Persidangan Umum
Dan Mereka Ingin Melihat Yesus Untuk Ketahui Siapa Dia
Persidangan umum Oktober 2022


10:29

Dan Mereka Ingin Melihat Yesus Untuk Ketahui Siapa Dia

Saya bersaksi Yesus hidup, Dia mengenali kita, dan Dia mempunyai kuasa untuk menyembuhkan, mengubah dan untuk mengampuni.

Saudara, saudari dan kawan-kawan, pada tahun 2013 isteri saya, Laurel, dan saya dipanggil untuk melayan sebagai pemimpin misi dalam Misi Czech Slovak. Empat anak kami melayani bersama kami.1 Kami sekeluarga diberkati dengan para misionari yang cemerlang dan Orang Suci Czech dan Slovak yang unggul. Kami mengasihi mereka.

Semasa keluarga kami memasuki ladang misi, sesuatu yang diajar oleh Elder Joseph B. Wirthlin mengikuti kami. Dalam satu ucapan bertajuk “Perintah Yang Agung,” Elder Wirthlin bertanya, “Adakah anda mengasihi Tuhan?” Nasihatnya kepada kita yang menjawab ya adalah mudah dan bermakna: “Luangkan masa bersama-Nya. Renungkan firman-firman-Nya. Ambil kuk-Nya ke atas dirimu. Berusahalah untuk memahami dan mematuhi.”2 Elder Wirthlin kemudian menjanjikan berkat-berkat transformasi kepada mereka yang rela memberi masa dan ruang kepada Yesus Kristus.3

Kami mengambil nasihat dan janji Elder Wirthlin ke dalam hati. Bersama dengan para misionari kami, kami meluangkan masa tambahan bersama Yesus dengan mengkaji Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes dari Perjanjian Baru dan 3 Nefi dari Kitab Mormon. Di pengakhiran setiap pertemuan misionari, kami mendapati diri kembali kepada apa yang kami merujuk sebagai “Lima Injil”4 membaca, membincang, mempertimbangkan, dan belajar tentang Yesus.

Bagi saya, Laurel dan para misionari kami, meluangkan masa bersama Yesus dalam tulisan suci telah mengubah segalanya. Kami memperoleh penghargaan yang lebih mendalam tentang siapakah Dia dan apa yang penting bagi-Nya. Kami mempertimbangkan bagaimana Dia mengajar, apa yang Dia ajarkan, cara Dia menunjukkan kasih, apa yang Dia lakukan untuk memberkati dan melayani, mukjizat-Nya, bagaimana Dia bertindak balas kepada pengkhianatan, apa yang Dia lakukan dengan emosi manusia yang susah, gelaran dan nama-Nya, bagaimana Dia mendengar, bagaimana Dia menyelesaikan konflik, zaman hidup Dia, perumpamaan-Nya, bagaimana Dia menggalakkan perpaduan dan kebaikan, keupayaan-Nya untuk mengampuni dan menyembuh, khutbah-Nya, doa-Nya, korban tebusan-Nya, Kebangkitan-Nya, injil-Nya.

Kita sering berasa “[pendek]” seperti Zakheus yang berlari untuk memanjat pokok Sycamore semasa Yesus melalui Yerikho kerana, seperti Lukas gambarkan, kita “ingin melihat Yesus untuk ketahui siapa dia.”5 Ia bukanlah Yesus seperti yang kita inginkan atau ingin Dia menjadi, tetapi Yesus seperti Dia sebenarnya sebelum dan kini.6 Seperti yang dijanjikan oleh Elder Wirthlin, kami belajar dengan cara yang benar bahawa “injil Yesus Kristus ialah injil perubahan. Ia mengambil kita sebagai lelaki dan perempuan bumi dan memperhaluskan kita untuk menjadi para lelaki dan wanita keabadian.”7

Itulah hari-hari yang istimewa. Kami percaya bahawa “bagi Tuhan tiada perkara yang mustahil.”8 Petang kudus di Prague, Bratislava atau Brno, mengalami kuasa dan realiti Yesus, terus bergema dalam semua kehidupan kami.

