“26 November. Bagaimanakah Saya Boleh Menolong Nenek Moyang Saya Lebih Mendekati Yesus Kristus? 1 dan 2 Petrus,” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri: Topik Ajaran 2023 (2022)
“26 November. Bagaimanakah Saya Boleh Menolong Nenek Moyang Saya Lebih Mendekati Yesus Kristus?,” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri : Topik Ajaran 2023
26 November
Bagaimanakah Saya Boleh Menolong Nenek Moyang Saya Lebih Mendekati Yesus Kristus?
1 dan 2 Petrus
Berunding Bersama
Dipimpin oleh seorang ahli presidensi kuorum atau kelas; lebih kurang 10–20 minit
Pada permulaan pertemuan, ulangi Tema Remaja Puteri atau Tema Kuorum Imamat Harun bersama. Kemudian, pimpin perbincangan tentang pekerjaan penyelamatan dan permuliaan dengan menggunakan satu atau beberapa soalan berikut atau soalan anda sendiri (lihat General Handbook, 10.2, 11.2). Rancang cara untuk bertindak berdasarkan perbincangan.
-
Mengamalkan injil. Apakah topik yang lembaga uskup bincangkan dalam pertemuan majlis remaja bahagian kita? Apakah yang kita boleh lakukan sebagai kelas atau kuorum berdasarkan perbincangan tersebut?
-
Menjaga mereka yang memerlukan bantuan. Bagaimanakah kita boleh menjangkau orang ramai seperti Kristus apabila kita melihat keperluan dan tidak tahu apa yang harus dikatakan?
-
Jemput semua untuk menerima injil. Apakah yang kita temui dalam injil Yesus Kristus yang memberi kita kebahagiaan? Bagaimanakah kita boleh berkongsi kebahagiaan itu dengan orang lain?
-
Satukan keluarga untuk keabadian. Apakah yang kita lakukan untuk mencari nama nenek moyang kita yang memerlukan tatacara bait suci? Apakah yang boleh kita lakukan untuk membantu orang lain mencari nama nenek moyang mereka?
Pada penghujung pelajaran, jika sesuai, lakukan perkara berikut:
-
Bersaksi tentang asas-asas yang diajar.
-
Ingatkan ahli kelas atau kuorum tentang rancangan dan jemputan yang telah dibuat dalam pertemuan.
Mengajar Ajaran
Dipimpin oleh seorang pemimpin dewasa atau remaja; lebih kurang 25–35 minit
Mempersiapkan Diri Secara Rohani
Apakah yang berlaku kepada berbilion-bilion orang yang mati tanpa peluang sebenar untuk mendengar injil Yesus Kristus atau menerima tatacara-tatacara penyelamatan? Kita boleh mencari petunjuk jawapan dalam 1 Petrus 3:18–20; 4:6, di mana Petrus berbicara tentang injil dikhutbahkan kepada orang yang telah mati. Kemudian Ajaran dan Perjanjian 138 mendedahkan kebenaran penuh—nenek moyang kita boleh datang sepenuhnya kepada Kristus jika mereka beriman kepada-Nya dan menerima injil-Nya dan kita membuat tatacara-tatacara tersedia bagi pihak mereka di bait suci. Berkat ini memerlukan kita—keturunan mereka yang mempunyai injil—mencari nama mereka, pergi ke bait suci, dan menerima tatacara-tatacara injil yang menyelamatkan bagi pihak mereka.
Apakah pengalaman yang anda alami tentang membantu nenek moyang anda lebih mendekati Kristus? Bagaimanakah anda boleh membantu mereka yang anda ajar menjadi lebih teruja tentang sejarah keluarga dan kerja bait suci dan lebih yakin dalam kebolehan mereka untuk melakukannya? Semasa anda bersedia, anda boleh membaca pesanan Elder Dale G. Renlund “Sejarah Keluarga dan Pekerjaan Bait Suci:Pemeteraian dan Penyembuhan” (Liahona, Mei 2018, 46–49).
Belajar Bersama
Bagaimanakah ahli-ahli kelas atau kuorum anda bertindak balas terhadap seseorang yang tertanya-tanya bagaimana orang baik yang tidak mempunyai peluang untuk menerima injil boleh diselamatkan? Apakah yang mereka temui dalam 1 Petrus 3:18–20; 4:6 untuk membantu menjawab soalan ini? Anda boleh teruskan perbincangan anda dengan satu atau beberapa aktiviti berikut.
-
Ajaran penebusan orang mati adalah unik kepada Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Jemput ahli kelas atau kuorum untuk mengkaji Ajaran dan Perjanjian 138:25–39 secara individu atau kumpulan dan kongsikan apa yang mereka pelajari (lihat “Sumber-sumber Berkaitan” untuk tulisan suci tambahan dalam topik ini). Apakah yang ayat-ayat ini cadangkan tentang perasaan Bapa Syurgawi terhadap semua anak-Nya? Bagaimanakah pembaptisan bagi orang mati membantu nenek moyang kita lebih mendekati Kristus? Bagaimanakah ia membantu kita lebih mendekati Kristus dan meningkatkan iman kita kepada-Nya?
-
Apakah yang mungkin mengilhami para remaja untuk lebih terlibat dalam pekerjaan bait suci dan sejarah keluarga? Mereka boleh mencari berkat-berkat yang dijanjikan dalam senarai bertitik dari pesanan Elder Dale G. Renlund “Sejarah Keluarga dan Pekerjaan Bait Suci: Pemeteraian dan Penyembuhan.” Jemput mereka untuk berkongsi berkat-berkat yang bermakna bagi mereka dan mengapa mereka berasa demikian. Anda juga boleh membincangkan beberapa halangan yang mungkin menghindari kita dari mengambil bahagian dalam pekerjaan bait suci dan sejarah keluarga. Bagaimanakah Juruselamat membantu kita mengatasi halangan-halangan ini?
-
Jika ahli-ahli kelas atau kuorum anda mempunyai akses kepada peranti digital, anda mungkin mengambil masa untuk menunjukkan kepada mereka bagaimana Tuhan telah memudahkan cara untuk mencari nenek moyang yang memerlukan tatacara-tatacara penyelamatan (lihat “Sumber-sumber Berkaitan”). Anda boleh menjemput seorang konsultan bait suci dan sejarah keluarga bahagian untuk membantu para remaja memahami sumber-sumber ini. Anda juga boleh menggalakkan para remaja membuat rancangan untuk meneroka sumber-sumber ini di rumah dan melaporkan kembali dalam pertemuan masa depan.
Bertindak dengan Iman
Galakkan ahli kelas atau kuorum untuk merenung dan mencatatkan perkara yang mereka akan lakukan untuk bertindak menurut tanggapan yang mereka terima hari ini. Jika sudi, mereka boleh berkongsi idea mereka. Jemput mereka untuk fikirkan bagaimana hubungan mereka dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus boleh diperkukuhkan semasa mereka bertindak mengikut tanggapan.
Sumber-sumber Berkaitan
-
Maleakhi 4:5–6; Matius 16:18–19; Yohanes 5:25; 1 Korintus 15:29; Ajaran dan Perjanjian 137:7–9 (Ajaran penebusan bagi orang mati)
-
Aplikasi Family Tree (memerlukan para remaja untuk log masuk menggunakan akaun Gereja mereka)
-
RootsTech (Para remaja boleh meneroka sesi-sesi dari persidangan virtual.)
-
FamilySearch.org (Anda boleh melawat FamilySearch.org/discovery dan meneroka aktiviti-aktiviti ini bersama.)