Rangka Wahyu Peribadi
Kita perlu fahami rangka kerja di mana Roh Kudus berfungsi. Apabila kita beroperasi dalam rangka itu, Roh Kudus boleh memberi tanggapan yang menakjubkan.
Seperti ramai anda, saya telah dipengaruhi oleh Elder Dieter F. Uchtdorf selama bertahun. Itu serba sedikit menjelaskan apa yang saya akan katakan.1 Jadi, maaf kepadanya …
Juruterbang yang mahir mengikut kemampuan kapal terbang dan mengikut arahan pengawal trafik udara tentang penggunaan landasan dan laluan pesawat. Secara ringkasnya, juruterbang beroperasi dalam suatu rangka. Tidak kira betapa cemerlang atau mahir seorang juruterbang, hanya menerbang dalam rangka ini juruterbang boleh memenuhi potensi kapal terbang untuk mencapai objektifnya dengan selamat.
Dalam cara yang sama, kita menerima wahyu peribadi dalam suatu rangka. Selepas pembaptisan, kita diberi kurnia agung namun praktikal iaitu kurnia Roh Kudus.2 Apabila kita berusaha untuk kekal pada jalan perjanjian,3 ia adalah “Roh Kudus … [yang] akan memperlihatkan kepada [kita] segala hal [yang kita] harus lakukan.”4 Apabila kita tidak pasti atau resah, kita boleh meminta bantuan Tuhan.5 Janji Juruselamat menjadi lebih jelas: “Mintalah … , maka kamu akan menerimanya; … kerana setiap orang yang meminta … akan menerimanya.”6 Dengan bantuan Roh Kudus, kita boleh mengubah sifat ilahi kita menjadi takdir abadi kita.7
Janji wahyu peribadi melalui Roh Kudus adalah mengagumkan, sama seperti kapal terbang ketika penerbangan. Dan seperti juruterbang, kita perlu fahami rangka kerja di mana Roh Kudus berfungsi untuk memberikan wahyu peribadi. Apabila kita beroperasi dalam rangka itu, Roh Kudus boleh memberi tanggapan, arahan dan penghiburan yang menakjubkan. Di luar rangka ini, tidak kira betapa cemerlang atau bakat kita, kita boleh diperdaya dan terhempas serta menimpa kemalangan.
Tulisan suci adalah elemen pertama dalam rangka wahyu peribadi.8 Berjamu dengan firman Kristus, seperti dalam tulisan suci, merangsang wahyu peribadi. Elder Robert D. Hales berkata: “Apabila kita ingin berbicara kepada Tuhan, kita berdoa. Dan apabila kita mahu Dia berbicara kepada kita, kita mengkaji tulisan suci.”9
Tulisan suci juga mengajar kita cara untuk menerima wahyu peribadi.10 Dan kita minta apa yang benar dan baik11 dan tidak bertentangan dengan kehendak Tuhan.12 Kita tidak “minta dengan tujuan jahat” untuk mempromosikan agenda sendiri atau untuk memenuhi keseronokan sendiri.13 Di atas semuanya, kita harus bertanya kepada Bapa Syurgawi dalam nama Yesus Kristus,14 mempercayai bahawa kita akan menerima.15
Elemen kedua rangka itu adalah kita menerima wahyu peribadi hanya dalam pandangan kita dan bukan dalam prerogatif orang lain. Dalam kata lain, kita terbang dan mendarat dalam landasan yang ditetapkan. Kepentingan landasan yang baik dipelajari awal dalam sejarah Pemulihan. Hiram Page, salah seorang daripada Lapan Saksi Kitab Mormon, mendakwa menerima wahyu untuk seluruh Gereja. Sesetengah ahli terpedaya dan dipengaruhi dengan salah.
Sebagai jawapan, Tuhan mengungkapkan bahawa “tidak seorang pun akan ditetapkan untuk menerima perintah dan wahyu di dalam gereja ini kecuali hamba-Ku Joseph Smith … sehingga Aku memilih … seorang yang lain sebagai penggantinya.”16 Ajaran, perintah, dan wahyu bagi Gereja adalah prerogatif nabi hidup, yang menerimanya dari Tuhan Yesus Kristus.17 Itulah landasan nabi.
