Risalah Pengajaran
Pemulihan Injil Yesus Kristus


Tuhan adalah Bapa SyurgawiMu Yang Penyayang

Tuhan adalah Bapa anda di syurga. Dia mengenali anda secara peribadi dan menyayangi anda lebih daripada yang dapat anda fahami. Dia mahu anda gembira di dalam hidup ini dan di dalam keabadian.

Untuk menyempurnakan tujuan ini, Bapa Syurgawi telah menyediakan sebuah rancangan yang dinamakan injil * Yesus Kristus. Yesus Kristus ialah Putera Tuhan; kehidupan dan ajaranNya adalah panduan untuk kedamaian dalam hidup ini dan kebahagiaan dalam kehidupan abadi.

Injil Memberkati Keluarga dan Individu

Injil Yesus Kristus memberkati sesiapa sahaja yang menerima dan mengikutinya. Salah satu tempat terbaik untuk mengajar dan melaksanakan prinsip-prinsip injil adalah di dalam keluarga. Tuhan telah menubuhkan keluarga untuk membawa kebahagiaan kepada anak-anakNya, untuk membolehkan kita mempelajari prinsip-prinsip yang betul di dalam suasana yang penuh kasih sayang, dan menyediakan kita untuk kembali kepadaNya selepas kita mati. Walaupun ada masanya hubungan kekeluargaan kita boleh menjadi cabaran, Bapa Syurgawi memberkati kitasewaktu kita berusaha untuk mengikuti ajaran-ajaran Yesus Kristus. Ajaran-ajaran ini membantu kita menguatkan keluarga-keluarga kita.

Bapa Syurgawi Mewahyukan InjilNya

Sebagai sebahagian daripada rancanganNya, Tuhan memilih para nabi, seperti Adam, Nuh, Abraham, dan Musa. Para nabi:

  • Mengajar tentang Tuhan dan merupakan saksi-saksi istimewa untuk PuteraNya, Yesus Kristus.

  • Menerima wahyu, atau arahan daripada Tuhan.

  • Mengajarkan injil kepada dunia dan menterjemahkan firman-firman Tuhan.

Para nabi menerima imamat, atau hak untuk bercakap dan bertindak dalam nama Tuhan untuk memimpin anak-anakNya. Orang yang mengikuti para nabi akan menerima berkat-berkat yang Tuhan telah janjikan. Mereka yang menolak injil dan para nabi Tuhan akan kehilangan berkat-berkat tersebut dan menjauhkan diri mereka daripada Tuhan. Mereka yang menolak para nabi dan tidak lagi memegang kepada janji mereka untuk mengikuti Tuhan adalah di dalam keadaan yang disebut kemurtadan.

Walaupun ramai anak-anakNya berulang kali menolak Dia dan para nabiNya, Bapa Syurgawi kita terus menyayangi anak-anakNya. Dia mahu memberikan segala yang kita perlukan untuk menjadi bahagia sekarang dan untuk kembali kepadaNya selepas kita mati. Tulisan-tulisan suci menunjukkan satu pola di mana Tuhan berulang kali menghulurkan tanganNya kepada anak-anakNya, walaupun kita tidak selalunya mendengar:

  • Tuhan memilih seorang nabi.

  • Nabi mengajarkan injil dan memimpin manusia.

  • Tuhan memberkati manusia.

  • Manusia dengan beransur-ansurnya mengabaikan atau melanggar ajaran-ajaran nabi. Mereka akhirnya menolak nabi dan ajarannya dan jatuh ke dalam kemurtadan.

  • Kerana kemurtadan, manusia kehilangan pengetahuan injil. Kuasa imamat diambil dari mereka.

  • Apabila masanya sesuai dan manusia bersedia untuk mengikutNya lagi, Tuhan memilih seorang nabi lagi, memulihkan imamat dan Gereja, dan mengarahkan nabi untuk mengajarkan injil.

Yesus Kristus Telah Menubuhkan GerejaNya

Sejak dari waktu Penciptaan, anak-anak Tuhan menantikan kedatangan Juruselamat Yesus Kristus. Seperti yang Dia janjikan, Bapa Syurgawi menghantarkan PuteraNya, Yesus Kristus, ke bumi 2,000 tahun lalu.

Yesus Kristus menjalani kehidupan yang sempurna, tanpa dosa. Dia telah menubuhkan Gerejanya, mengajarkan injilNya, dan melakukan banyak mukjizat. Dia memilih dua belas orang lelaki untuk menjadi Rasulnya, termasuk Petrus, Yakobus, dan Yohanes. Dia telah mengajar mereka dan memberi mereka kuasa imamat untuk mengajar dalam namaNya dan untuk melaksanakan tatacara suci, seperti pembaptisan.

Sewaktu Yesus menubuh GerejaNya, Dia telah menerima arahan dari Bapa Syurgawi. Dia kemudiannya mengarahkan para pengikutNya. Yesus telah mengajar para pengikutNya bahawa wahyu daripada Tuhan merupakan batu di mana Dia akan membina GerejaNya.

