Bab 13
Yudah dan Yerusalem akan dihukum kerana ketidakpatuhannya—Tuhan Yesus membela dan menghukum umat-Nya—Puteri-puteri Sion dikutuk dan diseksa kerana sikap keduniawian mereka—Bandingkan dengan Yesaya 3. Kira-kira 559–545 tahun S.M.
1 Kerana lihatlah, Tuhan, Tuhan Semesta Alam, mengambil dari Yerusalem, dan dari Yudah, persediaan dan bekalan, segala persediaan roti, dan segala bekalan air—
2 Orang yang perkasa, dan orang yang berperang, hakim, serta nabi, dan yang bijaksana, serta para tua-tua;
3 Panglima lima puluh orang, dan orang yang terhormat, dan penasihat, dan tukang sihir, dan pemidato yang fasih.
4 Dan Aku akan memberi anak-anak kepada mereka untuk menjadi pemimpin mereka, dan kanak-kanak akan memerintah atas diri mereka.
5 Dan umat akan ditindas, setiap orang oleh yang lain, dan setiap orang oleh jirannya; anak kecil akan berkelakuan angkuh terhadap para tua-tua, dan orang yang keji terhadap orang yang terhormat.
6 Ketika seorang lelaki akan mencengkam saudaranya yang dari rumah bapanya, dan berkata: Engkau memiliki pakaian, jadilah engkau pemerintah kami, dan jangan biarkan pemusnahan ini datang di bawah tanganmu.
7 Pada hari itu akanlah dia bersumpah, mengatakan: Aku tidak akan menjadi seorang penyembuh; kerana dalam rumahku tiada roti ataupun pakaian; janganlah menjadikanku seorang pemerintah ke atas bangsa ini.
8 Kerana Yerusalem sudah musnah, dan Yehudah telah runtuh, kerana ucapan mereka dan perbuatan mereka telah menentang Tuhan, mengapi-apikan mata kemuliaan-Nya.
9 Rupa air muka mereka bersaksi menentang mereka, dan mengisytiharkan dosa mereka menjadi bahkan sebagai Sodom, dan mereka tidak dapat menyembunyikannya. Celakalah jiwa mereka, kerana mereka telah mendatangkan bencana kepada diri mereka sendiri!
10 Katakanlah kepada yang soleh bahawa adalah baik-baik dengan mereka; kerana mereka akan makan buah perbuatan mereka.
11 Celakalah orang jahat, kerana mereka akan binasa; kerana ganjaran bagi tangan mereka akan berada di atas mereka!
12 Dan bangsaku, kanak-kanak adalah penindas mereka, dan kaum perempuan memerintah atas mereka. Wahai bangsaku, mereka yang memimpinmu menyebabkanmu membuat kesalahan dan menghapuskan jalan hidupmu.
13 Tuhan berdiri untuk membela, dan berdiri untuk menghakimkan umat.
14 Tuhan akan melaksanakan penghakiman dengan para tua-tua dan para pemimpin umat-Nya; kerana kamu telah memakan habis kebun anggur dan hasil rampasan daripada orang miskin di dalam rumahmu.
15 Apakah maksudmu? Engkau membelasah umat-Ku sampai bercebis-cebisan, dan mengisar muka orang miskin, firman Tuhan Semesta Alam.
16 Lebih-lebih lagi, Tuhan berfirman: Kerana para puteri Sion adalah sombong, dan berjalan dengan leher yang dijenjangkan dan mata yang jalang, berjalan dan bergaya sewaktu mereka melangkah, dan membuat suatu bunyi bergemerincing dengan kaki mereka—
17 Oleh kerana itu, Tuhan akan mendera dengan suatu kudis pada kulit kepala para puteri Sion, dan Tuhan akan menelanjangkan bahagian-bahagian mereka yang sulit.
18 Pada hari itu, Tuhan akan mengambil kegemilangan perhiasan bergemerincing mereka, dan selendang, dan jamang berupa bulan.
19 Kalung dan gelang, dan kain tudung;
20 Topi, dan hiasan kaki, dan ikat kepala, dan bekas wangian, dan subang;
21 Cincin, dan permata hidung;
22 Pakain yang diganti-gantikan, dan jubah, dan selubung kepala, dan tusuk rambut;
23 Cermin, dan kain linen yang halus, tudung kepala, dan selendang.
24 Dan akan terjadi, bukan bau wangi tetapi kebusukan; dan bukan tali pinggang, tetapi koyakan; dan bukan rambut yang rapi, tetapi kebotakan; dan bukan hiasan penutup dada, tetapi kain karung guni; tanda selar, bukan kecantikan.
25 Kaum lelaki mereka akan jatuh kerana pedang dan orang perkasamu dalam perang.
26 Dan pintu gerbangnya akan meratap dan berduka nestapa; dan dia akan terlantar, dan akan duduk di atas tanah.