Bab 8
Yakub sambung membaca dari Yesaya: Pada zaman terakhir, Tuhan akan menghiburkan hati Sion dan mengumpulkan Israel—Mereka yang telah ditebus akan datang ke Sion dalam keadaan kebahagiaan yang besar—Banding dengan Yesaya 51 dan 52:1–2. Kira-kira 559–545 tahun S.M.
1 Dengarkanlah Aku, kamu yang mengikut kesolehan. Pandanglah kepada batu daripada mana kamu dipotong, dan kepada lubang korekan dari mana kamu digali.
2 Pandanglah kepada Abraham, bapamu, dan kepada Sara, dia yang melahirkanmu; kerana Aku memanggil dia seorang diri, dan memberkatinya.
3 Kerana Tuhan akan menghiburkan Sion, Dia akan menghiburkan semua tempat-tempatnya yang tandus; dan Dia akan menjadikan padang belantaranya seperti Eden, dan gurunnya seperti taman Tuhan. Kebahagiaan dan sukacita akan terdapat di dalamnya, kesyukuran dan suara lagu.
4 Dengarlah kepada-Ku, umat-Ku; dan pasanglah telinga kepada-Ku, Wahai bangsa-Ku; kerana suatu hukum akan datang daripada-Ku, dan Aku akan menjadikan penghakiman-Ku suatu cahaya kepada umat.
5 Kesolehan-Ku adalah dekat; keselamatan-Ku telah tersebar, dan lengan-Ku akan menghakimi orang. Pulau-pulau akan berharap kepada-Ku, dan pada lengan-Ku akan mereka menaruh kepercayaan.
6 Angkatlah matamu ke langit, dan pandanglah kepada bumi di bawah; kerana langit akan lenyap seperti asap, dan bumi akan menjadi usang seperti sehelai pakaian; dan mereka yang diam di situ akan mati dalam cara yang sama. Tetapi keselamatan-Ku akan kekal selamanya, dan kesolehan-Ku tidak akan dihapuskan.
7 Dengarlah kepada-Ku, kamu yang kenal kesolehan, orang yang dalam hatinya telah Aku tuliskan hukum-Ku, janganlah takut akan teguran manusia, juga janganlah takut akan penghinaan mereka.
8 Kerana gegat akan memakannya seperti sehelai pakaian, dan ulat akan memakannya seperti bulu domba. Tetapi kesolehan-Ku akan kekal selamanya, dan keselamatan-Ku dari generasi ke generasi.
9 Bangunlah, bangunlah! Kenakanlah kekuatan, hai lengan Tuhan; bangunlah seperti pada zaman purba. Bukankah kamu dia yang telah mengelar Rahab, dan mencederakan naga itu?
10 Bukankah kamu dia yang telah mengeringkan laut, perairan samudera; yang telah menjadikan kedalaman laut suatu jalan bagi mereka yang tertebus untuk menyeberang?
11 Oleh kerana itu, mereka yang ditebuskan oleh Tuhan akan kembali, dan datang dengan nyanyian ke Sion; dan kebahagiaan dan kesucian kekal akan berada atas kepala mereka; dan mereka akan mendapat kegembiraan dan kebahagiaan; dukacita dan nestapa akan lenyap.
12 Akulah Dia; ya, Akulah Dia yang menghiburkanmu. Lihatlah, siapakah engkau, sehingga engkau mesti takut pada manusia, yang akan mati, dan pada anak manusia, yang akan dijadikan seperti rumput?
13 Dan melupakan Tuhan penciptamu, yang telah membentangkan langit, dan meletakkan dasar bumi, dan telah merasa takut berkali-kali setiap hari, kerana kebengisan si penindas, seolah-olah dia sedia menghapuskan? Dan di manakah kebengisan si penindas itu?
14 Pelarian tertawan bergegas, agar dia dapat dilepaskan, dan agar dia tidak akan mati dalam penjara lubang, tidak juga agar rotinya akan habis.
15 Tetapi Akulah Tuan, Tuhanmu, yang ombak-Nya menderum; Tuhan Semesta Alam adalah nama-Ku.
16 Dan Aku telah meletakkan firman-Ku dalam mulutmu, dan telah menutupimu dalam bayangan tangan-Ku, agar Aku dapat menempatkan langit dan meletakkan dasar bumi, dan berfirman kepada Sion: Lihatlah, engkau adalah umat-Ku.
17 Bangunlah, bangunlah, berdirilah, Wahai Yerusalem, yang telah minum di tangan Tuhan cawan kemurkaan-Nya—engkau telah meminum mendapan-mendapan yang habis terperas dalam cawan kegetaran—
18 Dan tiada sesiapa untuk menuntunnya di kalangan semua putera yang telah dia lahirkan; tiada juga yang membimbingnya dengan memegang tangannya, di antara semua putera yang telah dibesarkan.
19 Kedua-dua putera ini telah datang kepadamu, siapakah yang akan mengasihanimu—kemusnahan dan kebinasaanmu, dan kebuluran dan pedang—dan melalui siapakah akan Aku menghiburmu?
20 Putera-puteramu telah pengsan, kecuali kedua ini; mereka berbaring di hujung semua jalan; bagaikan seekor lembu jantan dalam jaring, mereka penuh dengan kemurkaan Tuhan, teguran Tuhanmu.
21 Oleh kerana itu, dengarlah sekarang ini, kamu yang sengsara, dan yang mabuk, dan bukan oleh wain:
22 Demikianlah firman Tuhanmu, Tuan dan Tuhanmu membela hal umat-Nya; lihatlah, Aku telah mengambil dari tanganmu cawan kegetiran, mendapan-mendapan dari cawan kemurkaan-Ku; engkau tidak akan lagi meminumnya.
23 Tetapi Aku akan meletakkannya ke dalam tangan mereka yang menyengsarakanmu; yang telah berkata kepada jiwamu: Bongkoklah, agar kami dapat melintas—dan kamu telah membaringkan tubuhmu bagaikan tanah dan bagaikan jalan bagi mereka yang melintas.
24 Bangunlah, bangunlah, kenakanlah kekuatanmu, Wahai Sion; kenakanlah pakaian indahmu, Wahai Yerusalem, kota suci; kerana mulai sekarang tiada lagi yang datang kepadamu yang tidak bersunat dan tidak bersih.
25 Kibaskanlah dirimu dari debu; bangkitlah, duduklah, Wahai Yerusalem; lepaskanlah dirimu daripada ikatan lehermu, Wahai puteri Sion yang tertawan.