Kita sering belajar Markus 2:1–12. Kisahnya memang mengagumkan. Saya ingin membaca sebahagian darinya secara langsung dari Markus, dan kemudian berkongsikannya sepertimana saya memahami selepas kajian dan perbincangan komprehensif dengan para misionari kami dan orang lain.9

“Beberapa hari kemudian Yesus kembali ke Kapernaum dan tersebarlah khabar bahawa Yesus di rumah.

“Banyak sekali orang datang berkumpul di situ, sehingga tidak ada tempat. Bahkan di pintu pun penuh sesak dengan orang. Lalu Yesus memberitakan perkhabaran daripada Tuhan kepada mereka.

“Sementara Yesus berkata-kata, datanglah empat orang yang mengusung seorang lumpuh.

“Tetapi kerana terlalu banyak orang, mereka tidak dapat membawa dia kepada Yesus. Oleh itu mereka membuka bumbung rumah yang terletak tepat di atas tempat Yesus. Kemudian mereka menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar.

“Waktu Yesus melihat betapa besar iman mereka, Ia berkata kepada orang lumpuh itu, Anak-ku, dosa-dosamu sudah diampuni.”

Selepas satu perbualan dengan beberapa orang,10 Yesus melihat lelaki yang lumpuh dan menyembuhkannya secara jasmani, lalu berfirman:

“Bangunlah, angkat tikarmu, dan pulanglah!”

“Di hadapan mereka semua, orang lumpuh itu bangkit, mengangkat tikarnya, dan segera keluar. Semua orang di situ tercengang-cengang lalu memuji Tuhan. Mereka berkata, “Belum pernah kami lihat perkara seperti ini!”11

Pemahaman saya mengenai cerita ini ialah Yesus kembali ke Kapernaum, sebuah kampung nelayan kecil yang terletak di pantai utara Laut Galilea.12 Baru-baru ini dia telah melakukan beberapa mukjizat dengan menyembuhkan mereka yang sakit dan mengusir roh jahat.13 Bersemangat untuk mendengar dan berada bersama lelaki yang dipanggil Yesus, orang-orang kampung berkumpul di rumah di mana dia dikatakan tinggal.14 Setelah mereka berkumpul, Yesus mula mengajar.15

Rumah di Kapernaum pada masa itu berbumbung rata, satu tingkat, berkumpul bersama.16 Bumbung dan dinding terdiri daripada campuran batu, kayu, tanah liat, dan jerami, dan pintu bersama satu set tangga sederhana di tepi rumah.17 Bilangan orang dalam kumpulan bertambah dengan cepat, memenuhi bilik di mana Yesus sedang mengajar, dan tersebar ke jalan.18

Cerita itu memberi tumpuan kepada seorang lelaki “sakit lumpuh” dan empat rakannya.19 Palsi adalah sejenis lumpuh, sering disertai dengan kelemahan dan ketaran anggota.20 Saya bayangkan salah seorang daripada mereka berkata, “Yesus berada di kampung kita. Kita semua tahu tentang mukjizat-mukjizat yang Dia telah lakukan dan mereka yang Dia telah sembuhkan. Jika kita membawa kawan kita kepada Yesus, mungkin dia juga boleh disembuhkan.”

Jadi, mereka masing-masing mengambil setiap sudut tikar atau katil kawannya dan mula membawanya melalui jalan-jalan Kapernaum yang kecil, berliku, tidak berturap.21 Dengan segala tenaga, empat sekawan tiba hanya untuk mendapati bahawa orang ramai yang berkumpul untuk mendengar adalah begitu banyak sehingga untuk membawa kawan mereka kepada Yesus adalah mustahil.22 Dengan kasih dan iman empat kawan itutidak putus asa. Sebaliknya, mereka menaiki tangga ke bumbung rata, angkat kawan mereka bersama katilnya dengan cermat, pecah buka bumbung bilik di mana Yesus sedang mengajar dan menurunkan kawan mereka.23

Bayangkan di tengah-tengah apa yang mestinya satu detik pengajaran yang serius, Yesus mendengar bunyi menggaru, memandang ke atas, dan melihat satu lubang yang semakin membesar di siling sambil debu dan jerami jatuh ke dalam bilik. Seorang lelaki yang lumpuh di atas katil kemudiannya diturunkan ke lantai. Menakjubkannya, Yesus faham bahawa ini bukanlah satu gangguan tetapi sesuatu yang penting. Dia memandang lelaki di atas katil, mengampuni dosa-dosanya secara terbuka dan memulihnya secara jasmani.24

