Hai Sion, Kuatkanlah Hatimu
Setiap kita haruslah menilai keutamaan jasmani dan duniawi dengan ikhlas dan penuh doa.
Perumpamaan ialah kaedah pengajaran yang utama oleh Tuhan Yesus Kristus. Perumpamaan Juruselamat adalah cerita yang digunakan untuk membandingkan kebenaran rohani dengan benda material dan pengalaman fana. Contohnya, Injil Perjanjian Baru dipenuhi dengan ajaran-ajaran yang menyamakan kerajaan syurga dengan biji benih sawi,1 sebiji mutiara yang sangat berharga,2 tuan rumah dan pekerja di ladang anggur,3 sepuluh orang perawan,4 dan banyak lagi. Semasa pelayanan Tuhan di Galilea, tulisan suci menyatakan bahawa “Dia sentiasa menggunakan perumpamaan apabila mengajar.”5
Maksud atau pesanan perumpamaan biasanya tidak dinyatakan dengan jelas. Sebaliknya, cerita itu hanya menyampaikan kebenaran ilahi kepada penerima setimpal dengan imannya kepada Tuhan, persediaan rohani peribadi dan kesediaan untuk belajar. Oleh itu, individu mesti menggunakan hak pilihan moral dan “meminta, mencari dan mengetuk”6 secara aktif untuk menemui kebenaran yang terbenam dalam perumpamaan.
Saya berdoa agar Roh Kudus akan menerangi setiap kita semasa kita mempertimbangkan kepentingan perumpamaan jamuan perkahwinan diraja.
Jamuan Perkahwinan Diraja
“Yesus berkata-kata lagi kepada orang ramai dengan menggunakan perumpamaan.
“Apabila Tuhan memerintah, keadaannya seperti perumpamaan ini. Seorang raja mengadakan majlis perkahwinan untuk puteranya.
“Raja menyuruh hamba-hambanya memberitahu para jemputan supaya datang ke majlis jamuan itu. Tetapi mereka tidak mahu datang.
“Kemudian raja itu menyuruh hamba-hambanya yang lain. Raja bertitah, ‘Beritahu para jemputan itu bahawa jamuan sudah disiapkan; lembu jantan dan anak-anak lembu yang terbaik sudah disembelih, dan semuanya sudah tersedia. Datanglah ke majlis perkahwinan!’
“Tetapi para jemputan itu tidak peduli. Mereka pergi melakukan pekerjaan masing-masing: Yang seorang pergi ke ladang, yang seorang lagi pergi ke kedai,”7
Pada zaman dulu, salah satu peristiwa yang paling menggembirakan dalam kehidupan Yahudi adalah acara perkahwinan—ia akan berlangsung selama seminggu atau dua. Acara sedemikian memerlukan perancangan yang ekstensif, dan jemputan tetamu dimaklumkan awal, dengan peringatan yang dihantar pada hari pembukaan acara tersebut. Seorang raja yang menjemput rakyatnya ke suatu perkahwinan seperti ini pada dasarnya dianggap sebagai satu titah. Namun, ramai tetamu yang dijemput dalam perumpamaan ini tidak datang.8
“Keengganan untuk menghadiri jamuan raja adalah satu [tindakan] pemberontakan yang sengaja terhadap … wewenang diraja dan kemurkaan peribadi terhadap raja dan puteranya. … Dengan seorang lelaki perhatiannya ke ladang dan seorang lagi ke [perniagaannya]”9 mencerminkan keutamaan mereka dan tidak mempedulikan kehendak raja.10
Perumpamaan ini berterusan:
“Lalu raja memanggil hamba-hambanya dan bertitah, ‘Majlis perkahwinan sudah siap, tetapi semua orang yang dijemput itu tidak layak menerima jemputan itu.
“Sekarang pergilah ke jalan raya dan jemputlah seberapa banyak mungkin orang yang kamu temui, ke majlis perkahwinan ini.’
