Bab 15
Kebun anggur Tuhan (Israel) akan menjadi terlantar, dan umat-Nya akan dicerai-beraikan—Kecelakaan akan datang ke atas mereka dalam keadaan mereka yang murtad dan dicerai-beraikan—Tuhan akan mengangkat panji dan mengumpulkan Israel—Bandingkan dengan Yesaya 5. Kira-kira 559–545 tahun S.M.
1 Dan ketika itu akan Aku nyanyikan kepada yang amat terkasih-Ku suatu lagu berkenaan yang terkasih-Ku, berkaitan dengan kebun anggurnya. Yang amat terkasihku memiliki sebidang kebun anggur di sebuah bukit yang sangat subur.
2 Dan dia memagarkannya, dan menyingkirkan batu-batan darinya, dan menanamkannya dengan pohon anggur yang unggul dan membina menara di tengah-tengahnya, dan juga membuat sebuah pemerah anggur wain di dalamnya; dan dia mengharapkan bahawa ia akan menghasilkan buah anggur, dan ia menghasilkan buah anggur liar.
3 Dan sekarang, Wahai penghuni Yerusalem, dan orang dari Yehuda, hakimilah, Aku memintamu, antara aku dan kebun anggurku.
4 Apakah lagi yang dapat dilakukan kepada kebun anggurku yang belum Aku lakukan di dalamnya? Oleh kerana itu, ketika Aku mengharapkan bahawa ia akan menghasilkan buah anggur, ia menghasilkan buah anggur liar.
5 Dan sekarang pergilah; Aku akan memberitahumu apa yang Aku akan buat pada kebun anggur-Ku—Aku akan menyingkirkan pagarnya, dan ia akan habis dimakan; dan Aku akan merobohkan temboknya, dan ia akan dipijak-pijak;
6 Dan Aku akan menghapuskannya; ia tidak akan dipangkas ataupun digembur; tetapi akan muncul semak dan belukar berduri; Aku juga akan memerintahkan awan agar mereka tidak menurunkan hujan ke atasnya.
7 Kerana kebun anggur Tuhan Semesta Alam adalah bani Israel, dan orang dari Yehuda, tumbuhan yang digemari-Nya; dan Dia menunggu-nunggukan penghakiman, dan lihatlah, penindasan; menunggu-nunggukan kesolehan, tetapi lihatlah, suatu seruan.
8 Celakalah mereka yang menggabungkan rumah ke rumah, sehingga tiada tempat, agar mereka dapat ditempatkan berseorangan di tengah-tengah bumi!
9 Dalam telinga-Ku, firman Tuhan Semesta Alam, sebenarnya banyak rumah akan terlantar, dan kota-kota yang agung dan indah tanpa penghuni.
10 Ya, sepuluh hektar kebun anggur akan menghasilkan dua puluh dua liter, dan dua ratus dua puluh liter benih akan menghasilkan dua puluh dua liter.
11 Celakalah mereka yang bangun awal-awal pagi, agar mereka boleh mencari minuman keras, yang berterusan sehingga malam hari, dan wain memabukkan mereka!
12 Dan kecapi, gambus, rebana, dan seruling, dan wain ada dalam pesta-pesta mereka; tetapi mereka tidak mengendahkan kerja Tuhan, juga tidak memerhatikan kerja tangan-Nya.
13 Oleh kerana itu, bangsaku telah masuk ke dalam tawanan, kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan; dan orang terhormat mereka amat lapar, dan ramai orang mereka kering kerana kedahagaan.
14 Oleh kerana itu, neraka telah membesarkan dirinya, dan membuka mulutnya tanpa batas; dan kemuliaan mereka, dan keramaian mereka, dan kegemilangan mereka, dan dia yang bersukacita, akan turun ke dalamnya.
15 Dan orang bawahan akan dirobohkan, dan orang perkasa akan direndahkan, dan mata mereka yang tinggi hati akan direndahkan.
16 Tetapi Tuhan Semesta Alam akan dipermuliakan dalam penghakiman, dan Tuhan yang adalah kudus akan dipersucikan dalam kesolehan.
17 Kemudian akanlah anak-anak domba makan menurut cara mereka, dan tempat-tempat tandus kepunyaan yang gemuk akan orang asing makan.
18 Celakalah mereka yang menarik kederhakaan dengan tali-tali kesombongan, dan dosa seakan-akan dengan tali gerobak.
19 Yang berkata: Biarlah Dia mempercepatkan, mempergesakan kerja-Nya, agar kami dapat melihatnya; dan biarlah nasihat Yang Kudus dari Israel semakin dekat dan datang, agar kami dapat mengetahuinya.
20 Celakalah mereka yang memanggil kejahatan itu baik, dan kebaikan itu jahat, yang menempatkan kegelapan sebagai cahaya, dan cahaya sebagai kegelapan, yang menempatkan pahit sebagai manis, dan manis sebagai pahit!
21 Celakalah yang bijaksana pada mata mereka sendiri dan bijak pada pandangan mereka sendiri!
22 Celakalah yang gagah meminum wain, dan orang yang kuat yang mencampur minuman keras;
23 Yang melepaskan orang jahat kerana rasuah, dan mengambil kesolehan orang soleh daripadanya!
24 Oleh kerana itu, sebagaimana api melahap tunggul jerami, dan nyala api melahap sekam, akar mereka akan menjadi kereputan, dan bunga-bunga mereka akan naik bagaikan debu; kerana mereka telah membuangkan hukum Tuhan Semesta Alam, dan mengejifirman Yang Kudus dari Israel.
25 Oleh kerana itu, kemurkaan Tuhan dinyalakan terhadap umat-Nya, dan Dia telah menghulurkan tangan-Nya terhadap mereka, dan telah mendera mereka; dan bukit-bukau bergementar, dan bangkai mereka terkoyak-koyak di tengah jalan. Biarpun demikian, kemurkaan-Nya tidak dipalingkan, tetapi tangan-Nya masih terhulur.
26 Dan Dia akan mengangkat suatu panji bagi bangsa-bangsa dari jauh, dan akan mendesis kepada mereka dari hujung bumi; dan lihatlah, mereka akan cepat datang dengan kepantasan; tiada yang akan letih atau tersandung di kalangan mereka.
27 Tiada seorang pun yang akan terlelap ataupun tidur; tidak juga akan tali pinggang aurat mereka dilepaskan, tidak juga tali kasut mereka diputuskan.
28 Yang anak panahnya akan tajam, dan semua busur mereka lengkung, dan kuku kuda mereka akan dianggap sebagai batu api, dan roda mereka sebagai puting beliung, ngauman mereka sebagai seekor singa.
29 Mereka akan mengaum seperti singa muda; ya, mereka akan mengaum, dan mencengkam mangsa, dan akan membawa pergi dengan selamat, dan tiada siapa pun akan membebaskan.
30 Dan pada hari itu mereka akan mengaum terhadap mereka seperti derum laut; dan jika mereka memandang ke tanah, lihatlah, kegelapan dan dukacita, dan cahaya dimalapkan di langitnya.