Dengan cerita Markus 2 itu dalam minda, beberapa kebenaran penting menjadi jelas tentang Yesus sebagai Kristus. Pertama, apabila kita cuba membantu seseorang yang kita kasihi datang kepada Kristus, kita boleh melakukannya dengan yakin bahawa Dia mempunyai keupayaan untuk mengangkat beban dosa dan untuk mengampuni. Kedua, apabila kita membawa penyakit jasmani, emosi, atau penyakit lain kepada Kristus, kita boleh melakukannya dengan mengetahui bahawa Dia mempunyai kuasa untuk menyembuhkan dan menghiburkan. Ketiga, apabila kita berusaha seperti empat sekawan untuk membawa orang lain kepada Kristus, kita boleh melakukannya dengan kepastian bahawa Dia melihat maksud sebenar kita dan akan menghormati mereka dengan sewajarnya.

Ingatlah, pengajaran Yesus terganggu oleh kemunculan satu lubang di bumbung. Sebalik memarahi atau menolak empat sekawan yang membuat lubang kerana mengganggu, tulisan suci menyatakan “Yesus melihat bahawa mereka sangat beriman.”25 Orang lain yang nampak mukjzat itu, “memuji Tuhan kerana Tuhan sudah memberikan kuasa yang begitu besar kepada manusia.”26

Saudara dan saudari, biar saya tutup dengan dua pemerhatian tambahan. Sama ada sebagai misionari, pelayan, presiden Lembaga Pertolongan, uskup, pengajar, ibu bapa, adik beradik, atau kawan, kita semua terlibat sebagai pengikut Orang Suci Zaman Akhir dalam usaha membawa orang lain kepada Kristus. Maka, sifat-sifat yang ditunjukkan oleh empat kawan perlulah kita pertimbangkan dan diikuti.27 Mereka berani, menyesuaikan diri, tabah, kreatif, serba boleh, berharapan, berazam, beriman, optimistik, rendah hati, dan bertahan.

Tambahan lagi, empat kawan itu menekankan kepentingan rohani komuniti dan persahabatan.28 Untuk membawa kawan mereka kepada Kristus, setiap satu mesti mengangkat sudut katil mereka. Jika seseorang melepaskannya, perkara menjadi lebih susah. Jika dua orang melepaskannya, tugas itu menjadi mustahil. Kita semua mempunyai peranan penting dalam kerajaan Tuhan.29 Apabila kita memenuhi peranan itu dan melakukan bahagian kita, kita mengangkat sudut kita. Sama ada di Argentina atau Vietnam, Accra atau Brisbane, satu cabang atau bahagian, keluarga atau pasangan misionari, kita masing-masing mempunyai sudut untuk diangkat. Apabila kita melakukannya, dan jika kita mahu, Tuhan memberkati kita semua. Apabila Dia melihat iman mereka, Dia juga akan melihat iman kita dan memberkati kita sebagai satu.

Pada masa yang berlainan, saya telah mengangkat sudut saya, dan pada masa lain saya telah menjadi orang yang diangkat. Sebahagian daripada kuasa kisah Yesus yang luar biasa ini ialah ia mengingatkan kita betapa kita perlukan satu sama lain, sebagai saudara dan saudari, untuk datang kepada Kristus dan diubah.

Ini adalah beberapa perkara yang saya pelajari dari masa bersama Yesus dalam Markus 2.

“Semoga Tuhan mengabulkan agar kita boleh [membawa penjuru kita], agar kita tidak mengelak, agar kita tidak takut, tetapi menjadi kuat dalam iman kita, dan berazam dalam kerja kita, untuk mencapai tujuan-tujuan Tuhan.”30

Saya bersaksi bahawa Yesus hidup, bahawa Dia mengenali kita, dan bahawa Dia mempunyai kuasa untuk menyembuhkan, mengubah, dan untuk mengampuni. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Evie, Wilson, Hyrum, dan George.

