Ikutlah Aku 2024
15–21 Julai: “Kuasa Firman Tuhan.” Alma 30–31


“15–21 Julai: ‘Kuasa Firman Tuhan.’ Alma 30–31,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2023)

“15–21 Julai. Alma 30–31,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2023)

Alma mengajar Korihor

All Things Denote There Is a God (Alma and Korihor) [Segala Sesuatu Menunjukkan Adanya Seorang Tuhan (Alma dan Korihor)], oleh Walter Rane

15–21 Julai: “Kuasa Firman Tuhan”

Alma 30–31

Laporan dalam Alma 30–31 jelas menunjukkan kuasa firman—untuk kejahatan dan kebaikan. Kata-kata “menganjung-anjung” dan “berkobar-korbar” oleh seorang pengajar palsu bernama Korihor mengancam untuk membawa “jiwa kepada kehancuran” (Alma 30:31, 47). Begitu juga dengan ajaran seorang pembelot bangsa Nefi, bernama Zoram yang memimpin seluruh kumpulan orang jatuh “ke dalam kekhilafan besar” dan “menyimpangkan jalan Tuhan” (Alma 31:9, 11).

Sebaliknya, Alma beriman teguh bahawa firman Tuhan akan mempunyai “kesan yang lebih kuat pada fikiran orang daripada pedang, atau apa-apa pun yang lain” (Alma 31:5). Kata-kata Alma menyatakan kebenaran abadi dan menarik kuasa Yesus Kristus untuk mendiamkan Korihor (lihat Alma 30:39–50), dan ia menjemput berkat-Nya ke atas mereka yang mengikutinya untuk membawa kembali bangsa Zoram kepada kebenaran (lihat Alma 31:31–38). Ini adalah contoh yang berharga untuk para pengikut Kristus hari ini apabila pesanan palsu semakin meluas. Kita boleh menemui kebenaran dengan mempercayai, seperti Alma, “kuasa firman Tuhan” (Alma 31:5).

Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja

Alma 30:6–31

ikon seminari
Musuh cuba memperdaya saya dengan ajaran palsu.

Dalam Alma 30:6, Korihor dipanggil “Anti-Kristus” (ayat 6). Anti-Kristus adalah sesiapa atau apa-apa pun yang secara terbuka atau secara rahsia bertentangan dengan Yesus Kristus dan injil-Nya. Manakah ayat dalam Alma 30:6–31 yang menunjukkan Korihor padan dengan gambaran ini? Mengkaji ajaran palsu Korihor dapat membantu anda mengenali dan menolak ajaran-ajaran yang serupa. Aktiviti-aktiviti berikut boleh membantu dalam pembelajaran anda:

  • Apakah pelajaran berobjek yang anda boleh fikirkan untuk lebih memahami perbezaan di antara ajaran Juruselamat dan penipuan Setan? Beberapa contoh adalah umpan yang digunakan untuk memancing, duit palsu, dan pengiklanan palsu. Bagaimanakah anda boleh tahu jika sesuatu itu palsu? Bagaimanakah anda dapat mengenali kebenaran?

  • Pertimbangkan senaraikan ajaran palsu yang Korihor ajar dalam Alma 30:6–31. Ajaran dia yang manakah yang mungkin menarik hari ini? (lihat Alma 30:12–18, 23–28). Apakah bahaya yang datang kerana menerima idea-idea tersebut? Apakah pesanan palsu yang musuh gunakan untuk menipu anda hari ini?

  • Apakah yang Alma lakukan untuk menentang ajaran Korihor dengan kebenaran? (lihat Alma 30:31–54). Bagaimanakah anda boleh menggunakan asas-asas yang sama dalam hidup anda?

Seperti Alma, nabi dan rasul moden membantu kita membezakan kebenaran dan penipuan Setan. Apakah nasihat yang anda temui dalam pesanan ini: Gary E. Stevenson, “Janganlah Memperdayakan-Ku” (Liahona, Nov. 2019, 00–00).

Lihat juga “O, Apakah Kebenaran Itu?,” Nyanyian Rohani, no. 136.

Korihor bercakap dengan Alma

Korihor Confronts Alma [Korihor Mencabar Alma], oleh Robert T. Barrett

Alma 30:39–46

Segala sesuatu bersaksi tentang Tuhan.

Banyak orang hari ini percaya bahawa tidak ada Tuhan. Apakah yang anda temui dalam Alma 30:39–46 yang membantu anda tahu bahawa Tuhan adalah benar? Apakah yang menghalang kita dari mengenali Dia? Apakah kesaksian lain yang Tuhan telah berikan kepada anda bahawa Dia hidup?

Alma 30:56–60

Musuh tidak menyokong para pengikutnya.

Apakah yang anda pelajari dari Alma 30:56–60 tentang bagaimana iblis memperlakukan pengikutnya? Apakah yang anda boleh lakukan untuk melindungi rumah anda daripada pengaruhnya?

Lihat juga Alma 36:3.

Alma 31

Firman Tuhan berkuasa untuk memimpin manusia kepada kesolehan.

