hukum Kemurnian Akhlak.

Salah satu perjanjian bait suci yang anda telah buat ialah mematuhi hukum kemurnian akhlak. Lakukan semua yang anda mampu untuk melindungi diri anda, rakan anda dan orang lain daripada godaan seksual yang boleh mengakibatkan pelanggaran perjanjian kudus ini. Perbuatan yang melanggar hukum kemurnian akhlak bahkan mungkin dianggap sebagai perbuatan jenayah di sesetengah kawasan.

Anda harus mengelakkan sebarang pemikiran atau tindakan yang akan memisahkan anda daripada Roh Tuhan. Ini termasuk tetapi tidak terhad kepada zina; mukah; aktiviti sesama jantina; seks oral; perasaan rangsangan seksual; sentuhan yang tidak sesuai; menghantar atau menerima mesej, imej atau video yang lucah atau bersifat seksual; melancap; dan melihat atau menggunakan pornografi (lihat 7.5.3). Lihat Untuk Kekuatan Remaja (2011), “Pertaubatan,” 28–29, untuk mendapatkan maklumat tambahan.

Tuhan telah mengajar, “Setan berusaha untuk menghancurkan” (Ajaran dan Perjanjian 132:57) dan membuat anda “getir seperti dirinya sendiri” (2 Nefi 2:27). Dia akan menggunakan orang ramai, media yang tidak sesuai dan godaan lain untuk menipu, memerangkap, mengugut dan memalukan anda. Sebagai contoh, berhati-hatilah terutamanya dengan mereka yang mungkin menuntut pembayaran kewangan sebagai balasan untuk tidak mendedahkan imej dan mesej yang menimbulkan curiga atau tidak sesuai yang mungkin anda telah kirimkan kepada mereka.

Jika anda susah untuk mematuhi standard ini atau jika seseorang mengugut anda, minta bantuan daripada Tuhan dan berbincanglah dengan presiden misi anda dengan segera.

3.4

Kejujuran

Kelayakan bait suci termasuk bersikap jujur dalam semua urusan anda dengan orang lain. Dalam pelayanan penginjil, ini termasuk:

  • Bercakap benar, terutamanya kepada presiden misi anda mengenai tingkah laku, kesaksian, tabiat kerja dan kesihatan emosi serta jasmani anda.

  • Memberi laporan yang tepat mengenai pekerjaan anda dan cara anda telah menghabiskan masa sepanjang minggu dalam laporan mingguan anda.

  • Menggunakan dana misi secara bertanggungjawab dan menyerahkan resit yang tepat.

  • Bersikap amanah dan tidak sekali-kali memberi laporan atau maklumat yang palsu mengenai siapa-siapa, termasuk rakan anda.

  • Menghormati orang lain dengan tidak meminjam, mengambil atau menggunakan barang peribadi seseorang (termasuk pakaian, buku, alat elektronik dan barang kemas) tanpa keizinan.

3.5

Interaksi dengan Orang Lain

Juruselamat telah mengajar, “Inilah perintah-Ku: Hendaklah kamu saling mengasihi, seperti Aku mengasihi kamu” (Yohanes 15:12). Pilihlah untuk mengikuti teladan Juruselamat dan bertindak dengan cara yang sopan, selamat dan bersesuaian dengan keadaan.

3.5.1

Standard Umum untuk Berinteraksi dengan Orang Dewasa

Bina kepercayaan dan hubungan yang bermakna dengan mereka yang anda melayani, termasuk orang yang anda ajar, penginjil dan ahli tempatan yang lain. Amalkan sikap profesional dan baik serta patuhi standard ini:

  • Sentiasa berada di sisi rakan anda.

  • Jangan memberi nasihat kepada orang dewasa tentang masalah peribadi. Rujuk ahli kepada uskup mereka jika mereka memerlukan kaunseling. Jika anda merasakan seseorang yang beragama lain memerlukan bantuan dalam masalah peribadinya, berbincanglah dengan presiden misi anda.

  • Elakkan situasi yang mungkin mendatangkan bahaya fizikal atau rohani atau yang boleh disalahfahami.

  • Jangan menggoda atau melibatkan diri dalam pergaulan yang tidak sesuai dengan sesiapa.

  • Sentiasa pastikan orang dewasa lain yang sama jantina dengan anda hadir bersama anda dan rakan anda semasa anda makan bersama seseorang yang berlainan jantina.