Pada penghujung hidupNya, Yesus Kristus menderita dan mati bagi dosa-dosa setiap orang yang telah hidup atau yang akan hidup di atas bumi. Pengorbanan ini dipanggil Korban Tebusan. Melalui penderitaan, kematian, dan KebangkitanNya, Juruselamat telah membolehkan kita untuk menerima keampunan. Mereka yang beriman kepadaNya, bertaubat, dan mematuhi perintah-perintahNya akan menerima pengampunan dosa-dosa dan dipenuhi kedamaian dan kebahagiaan.

Selepas kebangkitaNya, Yesus Kristus membimbing para RasulNya melalui wahyu. Alkitab telah mencatatkan banyak cara Dia terus membimbing GerejaNya (lihat Kisah Rasul-rasul 10; Wahyu 1:1). Oleh itu, Gereja Yesus Kristus dipimpin oleh Tuhan dan bukannya oleh manusia.

Kemurtadan Besar

Berikutan kematian Yesus Kristus, orang jahat menganiaya dan membunuh ramai ahli Gereja. Ahli-ahli gereja yang lain pula menyimpang dari asas-asas injil yang telah diajarkan oleh Yesus Kristus dan para RasulNya. Para Rasul dibunuh, dan kuasa imamat—termasuk kunci-kunci untuk memimpin dan menerima wahyu untuk Gereja—pun diambil dari muka bumi. Kerana Gereja tidak lagi dipimpin oleh kuasa imamat, kesalahan mula menyusup masuk ke dalam ajaran-ajaran Gereja. Orang baik dan banyak kebenaran masih tetap ada, tetapi injil seperti yang ditubuhkan olehYesus Kristus telah hilang. Tempoh waktu ini dipanggil Kemurtadan Besar.

Kemurtadan ini mengakibatkan pembentukan banyak gereja dengan ajaran-ajaran yang berlawanan. Pada masa ini, ramai lelaki dan perempuan mencari kebenaran, tetapi mereka tidak dapat menjumpanya. Ramai orang baik mempercayai Tuhan dan Yesus Kristus dan cuba untuk memahami dan mengajar kebenaran, tetapi mereka tidak memiliki injil yang lengkap atau kuasa imamat. Akibatnya, setiap generasi mewarisi keadaan kemurtadan apabila mereka dipengaruhi oleh apa yang diturunkan oleh generasi sebelumnya, termasuklah perubahan kepada injil Kristus.

Beberapa orang yang diilhamkan, seperti Martin Luther dan John Calvin, sedar bahawa amalan-amalan dan ajaran-ajaran telah diubah atau hilang. Mereka berusaha untuk membentuk semula gereja-gereja di mana mereka adalah anggotanya. Tetapi, tanpa kuasa imamat, injil Kristus tidak dapat dikembalikan kepada bentuk asalnya. Suatu pemulihan iperlukan.

Tuhan telah tahu bahawa akan adanya suatu kemurtadan. Melalui seorang nabi dari Perjanjian Lama, Dia berfirman:

“Masanya akan tiba … apabila aku mendatangkan kebuluran di negeri ini. Orang akan lapar, tetapi tidak lapar akan makanan. Orang akan dahaga, tetapi tidak dahaga akan air. Mereka lapar dan dahaga akan perkhabaran daripada Tuhan:

Orang akan mengembara dari laut ke laut, dan selanjutnya dari utara ke timur. Di merata-rata tempat mereka akan mencari perkhabaran daripada Tuhan, tetapi mereka tidak akan mendapatnya.”

Pemulihan Injil

Pada tahun 1820, seperti yang Dia telah lakukan sepanjang sejarah dunia, Bapa Syurgawi sekali lagi memilih seorang nabi untuk memulihkan injil dan imamat ke atas bumi ini. Nabi itu bernama Joseph Smith. Semasa seorang remaja, Joseph dikeliru oleh perbezaan di kalangan banyak gereja di dalam kawasannya dan dia ingin mengetahui gereja manakah yang benar. Menyedari bahawa dia kurang kebijaksanaan, dia mengikut nasihat yang ditemui dalam Alkitab, “Jika ada sesiapa antara kamu kurang bijaksana, hendaklah dia berdoa kepada Tuhan supaya Tuhan memberikan kebijaksanaan kepadanya; kerana Tuhan memberikan dengan murah hati dan dengan sukacita kepada setiap orang” (Yakobus 1:5).

Joseph Smith memutus untuk bertanya kepada Tuhan apa yang harus dia lakukan. Apabila Joseph berdoa untuk mengetahui kebenaran, Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus muncul kepadanya. Yesus menyuruh Joseph agar jangan menyertai mana-mana gereja pun, kerana “kesemua itu salah” dan “mereka menghampiri Aku dengan bibir mereka, namun hati mereka jauh daipadaKu, mereka mengajarkan untuk ajaran agama peraturan manusia, yang berselubung ketuhanan; namun mereka menyangkal kuasa Tuhan itu” (Sejarah—Joseph Smith 1:19).