Bertahun yang lalu, saya menerima satu panggilan telefon dari seorang individu yang telah ditahan kerana pelanggaran. Dia memberitahu saya bahawa tulisan suci tambahan telah dikubur di bawah tingkat bawah sebuah bangunan yang dia cuba masuk. Dia menuntut apabila dia dapat tulisan suci tambahan itu, dia tahu dia akan menerima kurnia penterjemahan, memperkenalkan tulisan suci baru, dan membentuk ajaran dan arahan Gereja. Saya beritahu dia bahawa dia telah silap, dan dia minta saya untuk berdoa tentang itu. Saya beritahu saya tidak akan. Perkataannya menjadi kasar dan mengakhiri panggilan telefon itu.18
Saya tidak perlu berdoa tentang permintaan ini atas satu sebab mudah tetapi mendalam: hanya nabi menerima wahyu untuk Gereja. Ia “bertentangan dengan ekonomi Tuhan”19 untuk orang lain menerima wahyu seperti itu, yang termasuk dalam landasan nabi.
Wahyu peribadi adalah kepunyaan individu. Anda boleh menerima wahyu, contohnya, untuk tahu ke mana anda mahu tinggal, kerjaya yang harus ikuti atau kepada siapa yang anda mahu kahwini.20 Para pemimpin Gereja boleh mengajar ajaran dan berkongsi nasihat yang diilhamkan, tetapi tanggungjawab bagi keputusan seperti ini adalah milik anda. Itulah wahyu untuk anda terima; itulah landasan anda.
Elemen ketiga rangka itu adalah wahyu peribadi akan selaras dengan perintah Tuhan dan perjanjian yang kita telah buat dengan Dia. Pertimbangkan doa seperti ini: “Bapa di Syurga, pertemuan Gereja membosankan. Bolehkah saya menyembah-Mu pada hari Sabat di atas gunung atau di pantai? Bolehkah saya dikecualikan daripada menghadiri gereja dan mengambil sakramen tetapi masih miliki berkat yang dijanjikan untuk menguduskan hari Sabat?”21 Sebagai jawapan untuk doa itu, kita boleh menjangka jawapan Tuhan: “Anak-Ku, Aku sudah mengungkapkan kehendak-Ku mengenai hari Sabat.”
Apabila kita minta wahyu tentang arahan jelas yang Tuhan telah berikan, kita membuka diri untuk menyalahtafsirkan perasaan kita dan mendengar apa yang kita mahu dengar. Seorang lelaki memberitahu saya tentang kesusahan menstabilkan kewangan keluarganya. Dia mempunyai idea untuk menyalahgunakan dana gereja sebagai penyelesaian, berdoa tentangnya, dan merasakan dia telah menerima wahyu tegas untuk berbuat demikian. Saya tahu dia telah diperdaya kerana dia mencari wahyu yang bertentangan dengan perintah Tuhan. Nabi Joseph Smith memberi amaran, “Tidak ada kelukaan yang lebih besar kepada anak-anak manusia daripada berada di bawah pengaruh roh palsu, apabila mereka fikir mereka mempunyai Roh Tuhan.”22
Ada yang mungkin menyatakan bahawa Nefi telah melanggar sebuah perintah ketika dia membunuh Laban. Walau bagaimanapun, pengecualian ini tidak mengabaikan peraturan—peraturan bahawa wahyu peribadi akan selaras dengan perintah-perintah Tuhan. Tiada penjelasan mudah atau memuaskan bagi episod itu, tetapi saya mahu menekankan beberapa aspeknya. Episod itu tidak bermula dengan Nefi bertanya jika dia boleh membunuh Laban. Itu bukan sesuatu yang dia ingin lakukan. Membunuh Laban bukanlah untuk manfaat peribadi Nefi tetapi untuk menyediakan tulisan suci kepada bangsa yang akan datang dan umat perjanjian. Nefi yakin bahawa ia adalah wahyu—dalam kes ini, ia sebuah perintah Tuhan.23
Elemen keempat rangka itu adalah untuk mengenali apa yang Tuhan telah ungkapkan kepada anda secara peribadi, sementara kekal terbuka kepada wahyu lanjut dari-Nya. Jika Tuhan telah menjawab soalan dan keadaan tidak berubah, mengapakah kita harapkan jawapan yang berbeza? Joseph Smith tersandung dalam senario ini pada tahun 1828. Bahagian pertama Kitab Mormon telah diterjemahkan ketika Martin Harris, seorang penjaga dan jurutulis awal, meminta kebenaran Joseph untuk membawa dan menunjuk halaman terjemahan itu kepada isterinya. Tidak pasti apa yang perlu dilakukan, Joseph berdoa untuk bimbingan. Tuhan berfirman untuk tidak membiarkan Martin membawa halaman itu.
