Dekatlah Diri Kepada Juruselamat
Mencari dengan sepenuh hati untuk ketahui dan kasihi Juruselamat, kita pisahkan diri dari dunia melalui perjanjian dengan Tuhan, dengan menjadi tersendiri, tidak biasa, dan istimewa apabila kita hormati Dia dan ajaran-ajaran-Nya, tanpa mengasingkan diri kita daripada orang lain percaya secara berbeza.
Saudara dan saudari yang dikasihi, petang ini saya berucap kepada para pengikut Yesus Kristus yang rendah hati dan setia. Apabila saya lihat kebaikan hidup dan iman anda kepada Juruselamat kita di negara ini dan di bangsa-bangsa di seluruh dunia, saya lebih mengasihi anda.
Menjelang akhir pelayanan-Nya, para pengikut Yesus meminta-Nya untuk beritahu mereka tentang “tanda-tanda yang akan menunjukkan masa kedatangan Guru dan akhir zaman.”1
Yesus beritahu mereka tentang syarat-syarat yang akan mendahului kepulangan-Nya dan mengakhiri dengan memaklumkan “Apabila kamu melihat semua perkara ini, [kamu akan] tahu bahawa waktunya sudah dekat.”2
Dalam persidangan umum lepas, saya dengar dengan teliti kata-kata Presiden Henry B. Eyring: “Kita masing-masing,” dia berkata, “di mana pun kita berada, tahu bahawa kita hidup dalam masa yang semakin berbahaya. … Sesiapa yang mempunyai mata untuk melihat tanda-tanda zaman dan telinga untuk mendengar kata-kata para nabi tahu itu adalah benar.”3
Juruselamat berkata kepada para pengikut-Nya yang berani: “Tetapi kamu sangat bertuah! Mata kamu melihat dan telinga kamu mendengar.”4 Semoga berkat ini dicurahkan kepada kita ketika mendengar dengan teliti firman Tuhan melalui para nabi-Nya dan pemimpin lain dalam persidangan ini.
Gandum dan Lalang
Tuhan jelaskan bahawa pada masa terakhir ini sebelum kepulangan-Nya, “gandum,” yang Dia huraikan sebagai “orang yang menjadi umat Tuhan,”5 akan bertumbuh bersama “lalang,” atau mereka yang tidak mengasihi Tuhan dan tidak mentaati perintah-perintah-Nya. Mereka akan “bertumbuh bersama-sama”6 bersebelahan.
Inilah dunia kita sehingga Juruselamat kembali, dengan banyak yang baik dan banyak yang jahat di setiap sisi.7
Adakala anda tidak rasa sekuat seperti pokok gandum yang matang. Bersabar dengan diri anda! Tuhan firmankan gandum akan ada daunnya dan masih lembut.8 Kitalah Orang Suci Zaman Akhir-Nya, dan walaupun belum menjadi orang yang kita mahu jadi, kita serius dalam keinginan untuk menjadi pengikut sejati-Nya.
Kekuatan Iman Dalam Yesus Kristus.
Kita sedar apabila kejahatan meningkat di dunia, kelangsungan rohani kita dan mereka yang kita kasihi, akan memerlukan kita lebih memelihara, mengukuhkan, dan menguatkan akar iman kita kepada Yesus Kristus. Rasul Paulus menasihati kita untuk berakar,9 berdiri teguh10 dalam kasih kita kepada Juruselamat dan ketekadan kita untuk mengikuti-Nya. Hari ini dan hari-hari yang akan datang memerlukan lebih fokus dan usaha tertumpu, menjaga terhadap penyimpangan dan kelalaian.11
Meskipun pengaruh duniawi yang semakin bertambah di sekeliling kita, kita tidak perlu takut. Tuhan tidak akan meninggalkan umat perjanjian-Nya. Terdapat kuasa pampasan kurnia rohani dan arahan ilahi bagi yang soleh.12 Namun, berkat tambahan kuasa rohani ini tidak diberikan kepada kita hanya kerana kita sebahagian daripada generasi ini. Ia datang apabila kita kuatkan iman kepada Tuhan Yesus Kristus dan mematuhi perintah-perintah-Nya, apabila kita kenali dan kasihi Dia. “Jika orang mengenal Engkau,: Yesus berdoa, “satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal.”13
Kita sudah tahu, beriman kepada Yesus Kristus dan menjadi pengikut benar adalah keputusan lebih daripada satu kali—lebih daripada satu peristiwa. Ia suatu proses kudus berterusan yang bertumbuh dan berkembang melalui musim kehidupan kita, berterusan sehingga kita berlutut di kaki-Nya.
Dengan gandum bertumbuh di tengah-tengah lalang di dunia, bagaimanakah kita dapat memperdalamkan dan memperkuatkan komitmen kita kepada Juruselamat pada hari-hari yang akan datang?
