Persidangan Umum
Berani untuk Mengisytiharkan Kebenaran
Persidangan umum Oktober 2022


11:26

Berani untuk Mengisytiharkan Kebenaran

Apabila kita mempelajari kebenaran, Tuhan memberi kita peluang untuk lakukan apa yang Dia akan lakukan jika Dia berada di sini hari ini.

Pada tahun 1982, saya menamatkan ijazah bersekutu dalam topografi di sekolah teknikal.

Pada akhir tahun itu, seorang rakan sekelas berbual dengan saya. Saya ingat kami meninggalkan ahli kelas yang lain dan pergi ke suatu tempat di sebelah gelanggang sukan. Apabila kami sampai, dia beritahu saya tentang kepercayaan agamanya. Dia tunjukkan saya sebuah kitab dan memberi kepada saya. Jujurnya, saya tidak ingat semua dikatakan, tetapi saya ingat perasaan saya apabila dia berkata, “Saya mahu bersaksi kepada kamu kitab ini adalah benar dan injil Yesus Kristus telah dipulihkan.”

Selepas perbualan kami, saya pulang ke rumah, membelek halaman kitab itu dan meletakkannya di atas rak. Kerana itu akhir tahun, dan juga tahun terakhir ijazah topografi, saya tidak beri perhatian kepada kitab itu atau rakan sekelas yang beri saya. Anda sudah dapat teka nama kitab itu. Ya, ia adalah Kitab Mormon.

Lima bulan kemudian, misionari datang ke rumah saya. Pada hari itu mereka hendak balik manakala saya baru tiba rumah dari kerja. Saya menjemput mereka kembali. Kami duduk di patio kecil di hadapan rumah dan mereka mengajar saya.

Dalam pencarian kebenaran, saya tanya mereka gereja mana yang benar dan bagaimana saya dapat mencarinya. Misionari mengajar bahawa saya boleh dapatkan jawapan itu sendiri. Dengan harapan dan hasrat yang besar, saya menerima cabaran mereka untuk membaca beberapa bab dari Kitab Mormon. Saya tulus hati berdoa dan dengan maksud yang bersungguh-sungguh (lihat Moroni 10:4–5). Jawapan kepada soalan saya adalah jelas, dan beberapa hari kemudian, pada 01 Mei 1983, saya dibaptiskan dan ditetapkan sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

Hari ini, apabila saya fikir tentang urutan peristiwa yang berlaku, saya melihat betapa penting keberanian rakan saya ketika dia bersaksi tentang kebenaran yang dipulihkan dan memberi saya bukti nyata tentang Pemulihan injil Yesus Kristus, iaitu Kitab Mormon. Tindakan itu sederhana namun amat penting kepada saya, mewujudkan pertemuan dengan misionari.

Kebenaran telah disampaikan kepada saya dan selepas pembaptisan saya, saya menjadi pengikut Yesus Kristus. Tahun-tahun berikut, dan dengan bantuan dari orang istimewa seperti pemimpin, pengajar, kawan, dan juga melalui pembelajaran peribadi, saya pelajari ketika saya putuskan untuk menjadi pengikut Yesus Kristus, saya telah menerima tugas bukan sahaja mempertahankan kebenaran, tetapi juga mengisytiharkannya.

Apabila kita bersetuju untuk percaya kepada kebenaran dan mengikutinya. Dan juga berusaha untuk menjadi pengikut sejati Yesus Kristus, kita tidak menerima sekeping sijil dengan jaminan bahawa kita tidak akan melakukan kesilapan, bahawa kita tidak akan digoda untuk menjauhi dari kebenaran, agar tidak dikritik atau bahkan tidak akan mengalami kesengsaraan. Tetapi pengetahuan tentang kebenaran mengajar apabila kita memasuki lorong lurus dan sempit yang akan membawa kita kembali ke hadirat Bapa Syurgawi, sentiasa akan ada cara untuk melepaskan diri daripada masalah-masalah ini (lihat 1 Korintus 10:13); sentiasa akan ada kemungkinan untuk meragui keraguan kita sebelum meragui iman kita (lihat Dieter F. Uchtdorf, “Mari, Sertai Kami,” Liahona, Nov. 2013, 21); dan akhirnya, kita ada jaminan bahawa kita tidak akan bersendirian ketika melalui kesengsaraan, kerana Tuhan mengunjungi umat-Nya di tengah-tengah kesengsaraan mereka (lihat Mosia 24:14).

Apabila kita mempelajari kebenaran, Tuhan memberi kita peluang untuk lakukan apa yang Dia akan lakukan jika Dia berada di sini hari ini. Dia tunjukkan melalui ajaran-Nya apa yang harus kita lakukan: “Dan kamu haruslah pergi dalam kuasa Roh-Ku, mengkhutbahkan Injil-Ku, berdua-dua, dalam nama-Ku, mengangkat suaramu bagaikan dengan bunyi sangkakala, memaklumkan firman-Ku seperti para malaikat Tuhan” (Ajaran dan Perjanjian 42:6). Peluang untuk pelayanan misionari bagi golongan belia adalah unik!

Tolonglah, remaja putera, jangan menangguhkan persediaan untuk melayani Tuhan sebagai misionari. Semasa anda hadapi situasi yang mungkin menyukarkan keputusan untuk melayani misi, seperti pengajian anda terganggu untuk suatu masa, berpisah dengan teman wanita tanpa jaminan anda akan berdating dia lagi, atau perlu tinggalkan sebuah pekerjaan, ingatlah teladan Juruselamat. Dalam pelayanan-Nya, dia hadapi kesusahan termasuk kritikan, penganiayaan dan terutama cawan pahit dari korban tebusan-Nya. Namun dalam segala keadaan, dia telah menutrut kehendak Bapa-Nya dan memberi kemuliaan kepada Bapa. (Lihat Yohanes 5:30; 6:38–39; 3 Nefi 11:11; Ajaran dan Perjanjian 19:18–19.)