“Demikianlah hamba-hamba raja itu pergi ke jalan raya dan mengumpulkan semua orang yang dijumpai mereka, orang yang baik mahupun yang jahat. Lalu penuhilah balai majlis jamuan itu dengan tetamu.”11
Adat pada zaman itu untuk tuan rumah perkahwinan—dalam perumpamaan ini, raja—adalah untuk menyediakan pakaian bagi tetamu perkahwinan. Pakaian pesta perkahwinan adalah sederhana, jubah yang tidak menonjol yang dipakai oleh semua hadirin. Pangkat dan status masyarakat setara, dan semua orang di acara itu boleh bergaul secara setaraf.12
Orang yang dijemput dari jalan raya untuk menghadiri perkahwinan tidak mempunyai masa atau cara untuk memperoleh pakaian yang sesuai untuk acara itu. Akibatnya, raja itu mungkin memberi para tetamu pakaiannya sendiri. Semua orang diberi peluang untuk mengenakan pakaian kerabat diraja.13
Semasa raja memasuki balai perkahwinan, dia melihat para tetamunya dan segera menyedari bahawa seorang tetamu terserlahnya tidak memakai pakaian pesta. Lelaki itu dibawa ke hadapan, dan raja bertanya, “‘Kawan, engkau tidak memakai pakaian pesta. Engkau tidak patut berada di sini. Orang itu tidak berkata sepatah pun.”14 Asasnya, raja bertanya, “Mengapa engkau tidak memakai pakaian pesta, walaupun ia telah disediakan?”15
Lelaki itu jelas tidak berpakaian dengan betul untuk acara istimewa ini, dan ungkapan itu, “Orang itu tidak berkata sepatah pun,” menunjukkan bahawa lelaki itu tanpa alasan.16
Elder Talmage memberi ulasan mengenai tindakan orang tersebut: “Tetamu itu bersalah kerana mengabaikan, dengan sengaja tidak menghormati, atau beberapa kesalahan yang lebih menyedihkan, adalah jelas dari konteks itu. Pada mulanya raja bertimbang rasa, hanya bertanya bagaimana lelaki itu masuk tanpa pakaian pesta. Jika tetamu itu dapat menjelaskan sebabnya, atau ada alasan yang munasabah, dia pasti akan bercakap; tetapi kita diberitahu bahawa dia berdiam. Jemputan raja diberikan kepada semua yang hamba-hambanya temui, tetapi setiap mereka mesti memasuki istana diraja melalui pintu; dan sebelum sampai ke bilik jamuan, di mana raja akan bersemuka, setiap orang akan mengenakan pakaian yang sesuai; tetapi yang tidak berpengetahuan, telah masuk melalui jalan yang lain; dan tidak melepasi pengawal di portal, maka dia seorang penceroboh.”17
Seorang pengarang Kristian, John O. Reid, menyatakan keengganan lelaki itu untuk memakai pakaian pesta menunjuk dengan jelasnya tidak menghormati raja dan puteranya. Dia bukanlah tiada pakaian pesta; sebaliknya, dia pilih untuk tidak memakainya. Dia memberontak dan menolak untuk berpakaian sesuai bagi acara itu. Lalu raja itu bertitah kepada hamba-hambanya, “Ikat kaki dan tangan orang ini, dan buang dia ke luar ke tempat yang gelap. Di sana orang akan menangis dan menderita.”18
Penghakiman raja terhadap lelaki itu bukan berdasarkan tiadanya pakaian pesta—tetapi kerana keengganan untuk memakai pakaian pesta. Lelaki itu … berhasrat untuk menghadiri jamuan perkahwinan tetapi … tidak mahu mengikut adat raja. Dia ingin bertindak mengikut caranya sendiri. Tiadanya baju yang sesuai mengungkapkan pemberontakan dalamannya terhadap raja dan arahannya.19
Banyak yang dipanggil, tetapi sedikit yang dipilih.
Kemudian perumpamaan itu berakhir dengan ayat suci ini, “Banyak yang dipanggil, tetapi sedikit yang terpilih.”20
Menariknya, Joseph Smith membuat penyesuaian berikut kepada ayat ini dari Matius dalam terjemahan Alkitab yang diilhamkan: “Banyak yang dijemput, tetapi sedikit yang dipilih; kerana semua tidak memiliki pakaian pesta.”21
Jemputan untuk jamuan perkahwinan dan pilihan untuk terlibat dalam perayaan adalah berkaitan namun berbeza. Jemputan itu adalah untuk semua lelaki dan wanita. Seorang individu boleh menerima jemputan dan duduk di jamuan itu—namun tidak dipilih untuk terlibat kerana dia tidak ada pakaian pesta yang sesuai untuk berpaling kepada Tuhan Yesus dan rahmat ilahi-Nya. Oleh itu, kita ada panggilan Tuhan dan sambutan individu kita terhadap panggilan itu, dan banyak yang dipanggil tetapi sedikit yang dipilih.22
Untuk menjadi atau untuk dipilih bukanlah status eksklusif yang dianugerahkan kepada kita. Sebaliknya, anda dan saya boleh pilih untuk dipilih melalui penggunaan hak pilihan moral kita yang soleh.