Berikut adalah tiga pemikiran:
Libatkan Diri Ke Dalam Kehidupan Yesus
Pertama, kita boleh libatkan diri dengan lebih sepenuhnya ke dalam kehidupan Yesus, ajaran-ajaran-Nya, keagungan-Nya, kuasa-Nya dan korban tebusan-Nya. Juruselamat berkata, “Lihatlah kepada-Ku dalam setiap pemikiran.”14 Rasul Yohanes mengingatkan kita, “Kita mengasihi orang lain, kerana Tuhan mengasihi kita terlebih dahulu.”15 Dengan mengalami kasih-Nya, kita lebih mengasihi Dia dan lebih mengikut teladan-Nya untuk mengasih dan menjaga mereka di sekitar kita. Dengan setiap pergerakan yang soleh terhadap-Nya, kita melihat-Nya dengan jelas.16 Kita memuja-Nya dan cuba dalam cara kecil untuk mencontohi-Nya.17
Membuat Perjanjian dengan Tuhan
Seterusnya, apabila kita lebih mengenali dan mengasihi Juruselamat, kita lebih berhasrat untuk menjanjikan kepada-Nya kesetiaan dan kepercayaan kita. Kita membuat perjanjian dengan-Nya. Kita bermula dengan janji-janji di pembaptisan, dan mengesahkan janji-janji ini dan yang lain semasa kita bertaubat setiap hari, meminta keampunan dan dengan bersemangat menerima sakramen setiap minggu. Kita berjanji untuk “selalu mengingati-Nya dan taat kepada perintah-perintah-Nya.”18
Apabila kita bersedia, kita memeluk tatacara dan perjanjian bait suci. Merasai pengaruh keabadian dalam saat-saat kudus dan senyap di rumah Tuhan, kita membuat perjanjian dengan Tuhan dan menguatkan keazaman kita untuk mentaatinya.
Membuat dan mentaati perjanjian membenarkan kasih Juruselamat untuk meresap lebih dalam ke dalam hati kita. Dalam Liahona bulan ini, Presiden Russel M. Nelson berkata: “Perjanjian [kita] akan membawa kita lebih dekat kepada-Nya. … Tuhan tidak akan tinggalkan hubungan-Nya dengan mereka yang menjalin ikatan itu dengan-Nya.”19 Seperti yang dikatakan oleh Presiden Nelson pada pagi ini, “Dengan pembaktian setiap bait suci baru, kuasa ketuhanan tambahan datang ke dunia untuk memperkuatkan kita dan mengatasi usaha-usaha musuh yang meningkat.”20
Bolehkah kita lihat mengapa Tuhan akan mengarahkan nabi-Nya untuk membawa bait suci kudus lebih dekat kepada kita dan membenarkan kita untuk berada dalam rumah-Nya dengan lebih kerap?
Apabila memasuki bait suci, kita dibebaskan buat seketika daripada pengaruh duniawi yang menentang kita. Kita belajar tentang tujuan hidup dan kurnia abadi yang diberikan kepada kita melalui Juruselamat, Yesus Kristus.
Membela Kurnia Roh Kudus
Akhirnya, pemikiran ketiga saya: dalam usaha kudus ini, kita menghargai, melindung dan membela kurnia Roh Kudus. Kedua-dua Presiden Russell M. Nelson dan Elder Kevin W. Pearson pada pagi ini bercakap tentang amaran Presiden Nelson yang saya mahu ulangi sekali lagi: “Ia akan menjadi mustahil untuk bertahan secara rohani tanpa bimbingan, arahan, galakan dan pengaruh yang tetap daripada Roh Kudus.”21 Ia sebuah kurnia yang amat bernilai. Kita lakukan yang terbaik untuk lindungi pengalaman harian supaya pengaruh Roh Kudus tetap bersama kita. Kita adalah cahaya kepada dunia, dan apabila perlu, kita rela pilih untuk jadi berbeza daripada orang lain. Presiden Dallin H. Oaks baru-baru ini menanya pemuda dan pemudi: “Beranikah [anda] menjadi berbeza? … [Terutamanya] … pilihan yang anda buat dalam kehidupan peribadi anda. … Adakah anda akan maju menentang pertentangan dunia?”22
Pilihan Untuk Menjadi Berbeza Dari Dunia
Dalam pos media sosial baru-baru ini, saya meminta para pengikut untuk berkongsi pilihan yang mereka telah buat yang memerlukan mereka untuk menjadi berbeza dari dunia. Saya menerima ratusan respon.23 Berikut ialah beberapa contoh:
Amanda: Saya seorang jururawat yang bekerja di penjara tempatan. Saya cuba menjaga banduan seperti Kristus.
Rachel: Saya seorang penyanyi opera, dan sering dianggap bahawa saya akan memakai pakaian apa pun yang diberikan, tanpa mengira kesopanan. [Kerana saya telah dianugerahi di bait suci,] Saya memberitahu [para penerbit] bahawa pakaian kostum perlu kelihatan [sopan]. Mereka tidak gembira … tetapi dengan keberatan membuat penyesuaian itu. Saya tidak akan menggantikan kedamaian ketika saya berdiri sebagai saksi Kristus pada setiap masa.