Masalah bangsa Zoram yang berpisah dari bangsa Nefi mungkin kelihatan seperti orang yang memerlukan penyelesaian politik atau ketenteraan (lihat Alma 31:1–4). Tetapi Alma telah belajar untuk mempercayai “kuasa firman Tuhan” (Alma 31:5). Apakah yang anda pelajari dari Alma 31:5 tentang kuasa firman Tuhan? (lihat juga Ibrani 4:12; 1 Nefi 15:23–24; 2 Nefi 31:20; Yakub 2:8; Helaman 3:29–30).

Semasa anda mengkaji Alma 31, apakah kebenaran injil lain yang anda temui yang berkaitan dengan pengalaman hidup anda? Contohnya:

  • Bagaimanakah anda telah lihat firman Tuhan menuntun orang untuk melakukan apa yang adil? (lihat ayat 5).

  • Bandingkan sikap, perasaan, dan tindakan Alma mengenai orang lain (lihat ayat 34–35) dengan orang Zoram (lihat ayat 17–28). Bagaimanakah anda boleh menjadi seperti Alma?

  • Apakah yang anda temui dalam Alma 31:30–38 yang boleh membantu mereka yang berdukacita kerana dosa-dosa orang lain?

Alma 31:5–6

Kerana Yesus Kristus, sesiapa pun boleh berubah.

Perhatikan kumpulan orang yang mengikuti Alma untuk mengajar injil kepada bangsa Zoram (lihat Alma 31:6). Apakah yang anda pelajari tentang kehidupan orang-orang ini dalam Mosia 27:8–37; 28:4; Alma 10:1–6; 11:21–25; 15:3–12. Apakah pesanan yang mungkin ada untuk anda tentang pengalaman mereka?

Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak

Alma 30

Kitab Mormon memberi amaran kepada saya tentang ajaran-ajaran palsu.

  • Paparkan beberapa benda (seperti wang atau makanan) dan mainan tiruan kepada benda-benda ini. Ini boleh membawa perbincangan tentang bagaimana untuk membezakan hal-hal yang benar dan hal-hal yang palsu. Kemudian anda boleh membantu anak-anak anda mengenal pasti dari Alma 30:12–18 tentang penipuan dan ajaran palsu yang Korihor ajarkan tentang Tuhan. Dalam Alma 30:32–35, bagaimana Alma bertindak terhadap penipuan itu? Apakah yang kita pelajari dari teladannya?

Alma 30:44

Segala sesuatu bersaksi tentang Tuhan.

  • Alma bercakap tentang bagaimana benda-benda di langit dan di bumi bersaksi bahawa Tuhan hidup. Jika boleh, bawa anak-anak ke luar atau minta mereka berdiri di tepi tingkap semasa anda membaca Alma 30:44. Minta mereka tunjukkan benda-benda yang mereka lihat yang membantu mereka tahu bahawa Tuhan itu benar dan Dia mengasihi mereka. Mereka juga boleh melukis benda yang mereka temui (lihat halaman aktiviti minggu ini).

  • Sementara anda dan anak-anak anda menyanyikan “Tuhan Kasih Padaku” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 16), edarkan bola atau objek lain. Sekali-sekala hentikan muzik dan minta anak yang pegang objek itu untuk berkongsi satu ciptaan Bapa Syurgawi yang dia syukuri.

Kanak-kanak belajar melalui visual. Visual akan membantu anak-anak anda lebih memahami dan mengingati apa yang telah diajar. Kebanyakan aktiviti untuk kanak-kanak dalam panduan ini mencadangkan penggunaan visual. Pertimbangkan untuk tunjukkan visual yang sama lagi di masa depan untuk membantu anak-anak anda mengingati apa yang mereka pelajari.

Alma 31:5

Firman Tuhan sungguh berkuasa.

  • Bagaimanakah anda dapat membantu anak-anak anda memahami bahawa firman Tuhan lebih berkuasa daripada “apa-apa pun yang lain”? (Alma 31:5). Pertimbangkan untuk minta mereka fikirkan sesuatu atau seseorang yang berkuasa, atau tunjukkan gambar beberapa benda yang berkuasa. Apakah yang menjadikan mereka berkuasa? Baca Alma 31:5 bersama, dan tanya anak-anak anda pendapat mereka tentang maksud ayat ini. Kongsi satu pengalaman semasa firman Tuhan mempunyai pengaruh kuat ke atas diri anda.

Alma 31:8–35

Bapa Syurgawi mendengar doa-doa saya.

  • Ringkaskan cerita Alma dan bangsa Zoram, gunakan ayat-ayat dari Alma 31:8–35 (lihat juga “Bab 28: Bangsa Zoram dan Rameumtom,” Cerita-cerita Kitab Mormon, 78–80). Bantu anak-anak anda mengenal pasti hal yang bangsa Zoram katakan dalam doa mereka (lihat Alma 31:15–18) semasa mereka membantu anda membina menara Rameumtom dengan blok atau batu. Jelaskan bahawa ini bukan cara kita berdoa. Semasa anda dan anak-anak anda bercakap tentang bagaimana kita harus berdoa, minta mereka keluarkan blok atau batu pada satu masa. Mungkin mereka boleh simpan satu batu itu di tepi katil mereka sebagai peringatan untuk berdoa setiap pagi dan malam. Mereka juga boleh menghiaskan batu mereka.

Bangsa Zoram berdoa di atas Rameumtom

Hati bangsa Zoram “terangkat-angkat sehingga bercakap besar, dalam keangkuhan mereka” (Alma 31:25).