Persidangan Umum
Sepenuh Hati
Persidangan umum Oktober 2022


11:16

Sepenuh Hati

Kita harus menjadi pengikut Yesus yang ceria dan sepenuh hati dalam jalan penganutan peribadi kita.

Kadangkala, ia membantu untuk mengetahui apa yang akan berlaku.

Di penghujung pelayanan-Nya, Yesus memberitahu para Rasul-Nya bahawa masa sukar akan datang. Tetapi Dia juga berfirman, “Tetapi janganlah takut.”1 Ya, Dia akan pergi, tetapi Dia tidak akan meninggalkan mereka sendirian.2 Dia akan menghantar Roh-Nya untuk membantu mereka mengingati, berdiri teguh dan mencari kedamaian. Juruselamat memenuhi janji-Nya untuk bersama para pengikut-Nya, tetapi kita mesti terus berpaling kepada-Nya untuk membantu kita mengenali dan menikmati hadirat-Nya

Para pengikut Kristus selalu menghadapi masa yang susah.

Seorang kawan baik telah menghantar kepada saya satu artikel lama dari Nebraska Advertiser, suatu surat khabar dari Barat Tengah Amerika Syarikat, bertarikh 9 Julai 1857. Ia tertulis: “Pagi tadi, sekumpulan orang Mormon melalui sini dalam perjalanan ke Salt Lake. Para wanita (yang kelihatan kuat) sedang menarik gerabak tangan seperti haiwan yang kuat, seorang [perempuan] jatuh ke dalam lumpur hitam ini, yang menyebabkan perarakan mereka berhenti seketika, kanak-kanak kecil yang mengikut serta berpakaian asing [pelik] bertekad seperti ibu mereka.”3

Saya berfikir banyak tentang wanita yang berlumpur ini. Mengapa dia sedang menarik bersendirian? Adakah dia seorang ibu tunggal? Apakah yang memberinya kekuatan dalaman, kecekalan, ketabahan untuk membuat perjalanan yang susah melalui lumpur, menarik semua hartanya di atas gerabak tangan ke sebuah tempat baru—kadangkala diejek oleh para pemerhati?4

Presiden Joseph F. Smith bercakap tentang kekuatan dalaman wanita-wanita perintis ini, mengatakan: “Bolehkah anda memalingkan salah seorang wanita-wanita ini dari keyakinan mereka dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir? Bolehkah anda menggelapkan fikiran mereka berkenaan misi Nabi Joseph Smith? Bolehkah anda membutakan mereka kepada misi ilahi Yesus Kristus, Putera Tuhan? Tidak, anda tidak akan dapat melakukannya. Mengapa? Kerana mereka mengetahuinya. Tuhan mengungkapkan kepada mereka dan memahaminya. Tiada kuasa di bumi yang dapat memalingkan mereka daripada apa yang mereka tahu adalah benar.”5

Saudara dan saudari, menjadi lelaki dan wanita sedemikian ialah panggilan zaman kita—seperti para pengikut yang melangkah kuat dapat mencari kekuatan untuk terus menarik gerabak apabila dipanggil untuk berjalan menerusi padang belantara; pengikut berkeyakinan yang telah diungkapkan kepada kita oleh Tuhan; para pengikut Yesus yang gembira dan sepenuh hati dalam perjalanan penganutan peribadi kita. Sebagai pengikut Yesus Kristus, kita percaya dan boleh berkembang dalam tiga kebenaran penting.

Pertama, Kita Boleh Mentaati Perjanjian Kita, Walaupun Ia Tidak Mudah

Apabila iman anda, keluarga atau masa depan dicabar—apabila anda tertanya-tanya mengapa kehidupan begitu susah ketika anda melakukan yang terbaik untuk mentaati injil—ingatlah bahawa Tuhan telah pun memberitahu kita untuk mengharapkan kesusahan. Kesusahan adalah sebahagian daripada rancangan dan ia tidak bermaksud anda telah dilupakan; ia adalah sebahagian daripada apa yang dimaksudkan untuk menjadi pengikut-Nya.6 Malah, Dialah yang, “menderita kesengsaraan dan kesakitan.”7

Saya belajar bahawa Bapa Syurgawi lebih berminat dalam perkembangan saya sebagai pengikut Yesus Kristus daripada keselesaan saya. Saya mungkin tidak selalu inginkannya seperti itu—tetapi ia seperti itu!