Chriss: Saya ketagih alkohol (masih dalam pemulihan), layak bait suci, dan seorang ahli Gereja. Saya tidak berdiam tentang pengalaman saya dengan ketagihan dan memperoleh kesaksian tentang Korban Tebusan [tentang Yesus Kristus].
Lauren: Saya sedang menulis skit dengan rakan-rakan sekelas saya di sekolah menengah. Mereka inginkan watak saya yang pendiam untuk mengguna kata-kata kesat. Mereka selalu memaksa saya, tetapi saya menolak dan tidak bersetuju.
Adam: Banyak orang tidak mempercayai saya apabila saya berkata saya mentaati hukum kemurnian akhlak dan memilih untuk menjauhkan diri daripada pornografi. Mereka tidak memahami kelebihan kegembiraan dan kedamaian minda yang ia berikan kepada saya.
Ella: Bapa saya seorang ahli komuniti LGBTQ. Saya sentiasa cuba menjaga perasaan orang lain sambil berdiri sebagai seorang saksi Kristus dan membela kepercayaan saya.
Andrade: Saya memutuskan untuk terus pergi ke gereja walaupun keluarga saya memutuskan untuk tidak pergi lagi.
Dan akhirnya, daripada Sherry: Kami menghadiri satu acara di rumah agam gabenor. Mereka mula menghulurkan champagne untuk buat “minum ucap selamat.” Saya meminta air, walaupun kakitangan itu berkata ia akan menyinggung perasaan. Kami memberi minum ucap selamat kepada gabenor, dan saya memegang gelas air saya dengan tinggi! Gabenor tidak tersinggung.
Presiden Nelson berkata, “Ya, anda hidup di dunia, tetapi anda mempunyai standard yang sangat berbeza dari dunia untuk membantu anda mengelakkan noda dunia.”24
Anastasia, seorang ibu muda di Ukraine yang baru sahaja melahirkan seorang bayi lelaki semasa pengeboman bermula di Kyiv pada Februari lalu. Seorang jururawat membuka pintu bilik hospital dan berkata dengan suara yang mendesak, “Bawa bayi kamu, balut dia dalam selimut, dan masuk ke dalam dewan—sekarang!”
Kemudian, Anastasia memberi komen:
“Saya tidak pernah bayangkan hari-hari pertama menjadi ibu akan menjadi begitu susah, … tetapi … saya berfokus pada … berkat-berkat dan mukjizat yang saya telah lihat. …
“Sekarang, … nampaknya mustahil untuk sentiasa mengampuni mereka yang telah menyebabkan begitu banyak kehancuran dan kecederaan … , namun sebagai pengikut Kristus, saya beriman bahawa saya akan dapat [mengampuni]. …
“Saya tidak tahu semua yang akan berlaku di masa depan … tetapi saya tahu mentaati perjanjian kita akan membenarkan Roh bersama kita secara berterusan, … membenarkan kita merasakan kebahagiaan dan harapan, … walaupun pada masa yang sukar.”25
Janji Kehidupan Abadi Dan Kemuliaan Selestial
Saudara dan saudari, saya telah diberkati banyak dengan kasih Juruselamat kita, Yesus Kristus. Saya tahu Dia hidup dan membimbing pekerjaan kudus-Nya. Saya tidak mempunyai kata-kata penuh untuk mengungkap kasih saya kepada Dia.
Kitalah “anak-anak perjanjian” di seluruh negara dan pelbagai budaya, berhitung jutaan orang di bumi, menunggu kedatangan mulia Tuhan Yesus Kristus. Bersinar sebagai cahaya kepada orang di sekeliling kita, kita dengan sedar membentuk keinginan, fikiran, pilihan dan tindakan kita. Mencari dengan sepenuh hati untuk ketahui dan kasihi Juruselamat, kita pisahkan diri kita dari dunia melalui perjanjian dengan Tuhan, dengan menjadi tersendiri, tidak biasa, dan istimewa apabila kita hormati Dia dan ajaran-ajaran-Nya, tanpa mengasingkan diri kita daripada orang lain percaya secara berbeza.
Ianya perjalanan indah menjadi gandum di kalangan lalang, kadangkala sakit hati, namun tenang kerana kematangan dan ketabahan iman kita. Apabila anda membenarkan kasih anda terhadap Juruselamat dan kasih-Nya untuk anda masuk jauh ke dalam hati anda, saya berjanji anda keyakinan, kedamaian dan kebahagian tambahan dalam menghadapi cabaran hidup anda. Dan Juruselamat berjanji kepada kita: “Aku [akan] mengumpulkan bersama umat-Ku, menurut perumpamaan gandum dan lalang, agar gandum boleh dikumpulkan di dalam gudang-gudang untuk memiliki kehidupan kekal, dan dimahkotai dengan kemuliaan selestial.”26 Dalam nama Yesus Kristus, amin.