Ikutlah Aku
Lampiran A: Bagaimanakah Roh Bersaksi kepada Saya Bahawa Kitab Mormon Adalah Benar?


“Lampiran A: Bagaimanakah Roh Bersaksi kepada Saya Bahawa Kitab Mormon Adalah Benar?” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Kitab Mormon 2020 (2020)

“Lampiran A,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga:2020

Lampiran A

Bagaimanakah Roh Bersaksi kepada Saya Bahawa Kitab Mormon Adalah Benar?

Anda mungkin pernah mendengar tentang janji Moroni kepada semua orang yang membaca Kitab Mormon: “Jika kamu akan bertanya dengan hati yang tulus, dengan niat yang bersungguh-sungguh, beriman kepada Kristus, Dia akan menyatakan kebenaran [Kitab Mormon] kepadamu, melalui kuasa Roh Kudus.” (Moroni 10:4). Tetapi apakah maksudnya untuk mengetahui kebenaran “melalui kuasa Roh Kudus”? Bagaimanakah anda tahu apabila Roh Kudus sedang bercakap dengan anda?

Ia mungkin berguna untuk mengingati bahawa Roh Kudus berkomunikasi dengan kita dengan cara yang sangat berbeza dari cara kita berkomunikasi dengan satu sama lain. Tetapi Bapa Syurgawi anda ingin membantu anda belajar untuk mengenali Roh. Dia telah memberikan anda Kitab Mormon, di mana beberapa hamba yang beriman menggambarkan pengalaman mereka dengan suara Tuhan.

Sebagai contoh, Nefi memberitahu saudara-saudaranya bahawa Tuhan telah bercakap kepada mereka “dengan suara tenang dan lembut,” namun, tidak semestinya ia satu suara yang mereka dapat mendengar dengan telinga mereka. Malah, Nefi berkata saudara-saudaranya itu “tidak lagi berperasaan” dan tidak dapat “merasakan firman-Nya” (1 Nefi 17:45, italik ditambahkan). Enos menggambarkan jawapan kepada doanya “suara Tuhan” datang “ke dalam fikiran[nya]” (Enos 1:10). Dan pertimbangkan kata-kata ini yang menggambarkan suara yang datang dari syurga ketika Juruselamat yang dibangkitkan muncul di negeri Kelimpahan: “Ia bukanlah suara yang kasar, bukan juga suara yang kuat; walau bagaimanapun, … ia menusuk mereka yang mendengar ke lubuk hati” (3 Nefi 11:3).

Mungkin anda pernah mempunyai pengalaman serupa dengan ini, atau mungkin pengalaman anda berbeza. Roh Kudus berkomunikasi dalam pelbagai cara, dan wahyu dapat datang kepada setiap kita dengan cara yang berbeza. Dan apabila Roh berada dalam kehidupan kita, kita akan melihat pengaruh-Nya kepada kita dalam pelbagai cara. Rasul Paulus bercakap mengenai “hasilnya jika orang dipimpin oleh Roh Tuhan”—perasaan “mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, rendah hati, dan dapat mengawal diri” dan banyak lagi (Galatia 5:22–23).

Berikut adalah beberapa ajaran dan contoh lain dari Kitab Mormon tentang Roh Kudus. Semasa anda membacanya, anda mungkin melihat bahawa Roh Kudus telah bercakap kepada anda lebih dari apa yang anda sedari, memberi kesaksian kepada anda bahawa Kitab Mormon benar-benar adalah firman Tuhan.

Kesyukuran dan Kegembiraan

Kitab Mormon bermula dengan nabi Lehi melihat penglihatan yang luar biasa. Dalam penglihatan ini, dia diberi buku dan dijemput untuk membaca. “Sewaktu dia membaca,” catatan itu berkata, “dia dipenuhi dengan Roh Tuhan.” Pengalaman ini menyebabkan Lehi memuji Tuhan untuk “kuasa, dan kebaikan, dan belas kasihan-Nya,” dan “jiwanya bersukacita, dan segenap hatinya dipenuhi” (1 Nefi 1:12, 14–15).

Pernahkah anda mempunyai pengalaman yang sama? Adakah pembacaan Kitab Mormon pernah memenuhi hati anda dengan rasa kesyukuran untuk kebaikan dan belas kasihan Tuhan? Adakah ayat-ayat dalam Kitab Mormon pernah menyebabkan jiwa anda bersukacita? Perasaan ini adalah pengaruh Roh, memberi kesaksian kepada anda bahawa kata-kata yang anda baca berasal daripada Tuhan dan mengajarkan kebenaran-Nya.