  • Pastikan pertuturan anda menunjukkan rasa hormat dan elakkan daripada menggunakan slanga. Gunakan gelaran yang sesuai semasa memanggil orang lain. Contohnya, gunakan gelaran “Elder” atau “Sister” ketika merujuk kepada penginjil lain untuk menunjukkan rasa hormat terhadap panggilan mereka.

3.5.2

Standard Umum untuk Berinteraksi dengan Kanak-kanak

Untuk keselamatan anda dan juga keselamatan kanak-kanak, patuhi garis panduan berikut:

  • Sentiasa berada di sisi rakan anda.

  • Jangan sekali-kali bersendirian dengan sesiapa yang berumur kurang daripada 18 tahun.

  • Berhati-hati semasa bermain dengan kumpulan kanak-kanak, seperti menyertai bola sepak atau permainan lain. Jangan melakukan perkara yang tindakan anda mungkin disalahtafsirkan.

  • Jika boleh, dapatkan keizinan ibu bapa untuk berinteraksi dengan anak.

  • Jangan menggeletek kanak-kanak, menukar lampin, mendukung kanak-kanak atau membenarkan kanak-kanak duduk di atas riba anda. Tindakan ini dan tindakan lain mungkin kelihatan tidak sesuai atau disalahtafsirkan.

  • Menolak dengan sopan untuk menjaga kanak-kanak sebarang umur.

  • Jangan mengambil bahagian dalam aktiviti pelayanan yang anda akan bersendirian dengan kanak-kanak (lihat 7.2.2).

3.6

Rekreasi

Anda boleh belajar agar lebih mengasihi orang yang anda melayani dengan lebih menaruh minat terhadap budaya, sejarah, tanah air dan tradisi mereka melalui kunjungan ke tempat menarik tempatan, lazimnya pada hari persiapan (lihat 2.5).

Minta mereka yang anda temui agar mengesyorkan tempat yang sesuai dan selamat untuk dikunjungi. Pilih aktiviti yang menggembirakan dan yang membantu anda berasa senang. Tempat yang sesuai untuk dikunjungi termasuk (tetapi tidak terhad kepada) yang berikut:

  • Tapak bersejarah dan budaya

  • Muzium dan galeri

  • Zoo dan taman

3.6.1

Standard Rekreasi Umum

Elakkan daripada perhimpunan penginjil secara beramai-ramai di tempat awam. Ini lazimnya bermaksud anda tidak boleh berkumpul dalam kumpulan melebihi saiz daerah anda. Tindakan berbuat demikian boleh menarik perhatian yang tidak perlu atau menakutkan orang ramai.

Gunakan kenderaan misi hanya untuk aktiviti yang diizinkan oleh presiden misi anda.

Bersenam dan kekal aktif demi memastikan badan anda sihat untuk menjalankan pekerjaan penginjil. Bersukan dengan cara yang mengelakkan kecederaan dan keletihan yang melampau.

3.6.2

Aktiviti Yang Tidak Dibenarkan

Sentiasa berhati-hati dan gunakan akal budi ketika menyertai aktiviti rekreasi. Oleh kerana penginjil pernah mengalami kecederaan parah semasa mengambil bahagian dalam aktiviti yang berisiko, anda tidak harus menyertai aktiviti yang melibatkan risiko yang tinggi sepanjang misi anda. Aktiviti-aktiviti ini termasuk tetapi tidak terhad kepada yang berikut:

  • Sukan bersentuhan, gimnastik, sukan musim sejuk dan sukan air (termasuk berenang)

  • Mendaki gunung dan memanjat batu

  • Menunggang motosikal dan kuda

  • Menaiki kapal peribadi atau kapal terbang

  • Mengendalikan senjata api

  • Menggunakan bunga api atau bahan letupan dalam bentuk apa pun

Tonton video ini untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang keselamatan rekreasi.

3.6.3

Media

Pilih media yang diluluskan dan sesuai. Ini secara amnya bermaksud mengelakkan perkara berikut:

  • Media sosial, aplikasi mudah alih dan media dalam talian yang tidak digunakan untuk mengajar injil atau berkomunikasi dengan keluarga anda (lihat 3.9)

  • Televisyen, filem, permainan video dan video yang tidak dibenarkan

  • Buku audio, muzik dan bahan bacaan yang tidak memenuhi standard misi

Rujuk standard teknologi penginjil untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut (lihat 7.5). Bincangkan soalan tentang media dengan pemimpin misi anda.

