TJS, 2 Petrus 3:3–13. Bandingkan dengan 2 Petrus 3:3–13
Pada zaman akhir, banyak orang akan menafikan Yesus Kristus. Apabila Dia datang, banyak bencana alam akan berlaku. Jika kita bertahan di dalam kesolehan, kita akan menerima bumi yang baru.
3 Ketahuilah ini terlebih dahulu, bahawa pada zaman akhir akan datanglah para penghina, berjalan menurut nafsu mereka.
4 Menafikan Tuhan Yesus Kristus, dan berkata, Di manakah janji kedatangan-Nya itu? Kerana sejak nenek moyang kita meninggal, segalanya mesti terus seperti sekarang, dan telah berterusan seperti sekarang sejak dari permulaan penciptaan.
5 Kerana ini mereka sengaja tidak mempedulikannya, kerana pada zaman dahulu langit, dan tanah yang berada di dalam air dan luar air, telah diciptakan dengan firman Tuhan;
6 Dan dengan firman Tuhan, dunia yang ada pada masa dulu itu, dimusnahkan, ditenggelami air;
7 Tetapi langit, dan bumi sekarang ini, dikekalkan oleh firman yang sama, disimpan untuk api pada penghakiman dan kutukan bagi manusia yang fasiq.
8 Tetapi berkenaan dengan kedatangan Tuhan, saudara-saudara yang terkasih, aku tidak mahu kamu tidak mempedulikan hal ini, bahawa sehari bagi Tuhan adalah seperti seribu tahun, dan seribu tahun seperti sehari.
9 Tuhan tidak berlengah berkenaan dengan janji dan kedatangan-Nya, seperti segelintir manusia yang menganggapnya berlengah; tetapi panjang sabar kepada kita, tidak menginginkan sesiapa pun mati, tetapi agar semua akan datang pada pertaubatan.
10 Tetapi hari Tuhan itu akan datang bagaikan seorang pencuri pada waktu malam, dimana langit akan bergoncang, dan bumi akan bergegar, dan gunung-ganang akan lebur, dan berlalu dengan bunyi yang kuat, dan unsur-unsur bumi akan dipenuhi dengan haba yang tinggi; bumi juga akan dipenuhi, dan segala yang masih fana di dalamnya akan dibakar.
11 Jikalau segalanya akan dihancurkan, kamu harus menjalankan hidup dalam kelakuan kudus dan ketuhanan,
12 Menantikan, dan bersedia untuk hari kedatangan Tuhan ketika hal-hal yang masih fana di langit akan terbakar, akan larut, dan gunung-ganang akan lebur kerana haba yang tinggi?
13 Walau bagaimanapun, jika kita akan bertahan, kita akan diselamatkan menurut perjanjian-Nya. Dan kita mencari sebuah langit baru, dan sebuah bumi baru yang di dalamnya kesolehan berada.