Ajaran Kekitaan
Tujuan ajaran kekitaan bagi setiap kita: Saya bersatu dengan Kristus dalam perjanjian injil.
Saya ingin berucap tentang apa yang saya panggil ajaran kekitaan dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Ajaran ini mengandungi tiga bahagian: (1) peranan kekitaan dalam mengumpulkan umat perjanjian Tuhan, (2) kepentingan pelayanan dan pengorbanan dalam kekitaan, dan (3) Yesus Kristus sebagai pusat kekitaan.
Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir awalnya terdiri daripada Orang Suci Amerika Utara dan Orang Suci Eropah utara yang berkulit putih dengan beberapa daripada bangsa Asli Amerika, Amerika Afrika dan Pulau-pulau Pasifik. Sekarang, lapan tahun sebelum ulang tahun penubuhan ke-200, bilangan dan kepelbagaian ahli Gereja telah bertambah di Amerika Utara dan lebih lagi di seluruh dunia.
Semakin besar peningkatan momentum pengumpulan umat perjanjian Tuhan yang sudah lama dinubuatkan, Gereja akan benar-benar terdiri daripada ahli-ahli dari setiap negara, kaum, bahasa dan bangsa.1 Ini bukan satu kepelbagaian yang dikira atau dipaksa tetapi satu fenomena yang berlaku secara semula jadi yang kita harapkan, menyedari bahawa jaring injil mengumpulkan dari setiap negara dan setiap bangsa.
Kita amat diberkatinya untuk melihat masa Sion ditubuhkan dengan serentak di setiap benua dan di kawasan kejiranan kita sendiri. Seperti yang Joseph Smith katakan, umat Tuhan dalam setiap zaman telah menanti-nantikan hari ini dengan harapan yang gembira, dan “kita ialah umat yang dikasihi yang Tuhan telah memilih untuk membawa kemuliaan Zaman Akhir.”2
Oleh kerana kita diberi hak istimewa ini, kita tidak boleh mengizinkan rasisme, prasangka suku, atau pembahagian lain untuk wujud dalam Gereja Kristus zaman akhir. Tuhan memerintahkan kita, “Jadilah satu; dan jika kamu tidak bersatu kamu bukanlah milik-ku.”3 Kita harus tekun dalam menyingkirkan prasangka dan diskriminasi dari Gereja, dari rumah kita dan terutamanya dari semua hati kita. Sambil kepelbagaian populasi Gereja kita semakin bertambah, sambutan kita mesti berkembang dengan lebih spontan dan mesra. Kita perlukan satu sama lain.4
Dalam Surat Pertama Paulus kepada orang Korintus, Dia mengisytiharkan bahawa semua yang dibaptiskan ke dalam Gereja adalah satu dalam tubuh Kristus:
“Kerana sama seperti tubuh itu satu dan anggota-anggotanya banyak, dan segala anggota itu, sekalipun banyak, merupakan satu tubuh, demikian pula Kristus.
Demikian juga kita semua, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, baik hamba mahupun orang bebas; kita semua sudah dibaptis oleh Roh yang sama, supaya kita menjadi satu tubuh. Tuhan sudah mencurahkan Roh yang sama itu kepada kita.
“Dengan demikian tubuh itu tidak terbahagi-bahagi, dan setiap anggota saling memperhatikan.
