Kitab Suci
Mosia 26


Bab 26

Banyak anggota Gereja dituntun ke dalam dosa oleh orang kufur—Alma dijanjikan kehidupan abadi—Mereka yang bertaubat dan dibaptis memperoleh pengampunan—Para anggota Gereja dalam dosa yang bertaubat dan mengaku kepada Alma dan kepada Tuhan akan diampuni; jika tidak, mereka tidak akan terbilang di kalangan umat Gereja. Kira-kira 120–100 tahun S.M.

1 Sekarang, terjadilah bahawa ada banyak daripada generasi muda yang tidak dapat memahami perkataan-perkataan raja Benyamin, kerana masih anak-anak kecil pada waktu dia berbicara kepada rakyatnya; dan mereka tidak mempercayai adat resam nenek moyang mereka.

2 Mereka tidak percaya apa yang telah dikatakan berkenaan kebangkitan orang mati, tidak juga mereka percaya berkenaan kedatangan Kristus.

3 Dan sekarang, kerana ketidakpercayaan mereka, mereka tidak dapat mengerti firman Tuhan; dan hati mereka menjadi keras.

4 Dan mereka tidak mahu dibaptis; tidak juga mereka mahu menyertai gereja. Dan mereka adalah umat yang terpisah berkaitan dengan iman mereka, dan tetap demikian senantiasa buat selamanya, bahkan dalam keadaan mereka yang badaniah dan penuh dosa; kerana mereka tidak mahu memohon kepada Tuhan Raja mereka.

5 Dan sekarang, pada zaman pemerintahan Mosia mereka tidak sampai setengah ramainya berbanding dengan umat Tuhan; tetapi kerana pertengkaran di kalangan saudara-saudara, mereka menjadi lebih ramai.

6 Kerana terjadilah bahawa mereka menipu ramai orang dengan perkataan-perkataan mereka yang mengangkat-angkat, orang yang ada di dalam gereja, dan menyebabkan mereka berbuat banyak dosa; oleh kerana itu menjadi perlu bahawa mereka yang berbuat dosa, yang ada di dalam gereja, hendaknya diperingatkan oleh gereja.

7 Dan terjadilah bahawa mereka dibawa ke hadapan para imam, dan diserahkan kepada para imam oleh pengajar-pengajar; dan imam membawa mereka ke hadapan Alma, yang adalah imam tinggi.

8 Sekarang, raja Mosia telah memberikan Alma wewenang ke atas gereja.

9 Dan terjadilah bahawa Alma tidak tahu berkenaan mereka; tetapi ada banyak saksi menentang mereka; ya, orang berdiri dan bersaksi tentang kederhakaan mereka yang berlimpahan.

10 Sekarang, belum pernah hal yang demikian terjadi sebelumnya di dalam gereja; oleh kerana itu Alma berasa gelisah di dalam rohnya, dan dia menyuruh agar mereka hendaknya dibawa ke hadapan raja.

11 Dan dia berkata kepada raja: Lihatlah, di sini ada ramai orang yang telah kami bawa ke hadapan kamu, yang dituduh oleh saudara-saudara mereka; ya, dan mereka telah didapati dalam berbagai-bagai kederhakaan. Dan mereka tidak bertaubat akan kederhakaan mereka; oleh kerana itu kami telah membawa mereka ke hadapan kamu, agar kamu boleh menghakimi mereka menurut jenayah-jenayah mereka.

12 Tetapi raja Mosia berkata kepada Alma: Lihatlah, aku tidak menghakimi mereka; oleh kerana itu aku menyerahkan mereka ke dalam tanganmu untuk dihakimi.

13 Dan sekarang, roh Alma kembali berasa gelisah; dan dia pergi dan bertanya kepada Tuhan apa yang hendaknya dia lakukan berkenaan masalah ini, kerana dia takut bahawa dia akan melakukan ketidakadilan dalam pandangan Tuhan.

14 Dan terjadilah bahawa setelah dia mencurahkan seluruh jiwanya kepada Tuhan, suara Tuhan datang kepadanya, memfirmankan:

15 Diberkatilah engkau, Alma, dan diberkatilah mereka yang dibaptis di Perairan Mormon. Engkau diberkati kerana imanmu yang amat besar pada perkataan-perkataan semata-mata daripada hamba-Ku Abinadi.

16 Dan diberkatilah mereka kerana iman mereka yang amat besar pada perkataan-perkataan semata-mata yang telah engkau ucapkan kepada mereka.

17 Dan diberkatilah engkau kerana engkau telah menegakkan sebuah jemaah di kalangan umat ini; dan mereka akan ditegakkan, dan mereka akan menjadi umat-Ku.

18 Ya, diberkatilah umat ini yang bersedia untuk menyandang nama-Ku; kerana dalam nama-Ku akanlah mereka dipanggil; dan mereka adalah milik-Ku.

