Persidangan Umum
Kita Berdaya Menghadapi Segala Macam Keadaan Melalui Kristus
Persidangan umum Oktober 2022


10:53

Kita Berdaya Menghadapi Segala Macam Keadaan Melalui Kristus

Kita berkembang dalam penganutan apabila menjalankan iman kepada Tuhan pada masa sukar.

Semasa pelayanan bumi Juruselamat, Dia melihat seorang lelaki yang buta. Pengikut Yesus bertanya, “Guru, siapakah yang berdosa sehingga orang ini dilahirkan buta? Diakah atau ibu bapanya?”

Jawapan Juruselamat yang teguh, penuh kasih serta ikhlas meyakinkan kita bahawa Dia sedar akan kesusahan kita: “Orang ini buta bukan kerana dosanya sendiri ataupun dosa ibu bapanya, tetapi supaya kuasa Tuhan boleh dinyatakan dalam hidupnya.”1

Walaupun cabaran terjadi kerana ketidakpatuhan, kita tahu banyak cabaran hidup terjadi kerana sebab-sebab lain. Tidak kira apa pun punca cabaran kita, ia boleh menjadi peluang terbaik untuk berkembang.

Keluarga kami tidak terlepas daripada kesukaran hidup. Semasa membesar, saya mengagumi keluarga besar. Keluarga sedemikian menarik saya, terutamanya semasa remaja saya menemui Gereja melalui pak cik saya, Sarfo, dan isterinya di Takoradi, Ghana.

Apabila Hannah dan saya berkahwin, kami hasratkan berkat bapa bangsa kami dipenuhi, yang menyatakan kami akan diberkati dengan ramai anak. Tetapi sebelum kelahiran anak lelaki ketiga, secara perubatan jelas bahawa Hannah tidak dapat mengandung lagi. Syukur, meskipun Kenneth lahir dalam situasi yang mengancam nyawa dia dan ibunya, dia dilahirkan dengan selamat, dan ibunya sembuh. Dia dapat terlibat sepenuhnya dalam kehidupan keluarga kami—termasuk kehadiran Gereja, doa keluarga harian, kajian tulisan suci, malam keluarga dan aktiviti rekreasi yang baik.

Walaupun kami perlu ubah harapan tentang sebuah keluarga besar, kami gembira mengamalkan ajaran-ajaran dari “Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia” dengan tiga anak terkasih kami. Mengikuti ajaran-ajaran itu menambah banyak makna kepada iman saya yang semakin berkembang.

Seperti perisytiharan katakan: “Perkahwinan antara lelaki dan wanita adalah perlu untuk rancangan abadi-Nya. Anak-anak berhak dilahirkan di dalam ikatan perkahwinan dan dibesarkan oleh seorang bapa dan seorang ibu yang melunaskan ikrar perkahwinan dengan kesetiaan yang mutlak.”2 Semasa kami mengamalkan asas-asas ini, kami diberkati.

Tetapi pada satu hujung minggu semasa pelayanan saya sebagai presiden pancang, kami mengalami percubaan paling teruk yang ibu bapa dapat hadapi. Keluarga kami pulang dari aktiviti Gereja dan berkumpul untuk makan tengah hari. Kemudian tiga anak kami keluar untuk bermain di halaman rumah.

Isteri saya berulang kali mendapat tanggapan sesuatu buruk akan berlaku. Dia minta saya untuk melihat anak-anak semasa kami sedang mencuci pinggan. Saya rasa mereka selamat kerana kami dapat dengar suara mereka bermain.

Apabila kami akhirnya pergi melihat mereka, kami terkejut melihat Kenneth yang berumur 18 bulan tidak gerak di dalam baldi air, tidak disedari abangnya. Kami segera membawanya ke hospital, tetapi semua cubaan untuk memulihkan dia adalah sia-sia.

Kami berasa patah hati kerana kami tidak berpeluang untuk membesarkan anak kami ini dalam kehidupan fana ini. Walaupun kami tahu Kenneth adalah sebahagian keluarga abadi kami, saya mempersoalkan mengapa Tuhan membiarkan tragedi ini berlaku ketika saya melakukan segala yang saya boleh untuk kembangkan panggilan saya. Saya baru pulang dari memenuhi salah satu tugas saya dalam melayani Orang Suci. Mengapakah Tuhan tidak mempertimbangkan pelayanan saya dan menyelamatkan anak dan keluarga kami daripada tragedi ini? Semakin saya fikiran perkara ini, semakin saya sedih.

Isteri saya tidak pernah menyalahi saya kerana tidak bertindak atas dorongannya, tetapi saya belajar pelajaran yang mengubah hidup dan buat dua peraturan yang tidak akan saya abaikan.

Peraturan 1: Dengar dan patuhi dorongan isteri anda.