Martin meminta agar Joseph bertanya Tuhan lagi. Joseph berbuat demikian, dan jawapannya, tetap sama. Tetapi Martin merayu Joseph untuk meminta untuk kali ketiga dan Joseph berbuat demikian. Kali ini Tuhan tidak berkata tidak. Sebaliknya, ia seolah-olah Tuhan berfirman, “Joseph, kamu tahu bagaimana perasaan Aku tentang ini, tetapi kamu ada hak pilihan kamu.” Bebas dari sebarang syarat, Joseph putuskan untuk membenarkan Martin membawa 116 halaman manuskrip dan tunjukkan kepada beberapa ahli keluarga. Halaman terjemahan itu hilang dan tidak pernah pulih. Tuhan memarahi Joseph.24
Joseph belajar, seperti Nabi Yakub ajarkan dalam Kitab Mormon: “Janganlah berupaya untuk menasihati Tuhan, tetapi untuk menerima nasihat dari tangan-Nya. Kerana … Dia menasihati dalam kebijaksanaan.”25 Yakub memberi amaran bahawa hal malang berlaku apabila kita meminta apa yang tidak patut kita lakukan. Dia meramalkan bahawa orang di Yerusalem akan mencari “apa yang tidak dapat mereka faham,” memandang “melampaui sasaran,” dan mengabaikan Juruselamat dunia.26 Mereka tersandung kerana mereka meminta hal-hal yang mereka tidak mahu dan tidak dapat fahami.
Jika kita telah menerima wahyu peribadi untuk diri kita dan keadaan tidak berubah, Tuhan telah menjawab soalan anda.27 Contohnya, kadangkala kita minta berulang kali untuk jaminan bahawa kita telah diampuni. Jika kita telah bertaubat, dipenuhi kebahagiaan dan kedamaian, dan menerima pengampunan dosa, kita tidak perlu minta lagi tetapi percaya jawapan yang diberikan oleh Tuhan.28
Walaupun kita percaya jawapan Tuhan sebelumnya, kita perlu terbuka untuk wahyu peribadi lanjut. Akhirnya, hanya beberapa destinasi kehidupan boleh dicapai dengan perjalanan tanpa henti. Kita harus sedar bahawa wahyu peribadi boleh diterima “baris demi baris, ajaran demi ajaran,”29 bahawa arahan yang diungkapkan boleh dan kerap kali adalah semakin bertambah.30
Elemen rangka untuk wahyu peribadi adalah bertindih dan saling memperkukuhkan. Tetapi dalam rangka itu, Roh Kudus boleh dan akan mengungkapkan segala yang kita perlukan untuk melonjak dan mengekalkan momentum di jalan perjanjian. Maka kita boleh diberkati oleh kuasa Yesus Kristus untuk menjadi apa yang diingini oleh Bapa Syurgawi. Saya menjemput anda untuk menuntut wahyu peribadi bagi diri sendiri, fahami ungkapan Tuhan, selaras diri dengan tulisan suci dan perintah-Nya yang diberi melalui para nabi yang ditetapkan menurut pandangan dan hak pilihan anda. Saya tahu Roh Kudus boleh dan akan menunjukkan kepada anda segala hal yang harus anda lakukan,31 Dalam nama Yesus Kristus, amin.