“11–17 Mac: ‘Suatu Pekerjaan Menakjubkan dan Suatu Keajaiban.’ 2 Nefi 26–30,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2024)
“11–17 Mac. 2 Nefi 26–30,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2024)
11–17 Mac: “Suatu Pekerjaan Menakjubkan dan Suatu Keajaiban”
2 Nefi 26–30
“Aku bernubuat kepadamu berkenaan zaman akhir;” tulis Nefi (2 Nefi 26:14). Dalam perkataan lain, dia menulis tentang zaman kita. Dan ada sebab untuk bimbang tentang apa yang dilihatnya: orang ramai menafikan kuasa dan mukjizat Tuhan; cemburu dan konflik yang meluas. Tetapi tambahan kepada “kerja-kerja kegelapan” zaman akhir ini (2 Nefi 26:10, 22) yang dipimpin oleh musuh, Nefi juga bercakap tentang “suatu pekerjaan yang menakjubkan dan suatu keajaiban” yang dipimpin oleh Tuhan Sendiri (2 Nefi 27:26). Pusat pekerjaan itu ialah sebuah kitab—kitab yang mendedahkan kebohongan Setan dan mengumpulkan orang-orang soleh. Kitab itu adalah Kitab Mormon, pekerjaan yang menakjubkan adalah kerja Gereja Tuhan di zaman akhir, dan keajaiban sekurang-kurangnya sebahagiannya adalah bahawa Tuhan menjemput kita semua, walaupun kita ada kelemahan, untuk terlibat dalam pengumpulan.
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Tuhan menyediakan Kitab Mormon untuk zaman kita.
Dalam 2 Nefi 26–27, Nefi memetik nubuat Yesaya yang terdahulu (lihat Yesaya 29) dan menggunakannya pada umatnya dan catatan mereka—Kitab Mormon. Dia tahu melalui wahyu, bahkan sebelum Kitab Mormon telah ditulis sepenuhnya, bahawa ia akan suatu hari nanti “akan amat berharga bagi anak-anak manusia” (2 Nefi 28:2). Mengapakah Kitab Mormon amat bernilai bagi anda? Fikirkan soalan ini semasa anda membaca 2 Nefi 29–30. Apakah “pekerjaan yang menakjubkan” (2 Nefi 27:26) yang Tuhan sedang lakukan di dunia dan dalam hidup anda melalui Kitab Mormon?
Lihat juga Joseph Smith—Sejarah 1:62–65.
Yesus Kristus menjemput kita semua untuk datang kepada-Nya.
Terdapat banyak kebenaran yang indah untuk dipertimbangkan dalam 2 Nefi 26:23–24. Contohnya, anda boleh fikirkan apa yang Yesus Kristus telah lakukan “untuk faedah dunia”—dan untuk anda. Bagaimanakah Dia “menarik semua manusia”—dan anda—“kepada Dia”? Apakah yang anda terilham untuk lakukan sebagai respon terhadap ungkapan kasih-Nya?
Teruskan membaca dan mencari kebenaran tentang Juruselamat dalam ayat 25–33. Perhatikan secara khususnya jemputan-Nya. Bagaimanakah anda akan meringkaskan pesanan Yesus Kristus kepada anda dalam satu ayat? Lagu rohani seperti “Datang ke Yesus” (Nyanyian Rohani, no. 40) boleh membuka minda anda kepada tanggapan tambahan.
Pertimbangkan bagaimana ayat-ayat ini boleh mempengaruhi cara anda berinteraksi dengan orang lain dan menjemput mereka untuk datang kepada Kristus. Anda boleh temui beberapa idea dalam pesanan Elder D. Todd Christofferson “Ajaran Kekitaan” (Liahona, Nov. 2022, 53–56).
Lihat juga 3 Nefi 18:30–32; Dallin H. Oaks, “Apakah Yang Juruselamat Telah Lakukan Untuk Kita?,” Liahona, Mei 2021.
Setan cuba untuk memperdaya.
Banyak pembohongan dan taktik Setan terbongkar dalam 2 Nefi 28. Carinya dalam ayat 6, 8, 21–23, 29. Apakah yang anda perlu tahu tentang penipuan Setan? Apakah yang anda akan lakukan jika musuh cuba untuk memperdayakan anda?
Berikut adalah beberapa ayat yang menolak pembohongan Setan. Lihat jika anda boleh padankan ajaran yang benar dalam ayat-ayat ini dengan ajaran palsu yang Nefi memperingatkan kita dalam 2 Nefi 28:
-
2 Nefi 2:17: ada iblis (2 Nefi 28:22: “Aku bukan iblis, kerana tidak ada iblis”)
Lihat juga Gary E. Stevenson, “Janganlah Memperdayakanku,” Liahona, Nov. 2019, 93–96.