“Jika satu anggota tubuh menanggung penderitaan, semua anggota lain menanggung penderitaan juga. Jika satu anggota tubuh dipuji, semua anggota lain turut bersukacita.”5
Rasa kekitaan amat penting bagi kesejahteraan jasmani, mental dan rohani kita. Namun, kadang-kadang setiap kita mungkin merasakan bahawa kita tidak tergolong. Dalam saat-saat yang mengecewakan, kita mungkin merasa bahawa kita tidak dapat mencapai standard tinggi Tuhan atau jangkaan orang lain.6 Kita mungkin secara tidak sengaja mengenakan harapan kepada orang lain—atau diri kita sendiri—yang bukan harapan Tuhan. Kita mungkin beranggapan bahawa nilai satu jiwa berdasarkan pencapaian atau panggilan tertentu, tetapi ini bukanlah ukuran kedudukan kita di mata Tuhan. “[Tuhan] melihat hati.”7 Dia mengambil berat tentang keinginan kita dan apa yang kita akan menjadi.8
Sister Jodi King menulis pengalamannya sendiri tentang tahun-tahun yang lalu:
“Saya tidak pernah rasa yang saya tidak tergolong di gereja sehingga suami saya, Cameron, dan saya mula mengalami ketidaksuburan. Kanak-kanak dan keluarga yang biasanya membawa kegembiraan ketika saya melihat mereka di gereja sekarang mula menyebabkan saya berasa sedih dan kepedihan.
“Saya rasa tidak berguna tanpa seorang anak dalam tangan saya atau memiliki beg lampin bayi. …
“Hari Ahad yang paling susah ialah hari pertama dalam bahagian baru. Oleh kerana kami tidak mempunyai anak, kami ditanya jika kami baru berkahwin dan bila kami merancang untuk memulakan keluarga. Saya menjadi cukup pandai menjawab soalan-soalan ini tanpa membiarkannya mempengaruhi saya—saya tahu soalan-soalan itu tidak berniat untuk menyakitkan hati.
“Namun, pada hari Ahad ini, menjawab soalan-soalan tersebut sangatlah susah. Kami baru saja mengetahuinya, setelah berharap, bahawa kami—masih—tidak hamil.
“Saya masuk ke pertemuan sakramen dengan perasaan kecewa, dan menjawab soalan-soalan ‘pengenalan’ yang biasa menjadi susah bagi saya. …
“Tetapi masa Sekolah Minggulah yang menyakiti hati saya. Pelajaran itu—yang khususnya tentang peranan ilahi para ibu—dengan segera menjadi sebuah sesi bagi wanita-wanita meluahkan kekecewaan mereka. Hati saya sedih dan air mata mengalir ke pipi saya ketika saya mendengar para wanita merungut tentang berkat yang saya berhasrat.
“Saya bergegas keluar dari gereja. Pada mulanya, saya tidak mahu kembali ke gereja. Saya tidak mahu mengalami perasaan pengasingan itu lagi. Tetapi pada malam itu, selepas bercakap dengan suami saya, kami tahu kami akan terus menghadiri gereja bukan sahaja kerana Tuhan telah meminta kami tetapi juga kerana kami berdua tahu bahawa kebahagiaan yang datang dari memperbaharui perjanjian dan merasai Roh di gereja melampaui kesedihan yang saya rasakan pada hari itu. …
“Dalam Gereja, ada orang balu, orang yang sudah cerai, dan ahli bujang; mereka yang ahli keluarganya telah menyimpang dari injil; orang dengan penyakit kronik atau kesusahan kewangan; ahli-ahli yang mengalami tarikan sesama jantina; ahli-ahli yang sedang berusaha untuk mengatasi ketagihan atau keraguan, penganut baru; orang yang baru berpindah; suami dan isteri yang semua anaknya sudah tinggalkan rumah; dan senarai itu berterusan. …
“Juruselamat menjemput kita untuk datang kepada-Nya—tidak kira keadaan kita. Kita datang ke gereja untuk memperbaharui perjanjian kita, untuk meningkatkan iman kita, untuk mencari kedamaian, dan untuk melakukan seperti Dia melakukan dengan sempurna dalam kehidupan-Nya—melayani orang lain yang merasa seperti mereka tidak tergolong.”9
Paulus menjelaskan bahawa Gereja dan para pegawainya diberikan oleh Tuhan “untuk menyempurnakan orang suci, untuk pekerjaan pelayanan, untuk meneguhkan tubuh Kristus:
“Dengan demikian kita menjadi satu oleh iman yang sama dan pengertian yang sama tentang Anak Tuhan. Kita akan menjadi matang dan sempurna seperti Kristus.”10
Ia suatu ironi yang sedih, apabila seseorang, yang merasakan dia tidak memenuhi impian dalam semua aspek kehidupan, menyimpulkan bahawa dia tidak tergolong dalam organisasi yang direka oleh Tuhan untuk membantu kita maju ke arah impian.