  2. Joseph B. Wirthlin, “The Great Commandment,” Liahona, Nov. 2007, 30.

  3. Berkat-berkat yang dikenal pasti oleh Elder Wirthlin termasuk peningkatan keupayaan untuk kasih sayang, kerelaan untuk patuh dan responsif kepada perintah-perintah Tuhan, keinginan untuk melayani orang lain dan keinginan untuk melakukan yang baik secara berterusan.

  4. “Injil-injil … ialah satu persembahan empat kali ganda di bawah nama empat mubaligh atau penulis Injil yang berbeza tentang kehidupan dan pengajaran Yesus, dan tentang penderitaannya, kematian dan kebangkitan” (Anders Bergquist, “Bible,” di John Bowden, ed, Encyclopedia of Christianity [2005], 141). Bible Dictionary menambahkan bahawa “perkataan injil bermaksud ‘khabar gembira.’ Khabar gembiranya adalah bahawa Yesus Kristus telah melaksanakan korban tebusan yang sempurna untuk umat manusia yang akan menebus seluruh umat manusia. … Catatan-catatan tentang kehidupan fana-Nya dan peristiwa berkaitan dengan pelayanan-Nya dipanggil Injil” (Bible Dictionary, “Gospels”). 3 Nefi, dicatat oleh Nefi, cucu lelaki Helaman, mengandungi satu catatan tentang penampilan dan pengajaran Yesus Kristus yang telah bangkit di Benua Amerika selepas Penyaliban-Nya dan, oleh kerana itu, boleh juga dirujuk sebagai “Injil.” Injil tersebut amat menarik kerana mereka mencatatkan peristiwa dan keadaan di mana Yesus Sendiri mengajar dan mengambil bahagian secara aktif. Mereka adalah titik permulaan yang kritikal untuk memahami Yesus sebagai Kristus, hubungan kita dengan Dia dan injil-Nya.

  5. Lihat Lukas 19:1–4; lihat juga Yakub 4:13 (menjelaskan bahawa Roh “berbicara tentang hal-hal sebagaimana ianya wujud pada hakikatnya, dan tentang hal-hal sebagaimana ianya benar-benar akan terjadi”) dan Ajaran dan Perjanjian 93:24 (mendefinisikan kebenaran sebagai “pengetahuan tentang hal-hal sebagaimana ianya ada, dan sebagaimana adanya dahulu, dan sebagaimana adanya yang akan datang”).

  6. Presiden J. Reuben Clark juga menggalakkan kajian “kehidupan Juruselamat sebagai personaliti sebenar.” Dia menjemput orang untuk berada dalam catatan tulisan suci tentang kehidupan Yesus Kristus, untuk cuba dan “pergi bersama Juruselamat, hidup bersamanya, biarlah dia menjadi manusia yang sebenar, setengahnya ilahi, sudah tentunya, tetapi bergerak seperti seorang lelaki bergerak pada masa itu.” Dia juga berjanji bahawa usaha seperti ini “akan memberi anda pandangan tentang dia, keakraban dengan dia yang mana anda tidak boleh perolehi melalui cara lain. … Belajar apa yang dia lakukan, apa yang dia fikirkan, apa yang dia ajarkan. Lakukan sepertimana dia lakukan. Hidup sepertimana dia hidup, sejauh yang kita boleh. Dia seorang lelaki yang sempurna” ( Behold the Lamb of God [1962], 8, 11). Untuk pendapat mengenai nilai dan sebab untuk mengkaji Yesus dalam konteks sejarah, lihat N. T. Wright dan Michael F. Bird, The New Testament in Its World (2019), 172–87.

  7. Joseph B. Wirthlin, “The Great Commandment,” 30.

  8. Lukas 1:37.

  9. Sebagai tambahan kepada perbincangan Markus 2:1–12 biasa dan yang panjang bersama para misionari Misi Czech/Slovak, saya juga bersyukur untuk pelajaran yang dipelajari ketika mempertimbangkan teks ini bersama remaja putera dan remaja puteri dalam kelas persediaan misionari dari Pancang Salt Lake Highland dan para pemimpin dan ahli-ahli Pancang Dewasa Muda Salt Lake Pioneer.