Tuhan terus memberi wahyu untuk membimbing anak-anak-Nya.
Sebagai Orang Suci Zaman Akhir, kita diberkati dengan kelimpahan firman Tuhan. Namun, seperti peringatan Nefi, kita tidak boleh rasa “[kita] memiliki cukup!” Semasa anda membaca amaran dalam 2 Nefi 28:27–31 dan 2 Nefi 29, fikirkan soalan seperti ini:
-
Bagaimanakah Tuhan mahu saya rasa dan bertindak terhadap firman-Nya?
-
Mengapakah orang kadang-kadang “marah” tentang menerima lagi banyak kebenaran daripada Tuhan? (2 Nefi 28:28). Pernahkah saya rasa sebegini? Jika ya, bagaimana saya boleh berubah?
-
Apakah maksud untuk menerima firman Tuhan? Bagaimanakah saya boleh tunjukkan Dia bahawa saya mahu menerima lebih banyak firman-Nya?
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Yesus Kristus mahu semua orang untuk datang kepada-Nya.
-
Untuk mengajar anak-anak anda tentang jemputan Juruselamat dalam ayat-ayat ini, anda boleh bercakap tentang masa mereka menjemput orang ke acara istimewa, seperti majlis hari jadi. Kemudian anda boleh membaca 2 Nefi 26:23–28 bersama dan mencari apa yang Yesus jemput kita untuk lakukan. Anak-anak anda boleh membuat kad untuk menjemput seseorang untuk datang kepada Yesus Kristus. Galakkan mereka untuk gunakan frasa daripada ayat-ayat ini dalam jemputan mereka.
-
Lukisan di akhir panduan ini menunjukkan orang dari pelbagai latar belakang. Mungkin anak-anak anda boleh melihat gambar ini semasa anda membaca 2 Nefi 26:33. Anda boleh mengulangi frasa “Yesus menjemput semua untuk datang kepada-Nya” sambil anak-anak anda menunjuk kepada setiap orang dalam gambar—dan kemudian kepada diri mereka. Bagaimanakah kita datang kepada Yesus?
-
Lagu tentang mengasihi semua orang, seperti “Aku Akan Menolongmu” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 78), boleh membantu anda mengajar pesanan tentang 2 Nefi 26:33.
Kitab Mormon adalah satu berkat.
-
Untuk membantu anak-anak anda merasakan Kitab Mormon adalah amat berharga” (2 Nefi 28:2), anda boleh membungkus satu salinan sebagai hadiah dan minta mereka meneka dalamnya. Mereka boleh mencari petunjuk dalam 2 Nefi 30:3–6. Beritahu anak-anak anda mengapa Kitab Mormon sangat berharga bagi anda, dan minta mereka turut berkongsi perasaan.
-
Pertimbangkan untuk minta anak-anak anda membayangkan seorang kawan berkata, “Saya tidak perlu membaca Kitab Mormon. Saya sudah membaca Alkitab.” Apakah yang kita boleh katakan kepada kawan itu? Baca 2 Nefi 29:7–11 bersama untuk belajar mengapa Tuhan mahu kita memiliki kedua-dua kitab itu.
Bapa Syurgawi mengajar saya sedikit demi sedikit.
-
Mungkin anda boleh fikirkan pelajaran berobjek yang akan membantu anak-anak anda faham maksud belajar “baris demi baris.” Contohnya, mereka boleh menyatukan teka-teki atau membina sesuatu dengan blok, satu keping pada satu masa. Atau anda boleh mengajar mereka satu kemahiran langkah demi langkah, seperti mengikat tali atau melukis gambar. Anda kemudian boleh membaca 2 Nefi 28:30 dan bincangkan bagaimana Bapa Syurgawi mengajar kita satu kebenaran pada satu masa.
-
Idea lain adalah untuk memilih frasa dari 2 Nefi 28:30 dan bergilir menulisnya, satu perkataan pada satu masa. Bagaimanakah ini seperti cara Tuhan memberi kita kebenaran? Mengapakah Tuhan mengungkapkan kebenaran kepada kita “baris demi baris, ajaran demi ajaran, di sini sedikit dan di sana sedikit” dan bukannya semua sekali? Bagaimanakah kita dapat tunjukkan Tuhan kita ingin menerima lebih banyak kebenaran daripada-Nya?