Panggilan Misi
4. Kesejahteraan Jasmani


Imej
Yesus memberkati orang

4

Kesejahteraan Jasmani

4.0

Pengenalan

Pekerjaan penginjil memerlukan komitmen jasmani dan emosi. Standard dalam bahagian ini serta dalam Adjusting to Missionary Life akan membantu anda menyediakan minda dan tubuh anda untuk melayani Tuhan serta matlamat-Nya. Semak standard ini secara kerap sepanjang misi anda.

4.1

Pemakanan dan Penyediaan Makanan

Penghidratan dan pemakanan yang sihat penting untuk kesejahteraan diri anda.

4.1.1

Garis Panduan Pemakanan Umum

Sila ikut garis panduan pemakanan umum di bawah:

  • Minum 6 hingga 12 gelas (48 hingga 96 auns atau 1.5 hingga 3 liter) air bersih setiap hari. Anda mungkin memerlukan lebih banyak air dan garam jika anda berpeluh dengan banyak sepanjang hari atau semasa bersenam.

  • Makan makanan seimbang yang merangkumi sayur-sayuran, buah-buahan, biji-bijian, lemak yang sihat dan protein.

  • Hadkan makanan ringan, minuman berkarbonat, makanan proses dan makanan segera restoran.

4.1.2

Penyediaan Makanan yang Selamat

Patuhi garis panduan berikut untuk memastikan makanan anda disediakan dengan selamat:

  • Basuh permukaan penyediaan makanan dengan air bersabun yang panas dan bersih sebelum serta selepas memasak.

  • Bersihkan peralatan memasak dan makan dengan air bersabun yang panas dan bersih selepas setiap penggunaan.

  • Asingkan daging mentah, ayam, telur dan makanan laut daripada makanan lain semasa memasak.

  • Masak daging, ikan dan ayam sepenuhnya.

  • Elakkan daripada makan daging yang tidak dimasak atau mentah.

  • Kopek buah-buahan dan sayur-sayuran mentah atau basuh sebersih-bersihnya.

  • Simpan baki makanan yang akan rosak di dalam peti sejuk. Untuk mengelakkan daripada jatuh sakit, buangkan sebarang makanan yang ditinggalkan melebihi tempoh masa yang disarankan pada bungkusan.

  • Cuba mengelakkan daripada makan makanan daripada gerai tepi jalan, kerana kualiti makanan dan keselamatan penyediaannya tidak diketahui.

Terapkan garis panduan ini secara konsisten, walaupun jika orang lain (termasuk penginjil yang lain) cuba meyakinkan anda bahawa hal itu tidak penting atau melampau.

Tonton video ini untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang pemakanan dan keselamatan makanan yang betul.

4.1.3

Keselamatan Air dan Tenusu

Hanya air bersih dan produk tenusu yang telah dipasteur adalah selamat untuk anda minum atau makan.

Ikut garis panduan ini dan apa-apa garis panduan tambahan yang diberikan oleh misi anda:

  • Gunakan penapis air jika anda melayani di kawasan yang air tulen tidak tersedia.

  • Gunakan air bersih untuk menggosok gigi anda dan untuk mencuci serta menyediakan makanan.

  • Makan produk tenusu yang telah dipasteur sahaja.

Sedarlah bahawa di sesetengah lokasi, ketulan ais dan minuman ringan di restoran atau pasar mungkin dihasilkan daripada air yang tidak tulen. Berhati-hatilah dan jangan minum ais atau minuman ringan jika tidak selamat.

4.2

Senaman

Bersenam menjadikan anda sihat dan membantu melegakan tekanan. Jadikannya sebahagian daripada rutin harian anda (lihat 2.4.2). Hubungi pejabat misi jika anda mempunyai sebarang pertanyaan. Ikut garis panduan khusus misi serta garis panduan umum yang berikut:

  • Lakukan jenis senaman yang berbeza sepanjang minggu, termasuk latihan kardio, kekuatan dan fleksibiliti. Untuk keselamatan anda, elakkan daripada mengangkat objek yang berat.

  • Jika anda mempunyai peranti mudah alih, anda boleh menggunakan aplikasi yang diluluskan oleh pemimpin misi anda untuk merancang senanam anda.

  • Anda tidak harus bersenam di gim awam atau komersial.

4.3

Pengurusan Tekanan

Pekerjaan penginjil memerlukan masa dan tenaga yang banyak, oleh itu berasa tertekan dari semasa ke semasa merupakan perkara biasa. Anda boleh mempersiapkan tubuh serta minda anda untuk menangani tekanan secara lebih baik dengan memanfaatkan sokongan keluarga (lihat 3.9.1) dan dengan mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat (lihat 4.1.1), bersenam selalu (lihat 4.2), mengamalkan waktu tidur, istirahat dan amalan kerohanian (termasuk berdoa, merenung dan mengkaji) yang tetap.