Seperti yang Tuhan telah lakukan dengan Adam, Nuh, Abraham, Musa dan para nabi yang lain, Dia telah memanggil Joseph Smith untuk menjadi nabi di mana melaluinya injil yang lengkap telah dipulihkan.

Pemulihan Imamat

Pada tahun 1829, Joseph Smith menerima kuasa imamat yang sama seperti yang Yesus Kristus berikan kepada para RasulNya. Yohanes Pembaptis, yang membaptis Yesus, muncul kepada Joseph Smith dan menganugerahkan ke atasnya Imamat Harun, atau imamat yang lebih rendah. Petrus, Yakobus, dan Yohanes (tiga orang daripada para Rasul asal Yesus Kristus) kemudiannya muncul kepada Joseph Smith dan menganugerahkan kepadanya Imamat Melkisedek, atau imamat yang lebih tinggi.

Selepas dia menerima kuasa imamat, Joseph Smith diarahkan untuk mengorganisasikan Gereja Yesus Kristus sekali lagi di atas muka bumi. Melaluinya, Yesus Kristus memanggil Dua Belas Rasul sekali lagi.

Seperti mana Yesus Kristus memimpin para RasulNya melalui wahyu selepas kebangkitanNya, Dia terus memimpin Gereja pada hari ini melalui para nabi dan rasul yang hidup. Presiden Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ialah nabi yang telah dipilih oleh Tuhan pada hari ini. Dia, dan para penasihatnya, dan Dua Belas Rasul memegang kuasa imamat yang telah dipegang oleh semua nabi dan rasul pada zaman-zaman dahulu. Semua lelaki ini ialah nabi, pelihat, dan pewahyu.

Kitab Mormon

Sebagai sebahagian daripada Pemulihan Injil, Tuhan telah mengemukan Kitab Mormon: Satu kesaksian Lagi Tentang Yesus Kristus. Dengan kuasa Tuhan, Joseph Smith telah menterjemahkan buku ini dari sebuah catatan purba yang ditulis di atas kepingan-kepingan emas. Kitab Mormon adalah “sebuah catatan tentang hubungan Tuhan dengan para penduduk purba di Amerika dan mengandungi injil yang penuh dan kekal” (pendahuluan kepada Kitab Mormon).

Kitab Mormon adalah satu kesaksian yang kuat tentang Yesus Kristus. Ia membantu kita memahami ajaranNya, termasuklah ajaran-ajatan di dalam Alkitab.

Kitab Mormon adalah satu bukti yang meyakinkan tentang Pemulihan injil melalui Joseph Smith. Anda boleh mengetahui dengan diri sendiri bahawa Kitab Mormon adalah benar. Untuk memperolehi pengetahuan ini, anda mesti membacanya, merenungkan pesanannya, dan berkeinginan untuk mengetahui jika ia adalah benar. Anda mesti bertanya kepada Bapa Syurgawi untuk memastikan bahawa ia adalah firmanNya. Apabila anda melakukan demikian, Dia akan menyatakan kepada anda melalui Roh Kudus bahawa ianya adalah benar.

Apabila anda mengetahui bahawa Kitab Mormon adalah benar, anda juga akan mengetahui melalui Roh Kudus bahawa Joseph Smith adalah seorang nabi Tuhan, bahawa Injil Yesus Kristus telah dipulihkan melaluinya, dan bahawa Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir dipimpin oleh seorang nabi dan para rasul pada hari ini.

Bagaimana Saya Boleh Mengetahui?

Anda boleh mengetahui bahawa pesanan ini adalah benar. Jika anda bertanya kepada Bapa Syurgawi anda dalam doa, anda boleh menerima jawapan daripadaNya melalui Roh Kudus. Roh Kudus juga dipanggil Roh Tuhan, dan salah satu peranannya adalah untuk bersaksi, atau memberi keterangan, tentang kebenaran.

Pengetahuan ini mungkin suatu mukjizat dan boleh mengubah kehidupan, tetapi biasanya ia datang sebagai pengesahan yang senyap, tanpa pameran-pameran hebat kuasa Tuhan. Roh Kudus mengesahkan kebenaran melalui perasaan, pemikiran, dan impresi. Seperti yang diajarkan dalam Alkitab, “Sebaliknya, inilah hasilnya jika orang dipimpin oleh Roh Tuhan: Mereka saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, rendah hati, dan dapat mengawal diri” (Galatia 5:22–23). Perasaan-perasaan dari Roh Kudus ini adalah wahyu peribadi kepada anda bahawa injil Yesus Kristus yang telah dipulihkan melalui Joseph Smith adalah benar. Anda seterusnya perlu memilih sama ada anda akan hidup mengikut pengetahuan yang telah anda terima.

  • Perkataan-perkataan yang berwarna merah didefinisikan pada muka surat 18 dan 19.