“24 Julai. Apakah Berkat yang Datang daripada Menerima Tatacara Bait Suci? Ezra 1; 3–7; Nehemia 2; 4–6; 8,” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri: Topik Ajaran 2022 (2021)
“24 Julai. Apakah Berkat yang Datang daripada Menerima Tatacara Bait Suci?” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri: Topik Ajaran 2022
24 Julai
Apakah Berkat yang Datang daripada Menerima Tatacara Bait Suci?
Berunding Bersama
Dipimpin oleh seorang ahli presidensi kuorum atau kelas; 10–20 minit
Pada permulaan pertemuan, ulang bersama-sama Tema Remaja Puteri atau Tema Kuorum Imamat Harun. Kemudian, pimpin perbincangan tentang pekerjaan penyelamatan dan permuliaan menggunakan satu atau beberapa soalan berikut atau soalan anda sendiri (lihat General Handbook, 10.2, 11.2, ChurchofJesusChrist.org). Rancang cara untuk bertindak berdasarkan perbincangan.
-
Menjalankan injil. Bagaimanakah kita telah melihat tangan Tuhan dalam kehidupan kita?
-
Jaga mereka yang memerlukan bantuan. Bagaimanakah kita menyokong sesama dalam hal yang sedang kita lalui?
-
Jemput semua untuk menerima injil. Bagaimanakah kita boleh menggunakan teknologi sebagai alat untuk berkongsi injil dengan lebih baik?
-
Satukan keluarga untuk keabadian. Apakah yang sedang kita lakukan untuk membantu keluarga kita datang kepada Kristus?
Pada penghujung pelajaran, jika sesuai, lakukan perkara berikut:
-
Bersaksi tentang asas-asas yang diajar.
-
Ingatkan ahli kelas atau kuorum tentang rancangan dan jemputan yang telah dibuat dalam pertemuan.
Mengajar Ajaran
Dipimpin oleh seorang pemimpin dewasa atau remaja; 25–35 minit
Mempersiapkan Diri Secara Rohani
Apabila orang Yahudi kembali daripada dibuang negeri di Babilonia, mereka mendapati Yerusalem dan bait suci telah habis musnah (lihat 2 Raja-Raja 25:1–10; 2 Tawarikh 36:17–19). Orang-orang teringin untuk membina semula bait suci. Jadi, dalam jangka masa yang pendek, mereka memulakan proses pembinaan semula dan berasa gembira apabila bait suci selesai dibina (lihat Ezra 3:8–13; 6:16–22). Pada hari ini, sebagai umat perjanjian Tuhan, kita turut membina bait suci dan berasa gembira apabila bait suci baharu dibina. Mengapa? Ini adalah kerana tatacara bait suci membawa berkat Bapa Syurgawi yang terbesar. Tatacara bait suci mendatangkan kuasa rohani. Tatacara bait suci memberi kita bimbingan. Seterusnya, tatacara bait suci membantu kita menjadi seperti Tuhan dan menerima semua yang dimiliki-Nya. (Lihat Ajaran dan Perjanjian 84:19–22; 109:22–26.)
Bagaimanakah anda akan membantu para remaja mempunyai hasrat untuk bait suci? Bagaimanakah anda akan membantu mereka untuk berhasrat sepenuh hati membuat perjanjian dengan Tuhan di rumah kudus-Nya? Semasa anda bersedia untuk mengajar, pertimbangkan untuk menyemak pesanan Presiden Thomas S. Monson “Berkat Bait Suci” (Liahona, Mei 2015, 91–93).
Belajar Bersama
Untuk membantu ahli kelas atau kuorum menanti-nantikan berkat tatacara bait suci, anda boleh menjemput mereka untuk menyemak Ezra 3:10–13; 6:16, 21–22. Minta mereka berkongsi perkataan atau frasa yang menunjukkan perasaan orang Yahudi tentang pembinaan semula bait suci mereka. Mengapakah pembinaan bait suci merupakan sesuatu untuk diraikan? Bagaimanakah bait suci di zaman ini dan tatacara yang kita lakukan di situ membantu kita lebih mendekati Juruselamat? Berikut ialah beberapa idea lain untuk membantu para remaja fahami berkat yang mereka boleh terima di bait suci.
-
Apabila Joseph Smith membaktikan Bait Suci Kirtland, dia telah mengucap doa pembaktian yang boleh didapati dalam Ajaran dan Perjanjian 109. Doa ini menjelaskan banyak berkat yang boleh kita terima melalui tatacara bait suci. Ahli kelas atau kuorum boleh mencari sebahagian daripada doa ini, terutamanya ayat 12–26, untuk mencari berkat yang Joseph Smith doakan. Mereka boleh menyenaraikan berkat ini di papan tulis. Anda boleh meminta para remaja untuk membincangkan bagaimana setiap berkat ini boleh memperkukuhkan mereka sekarang dan di masa akan datang. Kongsi kesaksian anda tentang berkat yang anda terima melalui tatacara bait suci.
-
Untuk membantu ahli kelas atau kuorum berkongsi perasaan tentang bait suci, minta mereka melengkapkan ayat ini: “Apabila saya fikirkan tentang bait suci, saya merasa …” Anda boleh menjemput mereka untuk membaca lima perenggan pertama dalam pesanan Elder Kent F. Richards “Kuasa Ketuhanan” (Liahona, Mei 2016, 118–20). Mengapakah kita memerlukan bait suci lebih daripada apa pun? Apakah yang kita pelajari tentang kuasa yang Tuhan berikan kepada kita melalui tatacara bait suci? Para remaja kemudiannya boleh membaca pesanan Elder Richards yang selebihnya, untuk mencari berkat yang datang semasa kita mengambil bahagian dalam tatacara bait suci. Atau mereka juga boleh mencari berkat-berkat ini dalam pesanan Presiden Thomas S. Monson “Berkat Bait Suci.”
-
Apakah pengorbanan yang perlu kita buat untuk menerima berkat bait suci? Seseorang yang baru pergi ke bait suci boleh menyertai pertemuan ini dan berkongsi pengalamannya. Anda boleh menjemput para remaja untuk mengkaji pesanan Elder Ronald A. Rasband “Layak kepada Tuhan” (Liahona, Nov. 2020, 22–25) dan berkongsi berkat menerima kad rekomen bait suci. Anda juga boleh menyemak soalan-soalan rekomen bait suci bersama (lihat Russell M. Nelson, “Ucapan Penutup,” Liahona, Nov. 2019, 120–22).
Bertindak dengan Iman
Galakkan ahli kelas atau kuorum untuk merenungkan dan mencatatkan perkara yang mereka akan lakukan untuk bertindak menurut tanggapan yang mereka terima. Jika sudi, mereka boleh berkongsi idea mereka. Jemput mereka untuk fikirkan bagaimana hubungan mereka dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus boleh diperkukuhkan semasa mereka bertindak mengikut tanggapan.
Sumber-sumber Berkaitan
-
Quentin L. Cook, “Gambarkan Diri Sendiri Dalam Bait Suci”, Liahona, Mei 2016, 97–100