“13 Februari. Bagaimanakah Kita Boleh Kekal Beriman terhadap Juruselamat di Dunia yang Penuh Kejahatan Ini? Kejadian 12–17; Abraham 1–2,” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri: Topik Ajaran 2022 (2021)
“13 Februari. Bagaimanakah Kita Boleh Kekal Beriman terhadap Juruselamat di Dunia yang Penuh Kejahatan Ini?” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri: Topik Ajaran 2022
13 Februari
Bagaimanakah Kita Boleh Kekal Beriman terhadap Juruselamat di Dunia yang Penuh Kejahatan Ini?
Berunding Bersama
Dipimpin oleh seorang ahli presidensi kuorum atau kelas; 10–20 minit
Pada permulaan pertemuan, ulang bersama-sama Tema Remaja Puteri atau Tema Kuorum Imamat Harun. Kemudian, pimpin perbincangan tentang pekerjaan penyelamatan dan permuliaan menggunakan satu atau beberapa soalan berikut atau soalan anda sendiri (lihat General Handbook, 10.2, 11.2, ChurchofJesusChrist.org). Rancang cara untuk bertindak berdasarkan perbincangan.
-
Menjalankan injil. Bagaimanakah kita lebih mendekati Juruselamat? Bagaimanakah kita berusaha untuk menjadi lebih seperti-Nya?
-
Jaga mereka yang memerlukan bantuan. Siapakah yang terlintas dalam fikiran kita sejak akhir-akhir ini? Bagaimanakah kita boleh membantu individu-individu ini?
-
Jemput semua untuk menerima injil. Bagaimanakah kita boleh menjawab soalan rakan kita tentang Gereja, yang dapat memperkukuhkan iman mereka terhadap Juruselamat?
-
Satukan keluarga untuk keabadian. Apakah beberapa cara untuk kita berhubung dengan ahli keluarga lain, seperti datuk dan nenek dan sepupu?
Pada penghujung pelajaran, jika sesuai, lakukan perkara berikut:
-
Bersaksi tentang asas-asas yang diajar.
-
Ingatkan ahli kelas atau kuorum tentang rancangan dan jemputan yang telah dibuat dalam pertemuan.
Mengajar Ajaran
Dipimpin oleh seorang pemimpin dewasa atau remaja; 25–35 minit
Mempersiapkan Diri Secara Rohani
Hidup soleh di dunia yang penuh kejahatan bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi Abraham, tekanan untuk berpaling daripada Tuhan tidak setakat datang dari dunia luar—ayah Abraham pun telah meninggalkan Tuhan (lihat Abraham 1:5–12; 2:5). Abraham dan Sara menghadapi kesusahan, namun mereka mempercayai janji Tuhan “dan menyambutnya. Mereka mengaku dengan terang-terang bahawa mereka hanyalah orang asing dan pengembara di bumi ini” (Ibrani 11:13).
Bagaimanakah anda boleh membantu ahli kelas atau kuorum kekal beriman apabila mereka merasa seperti “orang asing dan pengembara” di dunia ini kerana mereka menjalankan standard Tuhan? Bagaimanakah anda boleh mengilhami mereka agar memberanikan diri semasa mereka mentaati Tuhan? Apabila anda membuat persediaan untuk mengajar, pertimbangkan untuk menyemak Yohanes 15:18–20 dan pesanan Elder Neil L. Andersen “Mengatasi Dunia” (Liahona, Mei 2017, 58–62).
Belajar Bersama
Ahli kelas atau kuorum anda mungkin diilhami oleh teladan Abraham pada minggu ini apabila mereka mempelajari Kejadian 12–17 dan Abraham 1–2. Anda boleh menjemput mereka untuk menyemak Abraham 1:1–19 dan berkongsi perkara yang mengilhami mereka tentang teladan Abraham. Apakah persamaan yang kita lihat antara cabaran yang dihadapi oleh Abraham dan cabaran yang kita hadapi pada hari ini? Pilih satu atau beberapa aktiviti berikut untuk mendorong perbincangan tentang cara kita boleh kekal beriman terhadap Yesus Kristus dalam semua keadaan.
-
Tuhan dan para nabi-Nya sering menggesa semua orang agar hidup dengan beriman meskipun di kelilingi kejahatan. Apakah beberapa cara yang Setan menggoda anak muda untuk melanggar perintah Tuhan pada zaman kita? Ahli kelas boleh membaca beberapa ayat suci yang tersenarai dalam “Sumber-sumber Berkaitan.” Jemput mereka untuk membincangkan perkara yang mereka pelajari tentang kekal beriman terhadap Kristus meskipun digoda atau diejek. Mereka boleh berkongsi cara yang mereka temui untuk hidup dengan beriman bahkan ketika orang lain tidak berbuat demikian. Bilakah kita atau orang yang kita kenali telah berbuat demikian?
-
Untuk membantu kelas atau kuorum fahami bagaimana mengatasi dunia dan menerima berkat itu, tulis di papan tulis Mengatasi dunia ialah … dan Mengatasi dunia mendatangkan … Kemudian meminta para remaja untuk menyemak pesanan Elder Neil L. Andersen “Mengatasi Dunia”. Jemput mereka untuk melengkapkan ayat-ayat ini, dan tuliskan apa yang mereka pelajari di papan tulis. Bincangkan perkara yang mereka temui. Jemput seorang ahli untuk membuat persediaan awal agar bersedia untuk berkongsi cerita yang menunjukkan Yesus Kristus kekal beriman terhadap Bapa-Nya meskipun menghadapi pertentangan (lihat, misalnya, Matius 4:1–11; Lukas 22:39–44). Apakah teladan Juruselamat membantu kita memahami tentang mengatasi dunia? (lihat Yohanes 16:33).
-
Pengikut Yesus Kristus berada “di dunia ini tetapi bukan milik dunia”. Berada “di dunia ini” boleh bermaksud kita menghadapi pertentangan apabila kita menjalankan standard kita. Tetapi turut bermaksud bahawa kita boleh mempengaruhi orang lain agar menjadi lebih baik. Untuk mengajar asas ini, anda boleh minta seorang ahli untuk membuat persediaan awal untuk berkongsi satu atau beberapa cerita dalam pesanan Presiden Bonnie H. Cordon “Agar Mereka Boleh Melihat” (Liahona, Mei 2020, 78–80). Apakah yang kita pelajari daripada cerita ini tentang menggunakan cahaya kita untuk membantu orang lain lebih mendekati Yesus Kristus? Jemput kelas atau kuorum untuk mencari ayat yang mengilhami mereka untuk menjadi cahaya kepada orang lain dalam pesanan Presiden Cordon. Jemput mereka membaca ayat itu dengan lantang dan berkongsi perkara yang mereka terilham untuk dilakukan.
Bertindak dengan Iman
Galakkan ahli kelas atau kuorum untuk merenungkan dan mencatatkan perkara yang mereka akan lakukan untuk bertindak menurut tanggapan yang mereka terima. Jika sudi, mereka boleh berkongsi idea mereka. Jemput mereka untuk fikirkan bagaimana hubungan mereka dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus boleh diperkukuhkan semasa mereka bertindak mengikut tanggapan.
Sumber-sumber Berkaitan
-
Matius 5:14–16; 1 Nefi 15:23–25; Helaman 5:12; Ajaran dan Perjanjian 10:5; 27:15–18; 87:8 (Cara untuk kekal beriman terhadap Yesus Kristus di dunia yang penuh kejahatan ini)