Hidup yang mudah tidak membawa kuasa. Kuasa yang kita perlukan untuk mengatasi cabaran di zaman kita adalah kuasa Tuhan, dan kuasa-Nya datang melalui perjanjian kita dengan Dia.8 Kita perlu bersandar kepada iman apabila menghadapi angin yang kuat—kita dengan ikhlas berusaha untuk melakukan apa yang kita janjikan dengan Juruselamat yang kita akan lakukan, terutamanya apabila kita penat, bimbang, dan bergelut dengan soalan dan isu yang mengganggu—adalah untuk secara beransur-ansur menerima cahaya-Nya, kekuatan-Nya, kasih-Nya, Roh-Nya, kedamaian-Nya.

Tujuan jalan perjanjian adalah untuk mendekati Juruselamat. Dialah tujuannya, bukan kemajuan sempurna kita. Ia bukan satu pertandingan dan janganlah membandingkan perjalanan kita dengan orang lain. Walaupun kita tersandung, Dia tetap membantu.

Kedua, Kita Boleh Bertindak Dalam Iman

Sebagai pengikut Yesus Kristus, kita faham bahawa iman kepada-Nya memerlukan tindakan—terutamanya pada masa yang susah.9

Bertahun-tahun yang lalu, ibu bapa saya mahu gantikan hamparan rumah. Pada malam sebelum hamparan baru tiba, ibu meminta abang-abang saya untuk mengeluarkan perabot dan mencabut hamparan bilik supaya yang baru boleh dipasang. Emily, adik saya yang berumur tujuh tahun sedang tidur. Oleh itu, semasa dia tidur, mereka mengeluarkan semua perabot dari biliknya dengan senyap, kecuali katilnya dan kemudian mengoyakkan hamparan. Dan, seperti abang kadang-kadang lakukan, mereka memutuskan untuk bergurau. Mereka mengeluarkan semua barang kepunyaan Emily dari almari dan dinding, meninggalkan bilik itu kosong. Kemudian mereka meninggalkan sebuah nota dan lekatkannya pada dinding. Ia tertulis: “Emily, kami sudah pindah. Kami akan menulis surat kepada kamu dalam beberapa hari nanti dan memberitahu kamu di mana kami berada. Yang benar, keluargamu.”

Keesokan pagi, Emily tidak datang untuk bersarapan pagi, abang-abang saya pergi mencarinya—dia berada di dalam bilik, sedih dan bersendirian. Emily merenungkan pengalaman ini kemudian: “Saya sangat sedih. Tetapi apakah yang akan berlaku jika saya membuka pintu? Apakah yang saya akan dengar? Apakah yang saya akan hidu? Saya akan tahu saya tidak bersendirian. Saya akan tahu saya benar-benar disayangi. Saya tidak terfikir untuk melakukan sesuatu tentang situasi saya. Saya hanya menyerah kalah dan tetap dalam bilik sambil menangis. Tetapi jika saya hanya membuka pintu.”10

Adik saya membuat andaian berdasarkan apa yang dilihat, tetapi ia bukan satu gambaran tentang hakikat sebenarnya. Bukankah ia menarik bahawa kita, seperti Emily, terbeban dalam kesedihan, kelukaan atau tawar hati, kebimbangan atau kesunyian, kemarahan atau kekecewaan sehingga kita tidak terfikir untuk melakukan sesuatu, membuka pintu atau bertindak dengan iman kepada Yesus Kristus?