Sepanjang misi anda, gunakan Adjusting to Missionary Life untuk membantu anda mengurus tekanan anda dan untuk membantu penginjil lain. Jika anda merasakan bahawa anda atau rakan anda menghadapi kesukaran untuk mengurus tekanan melalui cara yang sihat atau jika berlaku kecemasan, hubungi pemimpin misi anda.

Jika anda telah diberi ubat untuk melegakan tekanan, ikut preskripsi dan arahan doktor anda.

Rasul Paulus merenungkan usaha penginjilnya dan mengajar bahawa Tuhan akan menyokong, mempertahankan dan membantu mereka yang mencari-Nya. Tuhan tidak akan sekali-kali meninggalkan anda. Paulus mengajar bahawa:

“Tuhan yang berfirman, daripada kegelapan, cahaya akan bersinar. Tuhan itu juga yang menyebabkan cahaya-Nya bersinar di dalam hati kami, sehingga kita dapat memahami kemuliaan Tuhan yang bersinar pada wajah Kristus. … Kami sering kali dianiaya, tetapi kami tidak menyerah kalah. Kadangkala kami kebingungan, tetapi tidak pernah putus harapan. Banyak orang memusuhi kami, tetapi Tuhan tidak pernah meninggalkan kami. Meskipun kami sering dianiaya, kami tidak binasa. … Di dalam Alkitab tertulis, “Aku berkata-kata kerana aku percaya kepada Tuhan.” Dengan kepercayaan seperti itu, kami pun berkata-kata kerana kami percaya. … Kesusahan yang kami alami ini hanya untuk sementara dan tidak seberapa banyak, tetapi akan mendatangkan kemuliaan yang luar biasa dan kekal. Kemuliaan itu jauh lebih besar jika dibandingkan dengan kesusahan itu.” (2 Korintus 4:6, 8–9, 13, 17).

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat bahagian 7.6, “Situasi yang Sukar.”

4.4

Rawatan Perubatan

Ambil serius keadaan kesihatan jasmani dan emosi anda. Pastikan penyelaras perubatan misi mengetahui semua masalah perubatan (seperti ubat yang anda ambil, alergi yang anda alami atau aktiviti yang anda harus hindari) supaya anda mendapat sokongan yang anda perlukan. Hubungi pejabat misi jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang masalah kesihatan.

Untuk keselamatan anda:

  • Jangan berkongsi ubat preskripsi dengan sesiapa atau mengambil ubat preskripsi orang lain.

  • Jangan meminta keluarga atau kawan-kawan untuk menghantar ubat-ubatan yang disekat di negara atau kawasan tempat anda melayani.

Jika anda menghadapi kecemasan kesihatan, ambil tindakan berasaskan akal budi demi keselamatan atau jagaan segera anda. Hubungi perkhidmatan kecemasan tempatan (seperti 911 di Amerika Syarikat) melainkan anda telah diberi arahan lain dalam misi anda. Secepat mungkin, hubungi pemimpin misi anda.

Jika anda memerlukan rawatan perubatan bukan kecemasan, hubungi penyelaras perubatan misi dengan serta-merta. Lawatan bukan kecemasan harus diluluskan terlebih dahulu oleh penyelaras perubatan. Penyelaras perubatan boleh mengarahkan anda kepada penyedia rawatan perubatan di kawasan anda.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat bahagian 7.7, “Kebimbangan Kesihatan Jasmani dan Mental.”

4.5

Situasi dan Ancaman Berbahaya

Banyak bahaya yang mungkin berlaku boleh dielakkan dengan akal budi dan dengan mematuhi standard misi, termasuk berada di tempat yang anda boleh melihat dan mendengar rakan anda. Walau bagaimanapun, orang ramai masih boleh membahayakan anda walaupun anda cuba melindungi diri anda. Jika masalah timbul, laporkannya kepada salah seorang daripada pemimpin misi anda.

Tinggalkan dengan segera jika anda atau rakan anda merasa tidak selesa dengan lokasi, orang atau situasi (termasuk situasi pengajaran). Dengarkan dorongan rohani. Anda boleh meninggalkan rakan anda jika anda merasakan dia mungkin boleh membahayakan anda. Jika anda meninggalkan rakan anda, hubungi salah seorang pemimpin misi anda dengan segera.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat bahagian 7.8, “Situasi yang Bahaya.”

4.6

Perumahan

Hormati tempat tinggal anda, pemilik hartanah atau tuan rumah serta jiran anda. Jika kerosakan disebabkan oleh anda, maka anda bertanggungjawab membayar kos pembaikan menggunakan dana peribadi anda. Berbincang dengan penyelaras tempat tinggal misi jika anda mempunyai kebimbangan tentang tempat tinggal anda.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat bahagian 7.9, “Keselamatan Tempat Tinggal.”