3.6.4

Alat Muzik

Jika diluluskan oleh presiden misi, anda boleh membawa alat muzik ke lapangan misi. Ia seharusnya tidak mahal, mudah dibawa dan dapat memenuhi syarat-syarat bagasi. Jenis alat muzik seharusnya sesuai untuk digunakan dalam pertemuaan hari Ahad (lihat General Handbook, 19.4.2).

Anda boleh berlatih main alat muzik pada hari persiapan dan masa lain yang ditetapkan oleh presiden misi. Semasa memain alat muzik, pertimbangkan jiran-jiran dan penginjil lain dan bagaimana mereka akan terkesan. Jenis muzik yang anda main dengan alat muzik seharusnya bersifat kudus, rasa hormat dan sesuai untuk pekerjaan penginjil.

3.7

Foto dan Video

Foto boleh membantu anda berkongsi pengalaman misi anda dengan keluarga dan kawan-kawan di rumah dan boleh menjadi peringatan penting bagi misi anda. Semasa mengambil foto atau merakamkan video, berhati-hati untuk tidak memalukan sesiapa, termasuk penginjil dan orang ramai yang terkial-kial dengan cabaran ekonomi, sosial atau fizikal. Sesetengah orang mungkin tidak mahu anda atau orang lain melihat, berkongsi atau diingatkan tentang perkara yang ditunjukkan dalam foto. Minta keizinan sebelum mengambil dan berkongsi foto atau video. Dalam sesetengah misi, anda mungkin tidak diizinkan untuk berkongsi secara terbuka foto bagi mereka yang anda ajar, disebabkan undang-undang privasi tempatan.

Foto tertentu yang diambil mungkin menyinggung perasaan atau menyalahi undang-undang di sesetengah budaya dan tempat. Beberapa contoh termasuk mengambil foto:

  • Bangunan kerajaan dan ketenteraan tertentu.

  • Kawasan keselamatan di lapangan terbang, pemeriksaan pasport, penyeberangan sempadan, konsulat dan kedutaan.

  • Pegawai penguatkuasaan undang-undang atau anggota tentera.

  • Penganut, bangunan atau aktiviti agama lain.

  • Subjek sensitif budaya, termasuk orang yang berpakaian tradisional.

  • Orang ramai yang hidup susah payah disebabkan kemiskinan, penyakit atau kecacatan.

Sebagai panduan umum, jangan mengambil gambar objek, tempat atau orang ramai yang disenaraikan di atas. Bincangkan sebarang soalan yang anda ada dengan pemimpin misi anda.

Gereja juga mempunyai dasar khusus berhubung mengambil gambar di rumah pertemuan:

  • Jangan mengambil gambar atau merakam video di gereja kecil tempat pertemuan.

  • Jangan mengambil gambar, menghantar atau merakam tatacara suci, termasuk sakramen dan pembaptisan serta penetapan.

Tonton video ini untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang garis panduan mengambil gambar dan video.

3.8

Penggunaan Teknologi

Tuhan menyatakan, “Lihatlah, Aku akan mempercepatkan pekerjaan-Ku pada waktunya” (Ajaran dan Perjanjian 88:73). Teknologi boleh menjadi alat untuk berkongsi ajaran injil Yesus Kristus dan harus digunakan dengan sewajarnya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat bahagian 7.5, “Teknologi.”

3.9

Komunikasi dengan Keluarga, Pemimpin Misi dan Rakan

Keluarga, pemimpin misi dan kawan-kawan anda boleh menjadi sokongan yang besar bagi anda dalam misi anda. Gunakan sebahagian daripada hari persiapan anda untuk berkomunikasi dengan mereka, ahli dan penganut baru dari kawasan lain.

Utamakan masa anda pada hari persiapan untuk berkomunikasi dengan ibu bapa anda terlebih dahulu, kemudian presiden misi anda.

Anda boleh membaca apa-apa komunikasi yang anda terima sepanjang minggu apabila anda mempunyai masa yang sesuai untuk berbuat demikian. Anda harus membalas komunikasi dari rumah hanya pada hari persiapan melainkan berlakunya kecemasan.

3.9.1

Keluarga

Anda boleh berkomunikasi dengan keluarga anda pada hari persiapan mingguan anda melalui surat, e-mel, pesanan teks, pesanan dalam talian, panggilan telefon dan sembang video.

Gunakan kaedah komunikasi diluluskan yang paling sesuai bagi anda dan keluarga anda yang menjimatkan kos supaya anda tidak berbelanja melebihi anggaran bulanan anda. Hal ini berbeza-beza bergantung pada keadaan, lokasi dan jadual.