Tulisan suci dipenuhi dengan contoh-contoh pengikut Kristus, lelaki mahupun perempuan yang menghadapi kemustahilan dan bertindak—bangkit dengan iman dan berjalan.11

Kepada pesakit-pesakit kusta yang mencari kesembuhan, Kristus memerintah mereka untuk pergilah dan tunjukkan diri mereka kepada para imam. Semasa mereka dalam perjalanan ke sana, mereka disembuh.12

Mereka pergi untuk menunjukkan diri mereka kepada para imam seolah-olah mereka telah disembuhkan. Kerana mereka bertindak, mereka disembuh.

Saya juga ingin berkata jika pemikiran untuk mengambil tindakan di kala kesakitan bagaikan mustahil, mohon anda bertindak untuk mendapatkan bantuan—daripada seorang kawan, ahli keluarga, pemimpin Gereja, atau seorang professional. Ini boleh menjadi langkah pertama menuju harapan. Ini boleh menjadi langkah pertama untuk harapan.

Ketiga, Kita Boleh Menjadi Sepenuh Hati Dan Bahagia Dalam Kesetiaan Kita13

Apabila masa kesusahan datang, saya cuba ingat bahawa saya memilih untuk mengikut Kristus sebelum saya datang ke bumi dan cabaran kepada iman saya, kesihatan saya, dan ketahanan saya adalah sebahagian daripada sebab mengapa saya berada di sini. Dan saya pastinya tidak harus berfikir bahawa percubaan hari ini mempersoalkan kasih Tuhan terhadap saya atau biarkan ia mengubah iman saya kepada-Nya menjadi keraguan. Percubaan tidak bererti rancangan itu gagal; ia adalah sebahagian daripada rancangan yang bertujuan untuk membantu saya mencari Tuhan. Saya menjadi lebih seperti Dia apabila saya bertahan dengan sabar dan akan doa lebih tekun seperti Dia ketika dalam penderitaan.14

Yesus Kristus adalah teladan sempurna untuk mengasihi Bapa kita dengan sepenuh hati-Nya; dengan melakukan kehendak-Nya, tanpa mengira akibat.15 Saya ingin mengikuti teladan-Nya dengan berbuat sedemikian.

Saya diilhami oleh penganutan sepenuh hati dan seluruh jiwa balu yang meletakkan dua keping mata wang tembaganya ke dalam peti di bait suci. Dia telah memberi segalanya.16

Yesus Kristus mengenali kelebihan wanita balu sementara orang di sekelilingnya hanya melihat kekurangannya. Itu sama bagi setiap kita. Dia tidak melihat kekurangan kita sebagai kegagalan tetapi satu peluang untuk menjalankan iman dan berkembang.

Kesimpulan

Wahai pengikut Yesus Kristus, dengan sepenuh hati, saya memilih untuk berdiri bersama Tuhan. Saya pilih untuk berdiri bersama hamba-hamba-Nya yang terpilih—Presiden Russell M. Nelson dan para Rasulnya—kerana mereka berbicara untuk Dia dan merupakan para pengawas tatacara dan perjanjian yang mengikatkan saya kepada Juruselamat.

Apabila saya tersandung, saya akan selalu bangun, bergantung pada rahmat dan kuasa Yesus Kristus yang membolehkan. Saya akan kekal setia kepada perjanjian saya dengan-Nya dan memperoleh jawapan bagi soalan-soalan saya dengan mengkaji firman Tuhan, melalui iman, dan dengan bantuan Roh Kudus, yang memberikan bimbingan yang saya percayai. Saya akan mencari Roh-Nya setiap hari dengan melakukan hal-hal yang kecil dan sederhana.

Inilah jalan penganutan saya.

Dan sehingga hari di mana luka harian kefanaan disembuhkan, saya akan berharap kepada Tuhan dan mempercayai Dia mengikut masa-Nya, kebijaksanaan-Nya dan rancangan-Nya.17

Berganding tangan dengan anda, saya ingin berdiri bersama-Nya selamanya. Sepenuh hati. Mengetahui bahawa apabila kita mengasihi Yesus Kristus dengan sepenuh hati, Dia membalas dengan memberi kita segalanya.18 Dalam nama Yesus Kristus, amin.