Kitab Suci
2 Nefi 24


Bab 24

Israel akan dikumpulkan dan akan menikmati istirahat pada Zaman Seribu Tahun—Lusifer akan dibuang keluar dari syurga kerana pemberontakan—Israel akan mengalahkan Babilonia (dunia)—Bandingkan dengan Yesaya 14. Kira-kira 559–545 tahun S.M.

1 Kerana Tuhan akan berbelas kasihan atas Yakub, dan akan masih memilih Israel, dan menegakkan mereka di dalam negeri mereka sendiri; dan orang bangsa asing akan digabungkan dengan mereka, dan mereka akan menyatukan diri dengan bani Yakub.

2 Dan bangsa itu akan mengambil mereka dan membawa mereka ke tempat mereka; ya, daripada jauh hingga hujung-hujung bumi; dan mereka akan kembali ke negeri-negeri mereka yang dijanjikan; dan bani Israel akan menawan mereka, dan negeri Tuhan adalah untuk para hamba lelaki dan wanita; dan mereka akan mengambil sebagai tawanan orang yang pernah menawan mereka; dan mereka akan memerintah ke atas para penindas mereka.

3 Dan akan terjadi pada hari itu bahawa Tuhan akan memberi kamu istirahat daripada dukacitamu, dan daripada ketakutanmu, dan daripada perhambaan berat di mana kamu telah dipaksa untuk melayani.

4 Dan akan terjadi pada hari itu, bahawa kamu akan mengucapkan pepatah ini menentang raja Babilonia, dan berkata: Bagaimananya si penindas tiada lagi, kota emas tiada lagi!

5 Tuhan telah mematahkan tongkat orang jahat, cokmar para pemerintah.

6 Dia yang membelasah orang dalam kemurkaan dengan pukulan yang berterusan, dia yang memerintah bangsa-bangsa dalam kemarahan, dianiaya, dan tiada yang akan menghalangnya.

7 Seluruh bumi berada dalam istirahat, dan adalah aman; mereka tiba-tiba menyanyi.

8 Ya, pokok fir akan berbahagia keranamu, dan juga pokok sedar di Lebanon, mengatakan: Sejak kamu dibaringkan, tiada penebang datang melawan kami.

9 Neraka dari bawah digerakkan bagi kamu untuk menemuimu semasa kedatanganmu; ia membangunkan orang mati untukmu, bahkan semua orang terutama di dunia; ia telah membangkitkan dari takhta mereka semua raja bangsa-bangsa.

10 Semua mereka akan berbicara dan berkata kepadamu: Adakah kamu juga menjadi lemah seperti kami? Adakah kamu menjadi seperti kami?

11 Kegemilanganmu dibawa ke dalam kubur; bunyi gambusmu tidak didengar; cacing disebar di bawahmu, dan cacing-cacing menyelimutimu.

12 Betapa kamu telah jatuh dari syurga, Wahai Lusifer, putera fajar! Betapa engkau ditebangkan ke tanah, yang telah melemahkan bangsa-bangsa!

13 Kerana engkau telah berkata dalam hatimu: Aku akan naik ke syurga, aku akan memuliakan takhtaku lebih tinggi daripada bintang-bintang Tuhan; aku akan duduk juga di atas gunung jemaah, di sempadan-sempadan utara;

14 Aku akan naik melebihi ketinggian awan-awan; aku akan menjadi seperti Yang Maha Tinggi.

15 Namun engkau akan dibawa turun ke neraka, ke tepi-tepi lubang.

16 Mereka yang memandangmu akan menatapmu, dan akan menelitimu, dan berkata: Adakah ini orang yang telah menjadikan bumi menggentar, yang menggemparkan kerajaan-kerajaan?

17 Dan menjadikan dunia seperti sebuah padang belantara, dan memusnahkan kota-kota dalamnya, dan tidak membukakan rumah para tawanannya?

18 Dan para raja bangsa-bangsa, ya, semua mereka, berbaring dalam kemegahan, setiap orang daripada mereka dalam makamnya sendiri.

19 Tetapi engkau telah dibuang keluar dari kuburmu seperti cabang yang dikeji, dan keturunan selebihnya daripada mereka yang terbunuh, ditikam dengan pedang, yang turun ke batu-batu dalam lubang itu; seperti bangkai dipijak di bawah kaki.

20 Engkau tidak akan disertakan dengan mereka dalam pemakaman, kerana engkau telah membinasakan negerimu dan membunuh bangsamu; keturunan daripada pelaku-pelaku kejahatan tidak akan menjadi masyhur.

21 Sediakanlah pembantaian untuk anak-anaknya bagi kederhakaan bapa-bapa mereka, agar mereka tidak akan bangkit, tidak juga memiliki negeri itu, atau memenuhi permukaan dunia dengan kota-kota.

22 Kerana Aku akan bangkit melawan mereka, firman Tuhan Semesta Alam, dan menyingkirkan dari Babilonia nama, dan keturunan selebihnya, dan anak lelaki, dan anak buah lelaki, firman Tuhan.

23 Aku juga akan menjadikannya milik burung bangau, dan kolam-kolam air; dan Aku akan menyapukannya dengan penyapu kebinasaan, firman Tuhan Semesta Alam.

24 Tuhan Semesta Alam telah bersumpah, memfirmankan: Pastilah sebagaimana Aku telah berfikir, demikianlah akan terjadi; dan sebagaimana Aku telah maksudkan, demikianlah akan wujud—

25 Bahawa Aku akan membawa orang Asyur dalam negeri-Ku, dan di atas gunung-gunung-Ku memijak-mijak mereka; kemudian akan kuknya terlepas daripada mereka, dan bebannya terlepas daripada bahu mereka.

26 Inilah tujuan yang dirancangkan ke atas seluruh bumi; dan inilah tangan yang dihulurkan ke atas semua bangsa.

27 Kerana Tuhan Semesta Alam telah merancang, dan siapakah akan membatal? Dan tangan-Nya dihulurkan, dan siapakah yang akan menghalang?

28 Pada tahun raja Ahas mangkat ada beban ini.

29 Jangan engkau bersukacita, seluruh Palestina, kerana belantan Dia yang membelasahmu sudah patah; kerana daripada akar ular akan muncul ular bisa, dan buahnya akan menjadi seekor ular terbang yang berapi.

30 Dan anak sulung orang miskin akan makan, dan yang melarat akan berbaring dalam keselamatan; dan Aku akan membunuh akarmu dengan kebuluran, dan dia akan membunuh keturunanmu yang selebihnya.

31 Merataplah, Wahai gerbang; berserulah, Wahai kota; engkau, seluruh Palestina, dibubarkan; kerana akan datang dari utara asap, dan tiada yang akan berseorangan pada masanya yang ditetapkan.

32 Apakah jika demikian akan menjawab para utusan bangsa-bangsa? Bahawa Tuhan telah menegakkan Sion, dan yang miskin daripada umat-Nya akan percaya padanya.