Jika ibu bapa anda tinggal di lokasi yang berbeza, anda boleh menghubungi ibu dan bapa anda secara berasingan pada hari persiapan. Anda tidak dijangka untuk menelefon atau bersembang melalui video dengan ibu bapa anda setiap minggu.

Anda juga digalakkan untuk menghubungi keluarga anda pada perayaan istimewa yang lain, seperti hari Krismas, Hari Ibu, Hari Bapa, ulang tahun ibu bapa anda dan hari cuti lain yang penting di negara asal atau mengikut budaya anda.

Anda harus memulakan semua perbualan pesanan teks, pesanan dalam talian, panggilan telefon dan sembang video. Jika keluarga anda perlu menghubungi anda, mereka harus menghubungi presiden misi terlebih dahulu.

Semasa berkomunikasi dengan keluarga anda melalui telefon atau sembang video, pandai-pandailah memutuskan tempoh masa panggilan anda. Dalam membuat keputusan ini, pertimbangkan rakan anda dan ingat tujuan pelayanan penginjil anda.

3.9.2

Presiden Misi

Tulis surat kepada presiden misi anda setiap minggu pada hari persiapan. Umumnya, anda akan menghantar surat anda kepadanya menggunakan Missionary Portal (Portal Penginjil).

Hanya presiden misi anda yang akan menyemak surat mingguan anda. Bersikap terbuka dan jujur supaya dia boleh memahami sebarang kebimbangan anda dan memberi nasihat serta maklum balas yang berkaitan. Harap maklum bahawa dia akan membaca, tetapi tidak dapat membalas, setiap surat.

Jika anda menerima berita penting dari rumah yang memerlukan perhatian segera, maklumkan kepada presiden misi anda dan rujuk kepadanya sebelum menghubungi keluarga anda pada hari selain hari persiapan atau pada hari perayaan istimewa.

3.9.3

Komunikasi dengan Orang Ramai dalam Misi Anda.

Apabila berkomunikasi dengan orang dari kawasan lain dalam misi anda, pastikan komunikasi anda berfokus pada pelaksanaan tujuan penginjil anda. Patuhi standard di bahagian 3.5.1, “Standard Umum untuk Berinteraksi dengan Orang Dewasa,” dan di Perlindungan untuk Menggunakan Teknologi dan ingatlah untuk melibatkan rakan anda semasa anda menyertai komunikasi-komunikasi ini.

3.9.4

Pakej dan Surat

Sesetengah misi mungkin menggunakan alamat pejabat misi untuk menerima surat dan bungkusan serta sebagai alamat pemulangan anda. Amalan ini boleh melindungi keselamatan anda dan membantu mencegah kecurian mel serta kehilangan surat disebabkan pemindahan. Sila ikut semua garis panduan yang anda terima dalam situasi sedemikian.

3.9.5

Pengalaman Penginjil dengan Orang dari Rumah

Anda mungkin mengenali seseorang di rumah yang pengalaman peribadinya boleh membantu seseorang yang anda ajar dalam misi anda. Anda harus meminta keizinan presiden misi anda untuk orang itu berkongsi pengalaman dan kesaksiannya. Berunding dengan orang itu mengenai teknologi komunikasi yang terbaik untuk digunakan.

Jika keluarga atau kawan-kawan anda dari rumah ingin mempelajari lebih lanjut tentang injil Yesus Kristus, presiden misi anda boleh membenarkan anda mengajar mereka menggunakan teknologi (lihat 7.5.4).

3.9.6

Lawatan Peribadi daripada Keluarga dan Kawan-kawan

Umumnya, keluarga dan kawan-kawan tidak boleh melawat anda sepanjang misi anda. Walau bagaimanapun, di bawah situasi khas, presiden misi anda mungkin membenarkan pengecualian. Lawatan ini hendaklah singkat dan tidak mengganggu tugas penginjil anda. Lawatan tidak harus menyusahkan rakan anda, penginjil lain atau mereka yang anda ajar. Berhati-hatilah agar lawatan sedemikian tidak mengganggu fikiran anda daripada pelayanan anda atau mendatangkan masalah kewangan untuk keluarga anda.

3.9.7

Kecemasan

Jika keluarga anda memberitahu anda tentang keadaan kecemasan di rumah, beritahu pemimpin misi anda supaya mereka boleh memberi sokongan kepada anda. Pemimpin misi akan menghubungi keluarga anda jika anda menghadapi situasi kecemasan.