Marilah kita meninggalkan penghakiman dalam tangan Tuhan dan mereka yang Dia telah panggil dan bersedia untuk mengasihi dan memperlakukan satu sama lain sebaik mungkin. Marilah kita meminta Dia untuk menunjukkan kepada kita jalan, hari demi hari, untuk “jemput orang miskin, orang lumpuh, orang buta, dan orang tempang”10—iaitu semua orang—ke kenduri besar Tuhan.
Aspek kedua ajaran kekitaan berkaitan dengan usaha kita sendiri. Walaupun kita jarang memikirkannya, kebanyakan rasa kekitaan kita datang dari pelayanan dan pengorbanan yang kita buat untuk orang lain dan untuk Tuhan. Perhatian yang berlebihan pada keperluan peribadi atau keselesaan sendiri boleh menjejaskan perasaan kekitaan.
Kita berusaha mengikut ajaran Juruselamat:
“Jika seorang antara kamu hendak menjadi besar, dia harus melayani orang lain. …
“Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang.”12
Rasa kekitaan datang bukan ketika kita menunggu tetapi semasa kita menolong satu sama lain.
Hari ini, malangnya, membaktikan diri kepada sebuah tujuan atau mengorbankan sesuatu untuk orang lain semakin menjadi kontra budaya. Dalam artikel untuk Deseret News tahun lalu, penulis Rod Dreher bercerita tentang perbualan dengan seorang ibu muda di Budapest:
“Saya berada di dalam trem Budapest dengan seorang … kawan berumur 30-an—namanya Kristina —semasa kami dalam perjalanan untuk bertemu duga dengan seorang wanita [Kristian] yang lebih tua yang, bersama mendiang suaminya, menahani penganiayaan oleh negara komunis. Semasa kami melalui jalan kasar kota, Kristina menceritakan betapa susahnya untuk bercakap jujur dengan kawan-kawan seusianya tentang kesusahan yang dihadapi sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak kecil.
“Kesusahan Kristina ialah biasa bagi seorang wanita muda yang sedang belajar bagaimana untuk menjadi seorang ibu dan isteri—namun sikap yang biasa di kalangan generasinya ialah bahawa kesusahan kehidupan merupakan ancaman terhadap kesejahteraan seseorang dan harus ditolak. Adakah dia dan suaminya kadang-kadang bertengkar? Kalau begitu dia patut tinggalkan suaminya, mereka berkata. Adakah anak-anak mengganggunya? Kalau begitu dia patut hantar mereka ke taska.
“Kristina bimbang kawan-kawannya tidak memahami bahawa percubaan itu, dan juga penderitaan, merupakan sebahagian kehidupan yang biasa—dan mungkin sebahagian kehidupan yang baik, jika penderitaan itu mengajar kita bagaimana untuk menjadi sabar, baik hati dan penyayang. …
“… Christian Smith, seorang ahli sosiologi agama di University of Notre Dame, mendapati dalam kajiannya tentang orang dewasa [berumur] 18 hingga 23 yang mana kebanyakan mereka percaya masyarakat ialah hanya ‘satu kumpulan individu berautonomi yang bertujuan untuk menikmati kehidupan.’”13
Melalui falsafah ini, apa sahaja yang seseorang rasa susah “ialah satu bentuk penindasan.”14
Sebaliknya, para perintis nenek moyang kita mendapat perasaan kekitaan, perpaduan, dan harapan kepada Kristus melalui pengorbanan yang mereka buat untuk melayani misi, membina bait suci, meninggalkan rumah yang selesa dalam keadaan terpaksa dan bermula lagi, dan dalam banyak cara lain membaktikan diri mereka dan usaha mereka untuk tujuan Sion. Mereka sudi mengorbankan nyawa mereka jika perlu. Kita semua ialah pewaris-pewaris kesetiaan mereka. Sama juga bagi ramai hari ini yang mungkin kehilangan keluarga dan kawan, kehilangan peluang pekerjaan, atau mengalami diskriminasi atau tidak bertoleransi sebagai akibat dibaptiskan. Namun, ganjaran mereka adalah perasaan kekitaan yang kuat di kalangan umat perjanjian. Apa-apa pengorbanan yang kita buat dalam tujuan Tuhan membantu mengesahkan tempat kita dengan Dia yang memberi nyawa-Nya sebagai tebusan untuk banyak orang.