Hati yang Berubah

Setelah mengkhutbahkan khutbah yang luar biasa tentang Korban tebusan Yesus Kristus (lihat Mosia 2–4), Raja Benjamin ingin tahu sama ada rakyatnya “mempercayai kata-kata yang telah dia ucapkan kepada mereka.” Mereka menjawab bahawa mereka percaya pesanannya. Mengapa? “Roh Tuhan Yang Maha Kuasa, yang telah mengerjakan perubahan yang hebat dalam diri kami, atau dalam hati kami, sehingga kami tidak memiliki lagi kecenderungan untuk melakukan yang jahat, tetapi sentiasa melakukan yang baik.” (Mosia 5:1–2).

Mungkin anda telah perhatikan sesuatu yang serupa dalam hati anda apabila anda telah membaca Kitab Mormon. Contohnya, anda mungkin merasa diilhami untuk menjadi orang yang lebih baik, berpaling dari dosa, atau melakukan sesuatu baik untuk seseorang. Ini adalah kesaksian rohani yang anda cari, bahawa kitab ini diilhami oleh Tuhan. Kerana seperti yang Mormon ajarkan, “Setiap hal yang mengajak dan memujuk untuk melakukan kebaikan, dan untuk mengasihi Tuhan, dan untuk melayani-Nya, diilhami oleh Tuhan.” (Moroni 7:13; lihat juga 2 Nefi 33:4, 10; Alma 19:33; Eter 4:11–12).

Minda yang Diterangi

Apabila Alma mahu menolong bangsa Zoram “untuk percobaan terhadap kata-kata[nya]” dan mengetahui sendiri adakah kesaksiannya benar, dia membandingkan firman Tuhan kepada biji benih: “, jika kamu memberi tempat, agar sebiji benih boleh ditanam dalam hatimu,” dia menjelaskan, “ia akan mula menggembung di dalam dadamu; dan ketika kamu merasakan gerakan penggembungan ini, kamu akan mula berkata dalam dirimu—Semestinya ini benih yang baik, atau bahawa firman itu baik, kerana ia mula memperbesar jiwaku; ya, ia mula menerangi pengertianku, ya, ia mula menjadi lazat bagiku.” (Alma 32:27–28).

Anda “memberi tempat” dalam hati anda untuk kata-kata Kitab Mormon apabila anda membenarkannya untuk mempengaruhi hidup anda dan membimbing pilihan anda. Dan bagaimanakah kata-kata ini “memperbesarkan jiwa [anda]” dan “menerangi pengertian [anda]”? Anda mungkin merasakan bahawa anda menjadi lebih kuat secara rohani. Anda mungkin merasa lebih kasih dan terbuka terhadap orang lain. Anda juga mungkin dapat melihat bahawa anda memahami perkara-perkara dengan lebih baik, terutamanya perkara rohani—hampir seolah-olah cahaya bersinar dalam minda anda. Dan anda mungkin bersetuju bahawa ajaran yang diajar dalam Kitab Mormon adalah “lazat.” Perasaan sedemikian dapat membantu anda memahami bahawa anda telah benar-benar menerima kesaksian kebenaran rohani, seperti yang diisytiharkan Alma: “Ya maka, bukankah ini nyata? Aku berkata kepadamu, Ya, kerana itu cahaya; dan apa pun yang cahaya, adalah baik, kerana itu dapat dikenali, oleh itu kamu mesti tahu bahawa itu baik” (Alma 32:35).

Anda Tidak Perlu Tertanya-tanya

Ini hanyalah beberapa cara Roh berkomunikasi. Terdapat banyak cara lagi. Teruskan mencari peluang untuk mendengar suara Roh, dan anda akan menerima kesaksian-Nya yang berterusan, yang mengesahkan kebenaran Kitab Mormon.

Presiden Russell M. Nelson telah berjanji: “Anda tidak perlu tertanya-tanya tentang apa yang benar. Anda tidak perlu tertanya-tanya siapakah yang anda dapat percaya. Melalui wahyu peribadi, anda dapat menerima kesaksian anda bahawa Kitab Mormon adalah firman Tuhan, bahawa Joseph Smith merupakan seorang nabi, dan ini adalah Gereja Tuhan. Tanpa menghiraukan apa yang orang lain akan kata atau lakukan, tidak ada sesiapa pun akan dapat mengambil kesaksian yang telah lahir ke hati dan minda anda tentang apa yang benar” (“Wahyu untuk Gereja, Wahyu untuk Kehidupan Kita,” Ensign atau Liahona, Mei 2018, 95).