Sila perhatikan penggunaan perkataan yang dipilih dalam ayat-ayat berikut dari Ajaran dan Perjanjian:
Lihatlah, ada banyak yang dipanggil, tetapi sedikit yang dipilih. Dan mengapa mereka tidak dipilih?
Kerana hati mereka diletakkan begitu banyak pada hal-hal dari dunia ini, dan menginginkan kehormatan manusia.”23
Saya percaya implikasi ayat-ayat ini agak terus terang. Tuhan tidak mempunyai senarai orang kegemaran yang kita harapkan nama kita akan ditambah suatu hari nanti. Dia tidak menghadkan jumlah “orang terpilih”. Sebaliknya, hati kita, hasrat kita, penghormatan kita terhadap perjanjian dan tatacara injil kudus, kepatuhan kita kepada perintah-perintah, dan, yang paling penting, rahmat dan belas kasihan penebusan Juruselamat menentukan sama ada kita dikira sebagai salah satu daripada pilihan Tuhan.24
“Kerana kita bekerja tekun untuk menulis; untuk memujuk anak-anak kami, dan juga saudara-saudara kami, untuk percaya kepada Kristus, dan untuk diperdamaikan dengan Tuhan; kerana kita tahu bahawa melalui rahmat kita diselamatkan, setelah kita melaksanakan sebaik yang mampu.”25
Dalam kesibukan harian kita dan kekecohan dunia kontemporari, kita mungkin terganggu dari hal-hal abadi yang paling penting dengan menjadikan kesenangan, kemakmuran, populariti dan kemasyhuran sebagai keutamaan kita. Keasyikan jangka pendek kita dengan “hal-hal duniawi” dan “kehormatan manusia” boleh membuat kita lupa hak anak sulung rohani kita untuk hal yang jauh lebih rendah daripada semangkuk bubur kacang merah.26
Janjian dan Kesaksian
Saya ulangi peringatan Tuhan kepada umat-Nya yang disampaikan melalui nabi Perjanjian Lama Hagai: “Lihatlah apa yang sudah berlaku kepada kamu!”27
Kita harus menilai keutamaan duniawi dan rohani kita dengan ikhlas dan penuh doa untuk mengenal pasti hal-hal dalam kehidupan kita yang boleh menghapuskan berkat-berkat yang Bapa Syurgawi dan Juruselamat bersedia untuk berikan kepada kita. Roh Kudus akan membantu kita melihat diri sebagaimana kita benar-benar ada.28
Apabila kita mencari kurnia mata rohani untuk melihat dan telinga untuk mendengar,29 saya berjanji kita akan diberkati dengan kemampuan dan pertimbangan untuk memperkuatkan hubungan perjanjian kita dengan Tuhan yang hidup. Kita juga akan menerima kuasa ketuhanan dalam kehidupan kita26—dan akhirnya dipanggil dan dipilih untuk ke jamuan Tuhan.
“Bangunlah, hai [Sion], bangunlah! Kuatkanlah hatimu!”31
Kerana Sion mesti meningkat dalam keindahan, dan dalam kekudusan; sempadan-sempadannya mesti diperluaskan; pancang-pancangnya mesti diperkuatkan; ya, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Sion mesti bangkit dan mengenakan pakaiannya yang indah.”32
Dengan sukacita, saya bersaksi tentang keilahian dan realiti Tuhan, Bapa kita yang Abadi, dan Putera Terkasih-Nya, Yesus Kristus. Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus ialah Juruselamat dan Penebus kita, Dia hidup. Saya juga bersaksi bahawa Bapa dan Putera muncul kepada Joseph Smith, dengan itu memulakan Pemulihan injil Juruselamat di zaman akhir. Semoga kita mencari dan diberkati dengan mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar, saya berdoa dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.