Peraturan 2: Jika anda tidak pasti untuk sebarang sebab, rujuk peraturan nombor 1.

Walaupun pengalaman itu sangat menyakitkan dan kami terus bersedih, beban berat kami akhirnya diringankan.3 Isteri dan saya belajar pelajaran khusus dari kehilangan kami. Kami merasa bersatu dan diikat oleh perjanjian bait suci kami. Kami tahu kami boleh menuntut Kenneth sebagai anak kami di dunia seterusnya kerana dia dilahirkan dalam perjanjian. Kami juga memperoleh pengalaman yang diperlukan untuk melayani orang lain dan empati atas penderitaan mereka. Saya bersaksi bahawa kesedihan kami telah diringankan semasa kami menjalankan iman kepada Tuhan. Pengalaman kami masih susah, tetapi kami pelajari dari Rasul Paulus bahawa kita “berdaya menghadapi segala macam keadaan melalui Kristus” jika kita berfokus pada Dia.4

Presiden Russell M. Nelson mengajar, “Apabila tumpuan hidup kita ialah di atas rancangan keselamatan Tuhan … dan Yesus Kristus dan injil-Nya, kita akan dapat merasa kebahagiaan tidak kira apa yang berlaku—atau tidak berlaku—dalam hidup kita. Dia seterusnya berkata, “Kebahagiaan datang dari Dia dan wujud kerana Dia.”5

Kita boleh menjadi ceria dan dipenuhi dengan kedamaian pada masa yang susah. Kasih yang dirasai kerana Juruselamat dan Korban Tebusan-Nya menjadi sumber yang berkuasa kepada kita pada masa percubaan kita. “Segala yang tidak adil [dan susah] dalam kehidupan boleh dibetulkan melalui Korban tebusan Yesus Kristus.”6 Dia memerintahkan, “Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia.”7 Dia boleh bantu kita menahan kesakitan dan percubaan yang kita hadapi dalam kefanaan.

Kita lihat banyak cerita tulisan suci tentang para pemimpin yang hebat dan mulia, seperti Yeremia, Ayub, Joseph Smith dan Nefi, yang tidak terlepas daripada pergelutan dan cabaran kefanaan. Mereka orang fana yang belajar untuk mematuhi Tuhan walaupun dalam keadaan sukar.8

Semasa hari-hari yang buruk di Penjara Liberty, Joseph Smith berseru: “Ya Tuhan, di manakah Engkau? Dan di manakah khemah yang menutupi tempat persembunyian-Mu?”9 Tuhan mengajar Joseph untuk bertahan di dalamnya dengan baik10 dan berjanji jika dia bertahan, semua hal ini akan memberinya pengalaman dan untuk kebaikannya.11

Merenung pengalaman saya sendiri, saya telah belajar beberapa pengajaran terbaik pada masa yang paling susah kerana ia tinggalkan zon selesa saya. Kesukaran yang saya hadapi ketika remaja, belajar tentang Gereja melalui seminari, sebagai penganut baru, misionari sepenuh masa dan cabaran dalam pendidikan saya, usaha untuk mengembangkan panggilan dan membesarkan keluarga telah menyediakan saya untuk masa depan. Semakin banyak saya bertindak dengan senang hati terhadap keadaan susah dengan iman kepada Tuhan, saya berkembang dalam penganutan.

Perkara-perkara susah dalam hidup tidak sepatutnya menakutkan kita selepas memasuki lorong sempit dan kecil.12 Yesus Kristus “menjadi taat melalui penderitaan-Nya.”13 Apabila kita mengikuti-Nya, terutamanya pada masa sukar, kita boleh berkembang untuk menjadi lebih seperti Dia.

Salah satu daripada perjanjian yang kita buat dengan Tuhan adalah untuk menjalani hukum korban. Pengorbanan ialah sebahagian daripada injil Yesus Kristus. Pengorbanan ialah peringatan tentang korban tebusan agung Yesus Kristus bagi semua yang telah hidup atau akan hidup di bumi.

Para Misionari Elder Morrison

Saya tahu Tuhan selalu mengimbangi hasrat soleh kita. Ingatkah janji saya untuk mempunyai banyak anak dalam berkat bapa bangsa saya? Berkat itu sedang dipenuhi. Isteri dan saya melayani bersama ratusan misionari, lebih daripada 25 negara, di Misi Ghana Cape Coast. Kami mengasihi mereka seperti anak-anak kami sendiri.

Saya bersaksi bahawa kita berkembang dalam penganutan apabila menjalankan iman kepada Tuhan pada masa sukar. Apabila kita berbuat demikian, Dia akan dengan penuh belas kasihan memperkuatkan kita dan membantu kita mengangkat beban kita. Dalam nama Yesus Kristus, amin.