  10. Lihat Markus 2:6–10.

  11. Markus 2:11–12.

  12. Lihat Bruce M. Metzger dan Michael D. Coogan, eds., The Oxford Companion to the Bible (1993), 104; James Martin, Jesus: A Pilgrimage (2014), 183–84.

  13. Lihat Markus 1:21–45.

  14. Lihat Markus 2:1–2.

  15. Lihat Markus 2:2.

  16. Lihat Metzger and Coogan, The Oxford Companion to the Bible, 104; William Barclay, The Gospel of Mark (2001), 53.

  17. Lihat Barclay, The Gospel of Mark, 53; see also Martin, Jesus: A Pilgrimage, 184.

  18. Lihat Mark 2:2, 4; lihat juga Barclay, The Gospel of Mark, 52–53. Barclay menjelaskan bahawa “kehidupan di Palestin adalah sangat awam. Pada pagi hari rumah dibuka dan sesiapa yang ingin boleh keluar dan masuk. Pintu tidak pernah ditutup kecuali seseorang dengan sengaja ingin untuk privasi; pintu terbuka bermaksud jemputan terbuka untuk semua orang masuk. Dalam [rumah-rumah] yang sederhana seperti [yang dikenalpasti dalam Markus 2] demikian, ia tidak ada bilik masuk; pintu dibuka terus ke jalan. Jadi, tidak lama kemudian, sekumpulan orang ramai telah mengisi rumah ke tahap yang mampu dan menyekat jalan di sekeliling pintu; dan mereka semua bersemangat untuk mendengar apa yang Yesus perlu katakan.”

  19. Markus 2:3.

  20. Lihat Medical Dictionary of Health Terms, “palsy,” health.harvard.edu.

  21. Lihat Martin, Jesus: A Pilgrimage, 184.

  22. Markus 2:4.

  23. Lihat Markus 2:4; lihat juga Julie M. Smith, The Gospel according to Mark (2018),155–71.

  24. Lihat Markus 2:5–12.

  25. Markus 2:5; penekanan ditambah.

  26. Matius 9:8; lihat juga Markus 2:12; Lukas 5:26.

  27. Ajaran dan Perjanjian 62:3 menjelaskan bahawa hamba-hamba Tuhan “diberkati, kerana kesaksian yang telah kamu berikan dicatatkan di dalam syurga … dan dosa-dosamu diampuni.”

  28. Lihat M. Russell Ballard, “Harapan Dalam Kristus,” Liahona, Mei 2021, 55–56. Presiden Ballard menyatakan bahawa “perasaan tergolong” adalah penting bagi kesihatan jasmani dan rohani, dan dia memerhati bahawa “setiap anggota dalam kuorum, organisasi, bahagian, dan pancang kita memiliki kurnia dan bakat yang Tuhan berikan yang dapat membantu membangunkan kerajaan-Nya sekarang.” Lihat juga David F. Holland, Moroni: A Brief Theological Introduction (2020), 61–65. Holland membincangkan Moroni 6 dan cara-cara penyertaan dan persahabatan dalam komuniti iman membantu memudahkan pengalaman rohani peribadi yang mengikat kita lebih dekat kepada syurga.

  29. Lihat Dieter F. Uchtdorf, “Lift Where You Stand,” Liahona, Nov. 2008, 56. Elder Uchtdorf menjelaskan bahawa “tidak seorang pun daripada kita yang boleh atau harus melakukan kerja Tuhan dengan sendiri. Tetapi jika kita semua berdiri rapat bersama di tempat yang Tuhan telah tetapkan dan angkat di mana kita berada, tiada apa pun yang dapat menghentikan pekerjaan ilahi ini dari maju ke atas dan ke hadapan.” Lihat juga Chi Hong (Sam) Wong, “Menyelamat dalam Perpaduan,” Liahona, Nov. 2014, 15. Elder Wong merujuk kepada Markus 2:1–5 dan mengajarkan bahawa “untuk menolong Juruselamat, kita bekerja bersama dengan perpaduan dan harmoni. Semua orang, setiap posisi dan setiap panggilan adalah penting.”

  30. Oscar W. McConkie, dalam Laporan Persidangan, Okt. 1952, 57.