19 Dan kerana engkau telah bertanya kepada-Ku berkenaan si pelanggar, engkau diberkati.

20 Engkau adalah hamba-Ku; dan Aku membuat perjanjian denganmu bahawa engkau akan memperoleh kehidupan abadi; dan engkau akan melayani-Ku dan maju dalam nama-Ku, dan akan mengumpulkan bersama domba-domba-Ku.

21 Dan dia yang mahu mendengar suara-Ku akan menjadi domba-Ku; dan dia akan kamu terima ke dalam gereja, dan dia akan Aku terima juga.

22 Kerana lihatlah, ini adalah gereja-Ku; barang siapa dibaptis akan dibaptis untuk pertaubatan. Dan sesiapa pun yang kamu terima akan percaya pada nama-Ku; dan dia dengan murah hati akan Aku ampuni.

23 Kerana Akulah yang mengambil ke atas diri-Ku dosa-dosa dunia; kerana Akulah yang telah menciptakan mereka; dan Akulah yang memberikan kepada dia yang percaya sampai akhir sebuah tempat di sisi kanan-Ku.

24 Kerana lihatlah, dalam nama-Ku mereka dipanggil; dan jika mereka mengenal-Ku mereka akan tampil, dan akan memperoleh sebuah tempat secara abadi di sisi kanan-Ku.

25 Dan akan terjadi bahawa ketika sangkakala kedua akan berbunyi pada waktu itu akanlah mereka yang tidak pernah mengenal-Ku tampil dan akan berdiri di hadapan-Ku.

26 Dan pada waktu itu akanlah mereka tahu bahawa Akulah Tuhan Raja mereka, bahawa Akulah Penebus mereka; tetapi mereka tidak mahu ditebus.

27 Dan pada waktu itu Aku akan mengaku kepada mereka bahawa Aku tidak pernah mengenal mereka; dan mereka akan pergi ke dalam api kekal yang dipersiapkan bagi iblis dan para malaikatnya.

28 Oleh kerana itu Aku berfirman kepadamu, bahawa dia yang tidak mahu mendengar suara-Ku, orang yang sama itu janganlah kamu terima ke dalam gereja-Ku, kerana dia tidak akan Aku terima pada hari terakhir.

29 Oleh kerana itu Aku berfirman kepadamu, Pergilah; dan barang siapa melanggar hukum-Ku, dia akan kamu hakimi menurut dosa-dosa yang telah dia buat; dan jika dia mengakui dosa-dosanya di hadapanmu dan Aku, dan bertaubat dalam ketulusan hatinya, dia hendaknya kamu ampuni, dan Aku akan mengampuninya juga.

30 Ya, dan sekerap umat-Ku bertaubat akanlah Aku ampuni mereka bagi pelanggaran mereka terhadap-Ku.

31 Dan kamu juga akan saling mengampuni pelanggaranmu; kerana sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, dia yang tidak mengampuni pelanggaran jirannya apabila dia berkata bahawa dia bertaubat, orang yang sama telah membawa dirinya sendiri ke bawah penghukuman.

32 Sekarang, Aku berfirman kepadamu, Pergilah; dan barang siapa tidak akan bertaubat atas dosa-dosanya orang yang sama itu tidak akan terbilang di kalangan umat-Ku; dan ini hendaknya dipatuhi mulai waktu ini dan seterusnya.

33 Dan terjadilah bahawa ketika Alma telah mendengar firman ini dia menuliskannya agar dia boleh memilikinya, dan agar dia boleh menghakimi umat gereja itu menurut perintah-perintah Tuhan.

34 Dan terjadilah bahawa Alma pergi dan menghakimi mereka yang telah didapati dalam kederhakaan, menurut firman Tuhan.

35 Dan barang siapa bertaubat atas dosa-dosa mereka dan mengakuinya, merekalah dia bilangkan di kalangan umat gereja;

36 Dan mereka yang tidak mengakui dosa-dosa mereka dan bertaubat akan kederhakaan mereka, orang yang sama itu tidak terbilang di kalangan umat gereja, dan nama mereka dipadamkan.

37 Dan terjadilah bahawa Alma mengatur semua urusan gereja; dan mereka mula lagi mengalami kedamaian dan menjadi amat makmur dalam urusan gereja, berjalan dengan hati-hati di hadapan Tuhan, menerima ramai, dan membaptis ramai.

38 Dan sekarang, semua hal ini Alma dan para rakan pekerjanya lakukan, yang berkuasa atas gereja, berjalan dalam segenap ketekunan, mengajarkan firman Tuhan dalam segala hal, menderita segala macam kesengsaraan, dianiaya oleh semua mereka yang bukan ahli gereja Tuhan.

39 Dan mereka menasihati saudara-saudara mereka; dan mereka juga dinasihati, setiap orang oleh firman Tuhan, menurut dosa-dosanya, atau menurut dosa-dosa yang telah dia buat, diperintahkan oleh Tuhan untuk berdoa tidak henti-henti, dan untuk memberi syukur dalam segala hal.