Bab 22
Pada zaman terakhir, Sion dan pasak-pasaknya akan ditubuhkan, dan Israel akan dikumpulkan dengan belas kasihan dan kelembutan—Mereka akan menang—Bandingkan dengan Yesaya 54. Kira-kira 34 tahun M.
1 Dan pada waktu itulah apa yang tertulis akan terjadi: Bernyanyilah, Wahai si mandul, engkau yang tidak beranak; bersorak-sorailah dengan nyanyian, dan berserulah dengan kuat, engkau yang tidak menderita bersalin; kerana lebih banyaklah anak si mandul daripada anak-anak si isteri yang sudah berkahwin, firman Tuhan.
2 Luaskanlah tempat khemahmu, dan biarlah mereka merentangkan tirai-tirai kediamanmu; janganlah menahan, panjangkanlah tali-talimu dan kuatkanlah pasak-pasakmu;
3 Kerana engkau akan menembus keluar ke kanan dan ke kiri, dan keturunanmu akan mewarisi bangsa bukan Israel dan menjadikan kota-kota yang terbiar untuk dihuni.
4 Janganlah takut, kerana engkau tidak akan malu; tidak juga engkau diaibkan, kerana engkau tidak akan dimalukan; kerana engkau akan melupakan rasa malu pada masa remajamu, dan tidak akan mengingati keaiban pada masa remajamu, dan tidak akan mengingati lagi keaiban pada masa jandamu.
5 Kerana penciptamu, suamimu, Tuhan Semesta Alam ialah nama-Nya; dan Penebusmu, Yang Kudus dari Israel—Dia akan dipanggil Tuhan seluruh bumi.
6 Kerana Tuhan telah memanggil engkau seperti wanita yang telah ditinggalkan dan berjiwa sedih, dan seorang isteri yang muda, ketika engkau ditolak, firman Tuhanmu.
7 Untuk seketika telah Aku meninggalkan engkau, tetapi dengan belas kasihan yang besar Aku akan mengumpulkan engkau.
8 Dalam sedikit kemurkaan Aku menyembunyikan muka-Ku daripadamu untuk seketika, tetapi dengan kebaikan hati yang kekal Aku akan berbelas kasihan kepadamu, firman Tuhan Penebusmu.
9 Kerana ini, air banjir Nuh bagi-Ku, kerana Aku telah bersumpah bahawa air banjir Nuh tidak akan menenggelami bumi lagi, demikianlah Aku telah bersumpah bahawa Aku tidak akan murka terhadap engkau.
10 Kerana gunung-ganang akan berganjak dan bukit-bukau dialihkan, tetapi kebaikan hati-Ku tidak akan berganjak daripadamu, tidak juga perjanjian damai-Ku akan disingkirkan, firman Tuhan yang berbelas kasihan kepadamu.
11 Wahai engkau yang sengsara, diumbang-ambingkan oleh angin ribut, dan tidak terhibur! Lihatlah, Aku akan meletakkan batu-batumu dengan warna-warna yang cerah, dan meletakkan landasanmu dengan batu nilam.
12 Dan Aku akan membuat jendela-jendelamu daripada batu baiduri, dan pintu-pintu gerbangmu daripada batu manikam, dan semua sempadanmu daripada batu permata.
13 Dan semua anakmu akan diajar oleh Tuhan; dan besarlah kedamaian anak-anakmu.
14 Dalam kebenaran engkau akan ditegakkan; engkau akan berada jauh dari penindasan kerana engkau tidak akan takut, dan dari ketakutan kerana ia tidak akan datang mendekati engkau.
15 Lihatlah, mereka pasti akan berkumpul bersama menentang engkau, bukan daripada-Ku; sesiapa pun yang akan berkumpul bersama untuk menentang engkau akan jatuh demi kepentinganmu.
16 Lihatlah, Aku telah menciptakan tukang besi yang meniup arang di dalam api, dan yang menghasilkan alat untuk pekerjaannya; dan Aku telah menciptakan pemusnah untuk menghancurkan.
17 Tidak ada senjata yang telah dibentuk untuk menentang engkau yang akan berjaya; dan setiap lidah yang akan mencaci maki engkau dalam penghakiman akan engkau hukumi. Inilah pusaka warisan hamba-hamba Tuhan, dan kesolehan mereka adalah daripada-Ku, firman Tuhan.