4.7

Pengangkutan

Sentiasa mematuhi peraturan trafik, undang-undang dan kastam setempat sepanjang perjalanan anda. Gunakan akal budi, berwaspada terhadap sekeliling anda, membiasakan diri dengan kawasan anda dan mematuhi standard keselamatan umum dalam buku panduan ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat bahagian 7.10, “Keselamatan Pengangkutan.”

4.8

Wang

Dana yang didermakan oleh anda, keluarga anda dan ahli Gereja untuk menyokong anda dalam misi anda merupakan dana yang kudus dan harus digunakan secara bertanggungjawab dan jujur.

4.8.1

Dana Misi

Gunakan dana misi untuk membayar belanja sara hidup. Kecuali di bawah beberapa situasi yang tertentu, anda harus menggunakan semua dana misi anda setiap bulan. Jangan menjimat wang daripada dana ini atau memberi wang ini kepada sesiapa, termasuk siapa-siapa di rumah. Jangan meminjam wang.

Belanjawan untuk data misi anda mungkin termasuk yang berikut:

  • Sumbangan puasa yang dibayar kepada bahagian atau cabang yang anda melayani.

  • Makanan untuk menyediakan hidangan yang berkhasiat (lihat 4.1.1).

  • Pengangkutan, termasuk minyak atau pengangkutan awam.

  • Item penjagaan rambut dan kebersihan diri.

  • Bekalan pencuci dan bahan cuci pakaian.

  • Perbelanjaan pos atau internet untuk komunikasi mingguan dengan keluarga (lihat 3.8).

  • Makanan segera atau restoran yang terhad.

Anda tidak perlu membayar persepuluhan untuk dana misi.

Lihat 4.8.2 untuk senarai item yang harus dibayar dengan dana peribadi.

4.8.2

Dana Peribadi

Dana peribadi ialah wang yang dihantar terus kepada anda dari rumah. Gunakan dana peribadi untuk:

  • Penggantian pakaian dan kasut

  • Pembelian, penyelenggaraan dan pembaikan basikal.

  • Perbelanjaan perubatan yang tidak dibayar oleh misi, seperti pembayaran tetap, lawatan mata atau pergigian biasa dan jagaan untuk keadaan kesihatan yang wujud terlebih dahulu.

  • Saman trafik dan letak kereta.

  • Pembaikan pada tempat tinggal jika kerosakan disebabkan oleh anda.

  • Peranti audio atau video.

  • Cenderamata dan hadiah.

Persepuluhan ke atas dana peribadi yang diterima dan sebarang pendapatan daripada perniagaan atau pelaburan di rumah harus dibayar dengan data peribadi melalui bahagian rumah anda atau melalui pendermaan dalam talian.

4.8.3

Rancangan Keberdikarian dan Perbelanjaan

Menjadi berdikari sepanjang misi anda dengan mencipta dan mengikut rancangan perbelanjaan. Kemahiran ini akan membantu dan memberkati anda sepanjang hidup anda. Jangan meminta rakan atau keluarga untuk dana tambahan melainkan dalam situasi kecemasan.

Mencipta dan mengikuti rancangan perbelanjaan termasuk membuat senarai semua item yang mesti anda beli untuk bulan tersebut, kemudian memilih item yang paling penting dan membayar untuk item itu terlebih dahulu. Sentiasa memilih item yang anda perlukan daripada memilih item yang anda inginkan.

Jika anda memerlukan wang tambahan atau mempunyai pertanyaan tentang perbelanjaan, bincangkan dengan setiausaha kewangan atau pemimpin misi anda.

4.9

Pakaian dan Dandanan

Pakaian dan dandanan anda harus menampilkan kerendahan hati, rasa hormat dan iman. Cara anda menampilkan diri anda mempengaruhi tanggapan orang ramai terhadap anda dan Gereja Tuhan serta mungkin membantu melindungi anda daripada bahaya.

4.9.1

Standard Umum untuk Pakaian

Item dan gaya pakaian yang tertentu akan disyorkan untuk memenuhi budaya serta suasana misi anda. Pada hari persiapan, anda harus memakai pakaian penginjil biasa di khalayak ramai. Walau bagaimanapun, jika bagi aktiviti tertentu, jika perlu, anda boleh memakai pakaian yang lebih kasual. Sila semak standard yang boleh didapati di missionaryclothing.ChurchofJesusChrist.org.

Gunakan penghalau serangga sebagaimana perlu untuk melindungi kesihatan anda dan di kawasan yang memerlukannya, pastikan kulit anda diliputi sebanyak yang mungkin (lihat 7.7.4).

4.9.2

Standard Umum untuk Dandanan

Ikut standard dandanan yang sihat:

  • Mandi setiap hari, jika boleh.

  • Gosok gigi anda secara kerap.

  • Gunakan deodoran setiap hari.

  • Cuci rambut anda secara kerap.

  • Cuci tangan anda secara kerap, termasuk sebelum menyediakan makanan dan selepas menggunakan tandas.

  • Pakai krim pelindung matahari.

  • Pilih gaya rambut yang kemas, profesional dah mudah diurus.

Cetak