Remaja puteri, anda sangat dialu-alukan, jika anda berhasrat untuk bekerja di ladang anggur Tuhan, dan apabila anda membuat persediaan untuk pergi melayan sebagai misionari sepenuh masa, anda tidak akan dikecualikan dari cabaran yang sama.

Kepada semua orang yang pilih untuk melayani Dia, saya berjanji bahawa pelayanan selama 24 atau 18 bulan akan berlalu di ladang misi seperti yang anda lalui di rumah, tetapi peluang yang menanti remaja putera dan remaja puteri Gereja yang layak dalam ladang misi adalah unik. Hak istimewa mewakili Juruselamat Yesus Kristus, Gereja-Nya tidak boleh diabaikan. Mengucap banyak doa, mengembangkan kesaksian dan bersaksi beberapa kali dalam sehari, kaji tulisan suci dengan lama dan bertemu dengan orang yang tidak akan anda jumpa jika anda tinggal di rumah, adalah pengalaman yang tidak dapat digambarkan. Tahap pengalaman yang sama tersedia untuk golongan belia yang Tuhan panggil untuk melayani dalam misi pelayanan. Anda sangat dialu-alukan dan diperlukan. Tolonglah, janganlah merendahkan kepentingan misi pelayanan, kerana pelayanan misi juga menyediakan pengalaman indah. Nilai jiwa-jiwa adalah sangat besar di pandangan Tuhan, (Ajaran dan Perjanjian 18:10), termasuk nilai jiwa anda.

Setelah kembali dari pelayanan, mungkin teman wanita atau teman lelaki tidak menunggu anda, tetapi anda telah pelajari bagaimana untuk menjalin hubungan yang berkesan. Pengajian akademik anda akan lebih bermakna kerana persediaan di misi di gunakan untuk membuat persediaan di tempat kerja, dan akhirnya, anda akan ada kepastian penuh untuk mengisytiharkan injil kedamaian dengan berani, bersaksi tentang kebenaran yang dipulihkan.

Bagi anda yang sudah berkahwin dan di peringkat kehidupan yang berbeza, anda sangat penting dalam pekerjaan Tuhan. Sediakanlah diri anda. Jalani kehidupan yang sihat, mencari keberdikarian duniawi dan rohani, kerana peluang untuk melakukan apa yang Tuhan akan lakukan bagi anak-anak-Nya tidak terhad kepada satu kumpulan umur. Pengalaman yang paling menggembirakan isteri dan saya datang semasa melayani bersama pasangan istimewa, di tempat istimewa dan melayani orang-orang lain yang istimewa.

Pengalaman saya pada akhir ijazah topografi mengajar saya bahawa kita selalu membela kebenaran apabila kita mengisytiharkannya dan membela kebenaran merupakan perkara yang proaktif. Pembelaan kebenaran tidak harus dilakukan secara agresif tetapi dengan keikhlasan untuk mengasihi, berkongsi dan menjemput orang yang kita bersaksi tentang kebenaran. Dan menumpu kepada kesejahteraan duniawi dan rohani anak-anak Bapa Syurgawi (lihat Mosia 2:41).

Dalam persidangan umum Oktober 2021, Presiden Russell M. Nelson, nabi terkasih kita, mengajar bahawa adanya kebenaran yang betul dan yang salah, walaupun orang lain tidak berapa setuju. Memang ada kebenaran mutlak iaitu kebenaran abadi. (Lihat “Kebenaran Suci, Ajaran Suci dan Wahyu Suci,” Liahona, Nov. 2021, 6.)

Ia tertulis dalam tulisan suci, “Kebenaran adalah pengetahuan tentang hal-hal sebagaimana ianya ada, dan sebagaimana adanya dahulu, dan sebagaimana adanya yang akan datang” (Ajaran dan Perjanjian 93:24).

Pengetahuan tentang kebenaran tidak menjadikan kita lebih baik daripada orang lain, tetapi ia mengajar kita apa yang harus kita lakukan untuk kembali ke hadirat Tuhan.

Apabila anda terus teguh dalam Kristus dan dengan berani untuk mengisytiharkan dan menjalani kebenaran, anda akan temui ketenangan dan kedamaian semasa kesusahan yang akan anda alami pada zaman ini.

Cabaran hidup boleh meletihkan kita, tetapi ketahuilah apabila kita menjalankan iman kepada Yesus Kristus, “kesengsaraan [kita] akan menjadi bahkan suatu saat yang kecil” (Ajaran dan Perjanjian 121:7) dalam keabadian. Tolonglah, jangan berputus asa dalam kesusahan dan cabaran anda. Percayalah Tuhan dan tidak menyerah kalah, jika kita mengalah, kita tidak akan tahu bagaimana penghujung perjalanan kita di dalam kerajaan Tuhan.

Berpeganglah kepada kebenaran, belajar dari sumber-sumber kebenaran.

Saya bersaksi tentang Yesus Kristus dan ini gereja-Nya. Kita ada seorang nabi hidup, dan kita akan sentiasa merasa bebas apabila kita berani mengisytiharkan kebenaran. Dalam nama Yesus Kristus, amin.