Aspek terakhir dan paling penting dalam ajaran kekitaan adalah peranan pusat Yesus Kristus. Kita tidak menyertai Gereja untuk persahabatan sahaja, walaupun ia penting. Kita menyertai Gereja untuk penebusan melalui kasih dan rahmat Yesus Kristus. Kita menyertai Gereja untuk menerima tatacara-tatacara penyelamatan dan permuliaan untuk diri kita dan orang yang kita kasihi di kedua-dua belah tirai. Kita menyertai Gereja untuk mengambil bahagian dalam projek besar bagi menubuhkan Sion sebagai persediaan untuk kepulangan Tuhan.
Gereja ialah penjaga perjanjian penyelamatan dan permuliaan yang Tuhan tawarkan kepada kita melalui tatacara-tatacara imamat kudus.15 Dengan mematuhi perjanjian-perjanjian inilah kita memperoleh perasaan kekitaan yang paling tinggi dan mendalam. Baru-baru ini, Presiden Russell M. Nelson menulis:
“Apabila anda dan saya membuat perjanjian dengan Tuhan, hubungan kita dengan Dia menjadi lebih dekat daripada sebelum perjanjian kita. Kini, kita diikat bersama. Kerana perjanjian kita dengan Tuhan, Dia tidak akan hentikan usaha-Nya untuk membantu kita, dan kita tidak akan menghabiskan kesabaran-Nya terhadap kita. Setiap kita mempunyai satu tempat istimewa dalam hati Tuhan. …
“… Yesus Kristus ialah penjamin perjanjian itu (lihat Ibrani 7:22; 8:6).”16
Jika kita mengingati ini, harapan tinggi Tuhan untuk kita tidak akan melemahkan semangat kita.
Kita boleh merasa kegembiraan apabila kita mengejar, secara individu dan komuniti, “keadaan matang dan sempurna seperti Kristus.”17 Walaupun terdapat kekecewaan dan halangan di sepanjang jalan, ia merupakan pencarian yang hebat. Kita mengangkat dan menggalakkan satu sama lain dalam mengejar jalan ke atas, mengetahui bahawa tidak kira kesengsaraan dan tidak kira kelewatan dalam berkat-berkat yang dijanjikan, kita boleh “bergembiralah; [kerana Kristus] sudah mengalahkan dunia,”18 dan kita bersama-Nya. Menjadi satu dengan Bapa, Putera, dan Roh Kudus adalah yang terbaik dalam kekitaan.19
Demikianlah, ajaran kekitaan berdasarkan pada ini—yang kita dapat mengesahkan: Yesus Kristus telah mati untuk saya; Dia menganggap saya layak untuk menerima darah-Nya. Dia mengasihi saya dan dapat membuat pengaruh terbesar dalam hidupku. Semasa saya bertaubat, rahmat-Nya akan mengubah saya. Saya adalah satu dengan Dia dalam perjanjian injil; saya tergolong dalam Gereja dan kerajaan-Nya; dan saya tergolong dalam tujuan-Nya untuk membawa penebusan kepada semua anak-anak Tuhan.
Saya bersaksi bahawa anda tergolong juga, dalam nama Yesus Kristus, amin.